Foto & Teks : Nadzirahata

Republik Filipina merupakan sebuah negara kepulauan yang terletak di bahagian barat Lautan Pasifik dan terletak kira-kira 100 kilometer dari tanah besar Asia. Kami telah merancang untuk ke Filipina setelah melihat beberapa keping gambar pulau dan aktiviti yang menarik yang dikongsi oleh sahabat kami semasa melawat ke sana.

Perjalanan aku bersama 4 orang sahabatku iaitu Mustakim, Atiqah, Zuliana dan Azelenda dari Kuala Lumpur International Airport menuju ke Mactan Cebu International Airport mengambil masa selama 4 jam. Tiket kapal terbang Air Asia kami beli dengan harga RM450 (return) termasuk luggage dan makanan.

Sampai di Mactan Cebu International Airport, anda boleh dapatkan simcard Globe dengan harga 400peso untuk 7 hari. Waktu di Filipina dan Malaysia adalah sama. Cuma di sini paginya awal dalam pukul 5.00 hari dah cerah dan sekitar pukul 6.00 petang sudah gelap. Sama seperti di Sabah.

Kemudian, kami mengambil van menuju ke Alegria yang mengambil masa 4 jam perjalanan. Keadaan trafik di bandar Cebu agak sesak. Pemanduan di sini adalah ‘ Left side driving’. Walaupun kami tidak memandu sendiri, tetapi terasa agak janggal dan menakutkan pemanduan di sebelah kiri ini! Kami telah memilih untuk check in di D ‘Alegre Travellers Inn yang berdekatan dengan Badian iaitu tempat untuk aktiviti pertama kami esok pagi.

Disebabkan di Filipina agak sukar untuk mendapatkan makanan halal, kami telah membawa satu beg yang penuh dengan makanan dari Malaysia. Kami telah beli biskut, milo 3 in 1, tuna, maggi, pek makanan segera Brahims dengan pelbagai perisa seperti nasi goreng, nasi briani, beserta lauk ikan bilis dan rendang segera sebagai bekalan selama seminggu.

Aktiviti pertama kami adalah Canyoneering Adventure di Kawasan Falls. Pakej aktiviti ni berharga 2400peso seorang. Kami menaiki habal-habal untuk menuju ke Badian. Habal-habal ni telah diubah suai dan boleh memuatkan sehingga 3 ke 4 orang untuk sebuah motosikal. Fuhhh, naik habal-habal pun sudah membuatkan adrenalin kami mengalir deras seperti menaiki motorcross! Rider membawa motor dengan agak laju dengan keadaan jalan yang tidak rata di kawasan berbukit membuatkan aku yang duduk di belakang dan memegang ‘Gopro’ hampir tercampak! Jadi berhati-hatilah dengan memegang besi motor tu kuat-kuat. Tak pun peluk je kawan korang yang kat depan tu erat-erat! Hahaa

IKLAN

Untuk permulaan aktiviti ni, anda perlu hiking lebih kurang 30 minit untuk menuju ke kawasan sungai. Perlu diingatkan untuk memakai kasut atau sandal yang selesa dan bawa beg kalis air kerana aktiviti ini keseluruhannya melibatkan air. Perasaan kami sungguh teruja kerana air sungai di sini berwarna biru jernih! Aktiviti meredah kawasan air terjun ni mengambil masa sehingga 4-5 jam. Kami perlu melakukan aktiviti ‘free jumping’ dari tebing sungai untuk ke next check point! Tapi kalau rasa tak berani nak terjun boleh skip jer di beberapa tempat. Pitstop terakhir di ‘Kawasan Fall’ ialah aktiviti main rakit buluh bersama pakej ‘massage’ lalu di bawah air terjun yang biru! Sebenarnya rasa sakit badan bila kena hempap dengan air terjun yang sangat deras tu! Walaupun aku spesies yang gayat teruk nak terjun tiruk, tapi keseluruhanya aktiviti ni memang sangat mencabar dan seronok! Hasilnya sehingga sandal aku dan Zuliana, barai dan putus bila habis aktiviti ni! Hahaa

Dah habis aktiviti ni, kami terus menuju ke Dalagutte menaiki Jeepney. Perjalanan mengambil masa sejam melalui kawasan gunung ganang. Kami ingin mendaki ke puncak tertinggi di Cebu iaitu Osmena Peak. Tapi disebabkan hujan lebat, kami hanya sempat mendaki sedikit sahaja kemudian terpaksa turun semula ke bawah dengan trek yang licin dan perasaan hampa. Jadi untuk anda yang bercadang untuk datang ke Cebu, pastikan datang pada awal tahun. Kami datang pada awal bulan Julai ni dah start musim hujan jadi banyak aktiviti yang tergendala. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Oslob yang mengambil masa sejam melalui kawasan perkampungan. Kami check in di Lagnason’s Place untuk 2 malam.

Hari ketiga di Filipina, kami akan melakukan aktiviti berenang bersama ‘Whaleshark’! Bayaran yang dikenakan adalah 1000peso seorang dan masa yang diberikan 30 minit untuk snorkeling dan berenang bersama ikan paus jerung! Sebelum turun ke laut, semua pengunjung diberi taklimat keselamatan kerana ia melibatkan nyawa pengunjung dan juga ikan-ikan tersebut. Kami dibawa ke tempat “Whaleshark’ yang hanya 200 meter dari persisiran pantai menggunakan bot nelayan yang kecil. Walaupun perjalanan hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit tapi air lautnya sangat dalam. Perasaan memang sangat teruja dapat jumpa whaleshark yang sangat besar depan mata dan juga agak takut kalau dia gigit! Hahaa..

‘AWESOME ADVENTURE’ TRIP DI FILIPINA
Berenang dengan whaleshark ni memang wajib di Filipina! Whaleshark isangat ‘gentle giant’

Kami kemudian meneruskan perjalanan ke Sumilon Island untuk aktiviti snorkeling dan bersantai di pulau kecil ni. Jarak untuk ke Sumilon Island lebih kurang setengah jam dengan menaiki bot. Tapi disini tak banyak ikan pun. Tapi ada ‘white shark’ dan juga ikan nemo. Setelah puas bersantai, kami kemudian pergi ke kawasan heritage di Oslob. Filipina mempunyai pengaruh keagamaan, kebudayaan dan cara hidup yang kuat dari negara Sepanyol dan Amerika Syarikat memandangkan telah dijajah selama hampir empat abad oleh kuasa besar tersebut. Negara ini juga mendapat nama Philippines (Filipina) dari penjajah Sepanyol yang mengambil nama raja mereka pada ketika itu iaitu, Raja Philip II. Kawasan peninggalan disini terdapat banyak gereja dan kubu-kubu lama. Penduduknya juga majoriti menganuti agama Kristian.

IKLAN

Esok pagi, kami check out dari hotel dan menaiki bot menuju ke Bohol. Perjalanan mengambil masa selama 2 jam 30 minit. Sampai di Bohol, kami check in di Hillview – Holiday House di Dauis, Panglao untuk 2 malam. Petang tu, kami mengambil pakej berharga 1500peso untuk berjalan di sekitar Panglao dengan menaiki van . Tempat yang kami pergi adalah masuk ke dalam gua dengan air yang jernih di Hinagdanan Cave, melawat Nova Shell Muzium, heritage church, makan aiskrim yang sedap di Bohol Honeybee dan membeli barangan souvenier.

Hari kelima, kami akan berjalan lagi di sekitar Bohol dengan pakej Bohol tour berharga 3200peso. Tempat yang kami pergi adalah ‘The Blood Compact Shrine Monument’ iaitu tugu peringatan semasa perjanjian di antara Filipina dan Sepanyol, dan Bohol Butterfly Bonsai Garden. Kemudian, aktiviti yang ditunggu-tunggu iaitu menaiki Superman Zipline di Loboc Ecotourism Adventure Park. Tetapi cuaca pada hari tu hujan lebat, jadi kami terpaksa menunggu lebih kurang dua jam sehingga hujan reda. Kami telah mengambil pakej combo one way zipline dan cable car dengan harga 500peso seorang termasuk gambar. Memang terbaik zipline ni! Rasa macam superman dapat terbang di udara! Hahaa

Aktiviti seterusnya, kami menaiki ATV dan Buggy ride ke kawasan Chocolate Hills! Harga 500peso seorang. Memang best pengalaman naik ATV dan pandu Buggy ride masuk ke dalam kawasan hutan dan meredah lumpur offroad! Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke puncak bukit untuk menikmati pemandangan indah taburan 1260 bukit di sekitar Chocolate Hills. Memang cantik! Kami perlu mendaki lebih kurang 200 anak tangga. Aduh, semput juga! Hahaa. Nama bukit ni diberi seumpamanya kerana jika dilihat pada musim kering, rumputnya akan berwarna coklat dan bentuk bukit separuh bulat ni seakan coklat kisses!

Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Chocolate Hills Adventure Park. Disini terdapat pelbagai aktiviti ekstreme yang menarik dan mencabar fizikal. Tapi kami nak cuba satu aktiviti jer iaitu Bike Zipline. Harganya 550peso seorang termasuk gambar. Nak naik ni, kami perlu mendaki tangga dan juga menara setinggi lima tingkat. Perasaan semasa mengayuh basikal di udara, fuhhhhh….. sangat gayat dan mencabar! Memang menggigil kaki dan lutut beb! Macam dah kayuh laju-laju tapi tak sampai-sampai! Hahaa. Jarak untuk mengayuh lebih kurang 550meter (ulang alik) dan tinggi lebih kurang 100 kaki! Memang ketaq abih! Sesiapa yang mempunyai masalah sakit jantung dan darah tinggi tak digalakkan la buat aktiviti ni!

IKLAN

Seterusnya, kami ke Tarsier Conservation di Loboc. Tarsier ni adalah spesis kera hutan yang semakin pupus di dunia. Tarsier ni sebenarnya adalah haiwan yang pemalu. Jika ia rasa terganggu, dia akan cepat stress. Bila dia stress, dia akan bunuh diri dengan menghantukkan kepalanya! Huhh, agak psycho disitu! Jadi jika anda ingin datang ke sini, walaupun sangat teruja tengok Tarsier yang sangat kecil dan comel ni, tapi anda tak boleh bercakap dengan kuat dan bising, tak boleh ada flash dari kamera dan juga bunyi telefon. Jangan anda pula yang stress ye! Hahaa

Kemudian, kami akan melalui Man-Made Forest iatu 2KM jalanraya yang dikelilingi hutan buatan manusia. Sebenarnya, ia adalah projek untuk menyuburkan semula hutan setelah berlaku deforestation yang kronik akibat penebangan dan pembakaran hutan yang dipanggil ‘Kaingin’ yang dilakukan oleh penduduk tempatan untuk mencari perlindungan semasa zaman perang dunia ke 2. Jenis pokok yang ditanam ialah red & white Mahogany trees. Nak ambil gambar di sini perlu berhati-hati kerana ada banyak kenderaan yang lalu lalang.

Hari ke enam di Filipina, kami ke Balicasag Sea Tour dengan pakej berharga 5500peso. Pukul 6.00 pagi kami dah keluar dari hotel untuk menuju je Balicasag Island. Kami keluar awal pagi dengan harapan untuk melihat ikan dolphin yang sedang berenang-renang di tengah lautan. Tapi malangnya, tiada seekor pun ikan dolphin yang kelihatan! Mungkin tiada rezeki kami. Kami sampai di Balicasag Island pada pukul 8 pagi. Di sini memang pulau yang sangat cantik untuk snorkeling bersama penyu dan ikan yang terdiri dari pelbagai spesies! Terumbu karang disini juga sangat indah! Kemudian kami singgah di Virgin Island. Virgin Island ini sangat unik dengan air yang sangat jernih! Airnya tenang dan cetek! Jadi peniaga membuka gerai dan menjual didalam air laut! Kami minum air kelapa sambil berenang di laut! Heaven!

Selepas habis tour, kami bersiap dan bergegas menuju ke Tagbilaran untuk menaiki Feri menuju semula ke Cebu. Perjalanan feri mengambil masa selama 1 jam 45 minit. Malam tu kami check in di South East Aurora Condominium Tower.

Hari ketujuh, kami berjalan di sekitar bandar Cebu. Kami singgah di SM Mall untuk membeli barangan cenderahati di Island Souvenier. Tengahari kami lepak di 7 Eleven sambil makan Mamee Chef Curry Laksa bagi mengisi perut yang sudah berkeroncong! Jenama Mamee jer yang kami rasa halal sebab ia satu-satunya produk makanan mee segera dari Malaysia yang ada di jual di Filipina ni. Kemudian kami ke Ayala Mall untuk last minute shopping. Kami singgah di Persian Palace, iaitu restoran makanan arab untuk makan roti nan dan kebab.

Hari kelapan, flight pulang ke Malaysia! Jangan lupa sediakan duit untuk bayar airport tax sebanyak 750peso di Mactan Cebu International Airport. Total kos hangus perbelanjaan kami sepanjang 8 hari di Cebu, Bohol dan Oslob termasuk tiket penerbangan pergi balik adalah lebih kurang RM1500 seorang. Kesimpulannya, Filipina menawarkan view pantai, sungai dan air terjun dengan air yang sangat jernih dan biru! Aktiviti disini memang sangat best, mencabar dan awesome untuk anda yang gemarkan adventure! Mabuhai Pinoy, Salamat!

Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI