Pandemik yang melanda global dan Malaysia amnya telah memberikan impak cukup besar kepada ekonomi. Di antara sektor yang paling terkesan ialah industri pelancongan. Di negeri Selangor, kesan tersebut sangat dirasai oleh mereka yang aktif di dalam industri tersebut.
Namun kerajaan Selangor tidak mengenepikan mereka yang sangat terkesan. Jika tahun sebelumnya, Kerajaan Negeri Selangor telah menyalurkan bantuan sebanyak RM 2.6 juta kepada industri pelancongan menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor 2020, tahun ini terbit sinar baharu untuk penggiat industri pelancongan Negeri ini dengan pelaksanaan insentif-insentif yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor pada 9 Jun 2021.
Y.B. Tuan Hee Loy Sian, EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor
Pakej Kita Selangor 2.0 yang memperuntukkan sebanyak RM 2.55 juta kepada industri pelancongan Negeri Selangor merangkumi Geran Bantuan Kewangan Program atau Aktiviti Pelancongan Negeri Selangor berjumlah RM 1 juta, Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 berjumlah RM 1 juta, Program Latihan Pembelajaran Pendigitalan Pelancongan Negeri Selangor dengan kos sebanyak RM 300,000.00, serta Bantuan Kewangan “One-Off” kepada 17 Persatuan Pelancongan di Negeri Selangor dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 255,000.00.
Ads
Pihak Tourism Selangor pada Rabu telah menganjurkan satu Sesi Penyerahan secara maya melibatkan salah satu insentif Pakej Kita Selangor 2.0 untuk industri pelancongan, iaitu bantuan kewangan secara “one-off” kepada 17 Persatuan Pelancongan di Negeri Selangor.
ZOOM – Bantuan One-Off Pakej 2.0 Selangor.v1
Majlis yang disiarkan secara langsung menerusi laman media sosial rasmi Facebook Tourism Selangor telah disempurnakan oleh Y.B. Tuan Hee Loy Sian, EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor.
Ads
Barisan tetamu kehormat yang lain terdiri dari Tuan Azrul Shah Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor dan Tuan Ishak Maulan, Penolong Pengarah, Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Negeri Selangor, dengan disertai wakil penerima dari 17 Persatuan Pelancong Negeri Selangor yang diraikan.
Majlis livestreaming Penyerahan Bantuan One-Off.v1
Y.B. Tuan Hee Loy Sian dalam sebuah kenyataan berkata; “Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri Selangor, agar insentif yang disalurkan kepada 17 Persatuan Pelancongan Negeri Selangor ini akan dapat sedikit sebanyak membantu membangunkan semula industri pelancongan Negeri ini.
Diharapkan juga, insentif ini akan dapat memberi peluang kepada pihak Persatuan Pelancongan untuk terus memberikan sokongan kepada ahli-ahli mereka. Hal ini tentunya bagi menjamin kelansungan industri pelancongan Negeri, seterusnya menyokong Kempen Pusing Selangor Dulu yang sedang giat dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui pihak Tourism Selangor”.
Kempen Pusing Selangor Dulu memberi penekanan kepada inisiatif promosi pelancongan domestik dengan melibatkan usahasama dengan penggiat industri pelancongan seperti pihak Hotel, Agensi Pelancongan, Media dan Syarikat Penerbangan. Tarikan pelancongan Negeri Selangor dijangka akan dapat dipromosikan secara lebih meluas menerusi Kempen ini yang giat dijalankan di laman digital dan media sosial rasmi Tourism Selangor dengan tandapagar #PusingSelangorDulu.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Selain mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati di Melaka, kat sini juga ada pilihan destinasi untuk menginap bersama keluarga. Ada hotel, villa, homestay dan banyak lagi.
Kalau nak bermalam di villa dengan tema-tema yang menarik boleh ke Villa D’Faro A’Famosa Resort Melaka.
Paling terbaru mereka mempunyai pilihan villa dengan tema Hello Kitty yang comel. Lengkap dengan kolam renang dan BBQ pit, villa ini mempunyai 3 bilik yang cukup besar untuk memuatkan keluarga anda.
Selain tema tersebut, kat sini juga turut mempunyai villa dengan tema lain yang berbeza. Antaranya, Atlantis, Mushroom Vila dan banyak lagi.
Mempunyai kemudahan lengkap dan sesuai untuk keluarga yang besar, sesuai untuk buat gathering atau majlis keluarga. Setiap vila yang ada kat sini juga mempunyai keluasan dan bilik yang berbeza.
Alamat: Jalan Kemus, Simpang Ampat, 78000 Alor Gajah, Melaka
Ramai pelancong luar datang ke negara kita semata-mata ingin melihat dengan lebih dekat dan merasai sendiri pengalaman berdepan dengan lokasi air terjun yang indah. Sebagai penduduk tempatan jangan lepaskan peluang untuk melawat beberapa lokasi air terjun menarik di Malaysia, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Tidak boleh dipertikaikan lagi, Malaysia merupakan negara yang mempunyai bentuk muka bumi yang menarik dengan pelbagai destinasi flora serta fauna. Paling menarik kebanyakkan kawasan hijau masih ‘dara’ dan jarang ‘disentuh’. Terdapat pelbagai lokasi menari di kawasan hutan khatulistiwa kita antaranya kawasan air terjun. Air terjun merupakan salah satu pilihan terbaik untuk melakukan aktiviti riadah dalam kalangan pencinta alam. Antara air terjun pilihan Libur adalah:
Air Terjun Jelawang yang terletak di Taman Hutan Negeri Stong, Dabong Kelantan merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara iaitu setinggi 303 meter (1,414 kaki dari aras laut). Terletak di Kg. Jelawang di daerah Dabong.Antara tarikan di sini ialah air terjun Jelawang, setinggi tujuh tingkat dan diiktiraf sebagai antara air terjun tertinggi di Malaysia dan telah dinobatkan sebagai air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Haiwan yang banyak boleh ditemui di sini termasuk Gajah Asia, seladang, burung merak Argus, harimau Malaya dan tapir.
Info Kemudahan & Penginapan
Resort Jelawang berada di kaki Air Terjun Jelawang. Resort ini menawarkan kemudahan chalet, bilik mensyuarat, surau serta tandas. Jika mempunyai stamina yang baik anda boleh mendaki ke Kem Baha untuk peluang melihat ‘lantai awan’.
Pendaki boleh melaporkan diri di sini sebelum memulakan pendakian. Terdapat dua trek ke Kem Baha yang berada di puncak air terjun Jelawang pada ketinggian 1,414 kaki dari aras laut. Satu trek terus ke trek balak dan satu lagi menyusuri kaki air terjun Jelawang sebelum masuk ke trek balak. Pendaki boleh tiba di Kem Baha dalam anggaran masa kurang dari satu jam. Beberapa tempat menarik boleh dilawati di sekitar Baha’s Camp seperti Gua Rantai, Air Terjun Kolam Puteri, Telaga Tujuh dan Air Terjun Dua Gunung.
Air Terjun Chemerong merupakan salah satu tempat yang seharusnya dikunjungi apabila berkunjung ke negeri Terengganu. Lokasinya terletak di daerah Dungun dan 100km dari Kuala Terengganu.
Di kawasan air terjun Chemerong terdapat pelbagai spesies flora dan fauna yang sememangnya mampu memberi ketenangan kepada sesiapa yang berkunjung ke sini. Paling menarik, air terjun di sini mempunyai tiga tingkat serta menjadi pintu masuk kepada hutan lipur Chemerong.
Kemudahan Di Sini
Terdapat banyak kemudahan yang boleh didapati apabila berkunjung ke kawasan Air Terjun Chemerong ini antaranya kemudahan surau, bilik persalinan, tandas dan sebagainya. Selain itu terdapat juga gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman untuk santapan pengunjung dengan harga yang berpatutan.
Air Terjun Jerangkang terletak di Jalan Kuantan – Temerloh di Kampung Paya Rambutan bersempadan dengan daerah Maran. Air Terjun Jerangkang memiliki keunikan tersendiri apabila mempunyai tujuh tingkat air yang begitu mengasyikkan. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan termasuk abseiling dan berkhemah sambil mendengar deruan air yang begitu mempersonakan.
Terletak di Hulu Sungai Jasin, Taman Negara Endau Rompin, air terjun Buaya Sangkut setinggi 40 meter menjadi tarikan utama pelancong kerana keindahan kawasan hutan serta kejernihan airnya. Buaya Sangkut merupakan kawasan air terjun yang menjadi lokasi wajib dikunjungi dan antara yang sering disebut-sebut oleh mereka yang pernah menyaksikan keindahan belantara antara yang tertua di dunia itu.
Menariknya!
Kawasan air terjun tiga tingkat yang terletak di hulu Sungai Jasin itu boleh dikunjungi dengan mendapatkan khidmat penduduk Orang Asli di Kampung Peta yang berdaftar sebagai penunjuk arah dengan pihak taman negara. Pandangan dari puncak Buaya Sangkut memperlihat kolam takungan berbatu hitam yang diselubungi wap-wap dan percikan air yang memutih.
Maliau yang membawa maksud ‘susu atau kelam’ dalam bahasa suku kaum Murut merujuk kepada air Sungai Maliau yang berwarna gelap berikutan keadaan fosil batuannya, sementara Basin pula bermakna ‘tangga gergasi’ yang merujuk kepada bilangan tingkat air terjun yang terdapat di situ. Meliputi keseluruhan kawasan seluas 588.4 kilometer persegi, Maliau Basin memiliki air terjun tujuh tingkat setinggi 28 meter yang cukup mengasyikkan selain pokok-pokok hutannya yang tumbuh setinggi sehingga 1,800 meter daripada paras laut.
Anda Perlu Tahu
Tiada manusia mahupun penduduk asli tempatan pernah direkodkan tinggal di dalam kawasan Maliau Basin menyebabkan ia tidak pernah terusik malah tiada langsung maklumat daripada orang tempatan mengenainya.
Maliau Basin yang berusia lebih 100 juta tahun menyimpan pelbagai rahsia alam termasuk kepelbagaian floranya. Bunga terbesar iaitu Rafflessia juga boleh didapati di sekitar kawasan ini. Kebanyakan spesies hidupan liar terancam dan jarang ditemui masih terdapat di sini. Antaranya seperti Orang Utan, monyet Proboscis, Harimau Dahan, Beruang Malaya dan gajah pigmi iaitu gajah paling kecil di dunia.
Terletak di Kuala Kubu Bharu daerah Hulu Selangor. Perjalan mengambil masa lebih kurang satu jam untuk ke lokasi air terjun. Memiliki ketinggian lebih kurang 30 meter, air terjun ini mempunyai keistimewaannya tersendiri iaitu laluan air terjunnya yang berangkai dan masih terpelihara daripada pencemaran dan kesan pembalakan. Ianya sesuai untuk lokasi perkemahan dan berkelah bagi mereka yang gemar meredah laluan sungai dan hutan.
Pancur Sebatu terletak di kampung Bukit Wan, Kuala Terengganu, Terengganu. Untuk menuju ke kampung Bukit Wan, adalah mudah dengan mengambil jalan di simpang masuk di kampung Tepoh (sebelah kanan jalan jika datang dari bandar Kuala Terengganu). Lokasi ini sering menjadi kawasan riadah oleh penduduk setempat untuk bersantai bersama keluarga pada hujung minggu.
Air terjun Lata Payung terletak di Hutan Lipur Lata Payung di daerah Setiu sempadan Besut, Terengganu. Untuk sampai ke kemuncak air terjun ini, anda perlu meredah laluan yang telah disediakan, tetapi bersedialah untuk menghadapi banyak serangan pacat! Antara kemudahan asas awam yang terdapat di sini ialah tempat rehat, surau, jambatan gantung dan tong sampah. Jika terasa lapar, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai jenis makanan di gerai-gerai jualan yang berdekatan dengan kawasan air terjun. Paling menarik air di sini sangat jernih dan berwarna seakan biru kehijauan.
Keunikan alam semula jadi Air Terjun Lata Kinjang pasti memberikan pengalaman berharga dan sukar dilupakan jika berpeluang berkunjung di sini. Kedudukannya yang dikelilingi Hutan Lipur Lata Kinjang yang kaya dengan flora dan fauna dara menjadikannya lokasi yang ideal untuk perkelahan keluarga.
Kawasan air terjun ini terletak kira-kira 14 kilometer dari pekan Tapah, Perak. Dari Tapah, pengunjung perlu melalui jalan Persekutuan menuju ke pekan Chenderiang iaitu sebuah pekan lama yang paling hampir dengan kawasan air terjun itu. Diiktiraf sebagai air terjun tertinggi di Asia Tenggara, air terjun setinggi 850 meter yang terletak di lereng Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia itu nyata memukau pandangan. Sepanjang perjalanan, pengunjung akan melewati panorama perkampungan Melayu serta dusun buah-buahan milik penduduk tempatan di kiri dan kanan jalan yang mampu memberi pemandangan menyejukkan mata.
Mitos Unik!
Menurut sejarah, ia dinamakan sebagai Lata Kinjang kerana di kawasan itu terdapat banyak Kijang. Orang lnggeris yang pernah sampai ke tempat itu pada suatu ketika dahulu kerana memburu Kijang kemudian tersalah menyebut nama Kijang lalu berubah kepada nama Kinjang. Lata Kinjang juga terkenal dengan mitos sang kelembai. Kononnya, bekas tapak kaki, lesong menumbuk padi dan tapak semaian sayur sang kelembai yang telah disumpah menjadi batu masih boleh dilihat sehingga kini.
Melihat air dingin yang mengalir deras dari puncaknya di celah-celah batu yang disusun indah seolah-olah menggamit kehadiran pengunjung untuk datang ke Air Terjun Sungai Pisang ini. Terletak di Hulu Gombak, Selangor, untuk ke sini, anda perlu berjalan kaki merentas beberapa laluan yang telah disediakan. Antara yang menarik laluan paip besar.
Lebih selamat jika anda menggunakan juru pandu arah yang berpengalaman dengan selok belok di dalam hutan. Dikelaskan sebagai air terjun dengan laluan trekking yang sederhana, kawasan air terjun ini turut mempunyai sebuah kawasan perkhemahan berhampiran yang terletak berhadapan dengannya.
Sungguh Mengasyikan..
Air terjun Sungai Pisang ini sangat menarik dan tidak lagi tercemar, terhasil dari lencongan arah sungai pada kira-kira 45 darjah, menjadikan kawasan air terjun ini betul-betul terletak di hujung laluan. Jika anda memanjat laluan yang curam menuju ke kawasan perkhemahan yang terletak di sebelah atas berdepan dengan air terjun ini, anda akan dapat melihat beberapa lagi siri jeram yang deras yang terletak di atas air terjun ini. Pada masa yang sama, peluang menghayati suasana rimba diselang-seli bunyi unggas bersahut-sahutan pasti membuatkan anda terlupa seketika hiruk pikuk kota yang menyesakkan fikiran.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Buat masa ini Langkawi menjadi travel bubble bagi merancakkan lagi industri pelancongan.
Jika sebelum jika bercuti ke Pulau Lagenda ini kita hanya ke tempat biasa seperti pekan Kuah, Gunung Matchingcang, Island Hoping atau melawat eco tourism, tetapi kali ini apa kata bercuti ke bahagian pulau.
Rupanya di Langkawi terdapat juga pulau yang cantik untuk diterokai. Antaranya adalah Pulau Tuba.
Ayuh, ikuti perkongsian itinerary Helmi Baharum dari sahabat Backpacker Buddies Malaysia untuk day trip ke Pulau Tuba, Langkawi yang cukup sinonim dengan penggemar mee udang.
+ Itinerati ringkas
Maksud Tuba: Sejenis tumbuhan di Asia Tenggara dan kepulauan di Pasifik barat-daya yang biasa digunakan untuk meracun ikan.
Meh sini nak menuba/meracun pemikiran anda agar berkunjung ke sini.
Bersih-Pulau Ini sangat bersih, teratur dan tersusun. Paling penting pulau ini nampak tenang saja dan tidak sesak.
Murah-Kos makan di sini murah.Tapi kalau dah melantak mee yang popular itu memang costly sikit lah. Kos pengangkutan pun sangat murah.
Cantik-tak perlu pun pakej island hoping kalau setakat nak tengok kebiruan laut dan kecantikan pulau-pulau di sini pun best.
Penduduk tempatan yang ramah-saya di bawa penduduk tempatan sampai point mula nak hiking yang agak sukar dijumpai.
Pengalaman lain tumpang caj henset di kedai runcit sebab habis terus bateri, makcik siap tanya ‘awat sat sgt hang caj’? (Aku pun dah segan lama dah rasa)
Last but not least of course sebab banyak lokasi-lokasi menarik. Serba ringkas itinerary dan kos seperti berikut:
– 11pagi: Bot penumpang di Jeti Marbel Pulau Langkawi RM5 sehala.sambil nak tunggu bot kita pekena nasi lemak dulu di jeti.Memang padu
Bot tiba di Jeti Pulau Tuba setelah 10 minit perjalanan.Sewa motorsikal RM14 + pergi tuang petrol RM2.
– 11.30-2.00pm: Hiking 30 minit ke Bukit Batu Licin, turun kurang 20 minit, selebihnya menikmati keindahan di puncak bukit.
– 2-3.30pm: Mandi di air terjun Kg Selat Bagan Nyior. Walaubagaimanapun lokasi ini adalah dah masuk kawasan Pulau Dayang Bunting. Balik singgah jap Barkat Chalet-lokasi shooting filem Ombak Rindu.
– 3.30-5.00pm: Pantai Tanjung Pandan dan makan mee combo-Kombinasi seafood hanya RM20.most recommanded dengan berdepan lautan luas.
– 5.30-6.00pm- Bukit/Gua Batu Kecil
– 6.00-6.45pm- Padang ragut kerbau Pulau Tuba.penutup trip diakhiri lawatan hijau luas memukau macam kombinasi lautan lumut dengan kawasan sawah padi.Di sini khabarnya dulu kawasan sawah padi yang ditinggalkan.
– 7.00pm-bot pulang ke Pulau Langkawi
Nota kaki:Done jejak 8/99 Pulau di Langkawi.Tersisa lagi 91
Kemenangan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli dalam saingan Moto3 di Automotodrom Brno, Czech Republic baru-baru ini pastinya membuatkan peminat permotoran Malaysia lebih teruja...