Isi Kandungan
TogglePKP 3.0.
Mahu atau tidak itulah yang terpaksa dilalui oleh ramai di antara kita terutamanya yang tinggal di beberapa buah negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergeraka sekali lagi.
Enam daerah di Selangor memulakan perintah tersebut hari ini manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula berkuatkuasa bermula esok.
Maka berhari rayalah kita semua dalam PKP.
Seperti biasa dijangkakan ramai yang akan terkesan dari segi ekonomi. Antaranya warga industri pelancongan yang paling teruk terkesan. Jadi salah satu cara untuk membantu mereka selepas tamatnya PKP 3.0 ini adalah dengan melancong di dalam negeri atau negara.
Buat sementara ini, mungkin anda boleh mula menyimpan dan menabung untuk trip akan datang. Kita harus optimistik dan positif!
Nah ini caranya untuk semua simpan duit dengan cara yang betul tanpa membebankan. Kalau tak percaya, cuba 5 tips ini!
1. Teknik Duit Ganjil
Memang ramai yang sudah berjaya simpan duit dengan cara ni. Admin pun salah seorang yang mempraktikkan teknik duit ganjil ni. Caranya, setiap kali ada duit yang berjumlah ganjil seperti RM1, RM5 atau RM20, asingkan siap-siap dalam tabung ataupun sampul dan jangan guna duit tu langsung.
Mula-mula tu memang susah sikit nak kawal perasaan untuk tidak menggunakan duit itu tapi lama kelamaan, akan terbiasa dengan sendiri. Anda akan mula rasa tak sampai hati nak guna duit tersebut kerana jika guna duit tu maka korang akan terlepas peluang untuk pergi melancong seperti rakan-rakan korang yang lain.
2. Main Duit Kutu
Duit kutu ni biasanya akan ada ‘geng’ yang bermain bersama-sama mengikut tujuan masing-masing. Lagi ramai, lagi seronok dan semangat nak main kutu sebab selain dapat beranakkan duit, anda juga dapat menyimpan.
Sistem duit kutu ni mengikut system undian bagi menentukan giliran siapa yang bakal menerima duit tersebut. Anda dah boleh rancang awal-awal untuk menggunakan duit kutu sebagai beli tiket penerbangan atau membayar duit hotel.
3. Simpan Dalam Tabung Susah Nak Buka
Dulu sewaktu kita masih kecil, sudah pasti ibu bapa kita selalu memberi galakkan kepada kita untuk menabung. Menabung jugak salah satu cara mudah untuk simpan duit tau. Tapi, korang kena pastikan tabung tu susah untuk dibuka.
Tapi, pastikan anda dah set target jumlah yang korang nak simpan seiring dengan tarikh pelancongan korang. Bila sampai masa yang sesuai, baru pecahkan tabung terebut dan hasil menabung tu boleh dijadikan modal untuk pergi melancong.
4. Bagi Orang Yang Dipercayai Pegang Duit
Teknik ni sangat berkesan kerana anda akan berasa segan untuk meminta duit simpanan anda jika bukan bertujuan untuk pergi melancong. Tiap-tiap bulan, asingkan sejumlah duit dan bagi pada individu yang dipercayai untuk simpan.
Tapi kebiasaannya, kalau bagi mak yang pegang duit, dah pasti korang semua kecut perut nak mintak duit tu. Mesti mak korang akan serang dengan macam-macam soalan. Sampai kelu lidah la nak menjawabnya. Haha!
5. Teknik Paksa Rela
Rasanya, ramai diantara korang yang dah tahu tentang kebaikan menyimpan dalam akaun ASB. Selain dapat menggandakan duit simpanan, menyimpan di ASB juga salah satu cara untuk korang menyimpan dengan selamat.
Korang akan mula rasa sangat rumit untuk menunggu di cawangan-cawangan ASB yang ada semata-mata mahu keluarkan duit. Selain tu, ASB juga memberikan dividen yang agak tinggi pada hujung tahun. Lagi banyak korang simpan, lagi banyaklah korang dapat!
Jadi, anda tidak perlu rasa rendah diri dan sedih lagi bila ternampak gambar-gambar kawan-kawan korang pergi bercuti! Sebabnya korang pun mampu apa pergi bercuti.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tip Travel Dari KL Ke KB Naik Sleeper Train, Enjoy View Sepanjang Perjalanan!

Sesekali travel dari KL ke KB naik sleeper train pun, macam best! Ini lah yang anda patut tahu, dari macam mana nak beli tiket sampai lah tiba di destinasi.
Jika sebelum ini sudah terbiasa menaiki kereta, bas dan juga kapal terbang, apa kata pengembaraan akan datang, anda cuba mencari kelainan dengan menaiki kereta api pula.
Mungkin timbul perasaan takut lebih-lebih lagi kalau ini adalah pengalaman pertama.
Tip Travel KL Ke KB Naik ‘Sleeper Train’, Enjoy View Sepanjang Perjalanan!
Namun usah khuatir, bagi yang teringin untuk mencuba pengalaman baharu ini, apa kata anda rujuk coretan wanita bernama Diyana Mukhayadi untuk dijadikan sebagai panduan.
Orang ramai disarankan memilih katil bawah kerana ruang tingkap lebih luas untuk menikmati pemandangan.
Menerusi laman Twitter, Diyana berkongsi ‘tip dan tricks’ ketika pengembaraannya menaiki Kereta Api Ekspres Rakyat Timuran atau lebih popular dengan nama ‘jungle train’ dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan yang mengambil masa sekitar 13 jam, baru-baru ini.
“Tujuan utama trip ni memang hanya untuk merasa pengalaman naik ‘sleeper train’ selama 13 jam sambil jalan-jalan cari makan (JJCM) dekat Kota Bharu. Very short trip with very different experience,” tulisnya.
Berikut adalah rumusan daripada perkongsian pengalaman Diyana sewaktu bercuti bersama tiga orang rakannya.
1) Memulakan perjalanan dari KL Sentral – Gemas – Wakaf Bharu – Kota Bharu – KL.
2) Mula-mula kena beli tiket sleeper train dahulu melalui apps KTMB untuk merasai pengalaman tidur di atas katil dalam kereta api.
3) Pilih koc berkatil iaitu Koc T6-T8. Sementara itu, koc untuk seat duduk adalah Koc T1-T3. Mereka pilih koc 8, koc paling hujung. Kenapa lebih baik pilih koc 8, penumpang lain tak lalu-lalang untuk ke cafe di koc 5 dan ia yang paling dekat dengan kepala keretapi.
Penumpang boleh menjamu selera di kafe yang terletak di koc 5.
4) Mahu bergambar di Stesen Gua Musang, koc 8 adalah koc paling depan, jadi lebih senang untuk keluar ambil gambar.
5) Elakkan memilih katil paling depan kerana agak bising disebabkan bunyi besi menghubungkan setiap koc.
6) Untuk pilihan katil, nombor genap adalah katil bawah manakala nombor ganjil adalah katil atas. No katil mereka T26, T28, T30, T32. Harga katil/berth atas adalah RM40, katil/berth bawah RM46.
7) Disarankan memilih katil bawah kerana mempunyai ruang tingkap yang lebih luas dan panjang untuk menikmati pemandangan. Ambil perhatian, tiada plug point disediakan, oleh itu dinasihatkan untuk standby power bank.
8) Selesai beli tiket sleeper train, baru beli tiket menuju ke Gemas dari KL Sentral dengan menaiki ETS. Tiket dibeli melalui apps KTMB dengan harga RM30. Perjalanan dari KL Sentral pada pukul 9.40 malam dan tiba di Gemas 12.10 pagi.
9) Sleeper train akan bertolak ke Wakaf Bharu pada pukul 1.18 pagi dan dijangka tiba 12.37 tengahari esoknya. Sementara menunggu kereta api, boleh naik ke ruang menunggu di tingkat atas Stesen Keretapi Gemas yang dilengkapi tandas dan surau.
Kereta api akan melalui kawasan hutan yang pastinya menjanjikan pemandangan yang indah.
10) Selepas menaiki kereta api dan meletakkan barang di katil, boleh menjamu selera di kafe yang terletak di koc 5. Pelbagai menu disajikan antaranya hidangan mi segera, nasi, mihun dan masakan panas yang lain dengan harga berpatutan.
11) Kereta api ini akan melalui kawasan kampung dan hutan yang sangat cantik sekitar awal pagi. Jadi, jangan tidur selepas Subuh kerana inilah masa yang sesuai untuk menikmati pemandangan.
12) Penumpang ‘dihidangkan’ dengan pemandangan Gunung Stong dan air terjun Jelawang dekat Dabong. Sepanjang perjalanan juga disajikan pemandangan bukit batu kapur, sungai, jambatan, terowong, dan jambatan rel terpanjang kat Malaysia iaitu Jambatan Guilemard.
13) Wajib turun seketika di Stesen Gua Musang untuk mengambil gambar dengan kepala keretapi, dan boleh turun membeli makanan dari orang kampung di Stesen Dabong.
14) Dengar ura-ura yang train 13 jam ke Kelantan ini pun akan ditamatkan operasinya tapi tak tahu bila. Jadi jika anda nak rasa this ‘once in lifetime experience’, kena cepat-cepat.
“Tapi sebenarnya rasa sayang, ini antara khazanah Malaysia yang boleh ditambahbaik lagi untuk tarik lebih banyak pelancong,” tulisnya mengakhiri perkongsian.
Jadi, jika anda ingin menikmati view dengan tenang tanpa penat, boleh lah cuba naik sleeper train pula ya. Sambil itu boleh layan pemandangan alam semula jadi.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cintaku Tertinggal Di Annapurna

Artikel ini adalah perkongsian daripada Nadzirah Hata mengenai trip bersama rakan-rakan beliau ke Nepal. Libur harap pembaca dapat sedikit gambaran, info dan tip untuk bercuti ke sana. Selamat membaca.
Mendaki gunung di Banjaran Himalaya terutamanya ke Annapurna Base Camp (ABC) yang terletak di Nepal adalah impian kebanyakkan para pendaki termasuklah aku. Pendakian aku menuju ke ABC melalui Poonhill yang berada di ketinggian 4,130 meter dari paras laut mengambil masa selama 9 hari berjalan kaki dengan jarak sejauh 183 km! Ia adalah suatu perjalanan indah yang sangat menakjubkan merentasi dari gunung ke gunung, mencabar kekuatan fizikal dan mental, penuh berliku dengan tawa dan airmata. Kembara diri mencari erti hidup dari Malaya ke Himalaya, ku temui cinta di Annapurna!
Walking the Himalaya
Line up trip ni adalah seramai 10 orang iaitu disertai oleh Hafizzuddin (Apis) selaku ketua group ‘Acah-acah Hikers’ a.k.a gogo, dibantu oleh Wan Hadi (Zek), Suhari (Wak), Rafi, Shauqi, Aimi, Roza, Fuzah, Rabi dan aku. Idea untuk mendaki ke Annapurna ni adalah tercetus daripada aku sendiri. Perasaan untuk bermain salji di kawasan pergunungan semakin membuak setelah melihat rancangan Walking the Himalaya oleh Levison Wood. Aku telah merancang sendiri segala perjalanan dan perbelanjaan untuk trip ini.
Insuran perjalanan adalah sangat penting, setiap kali travel! Jadi sebelum berlepas ke Nepal, kami telah beli insuran daripada MSIG Sports yang berharga RM106 yang ada cover untuk helicopter evacuation jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini semasa pendakian. Visa pula dibuat di kedutaan Nepal yang terletak di Jalan Ampang dengan harga RM95 untuk 15 hari.
Namaste!
Tanggal 20 Mac 2018, bermulalah perjalanan kami dari Kuala Lumpur menuju ke Kathmandu dengan menaiki pesawat Malindo Air yang mengambil masa selama 4 jam 40 minit. Tiket kapal terbang dibeli dengan harga RM1,249.38 bagi perjalanan pergi dan balik. Kami berlepas pada pukul 9.50 pagi waktu Malaysia dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu pada pukul 12.15 tengahari waktu tempatan. Waktu di Nepal adalah lewat 2 jam setengah dari waktu Malaysia. Jadi hari terasa agak panjang ketika berada di Nepal.
Ketika pesawat memasuki ruang udara Kathmandu tadi, kami dihidangkan dengan pemandangan indah banjaran himalaya dengan gunung ganang yang diliputi ais! Sungguh asyik! Pergunungan Himalaya juga adalah tempat bersemayamnya gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest! Angin dingin langsung menyapa ketika kami melangkahkan kaki keluar dari pesawat.
Di balai ketibaan, kami disambut oleh Deepak Aryal iaitu ejen yang telah aku deal untuk urusan pendakian kami di sini. Deepak adalah pengurus bagi Agensi Eagle Eye Trekking. Kami dibawa ke pejabatnya yang terletak di Thamel Road untuk urusan menukar duit ringgit ke nepali rupee dan membuat permit mendaki. Kami perlu membuat 2 permit iaitu Trekkers Information Management System dan juga Annapurna Conservation Area Project yang berharga 40USD iaitu lebih kurang RM165.
Thamel Road
Setelah selesai urusan permit, kami berjalan di sekitar Thamel Road untuk mencari barang-barang trekking. Sini adalah syurga bagi penggemar barangan outdoor! Memang rambang mata melihat tebaran segala jenis backpack, downjacket, seluar hiking dan segala kelengkapan bagi pendakian di sini! Tapi keadaan disini walaupun suhunya dingin, tapi sangat sesak dengan kenderaan dan berdebu! Jangan lupa untuk menggunakan penutup muka atau buff bagi melindungi hidung daripada tersedut habuk.
Memandangkan Thamel Road ini merupakan kawasan tumpuan pelancong, tidaklah sukar untuk mencari makanan halal. Kami menikmati makan malam di Shafqat Restorant. Walaupun ini adalah restoran makanan arab, tetapi aroma rempah khas makanan Nepal–India sangat terasa di mulut! Boleh tahan sedap nasi brianinya! Boleh datang lagi bila dah balik daripada trekking nanti! hehee
Setelah tu, kami bersiap untuk bertolak dari Kathmandu menuju ke Pokhara untuk mengambil porter dan seterusnya ke Nayapul bagi memulakan pendakian. Kami hanya sempat melelapkan mata di dalam van sepanjang perjalanan malam yang mengambil masa selama 9 jam. Keadaan jalan disini agak teruk dan tidak rata. Memang pening duduk dalam van. Sebahagian besar perjalanan adalah melalui lereng bukit dan gunung yang curam! Mabuk!
Hari Pertama Trekking, Rabu 21/3/2018
Nayapul – Birethanti – Tikedhunga – Ulleri
Kami telah menggunakan khidmat empat orang porter dan seorang guide iaitu Aswin, Manish, Robin, Durga dan Nopras. Mereka akan membantu kami daripada segi menempah penginapan di guesthouse, makan minum dan juga logistik. Mereka sangat berpengalaman dan arif dengan selok-belok pendakian di sini. Upah bagi setiap porter adalah sebanyak 16USD sehari. Satu porter kami kongsi untuk dua orang.
Pendakian pada hari pertama memakan masa selama 7 jam dari Nayapul sehingga ke Ulleri dengan jarak pendakian 18.8 km. Cuaca hari itu amat panas dengan trek tanah dan kerikil yang berdebu. Permulaan trekking kami melalui kawasan perkampungan. Namun begitu, sepanjang perjalanan kami disajikan dengan pemandangan sungai yang sangat jernih! Kemudian kami sampai di pos pemeriksaan di Birethanti. Di sini kami perlu menunjukkan permit pendakian untuk merekod dan memantau pergerakan pendaki yang memasuki kawasan Annapurna.
Di pertengahan perjalanan, kami berhenti rehat dan makan tengahari di Green Land Restaurant. Di sepanjang trek, akan terdapat tempat penginapan atau lodge yang turut menyediakan restoran kecil bagi kemudahan pendaki. Kami telah memesan nasi goreng telur dan air teh. Portion makanan di sini amat banyak! Sepinggan nasi boleh dikongsi oleh dua ke tiga orang. Disebabkan kami semua baru pertama kali, jadi banyak juga pembaziran yang berlaku! Hahaa.. Dan setiap kali mahu membayar makanan, semua jadi kelam kabut disebabkan tiada duit kecil! Bertabahlah untuk 8 hari lagi! hahaaa..
Lepas tu, bermulalah trek ribuan anak tangga yang perlu ditempuh sehingga sampai ke guesthouse kami iaitu Hotel Curious Camels di Ulleri yang berketinggian 1950 meter. Betul-betul menguji mental, fizikal dan emosi kami. Kami mula mendaki pada pukul 9 pagi dan tiba pada pukul 5 petang. Habis sudah penyiksaan di hari pertama! Bersepai!
Hari Kedua Trekking, Khamis 22/3/2018
Ulleri – Ghorepani
Suasana pagi di Ulleri agak dingin dan mendamaikan. Perjalanan hari ni sangat mencabar dan kami perlu mendaki lagi ribuan anak tangga yang berketinggian dua kali ganda daripada altitude yang kami berada sekarang!
Sepanjang perjalanan, kami sering kali terjumpa dengan deretan keldai dan pony yang digunakan untuk mengangkut barangan keperluan di kawasan pergunungan ini. Najis haiwan juga agak bersepah di sepanjang perjalanan dengan bau yang agak umphhhh! Selepas beberapa jam trekking, kami singgah untuk makan tengahari di Hungry Eye Restaurant. Menunya sekali lagi kami order nasi goreng telur dan air teh. Tapi air tehnya rasa agak aneh sebab dia letak susu. Susunya rasa agak luar biasa! Agak loya tekak kami dibuatnya. Kami berpendapat, susu yang digunakan adalah susu pony yang diperah fresh dari atas gunung ni! Hahaaa..
Semakin tinggi, terasa udara semakin menipis dan nafas juga semakin pendek. Ia menyebabkan kami cepat letih. Mujurlah porter amat memahami dan sporting melayan rentak kami. Trek menuju ke Ghorephani adalah sangat indah! Hutannya yang terletak di atas gunung ibarat taman bunga yang luas terbentang! Kami dihidangkan dengan pokok bunga Rhododendron iaitu Bunga Kebangsaan Nepal yang berwarna pink cerah! Selain itu, terdapat juga bunga yang berwarna putih, merah, oren dan ianya sedang berkembang mekar dengan sangat cantik!
Akhirnya, setelah 8 jam mendaki dari pukul 8.30 pagi dengan jarak perjalanan sejauh 10.3 km, kami tiba di Ghorepani yang berketinggian 2860 meter pada pukul 4.30 petang. Sini adalah pintu masuk untuk menuju ke Poonhill. Kami menginap di Hotel Dhaulagiri yang mempunyai one of the best viewpoint in the world iaitu view yang mengadap ke arah kawasan pergunungan yang indah!
Hari Ketiga Trekking, Jumaat 23/3/2018
Ghorepani – Poon Hill – Deurali – Tadapani
Hari kami bermula seawal jam 5 pagi untuk mendaki ke puncak Poonhill. Kami perlu bergerak awal supaya dapat menyaksikan pemandangan matahari terbit di sana. Kami memulakan langkah dalam kegelapan dan kedinginan pagi. Sekali lagi, kekuatan mental dan fizikal diperlukan untuk mendaki ribuan anak tangga pada altitude yang tinggi. Pergerakan aku agak perlahan dan kerap berhenti untuk mengambil nafas. Pada waktu ni, aku dah tak fikir samada sempat atau tidak untuk melihat matahari terbit. Saat sudah lelah, mudah sekali merasa rindu dengan hangatnya Malaysia!
Akhirnya, setelah dua jam mendaki, aku tiba di puncak Poonhill yang berketinggian 3210 meter sambil diiringi oleh porter yang setia menemani aku yang pewai! Pengalaman menyaksikan panorama Annapurna range yang terbentang di depan mata memberikan sentuhan spiritual yang mendalam, hingga terasa air mata pun menitis saat melihat keindahan ini. Sungguh, aku terharu! Subhanallah.
Kemudian, kami turun semula ke guesthouse dan meneruskan perjalanan ke Tadapani pada pukul 10.30 pagi yang mengambil masa selama 6 jam trekking. Trek harini amat memerah keringat kami kerana ianya naik turun tangga dan merentasi gunung ke gunung! Ditambah dengan keletihan ke Poonhill pagi tadi. Pada pukul 4.30 petang dengan total jarak perjalanan sejauh 16.2 km kami tiba di Tadapani, 2650 meter. Kami menginap di Fishtail Viewtop Lodge.
Hari Keempat Trekking, Sabtu 24/3/2018
Tadapani – Chuile – Chomrong – Lower Sinuwa
Hari ini kami start trekking pada pukul 10 pagi. Laluan pada hari ini, kami akan menempuh lagi ribuan anak tangga secara menurun di Chomrong. Goyang lutut woi! Sepanjang perjalanan, kami dapat menyaksikan dengan lebih dekat kehidupan seharian penduduk kampung di sini. Jarak perjalanan pada hari ini adalah sejauh 16.7 km. Kami tiba di Lower Sinuwa pada pukul 5 petang setelah 7 jam trekking. Kami menginap di Himal Guesthouse And Restaurant yang berada di ketinggian 2300 meter.
Semakin tinggi guesthouse yang kami menginap, harga juga semakin mahal. Semua perlu dibayar seperti hot shower, charging telefon/powerbank/kamera, wifi, air minum untuk diisi di dalam botol dan sebagainya. Jangan lupa untuk beli Aquatab yang bertindak sebagai filter untuk air minum. Kami beli di farmasi yang terletak di Nayapul haritu. Kami juga beli pil Diamox di sini untuk mengelakkan dari terkena serangan Altitude Mountain Sickness (AMS). Boleh juga beli serbuk perisa dalam bentuk paket untuk menambah tenaga seperti Extra Joss atau Kukubima untuk dimasukkan dalam air. Jadi tidak la terasa payau sangat air untuk diminum tu! Hahaaa
Hari Kelima Trekking, Ahad 25/3/2018
Lower Sinuwa – Upper Sinuwa – Bamboo – Dovan – Himalaya – Deurali
Pendakian pada hari ini adalah yang paling mencabar! Jarak perjalanan yang agak jauh dengan cuaca yang tidak menentu. Setelah mendaki ribuan anak tangga ke Upper Sinuwa, kami melalui kawasan hutan buluh yang tumbuh liar. Jarak yang semakin tinggi menyebabkan aku sakit kepala dan terasa seperti mahu pitam. Jadi aku tak boleh berjalan dengan terlalu laju. Kami berhenti di Dovan untuk makan tengahari dan berehat.
Nasi putih bersama sup bawang putih menjadi pilihan bagi menghangatkan badan dengan cuaca yang semakin sejuk! Minum pula bersama air lemon hangat! Ahhh syahdunya…. Tapi kombinasi ni telah menyebabkan perut aku memulas! Ahhh sudah, terasa mahu cirit pula semasa dalam perjalanan menuju ke Deurali. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya! Nak tak nak, kami terpaksa mempercepatkan langkah untuk menempuh trek yang licin dan kami pun dah basah lenjun. Disebabkan terlupa bawa baju hujan, kami hanya menggunakan plastik untuk berlindung dari hujan. Sadis betul rasa! Tetapi perjalanan masih lagi jauh untuk sampai ke guesthouse! Masa ni aku dah hampir berputus asa dan nak menangis! Hahaaa.. Mental koyak! Rakan yang lain sudah jauh didepan. Tinggal la aku jalan bersama Wak dan porter, Aswin.
Kemudian, gogo trip iaitu Apis datang dalam hujan untuk rescue dan menemani aku berjalan sehingga ke New Panorama Guesthouse. Berdebar dan terharu rasanya dan sekali lagi hampir menitiskan air mata dalam hujan! Tapi hujan didalam hati tak siapa yang tahu. Oh adakah ini namanya cinta? Hahaa… Akhirnya, kami semua selamat tiba di Deurali di ketinggian 3200 meter pada pukul 6 petang setelah 10 jam trekking! Salji sudah mulai turun disini. Bukan ternampak jodoh je bergetar rusuk, nampak salji pun begitu juga! Sejuknya bukan kepalang sehingga ke tulang!
Hari Keenam Trekking, Isnin 26/3/2018
Deurali – Macchapuchare Base Camp – Annapurna Base Camp
Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Semangat tidak boleh luntur beb. Bangun pagi, kami disajikan dengan pemandangan depan guesthouse yang sangat indah dengan pergunungan yang diliputi salji. Kami start trekking pada pukul 9 pagi. Cuaca pada pagi tu sangat dingin dan cerah. Kami berjalan di atas salji dengan pemandangan Himalaya yang sangat cantik di sepanjang perjalanan menuju ke Macchapuchare Base Camp (MBC)! Ahhh.. sungguh teruja rasanya seperti jatuh cinta pandang pertama! Impian untuk bermain salji tercapai jua! Walaupun seronok pertama kali jumpa salji tetapi kami perlu berhati-hati kerana laluan disini berisiko dilanda runtuhan salji. Cuaca sejuk tetapi agak panas terik dan kelihatan salji mula mencair menyebabkan trek sangat licin. Kami berhenti rehat dan makan tengahari di MBC.
Perjalanan dari MBC menuju ke ABC agak mencabar kerana salji yang semakin tebal dan pemandangan yang dilitupi kabus. Udara pula semakin menipis. Setelah 6 hari trekking, akhirnya sekitar pukul 2 petang, saat manis apabila kami semua berjaya tiba di papan tanda ABC di ketinggian 4130 meter dari paras laut! Alhamdulillah. Syukur segala penat lelah dan airmata terasa berbaloi! ABC Checked! Berdiri disini dengan mengibarkan Jalur Gemilang merupakan detik kebanggaan kami yang akan dikenang sepanjang hayat! Ia merupakan rekod peribadi yang sangat berharga!
Kami menginap di Annapurna Guesthouse. Waktu tidur, aku memakai tiga helai baju, dua helai jaket, 4 helai stoking, sarung tangan, selimut dan sleeping bag! Itu pun masih lagi terasa kesejukannya! Ahhh sudah, rasa macam tak bernafas pula pakai pakaian tebal-tebal ni. Hot patch ataupun heat packs pula memang tinggal last paket untuk memanaskan tapak kaki dan tangan. Ahh rasa menyesal pula tak bawa banyak-banyak! Malam tu, agak sukar untuk aku melelapkan mata. Dari luar terdengar bunyi ribut salji yang amat kuat dan suhu yang semakin menurun sehingga -7 celcius! Seram sejuk dibuatnya!
Hari Ketujuh Trekking, Selasa 27/3/2018
ABC – MBC – Deurali – Himalaya – Lower Sinuwa
Disebabkan suhu yang terlalu sejuk, ramai antara kami yang jatuh sakit. Batuk, selsema dan sakit tekak telah dialami sejak hari pertama lagi, diikuti dengan sakit kepala yang berdenyut dan kaki yang melecet. Paling teruk, beberapa orang antara kami terkena muntah-muntah dan cirit birit termasuklah aku! Aduh betapa seksanya perut memulas dan terpaksa mencebok dalam keadaan yang sejuk beku! Hahaaa… Mungkin kami tak biasa dengan makanan disini. Nasib baik ada bantuan dari dua orang staff nurse yang join trip ni iaitu Fuzah dan Abi yang sentiasa standby dengan bekalan ubat. Zek pula hampir terkena serangan AMS dan kami juga hampir menghubungi helikopter untuk bawa beliau ke hospital.
Tetapi setelah makan dan berehat seketika, Zek kuatkan semangat untuk berjalan turun bersama kami. Memang kental Zek! Permulaan perjalanan masing-masing kelihatan gembira dan ceria dengan suasana persekitaran yang amat indah pagi tu. Papan tanda ABC pula telah tumbang disebabkan ribut yang kuat malam tadi! Nasib baik kami sempat ambil gambar semalam! Hehee.. Lepas tu bermula lah azab! Perjalanan turun hari ni adalah yang paling teruk dan letih sekali kerana kami trekking selama 12 jam dari pukul 8.30 pagi sehingga ke 8.30 malam! Perjalanan hari ini adalah sejauh 25.2 km naik turun merentasi gunung! Kami cuma ada dua hari untuk turun ke Nayapul semula. Memang pewai bersepai!
Hari Kelapan Trekking, Rabu 28/3/2018
Lower Sinuwa – Upper Sinuwa – Chomrong – Jhinudanda – Jhinu – New Bridge – Kyumi
Hari kelapan, tenaga pun dah semakin berkurang! Kami meninggalkan Sinuwa pada pukul 9 pagi. Kami perlu melalui sehari lagi yang penuh penyiksaan! Kami perlu mendaki pula tangga di Chomrong yang menjadi igauan sehingga goyang lutut semasa kami turun tempoh hari! Fuhhh.. Semasa perjalanan disini, kami terserempak dengan ramai pendaki dari Malaysia. Kami sempat bertegur sapa dan mengucapkan good luck kepada mereka yang akan menuju ke ABC. Kemudian, kami singgah makan tengahari di New Bridge.
Sebelum ni, aku memang berhajat untuk singgah berendam di kolam air panas di Jhinu. Tapi disebabkan kekangan masa dan semua pun dah barai teruk layan tangga, kami batalkan sahaja hasrat murni untuk mandi di situ. Nak ke hotspring, kami perlu trekking lebih kurang 45 minit juga! Fuhh… Plan asal kami juga terpaksa diubah kerana perjalanan yang masih jauh dan hari ini kami masih lagi tak sempat untuk sampai ke Nayapul. Jadi kami akan bermalam di Kyumi. Kami selamat tiba di guesthouse pada pukul 4 petang. Jarak perjalanan hari ini adalah sejauh 13.1 km yang mengambil masa selama 7 jam.
Hari Kesembilan Trekking, Khamis 29/3/2018
Kyumi – Siwai
Pendakian hampir sampai di penghujungnya! Kami meninggalkan Kyumi dengan syahdunya pada pukul 8 pagi. Kami trekking dalam masa sejam setengah sahaja untuk sampai ke Siwai. Sudah mula terasa rindu dengan gelagat porter kami, Aswin yang peramah dan gemar membawang gosip dalam kalangan ahli trip ini, trek hutan dan tangga, salji dan cuaca yang sejuk, lagu yang kami nyanyi sepanjang jalan dan gelak tawa rakan-rakan yang sentiasa menceriakan hari-hariku sepanjang pendakian. Menggamit nostalgia betul!
Dari Siwai kami menaiki dua buah Jeep menuju ke Nayapul untuk ke checkpoint permit yang mengambil masa selama sejam. Kemudian, perjalanan diteruskan lagi selama 2 jam ke Pokhara untuk mengucapkan selamat tinggal kepada porter yang banyak berjasa kepada kami disepanjang pendakian ni. Kami singgah sebentar di Phewa Lake untuk mengambil gambar. Dari sini, kami mengambil van untuk pulang semula ke Kathmandu yang mengambil masa 8 jam perjalanan. Total ground perbelanjaan semasa pendakian selama 9 hari kami adalah lebih kurang RM 1500. Ini termasuk dengan bayaran porter, permit, van, Jeep, penginapan dan juga makanan.
Penjelajahan dan pendakian ke ABC telah dizahirkan dengan sempurna. Impian menjadi kenyataan dengan pemandangan maha indah Pergunungan Himalaya, Poonhill dan Annapurna range sungguh tidak sia-sia untuk diperjuangkan. Kenangan manis sepanjang perjalanan ini akan sentiasa terpahat di hati.
Selamat tinggal cintaku di Annapurna. Nepal aku pasti akan kembali!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bajet Jimat Melancong Ke Singapura, Wanita Ini Masuk Sana Tak Sampai RM100

Isi Kandungan
ToggleBuat anda yang ingin melancong ke Singapura versi bajet dan jimat bolehlah rujuk itinerari sehari yang dikongsikan seorang pengguna Thread dikenali sebagai Faiqa.
Paling melegakan, kos perjalanan yang dikeluarkan sepanjang tempoh 12 jam di Kota Singa itu hanyalah RM90 dan lebih lima lokasi menarik boleh dikunjungi.
1. Perjalanan menggunakan Kereta Api Tanah Melayu (KTMB)
Dari Malaysia ke Singapura, anda boleh muat turun aplikasi KTMB supaya memudahkan urusan untuk menempah tiket shuttle Tebrau.
Faiqa naik dari Johor Bahru ke Woodlands dalam masa lima minit sahaja, tetapi tiket perlu dibeli dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum perjalanan.
Harga pula RM5 untuk pergi dan 5SGD (RM16.42) bagi perjalanan balik.
Pastikan anda sampai stesen KTMB 30 minit lebih awal sebelum perjalanan.
Jangan lupa untuk melengkapkan maklumat diri anda di aplikasi kad ketibaan MyICA sekurang-kurangnya sehari sebelum perjalanan.
Ini bagi mengelakkan anda ‘sangkut’ di imigresen Singapura.
2. Lapangan Terbang Changi
Setibanya di stesen kereta api Woodlands, anda boleh menaiki bas atau MRT untuk ke Lapangan Terbang Changi. Terdapat dua stesen MRT berhampiran iaitu MRT Woodlands dan MRT Kranji.
Kalau anda memilih untuk menggunakan perkhidmatan bas awam di sana, perjalanan mengambil masa dua jam dan melibatkan pertukaran tiga buah bas.
Di Changi Airport ni, anda bolehlah berjalan-jalan dan menikmati kecantikan landskap sama ada dengan menaiki Skytrain Terminal 2 atau 3, percuma ya!
3. Wingstop, Bedok Mall
Selepas penat berjalan-jalan, perut pun akan mula berkeroncong.
Jadi anda boleh singgah di Wingstop untuk menikmati hidangan sambil ‘mencuci mata’ atau membeli-belah.
Restoran makanan segera ini juga dekat dengan stesen MRT.
4. Sultan Mosque

Tak lengkap sekiranya anda tidak berkunjung dan solat di masjid Singapura.
Paling menarik adalah banyak kedai makan halal yang menawarkan sajian autentik masyarakat setempat.
Kedai cenderahati pun banyak di sekitarnya.
Perjalanan dari Bedok ke Bugis hanyalah 15 minit menggunakan MRT.
5. Marina Bay/Merlion Park
Setiap pengunjung yang melawat Kota Singa pasti enggan melepaskan peluang untuk bergambar dengan patung ikonik Singa Putih ini.
Malah, lokasi ini merupakan destinasi wajib dan sememangnya dipenuhi ramai orang.
Owh ya, pastikan anda ada gambar kenangan di sini ya.
6. Gardens by The Bay
Kalau berkunjung ke Singapura, anda wajib tengok pertunjukan lampu dan muzik yang menarik ni.
Paling penting, tiada bayaran yang dikenakan.
Waktu pertunjukan pula sehingga pukul 8.45 malam sahaja.
7. Woodlands Train Checkpoint
Selepas seharian menghabiskan masa menikmati suasana di sekitar Singapura, tibalah masa untuk anda kembali ke negara tercinta.
Dari MRT Woodlands ni, anda kena naik bas ke stesen KTMB dan pastikan tiba sebelum kereta api berlepas.
Haaa… dapat sesuatu? Selepas ini boleh lah masukkan Singapura dalam senarai tempat untuk melancong!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI