Buat rakyat Malaysia, Langkawi patut dimasukkan dalam senarai destinasi percutiaan anda. Selain menikmati keindahan alam semulajadinya anda turut menyumbang kepada sektor ekonomi negara ketika ini.
Tidak basah, tidak sahlah percutian anda di Pulau Lagenda ini. Di Pulau Langkawi terdapat banyak lokasi pantai menarik untuk singgah. Jika berada di sini, ambil masa untuk singgah ke semua lokasi pantai yang ada. Setiap pantai di Langkawi mempunyai keunikan dan tarikan yang berbeza tau.
Pantai Chenang
Pantai Cenang antara lokasi menerima kunjungan ramai apabila ke pulau legenda ini. Aktiviti pantai yang boleh dilakukan di sini sangat banyak dan meriah tidak kira siang atau malam.
Pantai Tengah
Jika berada di Pantai Cenang anda juga harus mengunjungi Pantai Tengah. Kedudukannya hanya bersebelahan dengan Pantai Cenang.Pantai ini dihiasi pasir halus dan landai, amat sesuai untuk mandi-manda. Lokasi ini membolehkan anda dapat melihat dengan jelas kehijauan Pulau Tepor.
Pantai Tanjung Rhu
Dalam kalangan masyarakat tempatan, Pantai Tanjung Rhu dikatakan memiliki persekitaran lebih mengagumkan berbanding Pantai Cenang. Anda erlu menikmati sendiri pengalaman itu apabila makan angin ke sini. Aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah memancing.
Pantai Pasir Tengkorak
Mengikut legenda tempatan, suatu masa dulu terdapat raksasa laut atau air pusar yang menenggelamkan banyak kapal dan kemudian mencampakkan tengorak mangsanya di pantai ini. Dari situlah nama Pantai Pasir Tengkorak diambil. Kedudukannya yang agak jauh daripada kawasan tumpuan orang ramai menyebabkan pantai ini tidak begitu popular dalam kalangan pelancong luar. Secara langsung, ia menjadikan lokasi itu sebagai lebih eksklusif untuk pengunjung berehat atau menikmati keindahan alam dengan tenang.
Pantai Pasir Hitam
Pasir pantai di sini lebih gelap dan sedikit kehitaman jika dipijak. Ada yang percaya, hitam itu bukanlah pasir, sebaliknya berpunca daripada tanah sawah yang dibakar oleh petani pada tahun 1821. Pantai ini terletak empat kilometer di barat daya Pantai Tanjung Rhu. Anda hanya mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan dari Langkawi Cable Car.
Teluk Burau
Kedudukannya agak tersembunyi kerana ia terletak di sepanjang pesisir barat Langkawi. Anda hanya mengambil masa kira-kira 10 minit berjalan kaki dari Langkawi Cable Car sekiranya anda ingin ke sini. Pantai bersih dan cantik ini, mengadap Gunung Mat Cincang dan lokasi menarik lain sekitar Pulau Langkawi. Walaupun pesisir pantainya sepanjang dua kilometer, hanya bahagian tengah pantai itu dibuka kepada umum.
Datai Bay
Lokasi ini adalah pantai persendirian yang dikongsi oleh beberapa pusat peranginan lima bintang iaitu The Datai dan The Andaman. Sekiranya bernasib baik, anda mungkin berpeluang melihat sekumpulan ikan lumba-lumba yang sesekali muncul di kawasan laut Andaman yang terbentang luas.
Paradise Island
Paradise Island, merupakan pulau persendirian untuk anda lakukan pelbagai aktiviti air atau pantai. Pulau ini hanya boleh diakses menggunakan perkhidmatan bot khas di Jeti Telaga Harbour Marina bermula dari jam 10 pagi hingga tengah malam setiap hari. Antara pakej dan aktiviti yang disediakan adalah mencuba permainan air di Aqua Park, Banana Boat Ride, Parasailing, snorkel atau hanya beristirahat. ‘Pulau Syurga’ ini juga bersedia menerima tetamu yang ingin mengadakan majlis sambutan ‘istimewa’.
Pantai Pulau Tuba
Berlandskap indah, berpasir putih dan pulau disimbah cahaya mentari, Pulau Tuba sememangnya menjanjikan ketenangan sebagai destinasi percutian idaman. Di samping terkenal dengan pulau yang masih dara, di sini bermulanya kedamaian buat pengunjung yang sukakan percutian privasi jauh dari gangguan. Pulau Tuba hanya boleh diakses menerusi jalan laut terletak kira-kira 5km dari Jeti Kuah, pengunjung yang ingin ke Pulau Tuba perlu menaiki bot yang mengambil masa perjalan sekitar 15 hingga 20 minit bergantung kepada cuaca.
image via google | utusan
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Negeri Sembilan sememangnya terkenal dengan pantai Port Dickson. Ada banyak bentuk penginapan yang boleh menjadi pilihan pengunjung tatkala berkunjung ke pantai peranginan terkenal ini.
Bagi yang bercadang nak bercuti ke Port Dickson, boleh cuba bermalam di Villa Lot 1638 yang terletak di sini.
Seni binanya mewah dan sangat cantik namun harganya tidaklah terlalu mahal di mana kalau booking.com, dapat RM500 untuk semalam. Paling penting sangat cantik dan luas di mana ada disediakan dua bilik katil Queen. Kalau nak buat family day atau lepak dengan kawan-kawan, korang bawalah toto ya.
Jom tengok apa yang best di villa ini.
Review
Sampai di sini jam 3.30 petang sebab singgah makan kat warung salai di sekitar PD. Sampai-sampai terus check-in.
Kat sini tak de lobi macam hotel. Dia cuma kat tempat santai, lepas tu ada meja reception. Memang tak de tulis pun ‘reception’. Tapi ada orang jaga kat situ. First time jumpa macam ni.
Masuk-masuk je pintu Villa ni, perasan macam Waaaa. Serius cantik sangat sebab senibina villa dia memang unik dan mewah. Kat Villa ni ada 14 unit. Ada yang terus bilik, ada yang satu rumah ada bilik-bilik.
Jadi masa nak booking tu boleh pilih yang mana sesuai dengan korang. Pemandangan dari bilik pulak memang cantik sangat sebab boleh terus nampak swimming pool. Bergambar dari dalam bilik pun memang sesuai.
Kebersihan tandas dia memang bersih. Tak berlumut dan semua peralatan berfungsi dengan baik. Disediakan sekali tuala dewasa dua helai setiap bilik.
Line telefon kat sini kurang sikit. Tapi jangan risau. Receptionist akan bagi wifi Wifi untuk guest.
Staff setakat yang saya pergi kali ni, berhubung dengan receptionist sorang je. Dia orang luar. Macam dari Indonesia. Memang baik dan membantu.
Kalau bab makanan, dalam rumah/bilik tak dibenarkan masak tau. Kalau rajin pergilah makan kat luar. Kalau malas, boleh je order food delivery. Macam saya, order McD je malam hari tu.
Fasiliti kat sini ada swimming pool dan BBQ. Tapi untuk BBQ tu kena pilih rumah kat belah tepi bawah (ada dalam video review saya) sebab rumah tu je boleh buat BBQ.
Aktiviti yang boleh dibuat di sini seperti BBQ, event group, family day dan lain-lain. Hari tu masa pergi ni pun ada satu group buat family day. Dia orang book betul-betul bilik depan pool. Best ooo.
Bab parking kat sini, korang kena parking kat luar, depan pintu masuk ke villa. Ruang parking khas macam kat hotel tu tak ada. Api jangan risau, Insya-Allah selamat sebab ada cctv depan pintu masuk tu.
Lokasi villa ni dekat dengan stesen minyak BHP dan SMK Datuk Haji Abdul Samad.
Tempat ini tak mesra OKU. Kalau guna wheelchair especially, kena book bilik bawah. Tapi tu la, pintu masuk dia pun ada tangga sikit.
Bad review bagi saya tak ada. Alhamdulillah semua okay dan selesa.
Overall Stay:-
Sangat berpatutan dengan harga sebab kita orang share bayar. Masing-masing bayar RM250 je.
Enjoy tak? Tak sempat nak enjoy sebab nak kena check-out awal untuk mengundi PRN Melaka hari tu.
Nak datang lagi? Sudah semestinya.
Siapa yang nak datang, datanglah. Lagi-lagi yang ada anak-anak. Seronok tengok budak-budak mandi pool dengan pelampung, mainan air dan lain-lain.
LOT 1638, PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN
Stay : 2 hari 1 malam
Tarikh: 19-20/11/2021 (Jumaat-Sabtu)
Harga 1 malam: RM500 (2 bilik katil Queen)
Deposit: RM200 (cash)
Booking perlu dibuat melalui aplikasi (booking.com)
Pax stay: 2 Family (4 dewasa, 2 kanak-kanak)
Sumber:- Warith Abdul Aziz ( Hotel Review Malaysia)
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Jolokan ‘Negeri Permai Lagi Mempesona’ sememangnya sinonim dengan negeri Perlis yang indah.
Umum mengetahui Perlis merupakan negeri terkecil di utara Semenanjung, namun kecil-kecil negeri Indera Kayangan ini mempunyai tarikan istimewa yang pelbagai dan wajib dikunjungi sekali dalam seumur hidup anda.
Sumber asal daripada page facebook Oh My Perlis ini 30 destinasi tarikan menarik yang ada di Perlis. Perlis is osemmmm!!
1. Nat Pokok Getah merupakan pasar pagi yang terletak di Pauh, Arau. Uniknya pasar pagi ini terletak betul-betul di dalam kebun getah dan beroperasi pada setiap hari jumaat dan ahad. Nak cari apa? Semuanya ada di sini.
2. Bukit Tok Dun terletak di Ulu Pauh, Arau berhampiran dengan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Bukit yang mempunyai ketinggian 325mdpl ini menjadi tumpuan pemburu matahari terbit/terbenam dan juga fenomena awan karpet.
3. Lebuhraya Chuping-Padang Besar dulu dikenali sebagai jalan ladang tebu. Kini kawasan ini digantikan dengan tanaman getah dan kenaf. Menjadi kawasan popular untuk bergambar dan video. Sesuai juga untuk aktiviti memerhati burung dan juga mencerap bintang.
4. Canopy Walk FRIM Mata Ayer Terletak di kawasan Hutan Simpan Kekal Mata Ayer, Kaki Bukit, Perlis. Canopy walk ini telah dibina untuk dijadikan kawasan penyelidikan flora dan fauna terutama sekali tentang pokok jati dan dalam masa yang sama turut dijadikan kawasan ekopelancongan. Merupakan titian yang berkepanjangan 100 meter dan jaraknya dari tanah adalah 17 meter.
5.Bukit Chabang boleh dikatakan sebagai ikon negeri Perlis. Bukit yang terbelah dua ini ibarat lukisan matahari keluar dengan sawah padi. Berketinggian 390 mpdl dan mempunyai trek mendaki yang hampir 90% climb dengan struktur baerbatu tajam. Untuk mendaki, perlulah mendapatkan permit dan mempunyai guide yang terlatih.
6. Wang Burma terletak di Taman Negeri Perlis. Sebenarnya ada lagi beberapa gua di Perlis dan ada diantaranya yang masih belum diteroka dan dibuka untuk pelawat. Gua Wang Burma ada 2 bahagian, iaitu Gua Wang Burma 1 yang terdiri dari formasi batuan menarik seperti ‘stalactite’ dan ‘stalagmite’ manakala Gua Wang Burma 2 pula memerlukan gabungan kekuatan fizikal dan mental seperti merangkak di laluan sungai yang sempit.
7. Hutan Lipur Bukit Ayer merupakan sebuah tarikan alam semula jadi yang menyegarkan dengan rimbunan pokok yang menghijau dan air terjun yang mengalir jernih. Sesuai untuk aktiviti mandi manda, riadah, berkelah, berkhemah dan lain-lain lagi.
8. Denai Larian Pengkalan Asam menyediakan trek jogging yang terletak di sekitar sungai. Antara tarikan yang ada di sini ialah jambatan gantung. Lokasi ini juga menarik untuk anda bergambar sambil beriadah.
9. Pintu Wang Gunung berketinggian 499.1 meter lokasinya terletak di sempadan antara Malaysia dan Thailand. Gunung ini terkenal dalam kalangan pendaki kerana trek yang agak mencabar dengan laluan berbatu tajam dan curam.
10. Taman Ular dan Reptilia Perlis dikenali sebagai snake farm yang menempatkan lebih daripada 150 ekor ular yang terdiri daripada 34 spesies yang ada di sini. Selain itu, terdapat bustana kucing serta pameran haiwan lain dan juga taman bunga matahari.
11. Trek Kurong Tengar yang terletak di persisir pantai Kuala Perlis-Kuala Sungai Baru. Menjadi lokasi tumpuan warga tempatan beriadah bersama keluarga sambil menikmati pemandangan pantai dan menghirup udara segar. Antara aktiviti tumpuan di sini adalah permainan layang-layang moden dan tradisional.
12. Empangan Timah Tasoh merupakan empangan utama Perlis. Tasik buatan ini memiliki keindahan panorama yang permai lagi mempersona. Menjadi lokasi sesuai untuk bergambar dan video. Selain menjadi sumber hasil kepada nelayan darat, terdapat juga sukan air dan aktiviti memancing yang dijalankan di sini.
13. Taman Rekreasi Bukit Jernih. Panorama indah yang ditawarkan taman rekreasi ini menjadikan ia kawasan kegemaran ramai orang yang ingin beriadah dan melakukan aktiviti perkhemahan.
14. Puncak Bukit Cenderawasih berketinggian 103 mdpl tidak jauh dari pusat bandar Kangar dan di kenali sebagai Gua Sami. Terdapat laluan mendaki yang merupakan tangga buatan. Dari puncak, anda dapat lihat pemandangan sekitar bandar Kangar, Kuala Perlis dan juga matahari terbenam.
15. Pemandangan di atas puncak Bukit Pelarit tidak mengecewakan. Sesiapa yang berminat bolehlah mencuba sendiri dan merasai pengalaman mendaki di Bukit Pelarit. Bukit ini terletak berhampiran dengan Tasik Meranti, Kaki Bukit dan berketinggian 553 mdpl.
16. Padang Besar merupakan syurga membeli-belah bagi rakyat Malaysia kerana lokasinya di kawasan bebas cukai di antara sempadan Malaysia-Thailand. Suasana di sini sangat menarik kerana anda dapat melihat, merasa dan membeli berbagai barangan makanan yang unik dan tidak terdapat di negara kita.
17. Bukit Merbok terletak berhampiran dengan Kampung Ujung Bukit. Untuk sampai ke puncak, anda akan lalui Gua Bunian dan Gua Telus.
18. Taman Rekreasi Tasik Melati. Sesuai untuk beriadah bersama keluarga dengan berlatarbelakangkan kehijauan bukit-bukau. Sesuai untuk anda yang gemar aktiviti memerhari burung kerana di sini terdapat pelbagai jenis burung dalam pelbagai warna yang terbang bebas.
19. Masjid Alwi yang siap dibina pada tahun 1933 dan telah diisytiharkan sebagai Warisan Negara di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Konsep rekaan masjid ini adalah Mughal klasik terutamanya pada kubah masjid ini. Masjid ini dinamakan sempena nama Raja Muda Perlis pada ketika itu, Raja Syed Alwi.
20. Taman Awam Bukit Lagi, berdekatan dengan Gua Sami. Taman rekreasi yang lengkap dengan kemudahan riadah berlatarbelakangkan bukit. Sesuai merakam foto kenang kenangan.
21. Hutan Lipur Bukit Kubu terletak di Kuala Perlis. Dikawasan ini terdapat gua dan tasik yang dikelilingi oleh sawah padi. Sesuai untuk aktiviti riadah seisi keluarga. Disediakan trek mendaki puncak bukit kubu dan menara tinjau untuk menikmati pemandangan sempadan daerah Satun, Thailand.
22. Kuala Perlis terkenal sebagai pintu masuk untuk ke Langkawi. Selain laksa dan makanan laut yang terkenal di sini, anda juga boleh menikmati keindahan pemandangan persisir pantai serta perkampungan nelayan di mukim Kuala Perlis. Antara aktivti tahunan yang menarik di sini adalah Pesta Air Kuala Perlis, pelbagai sukan air dijalankan.
23. Bukit Keteri merupakan destinasi rock climbing yang terkenal di Asia. Bukit Keteri ini sebenarnya salah satu daripada laluan pendakian yang paling mencabar di Asia.
24. Wang Kelian merupakan pintu keluar masuk antara sempadan Malaysia-Thailand. Terdapat menara pandang yang akan memberikan anda pemandangan sekitar negeri Perlis serta pemandangan bukit-bukau yang menghijau.
25. Muzium Kota Kayang terletak di mukim Kayang iaitu berhampiran terusan buatan manusia yang tertua di Semenanjung. Muzium Kota Kayang menawarkan pelbagai maklumat mengenai sejarah Perlis.
26. Taman rekreasi Gua Kelam merupakan salah satu gua batu kapur yang terletak dalam Banjaran Nakawan di Perlis dan terkenal dengan lombong bijih. Terdapat juga kawasan mandi manda, tapak perkhemahan, secret garden dan galeri 3D.
27. Bukit Jernih dikenali sebagai puncak KTM terletak di kawasan Taman Rekreasi Bukit Jernih. Bila beraa di puncak Bukit Jernih, anda akan terpukau dengan keindahan bukit bukau di Perlis yang mempersonakan.
28. Masjid Terapung Kuala Perlis terletak berhampiran jeti Kuala Perlis. Sebahagian daripada binaannya mengadap ke laut Selat Melaka menjadikan ia lebih indah terutama sekali apabila tibanya waktu senja. Masjid ini juga boleh dilawati oleh orang bukan Islam kerana salah satu fungsinya ialah sebagai produk tarikan pelancongan negeri perlis.
29. Arau Bandar Diraja. Terdapat sebuah galeri diraja Perlis yang mempamerkan salasilah serta sejarah keturunan Diraja Perlis, alat kebesaran Diraja dan barangan antik. Bersempenana hari keputeraan DYMM Raja Perlis, acara tahunan malam kilauan cahaya diadakan di Istana Arau.
30. Pulau Batu Layang merupakan sebuah pulau kecil tak berpenghuni terletak lebih kurang 20 minit dari pesisir Kuala Sungai Baru- Pantai Kurong Tengar. Menariknya pulau ini, ia menjadi tumpuan ikan lumba-lumba bermain di kawasan ini.
Jom cuti-cuti Perlis!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Alam ciptaan Allah ini sememangnya indah. Ia berbeza dari satu negara ke satu negara mengikut bentuk muka buminya. Keindahan alam ini juga satu bukti kekuasaan Allah taala yang menjadikan langit dan bumi ini menurut aturanNya.
Dikongsikan dari fb Zunita Ramli yang juga rakyat Malaysia yang menetap di Jepun ini, owner dan founder produk Tokyo Organik HQ ini berkongsi keindahan menyaksikan matahari terbit ini ketika pendakiannya ke Puncak Gunung Fiji yang sangat terkenal serata dunia hingga menarik jutaan pelancong ke lokasi ini saban tahun.
Baca pengalaman Zunita Ramli yang mendaki Gunung Fuji.
Malam tu, tak dapat tidur.
Tidur di altitud tinggi tambahan lagi pakcik sebelah sana berdengkur punya kuat juga mencabar ye. Terkebil-kebil mata tak dapat tidur. Kepala mula berdenyut, tak pasti sebab altitude sickness atau cuma penat, aspirin ditelan 2 biji. Setel.
Pukul 1:30 pagi saya dah bangun siap-siapkan beg apa semua dan suhu masa tu pun agak sejuk juga, lebih kurang 5-6 darjah selsius. Oksigen makin nipis dan angin pun agak kuat. Jadi pakai pakaian bersesuaian sangat membantu.
Pukul 2 pagi, saya gerak. Gelapnya ampun, dengan angin kuatnya.. nasib ada lampu kepala (headlamp). Sangat-sangat membantu. Angin kuat menyapa muka seakan-akan meminta berhenti sebentar melihat keindahan alam yang amat jarang saya dapat lihat.
Saya lihat ke atas, bintang sangat bersinar, banyak jumlahnya dan sangattttttt cantik! Ibarat gugusan berlian bertaburan di langit hitam yang pekat. Awan lansung tak ada, langit cerah secerah-cerahnya! Bulan, pun nampak jelas. Ibarat mengiringi pendakian solo saya di awal pagi.
Nun di ufuk sana, nampak cahaya pekat malam disulam warna biru pekat dengan sedikit campuran oren. Di bawah pula, bandar Fujiyoshida yang disinari cahaya lampu jelas kelihatan. MashaAllah banyak sangat ciptaan Dia yang saya dapat tengok dengan jelas masa daki ni. Sangat cantik. Speechless.
“Jalan Jem menuju ke puncak”
Saya teruskan pendakian.
Sampai ke stesen kesembilan telahan saya tepat, jalan jem. Ye tentuan, nak daki pun boleh jem ye jalan. Nasib takde traffic light kalau tak mesti lagi jem . Siap ada “polis traffic” yang jaga jalan & bagi sorakan “ganbatte!”, “you can do it!”, disambut dengan gelak tawa pendaki lain. Seronok juga sebenarnya.
Kejap gerak, kejap berhenti. Macam tu lah sampai ke puncak.
Patut ambil masa 2 jam dari stesen 8 tapi sebab jem, jadi 2 jam 30min. Saya expect kalau daki Sabtu atau Ahad, lagi teruk kot jem nya. Memang ramai orang daki awal pagi sebab nak kejar sunrise. Alhamdulillah saya akhirnya sampai ke puncak dalam 4:30 pagi.
Dekat puncak, dah rasa perut macam tak selesa dan nak muntah, mungkin masa naik dari stesen 9 tu saya tak stop lansung sebab fikir nak cepat. Ini tanda-tanda altitude sickness juga. Tapi saya tak sesak nafas, cuma perut je lah rasa tak selesa.
Serba tak kena juga jadinya. Jadi hati-hati ya pada yang lain. Pastikan masa naik, terutamanya dari stesen ke 9, rehat secukupnya sebab oksigen makin menipis. Don’t rush, nanti menyesal macam saya. Huhu.
Kat atas tu ada kuil (as expected) dan kedai juga. Ada jual souvenir, makanan dan sebagainya lah. Saya beli keychain & ukir tarikh saya berjaya tawan puncak Fuji, iaitu 28 Ogos 2021. Kenangan kan. Harga ¥1000 (RM40) lah tapi hehe.
Kemudian, saya ambil spot untuk lihat sunrise. Tunggu punya tunggu, kelihatan bebola oren seperti “kapal” muncul keluar dari “lautan”. Sedikit demi sedikit “kapal” oren tu naik menampakkan bentuk bulat nya.
“Rasa Nak Menangis Saksikan Matahari terbit depan mata, sangat indah”
“Eh, matahari ke tu?,” getus hati saya.
Setelah lebih kurang 30% bebola oren tu naik, ya, “kapal” oren tu adalah matahari yang sedang naik, memancarkan cahayanya sedikit demi sedikit. MashaAllah memang sangat-sangat cantik.
Tanpa sedar, air mata saya menitis.
Tak tahu nak cakap.. Sedih, terharu semua ada. The most beautiful sunrise I’ve even seen in my entire life. Sungguh. Patut lah orang berebut nak tengok sunrise dari puncak Fuji, memang sangat cantik kejadiannya..
Ya, semua orang boleh daki Fuji.
Tapi tak semua direzekikan untuk lihat matahari terbit, dengan jelas dari puncak Fuji sebab banyak faktor, terutama faktor cuaca yang boleh berubah dengan drastik. Tapi saya, among the chosen ones by Allah, berpeluang untuk lihat kebesaran Allah ni. Allahu Allah. Nikmat apa lagi untuk saya dustakan?
Kemudian lepas tengok sunrise, saya jalan sekejap di sekitar puncak Fuji. Kawah gunung berapi Fuji boleh dilihat dengan jelas dekat sini. Kalau nak “tawaf” kawah tu pun boleh, ambil masa lebih kurang 1.5 jam untuk satu pusingan kawah tu tapi masa tu saya tak buat sebab perut sangat tak selesa. Vending machine kat puncak tu pun tak jumpa. Ye lah, vending machine paling tinggi dekat dunia tuuu tapi tak larat nak cari.
Fikir-fikir balik, menyesal daki tak stop dari stesen 9 tu. Kan dah rasa tak selesa. Tapi maksudnya, kena daki lagi la nanti kan? Hehe
Nonetheless, If people asked me, would I hike Mt Fuji again? Why not? Without a doubt. . #CatatanZunitaDiJepun #SpecialEditionFuji p/s: Dikesempatan ini saya nak ucapkan terima kasih pada semua yang doakan pendakian Fuji saya kali ni. Tanpa iringan doa kalian, mungkin tak dipermudahkan dan dapat pengalaman sedemikian rupa. Thank you very much. Really, I meant this . Sumber : Fb Zunita Ramli. p/ss: Yang terlepas Part 1, boleh tengok sini: https://www.facebook.com/100007661526074/posts/3067325093532845/?d=n
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!