
Bercuti berdua dengan bajet RM500 mungkin kedengaran agak ketat, apatah lagi untuk perjalanan selama tiga hari dua malam. Tapi kalau destinasi tak terlalu jauh, pengangkutan murah dan banyak aktiviti percuma, jumlah ini sebenarnya masih boleh diusahakan.
Salah satu destinasi yang sesuai ialah Ipoh, Perak. Selain terkenal sebagai syurga makanan, bandar ini mempunyai banyak tarikan yang boleh dikunjungi tanpa perlu mengeluarkan belanja besar. Paling penting, kos perjalanan dari Kuala Lumpur juga boleh jadi sangat murah jika memilih bas yang sesuai.
Naik Bas Ke Ipoh, Tambang Sekitar RM20 Sehala
Bagi yang bergerak dari Kuala Lumpur, Plusliner dan Nice Executive Coach menawarkan tambang sekitar RM20 untuk perjalanan ke Terminal Amanjaya, Ipoh bagi laluan tertentu.
Antara tambang kelas ekonomi yang boleh dijadikan rujukan ialah:
| Laluan | Tambang Ekonomi |
| KL Sentral → Terminal Amanjaya, Ipoh | RM19.60 |
| TBS (Terminal Bersepadu Selatan) → Terminal Amanjaya, Ipoh | RM19.60 |
| Hentian Duta → Terminal Amanjaya, Ipoh | RM19.40 |
Jika mengambil kira tambang sekitar RM20 seorang untuk satu perjalanan, kos pergi balik bagi dua orang adalah sekitar RM80 sahaja.
Bagaimanapun, harga tiket boleh berubah mengikut tarikh, jadual perjalanan dan kekosongan tempat duduk. Sebaiknya semak harga dan tempah lebih awal sebelum memulakan perjalanan.
Anggaran Bajet RM500 Untuk Dua Orang
Untuk memastikan bajet tidak terlebih, setiap perbelanjaan perlu dirancang terlebih dahulu.
| Perbelanjaan | Anggaran |
| Bas pergi balik KL–Ipoh untuk 2 orang | RM80 |
| Penginapan 2 malam | RM140 |
| Makan dan minum | RM140 |
| Pengangkutan sekitar Ipoh | RM70 |
| Aktiviti/tiket tarikan | RM20 |
| Baki kecemasan/jajan | RM50 |
| Jumlah | RM500 |
Ini hanyalah anggaran dan bukannya harga tetap. Kalau berjaya mendapatkan penginapan lebih murah atau banyak berjalan kaki, lebihan bajet boleh digunakan untuk makan atau aktiviti lain.
Hari Pertama: Jalan-Jalan Sekitar Ipoh Old Town
Sampai di Terminal Amanjaya, terus ke tempat penginapan untuk meletakkan beg sebelum memulakan aktiviti.
Untuk hari pertama, fokus sahaja di sekitar Ipoh Old Town kerana terdapat banyak lokasi menarik yang berdekatan antara satu sama lain.
Boleh singgah ke Concubine Lane, melihat bangunan klasik Stesen Kereta Api Ipoh, bergambar di Birch Memorial Clock Tower dan mencari mural yang terdapat di sekitar bandar lama.

Kelebihan meneroka kawasan ini ialah kebanyakan lokasi boleh dilawati dengan berjalan kaki. Bukan sahaja dapat melihat lebih dekat seni bina lama Ipoh, malah boleh menjimatkan kos e-hailing.
Petang pula bolehlah mencari kopi putih Ipoh dan menikmati makanan tempatan sebelum pulang berehat.
Hari Kedua: Teroka Keindahan Batu Kapur Ipoh
Hari kedua boleh diperuntukkan untuk melihat sisi lain Ipoh yang terkenal dengan bukit batu kapur dan kuil guanya.
Antara lokasi yang boleh dimasukkan dalam perjalanan ialah Sam Poh Tong dan Perak Cave Temple. Selain seni bina kuil yang menarik, pemandangan bukit batu kapur di kawasan ini memang memberi pengalaman berbeza daripada berjalan di tengah bandar.

Satu lagi lokasi yang boleh dipertimbangkan ialah Tasik Cermin. Tasik yang tersembunyi di sebalik bukit batu kapur ini cukup popular kerana pemandangannya yang cantik.

Namun untuk trip RM500, jangan terlalu ghairah memasukkan semua aktiviti berbayar. Pilih satu tarikan yang benar-benar mahu dikunjungi dan gunakan selebihnya untuk meneroka lokasi percuma.
Kellie’s Castle Kalau Bajet Mengizinkan
Kalau masih mempunyai lebihan wang dan kos pengangkutan sesuai, boleh juga mempertimbangkan Kellie’s Castle di Batu Gajah.

Bangunan bersejarah ini menjadi antara lokasi popular untuk pengunjung yang datang ke sekitar Ipoh dan Batu Gajah.
Cuma lokasinya berada di luar pusat bandar. Jika menggunakan e-hailing, kira dahulu tambang pergi dan balik sebelum membuat keputusan. Untuk trip bajet, kos perjalanan kadangkala lebih besar daripada harga tiket masuk sesuatu tarikan.
Tak perlu paksa masukkan terlalu banyak tempat. Matlamatnya adalah bercuti dengan selesa tanpa pulang dengan poket kosong.
Hari Ketiga: Misi Makan Sebelum Balik
Sebelum meninggalkan Ipoh, gunakan hari terakhir untuk mencari makanan yang menjadi identiti bandar ini.
Kopi putih Ipoh, tau fu fah, dim sum dan pelbagai hidangan tempatan boleh dimasukkan dalam senarai. Tetapi dengan peruntukan makan sekitar RM140 untuk dua orang sepanjang perjalanan, kena bijak memilih kedai.
Tak semestinya setiap hidangan perlu di restoran popular. Sarapan di kopitiam atau kedai makan tempatan dan pilih satu atau dua makanan ikonik yang benar-benar mahu dicuba.
Jika masih ada baki, barulah beli sedikit buah tangan sebelum bergerak ke Terminal Amanjaya untuk perjalanan pulang.
Cara Pastikan RM500 Betul-Betul Cukup
Kunci utama trip ini ialah jangan bercuti seperti orang yang membawa bajet RM1,000 apabila duit yang diperuntukkan cuma RM500.
Tempah tiket bas dan penginapan lebih awal, pilih hotel atau hostel yang strategik, banyakkan berjalan kaki dan hadkan penggunaan e-hailing. Elakkan juga terlalu banyak lokasi berbayar dalam satu perjalanan.
Paling penting, asingkan sekurang-kurangnya RM40 hingga RM50 sebagai wang kecemasan. Jangan habiskan keseluruhan bajet untuk makan dan aktiviti.
Percutian tiga hari dua malam dengan RM500 untuk dua orang memang bukan trip mewah. Tapi kalau matlamatnya mahu tukar suasana, makan sedap dan meneroka bandar lain tanpa berbelanja besar, Ipoh boleh menjadi antara pilihan yang cukup berbaloi.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!

