Nampaknya industri pelancongan dlam negeri kembali rancak apabila kerajaan baru-baru ini melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.
Justeru, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membenarkan tujuh aktiviti pelancongan utama di Langkawi sempena pembukaan semula pulau peranginan itu kepada pelancong tempatan pada 16 September ini.
MOTAC dalam kenyataan hari ini berkata, ia merangkumi kebenaran penginapan di hotel dan homestay termasuk semua fasiliti dalam premis hotel dan homestay (rumah inap), aktiviti perniagaan seperti mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran serta acara-acara pelancongan dan kebudayaan.
“Kebenaran juga diberikan untuk produk tarikan utama pelancong seperti aktiviti pantai, sukan air, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, sukan lasak atau pengembaraan (adventure) atau taman semulajadi (nature parks), ladang (farms), akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial.
“Aktiviti pelancongan minat khas seperti golf, selam skuba, berbasikal, memancing, pelayaran dan sebagainya juga dibenarkan,” menurut kenyataan itu.
Turut dibenarkan ialah aktiviti eko geo-kembara seperti berkhemah, mendaki, kembara gua, dan ‘jungle trekking’ dan sebagainya.
Premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat atau kampung seni warisan budaya, pementasan persembahan budaya dan lain-lain juga dibenarkan beroperasi.
Selain itu, turut dibenarkan beroperasi ialah taman tema dan pusat hiburan keluarga serta lawatan bersifat akademik seperti ke Geopark Discovery Center, Balai Seni dan Laman Padi.
Ads
MOTAC turut memaklumkan senarai itu bakal diumumkan secara lebih terperinci tertakluk kepada perubahan semasa.
Pada masa sama MOTAC juga sedang menyediakan pakej pelancongan yang lebih menarik untuk seluruh Keluarga Malaysia sebagai menghargai sokongan dalam merancakkan semula aktiviti pelancongan domestik apabila kebenaran diberikan kelak.
Selain itu, MOTAC juga akan sentiasa membuat pemantauan dan mengadakan beberapa lagi sesi libat urus dengan para penggiat industri pelancongan serta pemegang taruh berkaitan bagi meluaskan gelembung pelancongan ini secara berfasa. – BERNAMA
Info Tambahan:
– Bilangan perjalanan feri ke Langkawi akan ditambah bermula 16 September ini susulan pengumuman pembukaan semula pulau itu sebagai destinasi pertama projek perintis gelembung pelancongan domestik.
Ads
– Pelancong yang ingin mengunjungi Pulau Langkawi perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.
– Pelancong mempunyai pilihan untuk pergi ke Langkawi melalui jalan udara dan darat. Bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi.
– Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka ke Langkawi dari negeri Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan.
Ads
– Selain terhad kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin, antara SOP yang perlu dipatuhi pengunjung ialah ia mestilah percutian secara harian, bermalam, dengan tempahan penginapan atau tiket masuk yang dibuat lebih awal, percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan yang berlesen dan berdaftar dengan MOTA
– Tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke Pulau Langkawi dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang telah lengkap divaksinasi.
– Dalam masa sama, perlindungan insuran serta saringan COVID-19 juga adalah tidak diwajibkan.
Jaipur bandar yang sangat unik dan indah untuk dikunjungi para pelancong asing. Jaipur juga dikenali sebagai Kota Merah Jambu India yang tersimpan 1001 kisah. Jaipur mempunyai keunikan sejarah yang sungguh menarik, ditambah dengan unsur-unsur agama Islam dan Hindu pada seni bina serta budayanya.
Jaipur merupakan ibu negeri Rajasthan, utara India dan terletak dalam kawasan Segi Tiga Emas antara New Delhi serta Agra. Ia adalah bandar terancang pertama di India. Bandar tersebut terletak kira-kira 250 kilometer dari New Delhi dan menjadi pintu masuk kepada destinasi pelancongan lain di Rajasthan seperti Jodhpur dan Jaisalmer.
Jaipur sebelum ini pernah diasaskan Maharaja Jai Singh II, pemerintah Kerajaan Amer pada 18 November 1727. Seluruh bangunan Jaipur diwarnakan dengan warna merah jambu oleh Maharaja Man Singh II apabila Putera Wales, Edward VII melawat bandar tersebut pada 1876. Sehingga kini, satu undang-undang dikuatkuasakan supaya warna bangunan-bangunan ini dikekalkan, sesuai dengan jolokannya.
Ini antara destinasi tarikan menarik di Jaipur
Bangunan Hawa Mahal yang dilengkapi dengan 953 tingkap kecil merupakan monumen ikonik di Jaipur dan menjadi pilihan para pelancong untuk merakamkan kenangan di situ.
Salah satu tempat membeli-belah paling popular di Jaipur iaitu Sireh Deori Bazaar. Antara barangan yang menjadi pilihan para pelancong di sini ialah kain saree, pashmina dan kasut kulit.Jangan segan silu untuk tawar-menawar barang-barang yang dijual peniaga di sini.
Destinasi ini merupakan restoran bertemakan suasana perkampungan di Rajasthan. Choki Dhani merupakan destinasi tepat jika ingin merasai dan melihat sendiri keunikan penduduk Rajasthan. Selain menyediakan sajian tempatan, pelbagai tarikan lain ada di sini seperti kedai kraftangan, persembahan tradisi, permainan dan banyak lagi aktiviti menarik.
Jantar Mantar dan Amer Fort merupakan Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Di Amer Fort, pengunjung berpeluang menonton persembahan sejarah Rajasthan yang menampilkan pelbagai cahaya dan bunyi di sekitar kubu yang terdapat di situ bermula jam 6.30 petang.
Jangan lepaskan peluang menaiki belon udara panas di perkampungan Samode. Aktiviti ini beroperasi setiap hari seawal jam 6 pagi. Dari ketinggian atas belon udara panas, pengunjung berpeluang melihat Amer Fort dan matahari terbit pada ketinggian 3,000 kaki di udara selama satu jam.
Menariknya di Nahargarh Fort terdapat Muzium Patung Lilin dan Taman Ukiran. Di Muzium Patung Lilin, pelbagai replika patung tokoh-tokoh terkemuka dunia ditempatkan, antaranya ialah Albert Einstein; pemain kriket India, Sachin Tendulkar, Jackie Chan dan Lionel Messi.
Sheesh Mahal merupakan istana cermin pertama di dunia. Ruangan dalaman Sheesh Mahal dilengkapi dengan pelbagai jenis cermin berkualiti tinggi yang memperlihatkan kemewahan istana ketika di zaman Dinasti Rajputana.
Chand Baori merupakan lokasi terletaknya telaga purba berusia 1,200 tahun. Chand Baori terletak bertentangan dengan Kuil Harshat Mata di Kampung Abhaneri. Dianggap sebagai salah satu telaga paling dalam di India dengan kedalaman mencecah 30 meter, Chand Baori berperanan membekalkan air kepada penduduk kampung ketika musim kemarau pada 1,200 tahun dahulu. Uniknya mengenai Chand Baori ialah ia mempunyai 3,500 anak tangga di setiap sisinya.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Kebenaran rentas daerah dalam negeri yang kita tinggal sudahpun dibenarkan sejak minggu lalu.
Jadi kesempatan yang ada memberi peluang untuk bercuti kawasan sekitar dengan memilih menghayati keindahan alam semulajadi ciptaan Tuhan.
Seperti perkongsian Syapik Hassan dari Grup Backpackers Buddies Malaysia yang memilih bersama keluarga untuk masuk hutan yang jauh dari kesibukan kota bagi menenangkan fikiran.
Leka menyaksikan keindahan alam sambil melihat sungau mengalir dan mendengar bunyi ungas dan serangga.
Menurutnya pelbagai kemudahan disediakan pemilik tempat dan kebanyakan bilik disewa pada kadar berpatutan.
Glamping Pinang Sebatang – Warga Selangor/KL nak bercuti tapi tak boleh rentas negeri?
Dah lama aku tak masuk hutan, jauh dari kota, tenangkan fikiran. Sambil tengok sungai mengalir, dengar bunyi unggas dan serangga.
Fuuhhh… Damai dia lain macam. Aku tak reti nak explain satu persatu pengalaman aku kat Glamping Pinang Sebatang ni, tapi aku post beberapa gambar. Dan pada setiap gambar tu, aku explain kat description, korang bacalah supaya korang lebih faham dan rasa teruja.
Apa fasiliti yang ada kat Glamping Pinang Sebatang ni?: – 3 tandas – 3 pondok – setiap pondok muat 8 dewasa – 1 pondok Hammock siap dengan 12 unit hammocks – Pondok makan – Dapur complete with gas – Pinggan (pinggan bunga zaman dulu) – Cawan/gelas – Cerek – Periuk – Pisau and other cutleries – Bbq pit (arang kena bawa sendiri dan jaring pun recommended bawa sendiri for hygiene purposes) – Buaian tepi sungai
Info Tambahan: – Bila malam, Glamping ini diterangi banyak lampu diseluruh tempat dengan power dari Generator Set (pakai minyak). – Kat mana Glamping Pinang Sebatang ni? Kat Kuala Kubu Bharu jer. Sesuai la bagi korang yang duk Selangor atau KL yang tak dapat rentas negeri tu! Kaaann?? – Better korang amik cuti dan sewa hari weekdays, sebab weekend biasanya fully booked. – Korang tanya la dia bila slot available. Korang cuba la pergi hari weekdays, takut weekend selalu penuh. Amik cuti 3 hari 2 malam pun jadi la. Satu pondok RM350 untuk 2 malam (rate weekdays) boleh kongsi 8 orang. – Untuk info, kalau nak stay sini, minimum kena sewa satu pondok (total ada 3 pondok dan 1 pondok makan) dengan harga: – Weekdays – RM200 per night or RM350 for 2 nights. (harga untuk 1 pondok) Weekends (Fri and Sat night) – RM300 per night or RM450 for 2 nights. (harga untuk 1 pondok) – Tapi the best way korang sewa seluruh tapak tu untuk family korang dengan harga RM1000 per night or RM1500 for 2 nights so that takde orang lain kat area tu yang sharing dengan korang (harga weekdays RM600 per night or RM1200 for 2 nights). – Sesuai untuk family or friends reunion/gathering
– Apa-apa korang boleh hubungi: 0122002595 – Rizal Khalif
Pulau Langkawi tidak perlu diperkenalkan lagi. Destinasi ini sememangnya lokasi pelancongan negara yang terulung bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa. Umum mengetahui keindahan dan kemasyhuran pulau peranginan itu membuatkan ia sering menjadi bualan dan mendapat banyak pengiktirafan.
Boleh dikatakan ramai rakyat Malaysia sudah menjejakkan kaki di tanah yang terkenal sejarah kisah Mahsuri ini. Begitu juga dengan pelancong asing, rata-rata yang datang ke Malaysia pasti mempunyai kenangan tersendiri bercuti di Langkawi.
Kalau sebelum ini, Langkawi sudah pasti menjadi lokasi saban tahun yang akan penulis
kunjungi dan terasa dekat di hati. Namun, jujur penulis katakan hampir tiga tahun tidak
menjejakkan kaki di Langkawi, bukan tidak mahu tapi tidak berkesempatan. Namun jauh sekali melupakan pulau kesayangan Perdana Menteri kita sekarang ini.
Berkesempatan menjelajah Pulau Langkawi baru-baru ini selepas hampir tiga tahun tidak menjengah, penulis melihat ada banyak produk pelancongan yang baru dan lama sedang rancak berjalan menunggu kunjungan pelancong. Percutian penulis lima hari di pulau jolokan bebas cukai atau syurga membeli-belah ini memang cukup puas dan begitu berbaloi.
Nah! Ini cadangan aktiviti dan lokasi penginapan yang boleh anda lakukan ketika bercuti di
Langkawi.
Tidak basah, tidak sah lah percutian anda di Pulau Lagenda ini. Pernah dengar atau tidak ada sebuah pulau umpama syurga dunia berada di Langkawi? Haa..pulau yang dikenali sebagai NAAN Paradise 101, merupakan pulau persendirian untuk anda lakukan pelbagai aktiviti air atau pantai. Pulau ini hanya boleh diakses menggunakan perkhidmatan bot khas di Jeti Telaga Harbour Marina bermula dari jam 10 pagi hingga tengah malam setiap hari.
Antara pakej dan aktiviti yang disediakan adalah mencuba permainan air di Aqua Park, Banana Boat Ride, Parasailing, snorkel atau hanya beristirahat. ‘Pulau Syurga’ ini juga bersedia menerima tetamu yang ingin mengadakan majlis sambutan hari lahir, perkahwinan atau majlis berskala besar.
Island hopping adalah aktiviti wajib dilakukan di Langkawi. Rutin bagi aktiviti ini adalah menaiki bot laju dan berhenti dari pulau ke pulau. Namun, jika ingin kelainan dalam percutian anda, pilih untuk lakukan island hopping menggunakan pengangkutan air jet ski yang disediakan di Mega Water Sport. Paling best island hopping yang berdurasi 4 jam tidak terasa dek keseronokkan mengendalikan jet ski ini ketika membelah lautan.
Bukan itu sahaja, malah dengan menggunakan jet ski anda lebih mudah untuk di bawa ke lokasi lebih menarik yang susah diakses jika menggunakan bot. Tidak pernah membawa jet ski? Jangan risau, seorang staf terlatih akan membantu dan menemani anda sepanjang trip ini. Sebelum aktiviti bermula, anda akan diberikan sedikit taklimat, praktikal mengendalikan jet ski, keselamatan dan kelengkapan seperti kasut serta beg kalis air.
Di Langkawi, antara tarikan yang sudah lama di praktikan di sini adalah pengalaman merasai dan menaiki ‘Sunset Cruise’. Anda boleh dapatkan perkhidmatan daripada Fantastic Tour Services yang dilengkapi pakej makan malam pada waktu petang hingga ke malam. Sambil dihidangkan menu enak yang disediakan di atas kapal, mata anda pasti tidak henti menyaksikan keindahan alam dan lautan terbentang luas dari bahagian deck atas kapal.
Ternyata ia satu detik yang mengujakan dan sukar didapati di tempat lain. Anda juga boleh membawa pakaian bersesuaian sekiranya mahu merasai pengalaman jakuzi asli air laut yang disediakan di bahagian belakang bot cruise. Perjalanan lebih tiga jam mengelilingi lautan dan kemuncaknya adalah ketika menyaksikan matahari terbenam yang sangat mengasyikkan.
Kereta Kabel Langkawi terletak di Gunung Mat Chinchang adalah destinasi wajib cuba di Langkawi. Dari sini anda berpeluang melihat panorama gunung batu kapur zaman geologi Cambrian yang berusia 500 juta tahun. Jika cuaca baik, hampir keseluruhan Pulau Langkawi dapat dilihat dengan jelas dari aras tinggi.
Di sini terletak sebuah jambatan gantung berketinggian 100 meter yang boleh menampung 250 orang dalam satu masa menjanjikan pengalaman unik kerana dikelilingi gunung-ganang menghijau.
Selesai menaiki kereta kabel dan sebelum berlepas balik, jangan lupa untuk berkunjung ke Muzium 3D dan singgah ke premis Sri Kandi. Di sini anda berpeluang untuk mencuba pelbagai pakaian tradisional berserta aksesori sambil mengambil gambar kenang-kenangan di setiap sudut bangunan ini.
Bagi yang gemar mencabar stamina destinasi ini adalah pilihan terbaik buat anda kerana bentuk landskap pusat rekreasi itu yang berbukit menjadikan aktiviti mendaki lebih mencabar. Namun, cabaran mendaki ke platform lebih tinggi berbaloi kerana pengunjung diberi ganjaran dengan mencuba aktiviti ‘flying fox’ selepas mendaki dan ia memberi kepuasan dan keseronokkan serta lebih relaks.Pusat rekreasi ini bukan saja menawarkan aktiviti lasak, malah bagi mereka yang gemar menikmati alam semula jadi, ia pasti memberi pengalaman unik.
Pengakuan ikhlas daripada penulis, taman buaya di Langkawi ini adalah paling menarik yang pernah dikunjungi. Taman buaya ini begitu teratur dan kolam- kolam yang disediakan untuk setiap reptilia ini sangat bersih. Anda boleh melihat haiwan- haiwan di sini terjaga dengan begitu baik dan bebas bergerak dengan aktif. Terdapat sebuah pertunjukan buaya ‘giant’ yang penuh mendebarkan pada setiap hari mengikut masa tertentu. Tarikan paling menarik bagi penulis di sini pengunjung berpeluang untuk memberi anak-anak buaya makan seakan aktiviti memancing. Walaupun hanya anak buaya, tetapi rentapan setiap ekor daripada haiwan ini cukup kuat ketika sesi ini berlangsung.
Pengujung juga diberi kesempatan untuk bergambar dengan buaya sebenar. Uniknya, mulut buaya di sini langsung tidak diikat sebagaimana dilakukan di taman-taman buaya lain di seluruh dunia. Bagi pengurusan taman buaya ini, mengikat mulut buaya melanggar hak asasi haiwan tersebut. Terdapat juga pelbagai produk yang dihasilkan daripada kulit buaya yang dijual di sini.
Taman hidupan liar ini merupakan lokasi ideal untuk membawa keluarga bersiar-siar. Di sini menempatkan pelbagai jenis binatang dan spesies burung dari seluruh dunia. Antaranya adalah burung merak dan kakak tua. Pengunjung juga diberi peluang untuk memberi makan dan berinteraksi dengan haiwan yang ada di sini.
Paling unik terdapat sebuah kolam yang menempatkan puluhan ikan koi yang makan menggunakan botol susu. Bunyi semacam pelik bukan? Tapi itu yang boleh anda lihat di sini. Di luar kawasan pintu masuk terletak sebuah lokasi khas untuk pencinta kucing. Anda boleh masuk dan bermain dengan haiwan comel ini sepuas hati.
Aktiviti melihat paya bakau banyak dilakukan di negara kita. Penulis sendiri sudah banyak kali berpeluang mengikuti aktiviti ini, tetapi percayalah anda bakal jatuh cinta apabila mengambil pakej ini di sini. Lain daripada yang lain. Bukan sekadar melihat tumbuhan paya bakau semata-mata, tetapi anda di bawa untuk mengimbas sejarah peradaban lampau dan mengenali geografi negara anda dengan lebih lagi seperti Pulau Kubang Badak, Bukit Menora, Sungai Siam, Gua Pinang, Pulau Jemuruk dan Tanjung Buta. Anda akan di bawa untuk melihat lokasi pra sejarah di Bukit Menora.
Lokasi ini merupakan penempatan awal penduduk Siam pada abad ke-18 dan dikatakan sangat masyhur dan terkenal. Anda masih berpeluang melihat tapak kebuk arang lama yang dijumpai di Kampung Siam berusia lebih 100 tahun. Dalam trip ini juga, anda akan dibawa ke Gua Pinang iaitu tinggalan gua laut kuno yang terbentuk oleh proses ombak sekitar 6000 tahun lalu. Di sini terdapat banyak longgokan cengkerang kerang dan tiram pada dinding gua.
Galeri Perdana juga cukup sinonim dengan Langkawi. Galeri ini menempatkan pelbagai hadiah pemberian rakyat, ketua negara asing dan pemain pelbagai industri tempatan dan luar negara kepada Tun Dr Mahathir Mohamed ketika bergelar Perdana Menteri keempat dan ketujuh. Semua pemberian itu diterima ketika beliau memegang jawatan berkenaan pada 1981 hingga hingga kini.
Galeria Perdana bukan saja menyimpan pelbagai barangan atau cenderahati Perdana Menteri kita, malah ia antara lokasi terbaik untuk melihat hasil seni dan warisan dari seluruh dunia yang dihadiahkan kepada kita, rakyat Malaysia. Disebabkan cenderahati yang diterima terlampau banyak, maka pihak galeri tidak dapat untuk mempamirkan kesemuanya sekaligus. Dalam setahun, sebanyak tiga kali barang-barang di dalam galeri ini akan bertukar dari sebesar-besar jet pejuang hingga sekecil-kecil batu jed.
Bagaikan tidak lengkap apabila berada di Pulau Langkawi sekiranya tidak menjejaki sejarah silamnya di Kota Mahsuri. Rasanya semua mengetahui sejarah lampau Langkawi yang dikatakan disumpah oleh Mahsuri selama tujuh keturunan. Jangan lepaskan peluang menonton teater Mahsuri, menziarahi makam dan merakamkan gambar kenangan di binaan replika rumah serta mengenali sejarah jelitawan yang mati dibunuh akibat fitnah itu di Kompleks Kota Mahsuri.
Di sini terdapat sebuah perigi digelar Telaga Mahsuri dikatakan lokasi Mahsuri untuk membersihkan diri dan membasuh pakaian. Telaga ini dikatakan tidak pernah kering sejak dari dahulu walaupun ketika musim kemarau. Khasiat dari air telaga ini dikatakan mampu menyembuhkan masalah kulit dan memberi kesan awet muda.
Selama penulis mengenali Langkawi, sekali pun tidak pernah jejak ke sini. Selepas meninjau sendiri lokasi ini, bagi penulis satu kerugian besar jika pelancong yang datang ke Langkawi tidak berkesempatan ke Kompleks Kraf.
Kompleks Kraf Langkawi merupakan salah satu destinasi membeli-belah utama pelancong yang mecari produk kraf keluaran tempatan. Sememangnya tidak rugi untuk dikunjungi kerana terdapat pelbagai daya tarikan jualan hasil kraf setempat termasuk batik, anyaman, ukiran kayu dan logam, seramik serta aneka kraf lain.
Kompleks berkenaan juga mampu membuatkan pengunjung teruja dengan pelbagai persembahan dan aktiviti sampingan. Pada waktu tertentu, pengunjung juga boleh cuba lakukan sendiri pelbagai tutorial kraf seperti mencanting batik, menganyam tikar, membuat kuih tradisional dan banyak lagi.
Terdapat pelbagai pilihan penginapan di Langkawi daripada hotel berstatus mewah, inap desa (homestay) dan bilik kembara yang menawarkan kemudahan dan keistimewaan menarik kepada pengunjung yang ingin menikmati percutian santai dan menyeronokkan. Jika anda suka percutian yang lebih ‘havoc’ dan meriah di tepian pantai, anda boleh memilih lokasi di Pantai Chenang. Manakala, jika inginkan penginapan ditengah pekan Langkawi atau kawasan tumpuan membeli-belah, anda boleh memilih untuk menginap di Kuah.
(Pantai Chenang)
(Pekan Kuah)
Jom! cuti-cuti Malaysia..
Terima kasih pihak Persatuan Pelancongan Langakawi (LTA) & Lembaga Pembangunan Langkawi.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Kala liburan, makanan adalah salah satu cara untuk mengenali dengan lebih dekat sesebuah budaya. Setiap satu menu yang dicuba menjadi manifestasi rasa lantas mengisi...