Labuan digelar Mutiara Borneo dan menjadi sebuah pusat perdagangan dan kewangan disegani.
Terletak kira-kira 10 kilometer dari pantai Sabah, Labuan diletakkan dalam Wilayah Persekutuan diisytiharkan pusat kewangan luar pantai pada 1990 dan menjadi pelabuhan bebas cukai sejak 1956.
Labuan mempunyai pelbagai daya tarikan istimewa, dengan panorama pantai yang indah untuk menyaksikan matahari terbenam dan aktiviti rekreasi air, snorkeling dan lawatan ke pulau-pulau.
Kedai Bebas Cukai
Tahu tak Labuan turut menjadi destinasi percutian tumpuan pelancong kerana zon bebas cukainya bebas cukai yang menyediakan pelbagai jenis barangan antaranya coklat, makanan dan tembakau yang dijual murah.
Walaupun coklat banyak dijual di tempat lain, istimewanya produk di kedai bebas cukai itu jarang ditemui di tempat lain. Malah, ada antaranya memang boleh ditemui di situ saja.
(War Cemetery Labuan) Memorial Perang Dunia Kedua
Ads
Memorial Perang Dunia Kedua di Labuan ini adalah yang terbesar di Malaysia dan menjadi saksi kepada persemadian 3,908 askar yang terkorban pada Perang Dunia Kedua.
Ia adalah tempat utama bagi sambutan Hari Peringatan dan upacara tahunan bagi menghormati wira perang, dijalankan dengan penuh tradisi ketenteraan.
Peace Park (Taman Damai)
Merupakan salah satu tempat wajib bagi pengunjung jika datang ke Labuan. Taman Damai yang tenang di Kampung Layang-Layangan ialah simbol keamanan dan harmoni yang diserikan dengan jambatan gaya Jepun, kolam dan landskap menarik. Taman Damai ialah tanda penghormatan bagi mereka yang bertarung nyawa di Borneo ketika Perang Dunia Kedua.
Surrender Point (Tugu Penyerahan Jepun)
Di sebelahnya ialah Tugu Penyerahan Jepun iaitu tempat Angkatan Tentera Jepun ke-37 menyerah kepada Angkatan Tentera Diraja Australia pada 10 September 1945. Penyerahan penuh bersejarah itu menandakan tamatnya Perang Dunia Kedua di Borneo. Tugu itu dilancarkan semula pada 2011 dan ia didirikan bagi memperingati askar yang berjuang untuk kebebasan Borneo, sekali gus menamatkan perang.
Ads
Muzium Chimney
Ia adalah bukti peninggalan aktiviti perlombongan arang batu di Tanjung Kubong yang berusia lebih seabad.
Muzium itu agak unik kerana berdasarkan namanya ramai menganggap ia berfungsi sebagai cerobong asap. Namun, tiada kesan pembakaran pada dinding sebelah dalam.
Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil & Pulau Kuraman
Pulau Rusukan Besar merupakan salah satu daripada pulau yang telah digazetkan sebagai Taman Laut Labuan sejak tahun 1994. Terdapat tiga buah pulau yang telah digazetkan oleh kerajaan Labuan iaitu Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman. Ketiga-tiga pulau ini terletak berdekatan antara satu sama lain.
Ads
Memandangkan pulau ini dikategorikan sebagai taman laut, segala aktiviti yang mengancam dan mengganggu gugat kesejahteraan hidupan marin seperti memancing, memukat dan menangkap ikan adalah tidak dibenarkan.Persekitaran yang cantik dengan suasana yang menyegarkan serta air laut membiru serta jernih menjadi antara daya penarik kepada orang ramai untuk datang ke pulau-pulau ini.
Pulau Rusukan Besar juga dikenali sebagai lokasi pemuliharaan penyu sejak 2011, manakala pemulihan batu karang di sini pula bermula sejak 2015. Antara aktiviti yang menjadi perhatian pengunjung ialah berenang, snokerling serta menikmati keindahan panorama yang ada.
Jika di Pulau Kuraman Besar pula, pengunjung juga boleh berjalan mengelilingi pulau yang mengambil masa kira-kira satu jam sahaja. Selain daripada pelbagai aktiviti, terdapat juga banyak kemudahan yang disediakan buat pengunjung seperti tandas awam, calet, tapak barbeku dan balai informasi pulau.
Pantai Pancur Hitam
Pasti tidak lengkap rasanya jika datang ke Labuan jika tidak menikmati panorama matahari terbenam yang sungguh mempesonakan. Persekitaran Labuan dikelilingi laut menyebabkan kawasan pantai sering menjadi tumpuan pengunjung terutama di hujung minggu untuk menyaksikan fenomena semula jadi itu. Antara pantai terkenal di Labuan ialah Pantai Pancur Hitam.
Pantai Layang-Layang
Pantai Layang-Layangan mempunyai air yang jernih dan pantai yang bersih. Pantai Layang-Layangan turut menjadi tumpuan untuk bergambar kerana di hujung pantai itu terdapat sepohon pokok yang tumbuh di atas batu dan hanya dapat dilihat dengan lebih dekat ketika air surut.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Artikel ini adalah perkongsian oleh Wan Nordini Hasnor Wan Ismail.
Gunung Raung merupakan salah satu gunung berapi yang masih aktif di hujung timur Kepulauan Jawa, Indonesia. Dengan ketinggian puncak tertinggi pada 3344 mapl, gunung ini diklasifikasikan sebagai gunung yang paling ekstrem di Pulau Jawa bagi kegiatan pendakian. Terdapat 4 puncak yang utama, iaitu Puncak Bendera, Puncak 17, Puncak Tusuk Gigi dan Puncak Sejati (puncak tertinggi).
Berikut adalah perkongsian pengalaman penulis, yang buat pertama kalinya mendaki di pergunungan Indonesia, lebih spesifiknya di Gunung Raung setelah perancangan awal ke Gunung Arjuno-Welirang tidak dapat dilaksanakan.
CATATAN SI GAYAT DI TANAH RAUNG
Seperti mana yang diwar-warkan oleh teman seangkatan, perancangan awal adalah ke Gunung Arjuno-Welirang. Pergunungan dengan 4 puncak yang kiranya sesuai sebagai pengenalan bagi kami yang tidak pernah jejak kaki ke mana-mana gunung di tanah seberang.
4 bulan awal perancangan dibuat. Angan-angan juga telah dipasang. Namun, di saat akhir, betul-betul di saat terakhir, DIA menetapkan Gunung Raung untuk kami. Gunung Arjuno-Welirang terbakar dan ditutup untuk kegiatan pendakian sepanjang bulan Ogos 2019.
‘Speechless. My mind went blank. I don’t know what to expect. I don’t know what HE is going to tell me through this situation.’
‘I’m damn scared of height, how am I supposed to hike Raung?’
Yang terkenal dengan ekstremnya, gaung di kiri dan kanannya.
‘Raung is never in my list, because I know I’m not going to hike there. I won’t be there because I know my limit.’
DIA mengajar sesuatu. Dalam pada kita sangka kita kenal diri sendiri, DIA lebih mengetahui. Dan DIA jualah yang menetapkan segalanya yang awalnya mustahil bagi diri ini.
CATATAN PENDAKIAN HARI 1
Malam sebelum hari pendakian, kami tiba di ‘Buesoto Basecamp’, Kalibaru. Singgah bermalam seketika di salah sebuah rumah penduduk kampung, setelah melalui perjalanan yang panjang (8 jam lebih kurang) dari kota Surabaya. Kampung ini letaknya ke dalam dan jauh dari jalan besar, dikelilingi kebun koko dan kopi yang subur.
Subuh berkumandang pada jam 4.30 pagi. Waktu di sini lewat sejam berbanding Malaysia. Kami bangun bersiap-siap, ada yang buat ‘yoga stretching’. Sangat sejuk waktu dinihari di sini. Memang kami tidur siap dengan memakai ‘down jacket, sleeping bag’ dan stoking.
Sarapan kami disediakan oleh tuan rumah. ‘It’s time for carbo-loading.’ Hidangannya, nasi putih, sup sayur kubis bersama telur rebus, tempe goreng dan sambal. Kelihatan ringkas tapi ianya cukup dan sedap! Tempe sana, ‘fresh’ sungguhlah! ‘Wholesome food is always the best!’
Mulai jam 8 pagi, beberapa biji ojek pangkalan sudah bersedia. Untuk mengangkut barang-barang dan peserta ke Kem 1, yang letaknya 40 minit daripada ‘basecamp’ ini. Setiap seorang peserta membonceng satu ojek, dibawa melalui jalan kampung dan seterusnya memasuki lorong-lorong sempit di antara pohonpohon kopi yang rendang. Satu pengalaman yang unik sungguh!
Sebelum itu, kami singgah terlebih dahulu di pos sekretariat untuk lapor diri dan mendengar taklimat keselamatan.
Sampai sahaja di Kem 1, ada sebuah pondok kecil. Kami dihidangkan dengan air kopi O panas. Pemberi tenaga sebelum memulakan pendakian. Enak banget!
Kurang lebih 9.30 pagi, pendakian pun bermula. Perjalanan Kem 1 ke Kem 2 agak santai, melalui kebun kopi dan hutan yang jarang. Di kawasan inilah terdapat banyak tumbuhan herba asam batu. Jarak antara Kem 1 ke Kem 2 agak jauh, masa yang dibutuhkan lebih kurang 2.5 jam.
Dari Kem 2 dan seterusnya (kami perlu tiba di Kem 7 untuk bermalam), trek adalah menaik, sedikit demi sedikit. Apabila tiba di kawasan pacak, memang tak ada diskaun. Mengah dan lelah silih berganti. Jarak di antara setiap kem adalah 45 min hingga 1.5 jam perjalanan.
Di hutan ini, suhu mulai jatuh menjelang jam 4 petang. Waktu maghrib adalah pada jam 5.30 petang, jadi suasana pun cepat gelap. Tidak ingat di kem berapa, sedang melepaskan lelah, suhu jatuh mendadak, disusuli angin, menggigil kami jadinya. Lekas-lekas keluarkan ‘down jacket, windbreaker’ dan pakai. Kena terus bergerak, untuk panaskan badan, biarpun kaki terasa seolah sudah tidak mampu untuk melangkah.
Permainan mental bermula. Gelap malam, penat, lapar, sejuk menggigil, suara unggas hutan yang saling bertingkah iramanya.
Entah berapa puluh kali sesi melepaskan lelah. Sesi menitiskan air mata pun ada. Sempat lagi ditegur oleh sahabat pendaki, kenapa hidung merah, uisssh! Yang penting, bangun kembali dan teruskan langkah (malulah pada ‘guide’ dan ‘porter ‘yang angkut barang lagi berat berpuluh kilogram tapi siap boleh berlari dalam hutan tu).
Tepat jam 9 malam, kami tiba di Kem 7. Akhirnya!
Sampai je masing-masing terus terbaring dalam khemah. Mata terus pejam dan lena. Hampir tengah malam baharulah kami bangun, bersihkan diri dan makan. Masakan rumah yang sedap yang disediakan oleh Alex Andrie, seorang anak muda yang baharu berusia 21 tahun.
CATATAN PENDAKIAN HARI 2, MENUJU PUNCAK
Trek sepanjang perjalanan adalah jelas. Akibat musim kemarau, tanahnya berdebu/berpasir. Maka, pemakaian ‘mask’ amat disarankan. Juga pemilihan kasut yang sesuai untuk mengurangkan risiko tergelincir.
Hari ke-2. Kami dikejutkan pada jam hampir 3.30 pagi. Suasana masih gelap. Sejuk tu tak usah cakaplah, keluar je khemah memang menggigil.
Kami diarahkan untuk bersarapan, mi goreng. Enak, tapi sebab awal pagi sangat, selera tu tak berapa nak ada. Masing-masing tidak habis semangkuk.
Tepat jam 5 pagi, kami mula bergerak menuju ke Kem 9. Dari Kem 7 ke Kem 8, sepatutnya mengambil masa sejam sahaja. Dan dari Kem 8 ke Kem 9, juga sepatutnya mengambil masa kurang daripada sejam. Tetapi dengan suasana pepohonan bonsai dan pemandangan lurah gunung, haruslah kami banyak berhenti menikmati alam. ‘Photoshoot’ dulu sekeping dua. Dari jauh, kelihatan si Bromo yang gah berdiri, juga jalur pergunungan Argopuro. Indah, sangat indah! Dilimpahi pula sinar sang mentari pagi. Terasa seakan tidak mahu berganjak daripada situ.
Semakin mendaki tinggi, udara kian menipis. Memang terasa. Antara simptom yang dialami, kerap menguap dan mata amat mengantuk. Setiap kali berhenti rehat, mata asyik mahu pejam. Alhamdulillah tiada yang lebih teruk. Tiba sahaja di Kem 9, kelihatan Pak Ika dan seorang ‘porter’ lagi sudahpun menunggu kami. Aaah laju betul mereka berdua ni. Mereka ditugaskan membawa bekalan makanan.
Di Kem 9, kami perlu memakai helmet dan ‘safety harness’. Kemudian, berjalan keluar dari hutan, menuju ke Puncak Bendera, 15 minit daripada Kem 9. Puncak Bendera adalah puncak pertama bagi Gunung Raung (ada 4 puncak kesemuanya). Muka buminya terdedah dan berbatu, dan di sinilah segalanya bermula, gaung dan jurang kelihatan jelas sekali.
Sampai sahaja di Puncak Bendera, aku dan Aizan Suhaira terus terduduk. Kami tak bangun-bangun. Yang lain siap bergambar dan mengambil video. Aku memang statik. Cuba menghilangkan rasa gemuruh di hati. Berapa banyak kali diulang “deep breathing”. Sambil berbisik sendirian, “I can do this!”. Mungkin juga masa tu, muka ini pucat, manalah tahu.
‘Ya Allah, please help me through this’.
Selepas 10 minit, kami perlu meneruskan perjalanan. Perlahan-lahan aku berdiri, cuba mencari kestabilan. “Deep breathing” lagi. Langkah diatur mengikut orang di depan. Laluan berbatu, sempit. Ada menaik, ada menurun.
Tibalah akhirnya di laluan Siratul-Mustaqim 1. Laluan yang sering diwar-warkan sebagai laluan yang ekstrem. Kerana lebarnya hanya 1 meter, dan di kiri kanan adalah gaung dalam yang tidak jelas mana penghujungnya.
Agak kecut perut sewaktu melaluinya. Aku hanya pandang pada kaki dan laluan, tidak sekalipun menoleh pada jurang di kiri atau kanan. Selangkah demi selangkah. Dalam hati, mahu cepat-cepat ke seberang sana. Alhamdulillah, ironinya ianya tidaklah menakutkan sangat. Tidaklah ekstrem sangat sebagaimana yang digembar-gemburkan. Sedangkan dari rumah, aku dah yakin akan merangkak di laluan tersebut.
Ada dua laluan Siratul-Mustaqim di sini. Alhamdulillah kedua-duanya dapat dilalui dengan lancar.
Kemudian, tibalah di bahagian berbatu yang memerlukan kemahiran teknikal. ‘Rock climbing, repelling and abseiling’. Kekuatan lengan, tangan, pinggul dan kaki diuji. Walaupun kita berpaut pada tali, keselamatan diri tetap harus diperhatikan. Sekeliling adalah batu. Biarpun memakai sarung tangan khas, jari aku mengalami luka akibat terlanggar batu sewaktu menuruni lurah menggunakan teknik ‘repelling’. Aaih, cenderahati Raung!
Habis bahagian yang memerlukan penggunaan tali. Tibalah saat pendakian muka bumi berbatu ‘loose’, dari bawah sehingga ke Puncak Tusuk Gigi. Langkah kaki perlu berwaspada kerana jika tersilap pijak, batu-batu akan menggelongsor ke bawah dan berbahaya buat sahabat-sahabat yang lain. Dan sekali lagi, di sini, permainan mental bermula.
Bayangkan, apa yang kami panjat sebenarnya adalah tebing batu yang tinggi. Apabila memandang ke atas, kelihatan sayup-sayup Puncak Tusuk Gigi. Jauhnya, tingginya! Kabus berselang-seli hadir bersama angin. Sejuk!
Bagi kami, laluan ke Tusuk Gigi inilah yang sebenarnya ekstrem.
Setiap 2-3 langkah, aku berhenti. Lelah. Rasa tidak berpenghujung. Tingginya, bila nak sampai! Sekali lagi, airmata tumpah. Sebab rasa penat sangat. Rasa macam dah tak mampu untuk teruskan. Masa tu sudah tak peduli pada sesiapa yang nampak aku menangis pun. Letih!
Si Aizan melaungkan kata-kata semangat. Dia di atas. Lalu laplah airmata, dan kembali berdiri. Pak Ika membantu aku. Dipegangnya tanganku dan ‘heret’ untuk terus bergerak naik.
Kami tiba di Puncak Sejati (puncak utama) pada jam 1.30 petang. Puncak Sejati letaknya bersebelahan dengan Puncak Tusuk Gigi.
Sampai sahaja di Puncak Sejati, senyuman terus terukir. Hilang terus rasa lelah tadi. Apatah lagi apabila kabus menghilang, lalu kelihatanlah kawah gunung berapi.
Masha-Allah, cantik, sangat cantik! Ianya sekadar kawah gunung berapi sahaja, tapi tak tahu nak ceritakan bagaimana keindahannya. Hakikat di depan mata, takkan sama dengan apa yang dilihat di dalam foto.
‘Thank you Allah, for allowing me to see this.’
AURA YANG MISTERI
Kalau dah namanya hutan, memang perkara-perkara mistik itu tak boleh lari. Setiap kali masuk hutan, kena bersedialah sedikit-sebanyak. Sejujurnya, setiap kali nak masuk hutan, memang aku berdoa minta dijauhkan daripada “bertembung” hal-hal yang tidak kelihatan.
Perjalanan turun ke Basecamp Buesoto. Dari Kem 2 ke Kem 1, hari mulai gelap. Mula memasuki kawasan perkebunan dan ladang. Nun sayup di kejauhan, seakan kedengaran laungan azan Maghrib. Silapnya kami bertiga waktu itu, tidak berhenti seketika sewaktu azan. ‘Guide’ masih di belakang, jauh juga daripada kami, menemani teman sependakian yang lain.
Kami meneruskan langkah perlahan-lahan. Kaki masing-masing sudah kesakitan. Suasana dingin berkabus. Diselangi dengan rintik-rintik titisan air kabus yang jatuh ke bumi. Hening. Suara unggas nokturnal mula kedengaran.
Jarak Kem 2 ke Kem 1 dirasakan sungguh panjang. Kami bertiga, tapi berpandukan 2 biji ‘headlamp’ sahaja. Aku di depan, Safraa di tengah (tanpa headlamp) dan Ridzuan di belakang. Senyap. Tanpa suara.
Dalam hutan. Gelap yang sungguh gelita. Seringkali kelihatan seolah-olah ada persimpangan lorong di hadapan. Tawakal padaNya. Tak putus berdoa agar tidak sesat. Takut, ya memang takut. Tapi kaki perlu terus melangkah. Rasa gerun cuba diusir jauh-jauh.
Ada satu saat, aku ternampak seakan-akan khemah/pondok kecil, yang terang benderang. Hati mulai melonjak gembira, mulut lantas berbicara, “eh dah sampai ke? Tu macam terang je pondok tu….”.
Safraa di belakang rasa pelik (tapi dia diam je waktu tu). Aku lajukan langkah ke hadapan. Dalam hati mushkil juga sebenarnya, takkanlah dah sampai. Tapi, apa benda yang terang di depan ni?
Semakin dekat, semakin jelas. Rupanya hanyalah penghadang kebun yang diperbuat daripada seakan zink.
‘Aaah, akibat letih, mata dikaburi, otak berhalusinasi yang lain……’
Kecewa, ya. Kerana tahu perjalanan masih jauh. Ada ketikanya kami berselisih dengan beberapa orang pendaki tempatan yang baru mahu naik. Gembiralah sekejap jumpa manusia lain. Tapi tidak lama. Mereka itu pantas-pantas, sekejap aje sudah hilang dari radar. Kami kembali bertiga dalam kegelapan.
Suara hutan kian galak. Pelik-pelik. Aura hutan ini juga terasa lain. Tidak seperti 2 malam yang lepas di tengah-tengah hutan gunung sana. Waktu itu tiada rasa apa-apa. Tapi yang ini, ladang dan kebun ini………sesuatu!
Fikiran aku tak boleh lari daripada memikirkan tentang haiwan buas. Aduh!
Di belakang, rupanya ada kisah yang terjadi. Tetapi masing-masing senyap juga. Safraa sering merasakan ada kaki yang mengikut di belakang (bukan Ridzuan). Rapat sekali.
Ridzuan pula, direzekikan nampak kelibat yang melintas. Hitam. Juga beg sandangnya yang terasa kian berat dari semasa ke semasa. Mungkin juga akibat keletihan, mungkin juga ada yang mengusik. Hanya DIA yang mengetahui.
Di ‘basecamp’, baharulah kami ketahui bahawa, pendaki yang berselisih dengan kami sebelumnya, menyatakan hanya nampak 2 orang sahaja (sedangkan kami 3 orang; pendaki ini memberitahu guide kami di belakang yang jaraknya jauh juga). Tidak tahu siapa yang mereka nampak, siapa yang ‘disembunyikan’.
Alhamdulillah, kami pulang baik baik aja. Niat kena jaga sedari awal masuk hutan. Tempat mereka, memanglah mereka ada. Kita cuma tumpang lalu.
Satu pengalaman yang mahal! Terima kasih Gunung Raung!
Penulis:
Wan Nordini Hasnor Wan Ismail
Pensyarah Kanan, Fakulti Farmasi,
UiTM Caw Pulau Pinang (Kampus Bertam)
nordini.hasnor@uitm.edu.my/diniehasnor@gmail.com
012 350 5380/04-562 3589
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Anda dah tak tahu nak pergi mana dan buat apa bila tiba hujung minggu? Okay tak apa, jangan risau. Ini ada beberapa cadangan tempat yang menarik untuk anda lawati bersama keluarga apabila tiba hujung minggu. Tak jauh pun, semua lokasi ini hanya ada di Selangor.
Apa tempat-tempat tu? Jom kita lihat senarai 10 lokasi di bawah:
Pantai Bagan Lalang
Terletak di Sepang, Pantai Bagan Lalang merupakan sebuah pantai yang tenang dan memiliki riadah yang agak luas untuk dijadikan tempat bersantai bersama keluarga. Lokasinya yang tidak jauh dari kawasan bandar menjadikan ia destinasi tarikan untuk warga kota yang ingin menenangkan fikiran sambil menghirup udara segar yang menderu-menderu di Pantai Bagan Lalang.
Kalau anda berniat ke sini, anda boleh merancang beberapa aktiviti menarik yang boleh dilakukan seperti berkelah, bermain layang-layang, menjamu selera di kedai-kedai seafood yang terdapat di sekitar, dan juga memancing ikan pada waktu air surut.
Alamat: Pantai Bagan Lalang, 43950 Sepang
Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz
Lokasi ini terletak di dalam bangunan kolonial cetusan idea A.B. Hubback pada tahun 1909. Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ini merupakan lokasi yang patut anda lawati sekiranya anda ingin mendapatkan pengetahuan tentang kehidupan Sultan Abdul Aziz Shah yang dimahsyurkan sebagai Sultan Selangor ke-8 pada tahun 1960 dan Yang di-Pertuan Agong yang ke-11 pada tahun 2001. Di sini, anda boleh melihat pelbagai koleksi peribadi menarik Diraja termasuklah replika mahkota Diraja Selangor.
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (10.00am – 5.00pm) | Isnin dan Cuti Umum (Tutup)
Alamat: Bangunan Sultan Suleiman, 41000 Klang, Selangor Darul Ehsan
Muzium Orang Asli
Muzium ini terletak di Gombak dan menempatkan galeri pameran koleksi artifak orang asli seperti belanga yang telah wujud lebih daripada 600 tahun lalu. Selain itu, alat-alat muzik tradisional, pakaian dan bermacam lagi turut dipamerkan di sini. Muzium ini juga lengkap dengan dewan teater mini, kedai cenderamata dan sebuah perpusatakaan. Apabila puas belajar bermacam maklumat baru di muzium ini, anda boleh melawat model rumah kaum orang asli yang terletak bersebelahan sahaja dari muzium ini.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)
Alamat: Muzium Orang Asli Gombak KM 24, Jalan Pahang Lama Gombak, 53100 Gombak, Selangor
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini merupakan masjid yang kedua terbesar di Asia Tenggara. Pada awal pembinaan masjid berkubah biru ini, jam antik yang berusia 600 tahun dan 4 buah lampu chandelier telah dihadiahkan oleh Sultan Selangor untuk dijadikan sebagai perhiasan kepada masjid yang indah ini. Masjid ini pernah memegang rekod dunia sebagai masjid yang memiliki menara tertinggi pada tahun 1993 dan seinibina ia juga adalah kombinasi rekabentuk tradisional Islam Melayu, Asia Barat, Barat dan India.
Alamat: Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor
Kepong Metropolitan Park
Taman Metropolitan Kepong yang berkeluasan 95 hektar ini terkenal di kalangan penduduk tempatan dengan aktiviti bermain layang-layang dan juga berlari. Taman ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti trek basikal, padang bola sepak, menara pemerhati, pondok santai dan taman permainan. Sekiranya anda datang pada hujung minggu, anda dapat melihat bermacam jenis layang-layang, dari yang kecil sehinggalah bersaiz sebesar 30 kaki dalam pelbagai warna. Satu pemandangan yang menarik untuk dilihat sambil menenangkan fikiran.
Waktu Operasi: Setiap Hari (6.00am – 8.00pm)
Alamat: Kepong Metropolitan Park, Jalan Lingkaran Tengah, Kuala Lumpur, 52100
Kelip-Kelip Kuala Selangor
Anda boleh menaiki bot di Sungai Selangor untuk melihat banyak kelip-kelip yang terbang bebas yang mengeluarkan cahaya semulajadi, mengalahkan keindahan chandelier yang ada di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Untuk pengetahuan anda juga, Kuala Selangor merupakan salah satu kawasan yang memiliki koloni kelip-kelip terbesar di dunia. Anda dinasihatkan supaya jangan membuat bunyi bising dan tidak menggunakan kamera berflash atau lampu suluh kerana kelip-kelip anti dengan persekitaran yang terang.
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Pada Hari Hujan (7.00pm – 10.00pm)
Bayaran Masuk: RM15
Alamat: Firefly Park Resort Sdn Bhd, Jalan Haji Omar, Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, 45000 Selangor Darul Ehsan.
FRIM Kepong
Jom ke FRIM Kepong kalau anda ingin lari dari kesesakkan dan pencemaran di kawasan bandar. Kalau inginkan keseronokkan berganda, datang di awal pagi waktu daun masih basah dengan embun dan udara sangat nyaman di waktu itu. Di FRIM Kepong ini bukan setakat hutan rimba, anda juga boleh bermandi-manda atau berkelah di air terjun indah yang terdapat di sini. Sambil berkelah tu, pejamkan mata anda dan tenangkan fikiran sambil mendengar kicauan burung yang berterbangan. Kalau anda ingin menerokai hutan FRIM ini pula, anda boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong yang akan turut memberikan penerangan tentang flora dan fauna di hutan rimba ini.
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (6.00 am – 7.30 am, 8.30 am – 7.00 pm) | Sabtu & Ahad (6.00 am – 7.00 pm)
Bayaran Masuk: Orang Awam MyKad: RM1, Biasa: RM5 | Basikal: RM2 | Kereta: RM5
Alamat: Jalan FRIM, Kepong, Petaling Jaya 52109
Kidzania Petaling Jaya
Bawa anak-anak anda ke Kidzania, sebuah taman tema permainan di mana anak-anak anda boleh memilih pekerjaan yang mereka ingin cuba seperti menjadi DJ radio, doktor, jururawat, pakar kecantikan, jurugambar dan banyak lagi yang bukan sahaja dapat menaikkan keyakinan diri dalam bersosial bersama kanak-kanak lain, malahan dapat mencungkil kreativiti dan kemampuan mereka untuk berfikir dengan kritikal. Di Kidzania, apa sahaja pekerjaan yang mereka lakukan akan diberikan gaji dalam matawang Kidzo yang seterusnya boleh digunakan untuk membeli-belah atau berseronok dengan aktiviti lain yang terdapat di sini.
Waktu Operasi: Ahad – Jumaat (10.00 am- 5.00 pm) | Sabtu, Cuti Umum, Cuti Sekolah (10.00 am – 7.00 pm) | Ramadhan (9.00 am – 4.00 pm) | Isnin Tutup
Bayaran Masuk (Walk-In): 0 -1 Tahun Percuma | 2 – 3 Tahun RM46 | 4 – 17 Tahun RM95 | 18 – 59 Tahun RM50 | 60+ RM38 | OKU RM38
Alamat: KidZania Kuala Lumpur, Curve NX, 18 Jalan PJU 7/5, Mutiara Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor
IceScape Ice Rink
IceScape Ice Rink yang terletak di IOI City Mall ini merupakan satu-satunya gelanggang ais yang terbesar dan bersaiz Olimpik di Malaysia. Tak perlu lagi keluar negara, datang sahaja ke sini. Kalau anda teragak-agak sebab tak pernah berice-skating, anda boleh menggunakan patung penguin yang disediakan pihak IceScape sebagai tempat berpaut. Sekiranya ingin menjadi lebih profesional berbanding kawan-kawan anda, anda boleh menyertai kelas ice-skating yang disediakan untuk beginners yang disediakan di sini.
Alamat: IOI City Mall, Lebuh IRC, IOI Resort City, 62502 Selangor
Farm In The City
Anak-anak anda suka dengan haiwan? Kalau suka, apa kata anda bawa mereka ke Farm in the City. Mereka pasti tersenyum gembira dapat mendekati haiwan-haiwan comel yang dibiarkan bebas di dalam zoo ini. Bukan setakat bermain dengan haiwan, anda sekeluarga juga dapat merasai pengalaman memberikan haiwan-haiwan ini makan seperti di kawasan ladang. Zoo ini dibahagikan kepada 11 habitat iaitu Turtle & Tortoise Farm, Pets Village, Rabbit Farm, Bird Aviary dan bermacam-macam lagi. Pasti anda dan anak-anak akan terhibur melihat haiwan-haiwan itu.
Waktu Operasi: Sabtu & Ahad (10.00 am – 6.00 pm) | Isnin – Jumaat Kecuali Selasa (9.30 am – 6.00 pm) | Selasa, Cuti Umum, Cuti Sekolah (Tutup)
Bayaran Masuk: Dewasa RM39 | Kanak-kanak (11 Tahun & Kebawah) RM32 | Warga Emas (Atas 60 Tahun) RM32
Alamat: Eureka Farm Sdn. Bhd., Lot 40187 & 40188, Jalan Prima Tropika Barat, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Taman Negeri Rompin, Pahang yang merupakan antara hutan hujan tropika tertua di dunia 'kembali' menerima pelancong dan 'kaki nature' pada 1 Oktober 2020 ini selepas ditutup sejak empat tahun lalu bagi tujuan menaik taraf.
Ada yang rindu tak?
Penutupan taman negeri yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Rompin sebelum ini adalah bagi kerja menaik taraf dan pembinaan infrastruktur yang menelan belanja sebanyak RM15 juta, seperti jambatan gantung, menara tinjau, dewan serba guna dan bilik makmal penyelidikan. Projek itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bermula pada 25 Ogos 2016 dengan operator dilantik dijangka melabur sebanyak RM25 juta dalam tempoh 30 tahun untuk meningkatkan fasiliti di situ termasuk pembinaan log cabin chalet dan chalet atas pokok.
Taman Negeri Rompin yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Negeri Endau Rompin, diwujudkan pada 7 Dis 2000 dan dianggarkan berusia lebih 130 juta tahun serta mempunyai hutan yang dikelaskan sebagai hutan tropika tanah pamah malar hijau.Taman negeri ini bukan hanya terkenal sebagai destinasi ekopelancongan dalam kalangan rakyat tempatan, malah turut popular dalam kalangan pelancong asing kerana ciri hutannya yang menarik dari segi flora dan fauna, geologi dan sejarah. Ia juga mempunyai keindahan semula jadi yang unik dan hutan asli yang sukar ditemui di kawasan lain, selain turut mempunyai Air Terjun Seri Mahkota yang mampu menarik kehadiran pengunjung ke sini.
Bagi memelihara kelestarian taman negeri itu, Jabatan Perhutanan Pahang dan operator dilantik, Endau Rompin Park Resort Sdn Bhd bersetuju untuk melaksanakan polisi 'Tiada Beg Plastik' di taman tersebut.
Fi masuk akan dikenakan antara RM10 dan RM30 kepada pelancong tempatan bergantung kepada kategori, manakala warga asing dikenakan bayaran sekitar RM30 ke RM50, dengan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi kedua-dua kategori dibenarkan masuk percuma.
Selain itu, nama baharu Taman Negeri Rompin diluluskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang bagi mengelakkan kekeliruan dengan Taman Negara Endau-Rompin di Johor.
Pembukaan semula Taman Negeri Rompin diharapkan dapat meningkatkan aktiviti ekopelancongan di sini, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk setempat, seperti sektor inap desa, makanan tradisional, penghasilan kraftangan dan pemandu pelancong.
image via google & endaurompin.my | sumber: Bernama
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...