Nak Menunaikan ibadah Umrah kini lebih mudah dengan Nusuk dan juga pakej Umrah+ yang membolehkan pelawat dari malaysia menjelajah ke lebih banyak destinasi di tanah Arab yang asli dan bersejarah.
Bukan sahaja nak tunaikan umrah lebih mudah dengan pelantar rasmi digital bersepadu, Nusuk yang juga ada dalam versi Bahasa Melayu, malah orang Malaysia juga boleh singgah ke destinasi pelancongan menarik di Arab Saudi yang kaya dengan budaya dan sejarah.
Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi atau lebih dikenali dengan Saudi Tourism Authority (STA) pada 6 Mac telah berjaya mengadakan jerayawara bersama 21 rakan kongsi termasuk syarikat pengurusan destinasi dan pemilik hotel dari Saudi Arabia, berserta syarikat Umrah dan persatuan pelancongan Malaysia di Kuala Lumpur untuk mengumumkan pelancaran Nusuk (nusuk.sa). Nusuk.sa ialah pelantar digital bersepadu Umrah yang baharu, yang mengalu-alukan jemaah Umrah dari seluruh dunia untuk merasai pengalaman Umrah secara menyeluruh.
Nusuk Mudahkan Perjalanan Ibadat Umrah
Nusuk, satu inisiatif yang dilancarkan oleh Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi dengan kerjasama Program Pengalaman Jemaah Umrah Wawasan 2030 telah diumumkan dalam majlis yang dihadiri oleh Menteri Haji dan Umrah, Tuan Yang Terutama Dr. Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah. Nusuk akan meluaskan lagi pilihan dan meningkatkan keseluruhan pengalaman umat Islam yang melawat Saudi dan meringkaskan prosedur ketibaan bagi pengunjung yang datang untuk mengerjakan Umrah.
Menteri Haji dan Umrah, Tuan Yang Terutama Dr. Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah, berkata, “Kini kami membuka semula pintu untuk menyambut ketibaan kumpulan jemaah Umrah yang paling besar dari seluruh dunia ke Saudi selepas pandemik, dan kami tidak sabar untuk memberikan pengalaman penempahan yang lancar dan menyeluruh, dengan pilihan perjalanan yang diperluaskan akan membawa mereka menempuh kembara keimanan melalui beberapa tarikan dan tawaran yang bercirikan Islam di antara Mekah dan Madinah, seterusnya merasai saat yang menakjubkan dan mengenali Saudi yang kaya dengan budaya dan warisan.”
Ads
Fahd Hamidaddin, Ketua Pegawai Eksekutif serta Ahli Lembaga Pengarah Pihak berkuasa Pelancongan Saudi serta Pengarah Urusan Nusuk, menyatakan, “Kami komited untuk menjadikan Saudi sebuah negara yang mudah dikunjungi oleh semua pelawat. Untuk jemaah Umrah kami telah melancarkan pelantar digital Nusuk yang direka bentuk untuk jemaah Umrah dan pelawat merancang perjalanan ibadah mereka dengan lancar. Jemaah Umrah dari Malaysia boleh memohon e-visa pada pelantar Nusuk dan boleh menempah pakej khas ke Mekah, Madinah dan tempat-tempat lain. Kami juga bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menggalakkan jemaah Umrah menjelajah negara kami yang indah dan merasai pengalaman yang pelbagai dengan program Umrah+. Saudi mengalu-alukan seluruh dunia untuk melawat destinasi baharu yang paling berkembang pesat dan sempadan pelancongan percutian yang belum diterokai. Ia memberi peluang perniagaan baharu yang tiada bandingan untuk rakan kongsi yang mahu menawarkan pengalaman yang memikat hati, jiwa dan impian para pelancong ke Saudi.”
Alhasan Aldabbagh, Presiden Nusuk-APAC, berkata, “Kami sentiasa melakukan inovasi yang berterusan dan pelancaran pelantar Nusuk dalam Bahasa Melayu membuktikan ketangkasan kami dalam memenuhi keperluan pasaran. Kami berharap untuk menyambut lebih ramai pengunjung dari Malaysia berbanding sebelum ini. Nusuk akan memudahkan dan melancarkan perancangan dan penempahan perjalanan jemaah Umrah, seterusnya menggalakkan para jemaah Umrah untuk mengenali Saudi selain daripada sebagai tempat ibadah.
Malaysia yang merupakan pasaran strategik utama bagi Saudi kini mengukuhkan lagi hubungan dengan rakan kongsi dan komited untuk melabur dan bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk memastikan pengalaman yang bersesuaian dan menarik bagi pasaran Malaysia. Tahun lalu, Saudi telah menerima 312,000 orang pengunjung dari Malaysia dan tahun ini mereka menjangka bilangan ini akan meningkat dua kali ganda.
Ads
Umrah+ Beri Peluang Melawat Ke Destinasi Pelancongan Di Arab Saudi
Bagi memastikan matlamat ini tercapai, Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi mengumumkan dua inisiatif utama semasa jerayawara Malaysia: pakej Umrah+ yang dipertingkatkan dan Visa Persinggahan.
Pakej Umrah+ yang dipertingkatkan disediakan bagi membolehkan pengembara mengetahui bahawa Saudi kini telah menjadi destinasi pelancongan menarik yang kaya dengan budaya dan sejarah, alam semula jadi yang indah dan landskap yang pelbagai. Terdapat 6 tapak Warisan Dunia UNESCO dan lebih daripada 10,000 tapak arkeologi yang menunggu untuk diterokai di Saudi, termasuk Al Balad di Jeddah, Turaif di Diriyah – tempat kelahiran Saudi serta pergunungan Aseer dan pekan kecil yang menjanjikan pengalaman warisan dan kebudayaan – yang akan memberi peluang kepada pelawat untuk merasai pengalaman tanah Arab yang sebenar.
Ads
Visa Persinggahan yang diumumkan baru-baru ini terbuka untuk semua pelawat yang berkunjung untuk melancong, urusan perniagaan dan ibadah yang menaiki pesawat SAUDIA dan Flynas. Pelawat boleh singgah di Saudi sehingga 96 jam dan menikmati satu malam penginapan hotel bersama Saudia yang diberikan secara percuma. Ini menjadikan Saudi sebagai persinggahan yang tepat untuk rakyat Malaysia yang dalam perjalanan ke Eropah, UK dan AS.
Saudi telah melabur dalam beberapa projek mega seperti Qiddiya, Neom dan Murabba baharu di Riyadh yang diumumkan baru-baru ini, dipanggil ‘Mukaab’ yang bakal menjadi pusat bandar moden terbesar di dunia.
Ketahui lebih lanjut tentang tawaran pelancongan Saudi pada lama web Visit Saudi atau layari Nusuk di nusuk.sa.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Kemboja menarik balik larangan masuk pelawat asing dari Iran, Itali, Jerman, Sepanyol, Perancis dan Amerika Syarikat yang dikenakan sebelum ini bagi membendung penularan COVID-19.
Menurut Kementerian Kesihatan negara tersebut, pesakit terakhir COVID-19 diizin keluar hospital pada 16 Mei 2020 lalu, menjadikan negara kini bebas kes.
Kementerian Kesihatan melaporkan pelawat asing yang masuk ke Kemboja masih perlu menunjukkan sijil kesihatan sah tidak melebihi tempoh 72 jam yang mengesahkan mereka tidak dijangkiti virus COVID-19.
Mereka juga perlu tunjukkan bukti memiliki insurans kesihatan bernilai AS$50,000 semasa berada di Kemboja.
Selain itu, pengunjung asing perlu menjalani saringan COVID-19 dan dikuarantin selama 14 hari di kemudahan ditentukan kerajaan.
Mulai Jun 2020, Kemboja akan membuka semula semua muzium selepas tiada kes jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan selama lebih sebulan. Untuk mengelakkan risiko jangkitan, kerajaan Kemboja menasihatkan langkah pencegahan perlu diambil termasuk memeriksa suhu badan pengunjung, menyediakan pensanitasi tangan dan menjaga jarak sosial.
Sebagai tanda sokongan kepada Palestin dan rakyatnya, Oman memaklumkan ia memutuskan untuk membuka kedutaan di wilayah Palestin. Perkara itu menjadikan Muscat sebagai negara Teluk Arab pertama berbuat demikian.
Ia bertepatan dengan bengkel ekonomi diterajui Amerika Syarikat (AS) di Bahrain untuk mendedahkan pelan damai Timur Tengah kontroversi yang dijangka tidak akan mengiktiraf kemerdekaan Palestin.
“Sebagai simbol sokongan berterusan, pemerintah Oman, Sultan Qaboos Said al Said memutuskan untuk membuka misi diplomatik di peringkat kedutaan di Palestin,” kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan di Twitter.
Delegasi dari Kementerian Luar akan ke Ramallah untuk mengambil langkah yang perlu bagi pembukaan kedutaan tersebut.
Difahamkan, Oman tidak menyertai bengkel ekonomi di Manama tersebut di mana pentadbiran Presiden AS, Donald Trump berharap dapat meningkatkan pelaburan AS$50 bilion (RM207 bilion) untuk memperbaiki keadaan ekonomi Palestin.
Persidangan itu turut diboikot Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang bimbang pentadbiran AS akan menggunakan wang untuk melaksanakan penyelesaian politik pro-Israel.
Tinggal lagi tujuh hari sahaja lagi sebelum penguatkuasaan larangan merokok di premis restoran akan dikuatkuasakan bermula Januari 2019.
Walau bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, perokok masih dibenarkan merokok 3 meter atau 10 kaki dari kawasan restoran.
Peraturan baharu itu juga menetapkan pengusaha dan pemilik kedai makan dan restoran perlu menaikkan tanda larangan merokok selain tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bilik khas merokok dan bekas membuang puntung rokok.
Kepada yang ingkar dengan larangan ini, Peraturan-Peraturan kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2005) menyatakan bagi kesalahan merokok di suatu tempat yang di larang (subperaturan 11(1) denda minimum yang boleh dikenakan ialah RM250.00 dan denda maksimum ialah RM500.00. Sabit kesalahan oleh mahkamah, boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun.
Jadi untuk memudahkan orang awam faham mengenai kawasan larangan 3 meter atau 10 kaki ini, Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan infografik bagi rujukan kepada semua perokok-perokok tegar.
Jom kita tengok.
Restoran di rumah kedai. Perhatikan jarak 3 meter dari meja di muka pintu kedai tersebut, itu adalah kawasan larangan merokok.
Tempat makan terbuka. Kawasan ini selalunya wujud di kedai mamak. So kalau lepak mamak yang ada kawasan terbuka, kawasan tersebut adalah kawasan larangan merokok.
Gerai makan. Sama juga macam kawasan terbuka tadi, tetapi ini melibatkan kawasan gerai dan yang sama waktu dengannya. Kawasan berkelompok meja dan 3 meter dari situ adalah kawasan larangan merokok.
Trak makan / Food truck – 3 meter dari food truck adalah kawasan larangan merokok.
Kedai makan dalam sungai. Ha tu dia kedai makan dalam sungai pun adalah kawasan merokok dalam jarak 3 meter daripada sungai.
Makan atas awan. Yang ini tak boleh buat apa la. Kalau nak merokok jugak awak gantung diri 3 meter dari atas tu, boleh la merokok, hehehe. Selain daripada kawasan premis restoran di atas, sebenarnya ada beberapa lagi kawasan larangan merokok seperti yang terkandung dalam buku Peraturan 11(1) PPKHT 2004 seperti:
1. Di dalam pusat hiburan atau teater, kecuali pub, disko, kelab malam atau kasino, pada bila-bila masa apabila tempat itu dibuka kepada orang awam.
2. Di mana-mana kawasan hospital atau klinik.
3. Di dalam lif atau tandas awam.
4. Di dalam tempat makan atau kedai berhawa dingin.
5. Di dalam kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam.
6. Di dalam mana-mana bangunan yang dinyatakan oleh menteri melalui pemberitahuan dalam warta bawah peraturan 22.
7. Di dalam mana-mana lapangan terbang.
8. Di dalam mana-mana premis kerajaan.
9. Di mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian.
10. Di mana-mana kawasan di dalam suatu institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi.
11. Di mana-mana kawasan di dalam suatu taman asuhan kanak-kanak.
12. Di dalam mana-mana bas sekolah.
13. Di mana-mana tingkat yang mempunyai kaunter perkhidmatan di dalam bangunan bank atau institusi kewangan, Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd. dan Pos Malaysia Bhd.
14. Di dalam mana-mana kawasan di dalam kompleks membeli-belah.
15. Di mana-mana kawasan di dalam suatu stesyen minyak.
16. Di mana-mana kawasan di dalam suatu stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gimnasium.
17. Di dalam mana-mana bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan.
18. Di mana-mana kawasan di dalam suatu perpustakaan.
19. Di mana-mana kawasan di dalam kafe internet.
20. Di mana-mana kawasan di dalam suatu tempat latihan khidmat negara.
21. Di dalam mana-mana tempat kerja berhawa dingin dengan suatu sistem hawa dingin berpusat.
22. Seluruh Hentian Rawat Dan Rehat (RnR) di seluruh Lebuhraya Malaysia.
Jadi kepada perokok tegar di luar sana, ambil perhatian ya. Jangan kerana sebatang merokok, duit melayang bayar denda. RM10,000 tau. Ingatlah orang yang tersayang. Selamat beramal.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!