
Gua Musang, Kelantan terkenal dengan pemandangan banjaran bukit hijau dan batu kapur.
Destinasi ini sering kali menjadi lokasi idaman si peminat alam untuk beriadah dan bersantai. Paling menarik ada stesen kereta api lama dan baru di daerah yang terbahagi kepada dua iaitu bandar Gua Musang lama dan Bandar Baru Gua Musang. Terletak di pinggir bandar itu, landasan kereta api baru beriringan dengan jalan raya dua hala. Stesen kereta api baru lebih hampir dengan bandar lama iaitu kira-kira satu kilometer. Ini disebabkan stesen kereta api baru ini dibina tidak jauh daripada stesen kereta api lama di bandar lama.
Stesen kereta api Gua Musang milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad), menyediakan perkhidmatan KTM Antarabandar. Tren tempatan dari Tumpat tamat di Stesen kereta api Gua Musang. Jika anda ingin menjelajah ‘alam hijau’ Gua Musang, boleh menggunakan perkhidmatan kereta api ini.
Baca perkongsian daripada saudara Firdaus Razali
Hiking santai-santai hujung minggu masuk Bukit Gua Musang depan stesen KTMB Gua Musang, kami pakai guider abam & akak APM bayar Rm5 seorang yang turut serta. View pagi sepanjang perjalanan sangat menarik. Korang boleh cuba merasai sendiri keindahan alam buat kenangan terindah anda.
- Trip kami bermula dari Wakaf Bharu, Pasir Mas & Tanah Merah dengan menaiki KTMB laluan tempatan.
- Jam 4am (mengikut stesen, jadual stesen boleh rujuk web KTMB) kami berkumpul di stesen.
- Tambang RM8 untuk wakaf Bharu, Rm7 untuk pasir mas sehala. Tiket boleh dibeli di dalam keretapi, kaunter tak buka lagi.
- Tren datang tepat jam 4.20am. Tren terus menuju ke Pasir Mas, Tanah Merah seterusnya Kuala Krai dan Gua Musang. Peserta lain pun ada yang naik di stesen-stesen lain.
- Sampai stesen Gua Musang jam 9.55 am, hampir 5 jam setengah perjalanan tu.
- Mula hiking jam 10.45 am, guider kami abam-abam dan sistur JPAM untuk masuk gua dan hiking sampai ke puncak.
Trip santai-santai je, pastikan keselamatan diri anda.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kecur Air Liur! The Motorino Restoran Piza Ikonik Pertama Di Malaysia

Salah satu tarikan di Resorts World Genting ialah pengalaman merasai keenakan makanan di pusat beli-belah Sky Avenue yang menggamit kedatangan mereka menggelarkan diri sebagai kaki makan. Piza yang berasal dari Brooklyn dan East Village itu telah membuatkan penulis kolum makanan di akhbar New York Times memuji ia sebagai restoran piza Itali Neopolitan terbaik di New York. Dimiliki dan dikendalikan oleh lelaki kelahiran Belgium-Itali, chef Mathieu Palombino membuat piza gaya Neapolitan dalam ketuhar kayu yang diimport dari Itali.
Motorino mempunyai beberapa cawangan di New York, dua di Hong Kong dan Manila, satu di Singapura dan apabila pembukaannya diumumkan pada bulan Disember tahun lepas, ia menjadi restoran yang pertama dibuka di Malaysia. Motorino memiliki rupa dan rasa ruang lama yang telah diubahsuai, tetapi dengan sedikit kelainan.
“Bayangkan bagaimana kedai runcit lama di Amerika dan farmasi pada tahun 1920-an. Ia bukannya tempat mewah dan bukan juga kawasan tumpuan. Di Brooklyn ia menjadi tempat persinggahan untuk sekeping piza sedap yang mana mereka bercita-cita menjadi penyanyi tetapi terpaksa bekerja dua syif. Mereka bukannya jenis orang tidak sukakan jenama tetapi mereka mencari makanan terbaik,” ujar Dato Edward Holloway, Naib Presiden Kanan Operasi Hotel Resorts World Genting.
The Motorino di Sky Avenue berkeluasan 4,000 kaki persegi dengan bahagian hadapan bangunan memaparkan tingkap gaya Itali berbingkai emas. Jika dibandingkan dengan cawangan di Hong Kong dan Singapura ruang makannya agak terhad, ini akan menjadikan Motorino di Malaysia yang terbesar setakat ini. Mengekalkan reka bentuk asal cawangan di Amerika, tempat duduk yang disediakan tidaklah mahal atau mewah, sebaliknya ia akan dilengkapi kerusi besi tahun 1920-an dengan warna merah tua.
“Brooklyn pernah menjadi sebahagian dari Ireland pada satu ketika dahulu, maka unsur warna hijau turut akan digunakan yang akan menyerlahkan lagi warna merah tua.Terdapat juga batu marmar putih digunakan sebagai permukaan meja seiring dengan kaunter piza yang menggunakan material sama,” kongsi Holloway.
Paling mencuri perhatian ialah dua ketuhar piza yang didatangkan terus dari Naples, Itali. Penyodok piza pula ditempah khas turut akan menghiasi dekorasi restoran. Penyodok berbentuk dayung ini dibuat daripada sekeping kayu yang turut akan digunakan untuk membuat piza. Pelanggan akan dapat melihat keseluruhan proses pembuatan piza terkenal Motorino, dengan suasana sejuk bagi memastikan keselesaan pengunjung. Pencahayaan pula akan menggunakan gaya era 60-an bersama-sama bola bersinar Pantone, Motorino bakal menjadi kapsul masa di mana piza diagungkan.
Para pengunjung yang belum berpeluang merasai pengalaman bersama Motorino mungkin akan terkejut dengan dedikasi mereka berikan dalam pembuatan piza. Selain daripada pilihan antipasto (Pembuka selera Itali yang dimasak atau dimakan mentah yang mengandungi campuran bilis, buah zaiton, sardin, jeruk dan sayur-sayuran) dan piza, bagaimanapun dalam jiwa Itali sebenar, antipasto tidak hanya menghilang rasa lapar sebelum acara utama. Orang-orang Itali tahu bahawa antipasto merupakan sajian pembuka selera.
Maka, pemilihan antipasto Motorino ini akan memberikan peluang pengunjung merasai sendiri kualiti bahan-bahan yang akan digunakan dalam piza mereka. Sebagai bukti, campuran salad sayur-sayuran hijau, arugula dan salad bresaola akan sentiasa memberikan rasa penuh keranggupan dan segar, manakala lada panggang dipenuhi dengan rasa kemanisan semula jadi.
Keju kerbau mozzarella dengan tomato, minyak zaitun dan daun basil segar akan menaikkan rasa dan aroma, manakala salad sotong gurita pasti memberikan rasa sensasi dan segar dengan kombinasi kuntum bunga kaper, kentang, minyak cili, bawang merah serta parsli. Menjadi satu kekurangan jika sebuah restoran piza tidak menyediakan kepak ayam. Oleh itu Motorino menawarkan beberapa pilihan kepak ayam panggang berperisa lemon, pudina dan serbuk cili. Pengunjung juga boleh menikmati bebola daging Motorino yang dimasak dengan sos tomato ditambah keju pecorino dan daun selasih. Ia hasil gabungan budaya masakan New York dan Itali.
Motorino turut menawarkan lebih daripada 20 pilihan inti yang boleh ditambah kepada piza yang sedia ada. Ia termasuk kobis Brussel, dua jenis ikan bilis, arugula segar, keju kerbau mozzarella dan keju fior de latte (mozzarella segar yang dibuat dengan susu lembu), bersama-sama dengan bahan-bahan lain seperti ayam belanda, peperoni dan kepah. Bagaimanapun, setiap pengunjung ke Motorino berkata, piza yang dihasilkan sudah cukup sempurna tanpa perlu ditambah apa-apa.
Pengunjung turut boleh membuat pilihan pada 10 menu terbaik yang terdiri daripada marinara, margherita dan pepperoni kepada cita rasa tertinggi Itali (stracchiatella dengan selasih, garam laut dan minyak zaitun; cendawan cremini, sos colatura di alici ditambah keju mozzarella susu lembu, bawang merah, tomato anggur, ikan bilis putih dan garam laut).
Turut ditawarkan adalah piza kobis Brussel dengan keju fior de latte, bawang putih, keju pecorino dan ayam belanda salai; piza kepah bersama ceri dan telur, pilihan ayam belanda bercili. Harga piza bermula daripada RM45 hingga RM67. Pilihan pencuci mulut pula terdiri daripada tiramisu, kek coklat dan gelato.
Info : Motorino terletak di Aras 1, Sky Avenue. Waktu operasi: 10:00 pagi hingga 10:00 malam (Ahad hingga Khamis) dan 10:00 pagi hingga 12:00 tengah malam (Jumaat, Sabtu, Cuti Umum dan hari sebelum Cuti Umum)
Sumber: Putri Adila
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
9 Destinasi Warisan & Sejarah Di Negeri Selangor Wajib Singgah Sempena Bulan Kemerdekaan & Hari Malaysia

Tanggal 16 September merupakan tarikh yang sangat bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia khususnya bagi Sabah dan Sarawak kerana ia adalah tarikh rasmi pembentukan Persekutuan Malaysia hasil penyatuan Persekutuan Tanah Melayu bersama-sama Sabah, Sarawak dan Singapura. Bagaimanapun Singapura telah keluar daripada Malaysia untuk menjadi sebuah republik pada 9 Ogos 1965. Pada asalnya, Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena sambutan rasmi Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah. Bagaimanapun mulai tahun 2010, tarikh 16 September telah diiktiraf sebagai cuti umum bagi semua negeri di Malaysia.
Bulan Ogos dan September merupakan bulan bermakna bagi rakyat Malaysia di mana sejarah pahit getir yang telah diharungi oleh pejuang Tanah Melayu suatu ketika dahulu yang mempertahankan ibu pertiwi kembali menjadi imbauan. Adalah baik bagi pengunjung untuk melawati ke tempat-tempat yang berkonsepkan sejarah dan memahami kepentingan dan kelebihannya bagi mengambil iktibar daripada pelbagai kisah-kisah dan peristiwa terdahulu sebagai panduan dan pengajaran dalam usaha untuk menikmati kehidupan yang lebih harmoni.
Terdapat pelbagai tempat bersejarah dan menarik di Daerah Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Hulu Langat dan juga Hulu Selangor. Rebut peluang untuk melawati tempat-tempat bersejarah di Selangor bersama keluarga anda demi menghargai tokoh-tokoh negara Malaysia terdahulu. Berikut merupakan senarai tempat pelancongan sekitar Negeri Selangor yang boleh dikunjungi sewaktu cuti Hari Malaysia ini:
- ISTANA BANDAR JUGRA, KUALA LANGAT
Pada asalnya Istana Bandar ini merupakan Pusat Pemerintahan Kerajaan Selangor sejak lebih dari 100 tahun. Hampir kesemua struktur istana diperbuat daripada batu bata dan kapur, pintu dan tangga pula diperbuat daripada kayu cengal. Reka bentuk bangunan adalah dari seni bina tempatan dan kolonial British. Kini Istana Bandar ini dijadikan Galeri Diraja atau “living museum” untuk dilawati oleh pengujung malah dijadikan pusat pengajian Al-Quran oleh Jabatan Agama Islam Selangor. Kemasukan ke Istana Bandar adalah percuma dan ianya dibuka pada setiap hari.
- BUKIT MALAWATI, KUALA SELANGOR
Bukit Malawati merupakan Ibu Pejabat perang dan Kubu Kerajaan Kesultanan Selangor sejak abad ke-18 dimana pernah terjadinya pergaduhan antara Belanda, Johor dan Riau. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam dari Shah Alam untuk sampai ke Bukit Malawati dan anda dapat menikmati pemandangan yang menyenangkan merangkumi seluruh Daerah Kuala Selangor pada waktu matahari terbit dan terbenam. Selain itu, Bukit Malawati dipenuhi dengan monyet “Silver Leafed” yang mesra dimana pengunjung boleh memberi makanan kepada mereka. Terdapat juga kemudahan trem disediakan kepada pengunjung yang melawat pada hari minggu. Masuk adalah percuma dan bayaran dikenakan untuk menaiki trem di Bukit Malawati hanya RM3 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak kanak (3-12 tahun). Waktu operasi perkhidmatan trem dibuka pada pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang pada hujung minggu dan cuti umum sahaja.
- BUKIT BELANDA, KUALA SELANGOR
Dikenali sebagai Kota Ultrech sempena nama rasmi kapal Belanda semasa zaman penaklukan Belanda yang telah menewaskan Raja Haji Fisabilillah di Teluk Ketapang. Bukit ini juga merupakan kubu pertahanan Belanda yang pertama dan strategik kerana tempatnya yang tinggi dan mudah untuk melihat musuh dari jauh. Kini, berdekatan dengan Bukit Malawati, pengunjung juga boleh singgah dan melawati Bukit Belanda untuk bergambar dan melihat suasana nostalgia suatu ketika dahulu.
- BANDAR DIRAJA KLANG, KLANG
Dikenali sebagai salah satu bandar tertua di Malaysia, Klang kaya dengan sejarah, tradisi dan adat istiadat. Bandar ini bermula di tebing selatan Sungai Klang, yang terkenal di seluruh dunia dalam penghasilan bijih timah seawal abad ke-15. Klang menjadi ibu kota kerajaan sebelum ditukar kepada Kuala Lumpur. Tourism Selangor menyediakan pengalaman lawatan ke seluruh Bandar Klang dengan Program Royal Klang Town Heritage Walk Tour. Pelbagai keunikan dan keistimewaan boleh dirasai seperti menikmati kecantikan senibina bangunan bersejarah, menyelusuri premis perkhidmatan menilik nasib, lukisan, tekstil penenunan masyarakat India, dan pelbagai lagi. Selain itu, pengunjung juga boleh membeli buah tangan di sekitar kawasan Jalan Tengku Kelana atau dinamakan Jalan Little India. Dalam perjalanan itu kita juga dapat berinteraksi secara langsung dengan masyarakat Klang yang pelbagai agama dan bangsa yang ramah dan mesra.
- PANTAI MORIB, KUALA LANGAT
Pantai yang panjangnya sejauh 3 km menghadap Selat Melaka, merupakan sebuah tapak yang bersejarah penting sewaktu ketika dahulu. Pada tahun 1945, pantai ini merupakan simbol bagi tempat kedatangan tentera Inggeris ketika Perang Dunia Kedua untuk merampas Tanah Melayu dan menjadi tempat pertahanan daripada serangan Jepun sekaligus menandakan pengakhiran Perang Dunia Kedua di rantau ini. Sekarang, dengan mengambil masa 1 jam dari Kuala Lumpur, pantai ini telah menjadi tempat rekreasi untuk pengunjung bersantai, melakukan aktiviti riadah, berkhemah dan sebagainya.
- BANDAR KAJANG, HULU LANGAT
Pada zaman dahulu, Kajang merupakan kawasan penempatan suku kaum Temuan sejak tahun 1709. Batin Seri Alam merupakan seorang ketua yang berpusat di Kajang sebelum kuasanya ditundukkan oleh kuasa Sultan Johor kerana berada dibawah jajahan Johor ketika itu. Berhampiran dengan Sungai Langat, Bandar Kajang ini telah membangun dengan jayanya. Sungai Langat sangat penting kerana ia laluan utama dagangan dan pengangkutan hasil lombong bijih timah dan getah ke luar negara seperti ke negara Britain. Selain itu, Kajang juga terkenal dengan makanan Satay Kajang yang digemari oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
- KUALA KUBU BHARU, HULU SELANGOR
Kuala Kubu Bharu asalnya dikenali sebagai Kuala Kubu yang ditempatkan di bawah Pentadbiran Residen-Residen British antara yang terawal iaitu Presiden Frank Swettenham bersama J.P Rodger dan Edward Maxwell. Kuala Kubu menjadi pintu masuk ke Negeri Pahang ketika itu. Disebabkan banjir besar yang melanda, pihak British telah memindahkan Pusat Pentadbiran mereka ke Kuala Kubu Bharu pada 6 Mei 1931. Kuala Kubu juga pernah menjadi pintu utama bagi menghantar bekalan kepada pasukan Inggeris bagi menundukkan pemberontak. Sejak tahun 1994, Kuala Kubu Bharu kini telah menjadi bandar yang selesa dan pesat membangun. Kini, Kuala Kubu Bharu menawarkan aktiviti eko-pelancongan bagi penggemar aktiviti ekstrem seperti paragliding, white water rafting dan juga water tubing.
- KOTA RAJA MAHADI, KLANG
Terletak tidak jauh dari bangunan Majlis Perbandaran Klang, Kota Raja Mahadi ini dibina oleh Raja Mahadi bin Raja Sulaiman ketika kemuncak peperangan Klang iaitu pada tahun 1866. Peperangan Klang berlaku akibat perebutan kuasa untuk memerintah Daerah Klang antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh perubahan masa dan zaman, struktur bangunan yang tidak kukuh hanya meninggalkan pintu gerbang yang mana menjadi mercu tanda kekuatan empayar Raja Mahadi. Pengunjung boleh singgah di Kota Raja Mahadi ini berdekatan dengan Bangunan Sultan Alam Shah untuk bergambar dan melihat tinggalan pintu bersejarah ini.
- BANGUNAN TAN BOON CHIA, HULU SELANGOR
Bangunan Tan Boon Chia terletak di Rasa, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor yang merupakan kawasan Bandar yang dikenali sebagai tempat perlombongan biji timah yang menyumbang kepada sumber kekayaan. Bangunan bersejarah ini dibina pada tahun 1918 oleh seorang peniaga lombong yang bernama Tan Boon Chia. Bangunan ini mempunyai 51 buah bilik dan dijadikan sebagai markas pentadbiran sepanjang Tanah Melayu dijajah oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Bangunan ini kini hanya boleh dilihat dan diambil gambar dari luar premis dan pengunjung juga boleh melawat ke Bandar Rasa untuk beristirehat.
Untuk maklumat lanjut, sila emel ke: webmaster@mdhs.gov.my (Majlis Daerah Hulu Selangor)
Sumber: Terima Kasih Tourism Selangor
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita Ini Kongsi 8 Cadangan Tempat Best Di New Zealand Kena Terjah

New Zealand, negara indahnya dengan keadaan muka bumi luas dan gunung ganang yang memukau pandangan. Ramai yang menjejakkan kaki di New Zealand pasti bercadang untuk kembali lagi kerana masih ada banyak tempat yang perlu diteroka.
Ini sedikit perkongsian daripada saudari Nur Amanina Binti Shukor, cadangan mengenai lokasi wajib singgah ketika bercuti di New Zealand.
New Zealand dipilih sebagai lokasi percutian kerana ia terkenal dengan pemandangannya yang sangat indah, sesuai dengan tujuan percutian kali ini yang lebih kepada merehatkan minda serta lari sebentar dari kesibukan kerja.
Memilih syarikat penerbangan Malaysia Airline, saya serta beberapa ahli keluarga yang lain telah menempah tiket seminggu sebelum percutian dengan harga RM2600.00 seorang untuk perjalanan pergi balik Malaysia dan Auckland, New Zealand.
Kami berangkat dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada jam 11.20 malam. Perjalanan mengambil masa selama 10 jam dan kami selamat tiba di Auckland Airport, New Zealand pada jam 12.00 tengah hari. Dengan menaiki Super Shuttle atau van yang telah ditempah dari Malaysia melalui atas talian, kami bergerak ke rumah apartment di tengah bandar Auckland bersebelahan dengan Sky Tower. Harga perkhidmatan Super Shuttle adalah NZ$55, sedikit murah berbanding teksi NZ$70.
1. Mission Bay
Dengan mengikut itinerari yang disusun, kami pergi ke Mission Bay pada hari kedua dengan menaiki Uber berharga NZ$16. Perjalanan dari Auckland ke Mission Bay mengambil masa 15 minit sahaja. Ini merupakan salah satu tempat yang disyorkan sekiranya anda bercuti di New Zealand.
Pantai yang cantik, dengan pasir putih serta rumput yang kehijauan semestinya dapat memberi ketenangan jiwa. Di sini terdapat banyak pilihan kafe dan outlet makanan, kami tidak melepaskan peluang untuk menjamu selera di kedai Fish & Chips serta menikmati pencuci mulut, kek dan aiskrim. Setelah hampir seharian berada di sana, kami pulang semula ke Auckland untuk berehat.
2. Chrischurch
Hari seterusnya, kami berangkat ke Chrischurch menaiki Jetstar, dengan harga tiket lebih kurang RM400 seorang dan perjalanan mengambil masa 1 jam 40 minit. Setibanya di Chrischurch, kami menguruskan hal pengangkutan dengan menyewa campervan dari Syarikat Juicy dan terus bergerak ke Timaru yang mengambil masa 2 jam 30 minit.
Kami merancang untuk melakukan roadtrip dengan menggunakan campervan kerana ia merupakan cara yang paling efektif, dengan kemudahan yang disediakan seperti katil, meja makan serta dapur masak. Di Malaysia biasanya disebut sebagai caravan di mana ia adalah seperti kontena yang diubahsuai menjadi mini rumah, tetapi bezanya ia perlu ditarik menggunakan kenderaan.
3. Timaru
Kami memilih campsite Timaru Top 10 Holiday Park sebagai lokasi penginapan dan kami berasa seperti berada di rumah sendiri kerana kemudahan yang lengkap termasuklah bilik mandi, dapur, dobi dan lain-lain. Di sini, kami dapat berkenalan dan beramah mesra dengan pengunjung dari pelbagai negara. Masing-masing tidak dapat melelapkan mata pada waktu malam kerana suhunya yang mencecah -3 Darjah Celcius.
4. Queenstown
Dari Timaru, kami meneruskan perjalanan ke Queenstown yang mengambil masa selama lebih kurang 4 jam dengan menaiki van dan perkara yang paling menarik ialah kami telah melalui kawasan berbukit-bukau yang sangat indah, dengan tasik serta ladang biri-biri dan lembu yang terbentang luas.
Lokasi penginapan jenis standard cabin dipilih di Queenstown Top 10 Holiday Park, dimana penghuni di kabin ini harus berkongsi dapur serta tandas bersama pengunjung-pengunjung lain. Bagi sesiapa yang ingin memasak, anda tidak perlu risau kerana ruangan yang disediakan sangat luas dan bersih. Penghuni hanya perlu membawa peralatan memasak seperti kuali dan lain-lain.
5. Skyline Gondola
Queenstown adalah sebuah bandar yang dikelilingi tasik dan banjaran gunung yang indah dan antara tempat yang harus dikunjungi ialah Skyline Gondola. Ia boleh dikatakan seperti kereta kabel yang membawa pengunjung ke puncak bukit untuk melihat keindahan bandar Queenstown.
Harga Skyline Gondola adalah NZ$39 untuk seorang dewasa. Pemandangan yang kami lihat sepanjang menaiki gondola sememangnya tidak akan kami dapat lupakan kerana ia sungguh indah tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata.
6. Lake Tekapo
Keesokan harinya, kami bergerak ke Lake Tekapo dan perjalanan mengambil masa selama 3 jam. Lake Tekapo merupakan tasik kedua terbesar di New Zealand dan ia merupakan destinasi pelancongan yang popular kerana pemandangannya yang sangat cantik dan luar biasa dengan air tasik yang berwarna seperti cahaya kebiruan, tanah rumput yang cantik, serta kelihatan dari jauh gunung yang disaluti salji. Kami sekeluarga meluangkan masa bersantai di tepi tasik sambil menikmati keindahan suasana. Selepas hampir 2 jam berada di sana, kami pulang semula ke Chrischurch.
7. Geraldine
Dalam perjalanan dari Lake Tekapo ke Chrischurch, kami singgah di Geraldine yang merupakan sebuah perkampungan kecil terletak jauh dari kawasan bandar. Setibanya di pekan Geraldine, kami terus ke The Barker’s Shop iaitu kedai menjual pelbagai jenis jem, chutney, sos dan bermacam-macam lagi.
Sesuai lah untuk dijadikan sebagai buah tangan atau ole-ole apabila pulang ke Malaysia nanti. Setelah selesai membeli-belah, kami teruskan perjalanan ke Chrischurch untuk menetap di sana semalaman sebelum pulang ke tanah air.
8. Auckland
Sejak dari awal pagi lagi, kami telah bergerak ke Auckland dengan menaiki Jetstar dan setibanya di Auckland Airport, kami menunggu beberapa jam lagi untuk menaiki penerbangan ke Malaysia. Berat hati mahu meninggalkan negara sejuk ini, walaubagaimanapun kami pasti akan kembali lagi ke sana dengan membawa lebih ramai lagi ahli keluarga lain.
Selamat tinggal New Zealand, terima kasih untuk segala kenangan manis dan memori indah!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI