
Seperti yang kita tahu, Genting Skyworld akan dibuka tahun ini tetapi belum dipastikan bila.
Namun dalam satu kenyataan rasmi, waktu yang dinanti-nantikan akhirnya akan tiba.
Tempat permainan yang sangat mengujakan ini akan dibuka sepenuhnya bermula 8 Februari ini setelah pembukaannya tertangguh beberapa tahun lalu.
Lebih menarik Genting Skyworld ini akan melakukan promosi diskuan 20% sempena pembukaannya 8 Februari ini hingga 31 Mac.
Ketua Operasi Perniagaan dan Strategi, Genting Malaysia Berhad, Lee Thiam Kit berkata, harga tiket selepas diskaun 20 peratus bagi dewasa berjumlah RM151 berbanding harga asal RM189.
Bagi kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) dengan ketinggian 90 sentimeter (cm) ke 110cm pula, harga tiket selepas diskaun bernilai RM128 berbanding harga penuh RM161 seorang.
Manakala kanak-kanak dengan ketinggian di bawah 90cm adalah percuma untuk kemasukan.
"Kami sudah bersedia, akhirnya dapat menunjukkan taman tema kami kepada dunia, tarikan bertema baharu ini bakal melonjakkan nama Pahang dan Malaysia di persada pelancongan dunia.
"Pembukaan taman tema ini juga akan menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi dengan kewujudan ribuan peluang pekerjaan," katanya.
Ujarnya, selepas membeli tiket secara dalam talian, para pengunjung digalakkan untuk memuat turun aplikasi Taman Tema Genting SkyWorlds yang tersedia dengan percuma di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.
Aplikasi ini juga telah diintegrasikan dengan teknologi Virtual Queue (VQ), sebuah aplikasi pintar yang dapat menjimatkan masa di samping membantu mengelakkan pengunjung daripada menunggu lama.
"Masa penungguan akan dipaparkan di aplikasi tersebut dan para pengunjung bolehlah merancang masa mereka untuk aktiviti pilihan seperti permainan, tarikan dan persembahan yang tersedia pada hari itu.
"Syarikat kami menerima tawaran promosi dan baucar diskaun, malah terdapat tempat makan, membeli belah, permainan serta perkhidmatan Photo+ yang canggih," ujarnya.
Naib Presiden, Ketua Operasi Taman Tema, Resort World Genting, Greg Pearn menjelaskan, sesetengah tarikan masih di bawah proses pentauliahan dan tidak tersedia untuk menerima para pengunjung.
Taman Tema Genting SkyWorlds yang terunggul itu bakal membawa para tetamu mengembara ke sembilan 'dunia' berbeza yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan, menggabungkan Harta Intelek (IP) asli, dan juga keterujaan dengan permainan dan tarikan bertaraf dunia.
Antara 'dunia' unik penuh keseronakan bertemakan filem yang pastinya sukar untuk dilupakan adalah Eagle Mountain, Central Park, Liberty Lane, Robots Rivet Town, Andromeda Base, Ice Age, Studio Plaza, Epic dan Rio.
Jika menghadapi kesukaran mengenai pembelian tiket, pengunjung boleh melayari laman web Genting SkyWorlds dan aplikasi Genting SkyWorlds bermula jam 10 pagi pada 4 Februari ini.
Jadi kepada yang sudah menantikan detik keriangan ini, bolehah segera menempah di laman web bagi mengelak sebarang kesulitan.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tip Buat ‘Newbie’ Nak Panjat Gunung Kinabalu. Worth It!

Gunung Kinabalu merupakan puncak tertinggi di Malaysia juga di Asia Tenggara. Permukaan asalnya terdiri daripada batu-batu sedimen yang terdedah kepada hakisan antara lapan hingga 12 juta tahun dahulu sehingga akhirnya mendedahkan permukaan batuan pluton yang lebih tegar.
Disebabkan faktor Gunung Kinabalu telah diiktiraf sebagai puncak tertinggi di Asia Tenggara selain tahap pendakian yang dikatakan jauh lebih sukar berbanding gunung-gunung lain, maka ia telah menarik minat ramai pendaki. Tidak kira pendaki berpengalaman dan juga mereka yang baru berjinak-jinak mendaki menanam impian untuk menawan Kinabalu.
Untuk anda yang baru pertama kali ingin menawan Gunung Kinabalu, ini ada tip serta pengalaman berguna buat anda yang dikongsikan pengguna sosial media. Selamat mendaki!

Tips Panjat Gunung Kinabalu.
1. Permit/Lesen dari Travel Agensi harga antara RM350- RM390. (Boleh survey sebab ada banyak harga) Pakej termasuk Tour Guide, Permit, Tiket masuk Kinabalu Park,Insurans, Penginapan, Sajian (2 x Sajian), sajian ini disediakan oleh pihak hotel di Laban Rata.
2. Sepanjang mendaki setiap 1 KM ada pondok untuk berehat, siap dengan toilet yang bersih dan ada sumber air.
3. Line telefon juga ada di sepanjang laluan sehingga ke puncak.
4. Pernah dengar trek bertangga? Bukan semua ya kawan-kawan. Tengok gambar yang saya beri tu. Meleset sangkaan saya pada awal nya. Haha!
5. Biasanya akan sampai di Laban Rata pada jam 3 petang. Kalian boleh rehat, mandi, solat di dorm yang disediakan. Satu dorm 14 orang. Saya masak air untuk mandi, sebab terlalu sejuk. Dah selesai semua boleh la makan di café yang disediakan.
6. Jam 2 pagi dah perlu bersiap-siap dan sarapan di Café. Wajib makan untuk tenaga. Selesai taklimat dan bacaan doa tepat jam 2.30 kumpulan pertama akan dilepaskan.
7. Mesti mendaki slow-slow dan jangan gopoh itu petuanya. Ingat situasinya, udara sangat sejuk, jalan licin, gelap hanya dengan bantuan headlamp, dan hanya terdapat beberapa tali sahaja di sepanjang pendakian.




8. Untuk mudahkan pendakian. Ini senarai peralatan yang saya bawa.
- Beg Pack (Saiz Sederhana) – Kalis Air ( Jika ada, kalau tiada beli plastik dan cover bahagian luar beg kita). Jimat.
- Baju Sejuk Waterproof (tebal), jangan guna sweater dan jangan terlalu tebal nanti susah bergerak. Untuk jimat space. Ikat baju sejuk di pinggang semasa mendaki.
- Glove Waterproof –Glove waterproof sangat membantu untuk make sure tangan tak basah dan jari mengecut. Banyak guna tenaga tangan semasa nak mendaki. Tali yang digunakan untuk mendaki biasanya basah sebab cuaca yang selalu hujan dan lembap.
- Baju Hujan – Beli yang nipis pun cukup. RM2 di supersave.
- Head Lamp –Digunakan semasa mendaki ke puncak dari tapak Laban Rata. Perjalanan mendaki pada jam 2.30 pagi.
- Tongkat khas mendaki – Membantu semasa mendaki dan menuruni gunung. (Sewa RM 10.00)
- Mask/Snow Cap – Bagi melindungi telinga dan hidung semasa mendaki. Suasana yang terlalu sejuk akan buat kita tak selesa.
- Kasut Hiking – Seeloknya yang bertapak kasar dan grip ( Saya pakai kasut sukan je, jangan terlalu besar dan terlalu kecil. Wajib pilih yang selesa. Kasut bata pun ok dik).
- Berus Gigi – Travel Pack ( Bawak tau sebab walaupun sgt sejuk beku kat atas tu kita tetap akan mandi dan nak kena bersihkan diri untuk solat)
- Tisu Basah – Bawak la yang peket kecil sbb kat atas tu sejuk so kalau nak lap-lap tangan senang sikit.
- Ubat sapu/ Spray Otot – Persediaan jika krem kaki dan disapu sebelum meneruskan pendakian pada jam 2.30 pagi esok nya.
- Super Food – Saya bawa 1 botol 100plus kecil, 1 botol mineral, coklat yang banyak.
Sebab tak selera nak makan nasi sepanjang perjalanan. Kita makan heavy meal semasa sampai kat hotel je, sangat berbaloi.
# Ada juga pakej yang sediakan sekali dengan tiket flight. Boleh survey ok.
Jika kalian perlukan kemudahan pengangkutan dari Bandar Kota Kinabalu ke Pintu Timpohon Gate (Pintu masuk pendakian Gunung Kinabalu) kalian boleh maklum pada TA dan mereka akan sediakan kenderaan. Kalian perlu mula mendaki sebelum jam 10 pagi. Jika lambat pintu akan ditutup.




Bonus Tips
- Buat Oksigen Training 2 minggu sebelum mendaki bagi mengelakkan berlakunya Kekurangan Oksigen @ AMS semasa sedang mendaki. Banyakkan training panjat bukit atau tangga yang tinggi. Semasa mendaki ambil nafas dalam-dalam sekerap mungkin untuk kurangkan risiko AMS.
- Sebelum naik mesti set minda untuk sentiasa positif dan ada sikap untuk cabar diri. Jangan give up dan mendaki slow-slow. Jangan risau Malim Gunung akan sentiasa berada dekat dengan kumpulan pendaki.
- Enjoy Your Trip dan Jangan Malas Amik Gambar kita mungkin tak ada peluang dah untuk naik lepas ni. Last sekali, Doa Usaha dan Tawakal, Berdoalah agar trip kalian nanti dipermudahkan dan dilindungi.Aaminn.

Sekian! Senang je. So dah boleh plan dengan kawan-kawan. Yang penting enjoy the view dan jaga keselamatan.
Sumber: FB Zalina Zainal
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Destinasi ‘Mengancam’ Untuk Diterokai Di Kuching, Sarawak

‘More to Discover’ boleh dikatakan di Kuching, Sarawak ada segala-galanyanya untuk diterokai. Ibu negeri Bumi Kenyalang ini sering menjadi destinasi pilihan pengunjung dalam negara dan juga pelancong luar kerana mempunyai keunikan tersendiri, merangkumi kebudayaan, alam semula jadi, sajian dan kesenian.
Kalau datang ke Kuching kitak tau sik (anda tahu tak) tempat mana yang menarik untuk pergi? Kalau tidak tahu atau kurang pasti, nah.. ini cadangan Libur untuk kalian.
Kuching Waterfront
Kuching Waterfront menjadi kawasan tumpuan dan ‘bintang’ di Kuching dek keindahan ‘view’ samada pada siang atau malam hari. Pengunjung berpeluang melihat pelbagai sisi panorama dari kawasan ini seperti bangunan Dewan Undangan Negeri, Masjid India Terapung dan Jambatan Darul Hana. Ramai penduduk tempatan dan pengunjung luar bersantai dan mengambil angin di kawasan Kuching Waterfront menjelang matahari terbenam. Anda juga boleh cuba untuk berlibur menyusuri sungai atau ke kampung seberang membeli kek lapis Sarawak menaiki Sarawak River Cruise atau Perauk Tambang.
The Brooke Gallery
Jika anda minat akan sejarah, jangan lupa untuk melawat The Brooke Gallery yang terletak di Kubu Margherita. Anda pasti terpesona dengan bangunan warisan bersejarah yang masih kukuh dipulihara dengan baik. Binaan di Kubu Margherita ini dibina pada 1879 dan kini dikenali sebagai The Brooke Gallery yang menempatkan banyak dokumen dan artifak bersejarah negeri Sarawak.
Di sini terdapat sebuah bilik yang menempatkan tengkorak musuh yang telah dipenggal pada suatu ketika dahulu.
Tugu Kuching
Tidak sah sekiranya datang ke Kuching tidak singgah bergambar dengan tugu kucing yang comel terletak dibulatan berhampiran dengan Plaza Sarawak. Tugu ini merupakan tugu kebanggan rakyat negeri Sarawak. Boleh dikatakan banyak cenderamata menggunakan imej tugu kucing ini sebagai simbolik negeri Sarawak untuk dijadikan kenang-kenangan.
Pada malam hari tugu kucing ini akan dilimpahi dengan sorotan lampu berwarna-warni yang begitu indah. Menurut lagenda, Kuching mendapat nama kerana kewujudan banyak kucing hutan yang kelihatan di sekitar sungai berhampiran suatu ketika dahulu.
Semenggoh Wildlife Center
Semua sedia maklum Sarawak kaya dengan destinasi flora faunanya tersendiri dan mempunyai hutan hujan antara tertua di dunia. Ia adalah aset penting dan berharga Bumi Kenyalang, sekali gus habitat kepada ribuan spesies tumbuhan dan haiwan. Seperti di Sabah, Sarawak juga terkenal dengan habitat orang utan liar di kawasan Semenggoh Wildlife Centre.
Masa yang sesuai untuk anda melawat pusat ini adalah pada jam 9 pagi dan 3 petang kerana ini adalah waktu makan untuk orang utan. Bilangan orang utan yang akan keluar pada waktu makan tidak menentu. Kalau anda bernasib baik, anda dapat menyaksikan beberapa ekor orang utan datang mengambil makanan. Kadangkala pengujung akan pulang dengan perasaan hiba kerana orang utan langsung tidak kelihatan terutama pada musim buah.

Sarawak Culture Village
Selain alam semula jadi, Sarawak juga gah di mata dunia kerana dibina dan dibangunkan dengan penuh harmoni oleh masyarakat pribuminya. Biarpun terdapat 30 etnik berlainan termasuklah suku kaum Iban, Melayu, Melanau, Bidayuh, Orang Ulu dan Penan mereka hidup dalam kelompok yang aman dan damai.
Semua kumpulan etnik ini memiliki bahasa, kebudayaan serta corak hidup tersendiri sejak zaman lampau, era pemerintahan James Brooke hingga merdeka. Antara keistimewaan dapat dilihat seperti pakaian, kraf tangan, makanan, gaya hidup, tarian dan kediaman tradisi pelbagai etnik berbeza.
Hendak merantau satu negeri Sarawak melihat setiap suku kaum mungkin mengambil sedikit masa. Untuk memudahkan anda mengetahui lebih lagi mengenai suku kaum ini, anda boleh berkunjung ke Sarawak Cultural Village. Di sini menempatkan replika pelbagai rumah kaum etnik Sarawak bersaiz sebenar. Selain melawat rumah-rumah tradisi ini, anda boleh merasai sendiri kepelbagaian budaya Sarawak seperti pemakaian kostum, juadah tradisi, mencuba alat sumpit, atau menari bersama kumpulan kebudayaan yang membuat persembahan setiap hari.
Sarawak Cultural Village adalah destinasi wajib dikunjungi sekiranya anda berada di Kuching.
Rumah Panjang Bidayuh Annah Rais
Anda juga boleh melihat sendiri dan berkunjung ke rumah panjang sebenar di Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh yang berusia lebih 200 tahun. Terletak 85km dari bandar Kuching dan berada di kaki bukit Borneo Highland, suasana sekitar ini begitu tenang walaupun kampung tradisi ini semakin moden.
Rumah panjang ini sentiasa mengalukan kunjungan orang luar. Anda boleh memilih untuk meneroka kawasan sekitar ini seharian atau memilih untuk tinggal bersama penghuninya. Ucapan selamat datang dan hidangan tuak disediakan kepada pengunjung tatkala menjejakkan kaki di perkampungan ini sebagai simbolik kunjungan anda sangat dialu-alukan.
Terdapat pelbagai tarikan di sini antaranya Head House yang berusia 150 tahun, Kolam Air Panas,dan Air Terjun Tiga Tingkat. Nak lebih meriah, anda perlu berkunjung ke sini ketika Hari Gawai. Seluruh penduduk kampung akan berkumpul untuk merayakan perayaan ini dengan begitu meriah.
Ole-Ole Sarawak
Membeli-belah di Sarawak juga merupakan aktiviti utama yang mesti dilakukan, selain menjanjikan pengalaman yang berbeza di mana pengunjung akan disajikan dengan pelbagai produk tempatan seperti cenderamata hasil kraftangan, produk kering juga bahan makanan basah untuk di bawa pulang.
Dengan rangkaian produk yang pelbagai, sesiapa sahaja yang berkunjung ke Sarawak pasti rambang mata untuk membawa pulang signature produk utama Sarawak seperti Kek Lapis Sarawak, Ikan Terubuk Masin, Sayur Midin, Lada Hitam dan juga hasil kraf. Bahkan ada yang mengatakan, jika produk-produk tersebut tidak dibeli, tidak lengkap rasanya kunjungan ke Sarawak.
Medan Niaga Satok
Medan Niaga Satok merupakan pasar yang menghimpunkan pelbagai barangan keperluan harian di bawah satu bumbung. Menariknya di sini terdapat banyak gerai yang menjual ikan terubuk masin.
Ikan terubuk masin menjadi satu kemestian kepada mereka yang berkunjung ke Sarawak untuk membeli dan membawa pulang ke tempat masing-masing. Maka, tidak hairan jika seseorang itu melancong ke Bumi Kenyalang tidak akan lupa singgah membeli ikan terubuk masin yang banyak dijual di Medan Niaga Satok sebagai buah tangan untuk sanak-saudara serta sahabat handai.
Mungkin berasa segan untuk menghadiahkan ikan masin sebagai buah tangan atau ole-ole dari Sarawak tetapi jangan risau, kerana keenakan rasa ikan itu pasti akan menambat hati mereka untuk terus mendapatkan ikan-ikan terubuk masin ini. Kelebihan ikan terubuk masin Sarawak terletak pada jenis ikan dan teknik ketika memprosesnya. Ikan terubuk tempatan ternyata lebih berkualiti dengan isinya yang lebih cantik dan lebih segar berbanding ikan terubuk import yang sedikit tawar. Jangan risau jika ingin membawa pulang ke Semenanjung dan menaiki pesawat kerana kebanyakan pengusaha ikan terubuk masin di pasar ini mempunyai teknik tersendiri untuk melakukan pembungkusan ikan agar ia boleh dibawa masuk ke dalam pesawat tanpa mengeluarkan bau, basah dan ikan ini mampu bertahan dalam tempoh empat hingga lima hari di dalam kotak berkenaan.
Sajian Sarawak
Di Kuching, Sarawak ada menyajikan pelbagai juadah lazat seperti Nasi Beras Bario, Manok Pansuh, Laksa Sarawak, Mi Kolok, dan Midin Belacan. Semuanya ada disajikan di restoran serta medan selera di bandar-bandar utama. Pilih sahaja destinasi menjamu selera yang anda inginkan antaranya seperti di Restoran Lepau, Restoran Budaya Sarawak, dan Bukit Mata Seafood Restaurant Rooftop.
Bercerita mengenai Kuching, Sarawak memang tidak cukup ruang dan masa. Jom terokai Sarawak Bumi Kenyalang bersama keluarga, sahabat handai dan yang tersayang.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bajet & Itinerari Lengkap Trip 19 Hari Percutian Hujung Tahun Ke Eropah Timur & Balkan

Bestnya tengok ramai yang kongsikan trip hujung tahun mereka hari tu. Awal tahun kumpul duit banyak-banyak, hujung tahun dapatlah hasil untuk pergi trip yang best-best kan?
Perkongsian itinerari dan bajet percutiaan daripada Nizar Latif ini mungkin boleh anda masukkan dalam percutiaan idaman hujung tahun akan datang.
Best!
Ringkasan trip:
- 19 hari
- 7 negara, 15 bandar
- 245676 langkah jalan kaki (187.21 km)
Alhamdulillah berpeluang mengembara di destinasi berikut setelah hampir setahun memasang angan-angan dan menabung. Syukur segalanya mengikut perancangan dan selamat pergi dan balik. Terima kasih rakan-rakan kembaraku atas susah senang bersama sepanjang pengembaraan ini.
Perjalanan kembara ini barangkali memenatkan, padat dan touch and go. Oleh itu, itinerary ini KURANG SESUAI untuk warga emas, keluarga dengan anak kecil, pengembara yang tidak dapat tidur dalam perjalanan jauh bas/train. Mudahan ada jua manfaat dalam kecilnya kisah perjalanan ini. Semoga membantu.
Butiran lengkap:
TARIKH
24.11.2019 – 12.12.2019 (19 hari)
ROUTE
KUL – Vienna – Salzburg – Hallstat – Innsbruck – Lake Bled – Ljubljana – Zagreb – Plitvice Lakes – Sarajevo – Mostar – Dubrovnik – Kotor – Tirana – Istanbul – Cappadocia – Istanbul – KUL
NEGARA
Austria, Slovenia, Croatia, Bosnia and Herzegovina, Montenegro, Albania & Turkey
KOS TIKET PENERBANGAN
KUL – Vienna : RM 1494.00 Thai Airways (transit Bangkok)
Istanbul – KUL: RM 1384.00 Royal Jordanian (transit Amman)
(Sepatutnya boleh murah lagi namun disebabkan Scoot membatalkan dan menunda penerbangan KUL-SIN-Berlin pada dua hari berikutnya (menganggu itinerary), kami memohon full refund dan menempah tiket Thai Airways ini dua bulan sebelum tarikh penerbangan)
Jumlah kos tiket penerbangan: RM 2,878.00
KOS PENGANGKUTAN (bas, kereta api dan kapal terbang):
OBB Train:
- Vienna – Salzburg: 19€ / RM 91.63
- Salzburg – Hallstat: 9€ / RM 43.40
- Hallstat – Salzburg: 9€ / RM 43.40
- Salzburg – Innsbruck: 19€ / RM 91.63
- Innsbruck – Lake Bled: 29€ / RM 139.85
Getbybus:
- Ljubljana – Zagreb: 14.64€ / RM 68
- Zagreb – Plitvice: 12.46€ / RM 57.86
- Plitvice – Zagreb: 12.46€ / RM 57.86
- Zagreb – Sarajevo: 25.31€ / RM 117.57
- Mostar – Dubrovnik: 16.12€ / RM 74.87
- Dubrovnik – Kotor: 21.21€ / RM 98.52
- Kotor – Tirana: 26.15€ / RM 121.43
Flight:
- Tirana – Istanbul (SAW): RM 312.67 Pegasus Airlines (+20 kg baggage)
- Istanbul (SAW) – Kayseri: RM 79.49 Pegasus Airlines (free 15kg baggage)
- Kayseri – Istanbul (IST): Turkish Airlines RM 108.72 (free 15kg baggage)
Jumlah kos pengangkutan: RM 1,506.91
KOS PENGINAPAN
- Do Step Inn, Vienna: RM 194.01 Agoda
- A&O Salzburg: RM 282 Hostelworld
- Room with Mountain View, Innsbruck: RM 239.66 Airbnb
- Bled Hostel: RM 192 Hostelworld
- Cute Apartment near Bus Station, Zagreb: RM 219.24 Airbnb
- Flat Got View of City, Mostar: RM 238.56 (2 malam) Airbnb
- Alex Apartment, Kotor: RM 260.98 (2 malam) Airbnb
- Vertigo Hostel, Tirana: RM 117 Booking
- The Dorm Cave by Travellers, Cappadocia: RM 240 (2 malam) Booking
- Hotel Erenler, Istanbul: RM 220 (2 malam) Booking
Jumlah kos penginapan: RM 2,242.45 / 3 = RM 747.48 seorang
KOS TRAVEL INSURANCE:
RM 136.07 Etiqa Tripcare 360 Platinum
KOS SIMCARD:
RM 80 Hello1010 for Balkan Countries
KOS MAKANAN DAN UBAT
RM 80 (maggi, mee sedap, sardin, sambal Brahims, biskut, minuman 3 in 1, yoko-yoko, panadol extra, ubat selsema & strepsils)
KOS HOT AIR BALLON CAPPADOCIA
120€ / RM 551
Stoneland Travel Goreme
(paling murah setakat sempat survey di Goreme)
KOS DUIT BELANJA
RM 2000 = 431 euro (tukaran 1€: RM 4.64)
Digunakan untuk makan, bayaran tour dan entrance fee, bayar tambang metro/tram/bas intercity, bayar locker, bayar simpan baggage bas, shopping souvenirs kecil. Ada baki lagi 55€.
JUMLAH KESELURUHAN: RM 7,979.46
Ringkasan Itinerari
Hari 1
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Vienna. Transit di Bangkok selama 3 jam. Layanan dan makanan Thai Airways.
Hari 2 : VIENNA
Tiba di Vienna pada pukul 7 pagi. Lepak di McD, tukar kad sim dan cari kaunter tiket train OBB. Beli tiket train dari airport ke Wien HBF 4.20€. Simpan bag, mandi, makan mee sedap di hostel. Berjalan semula ke Wien HBF (5 minit ja), beli tiket metro ke Stephenplatz dan bersiar di:
- St Stephen’s Cathedral
- Christmas market
- Hard Rock Cafe Vienna
- Hofburg Palace
- Aida’s Cafe
- Vienna Opera House (standing ticket)
Hari 3: SALZBURG
Sarapan roti gardenia dan serunding. Daftar keluar hostel dan berjalan ke stesen. Naik train ke Salzburg. Tiba di Salzburg terus ke hostel dan simpan bag di locker disebabkan masih awal untuk daftar masuk. Lunch maggi dulu. Kemudian, menaiki O-bus 5 di hentian berdekatan dengan hostel menuju ke Salzburg Rathaus (1.5€). Bersiar-siar di:
- Salzburg Bridge
- Mozart House
- Salzburg Fottress
- Old town
- Mirabell Palace & Garden
- Balik hostel dan singgah makan di Sofra Restaurant (makanan Turki).
Hari 4: HALLSTAT
Daftar keluar hostel dan simpan bag di locker room Salzburg HBF (locker XL 4.5€. Kongsi 3 orang). Beli kopi dan makan roti. Menaiki train menuju ke Hallstat. Menaiki bot ke Hallstat (6€ return). Bersiar-siar di sana selama 5 jam. Setiap ceruk cantik. Lunch makan roti cicah air kopi. Pulang ke Salzburg dan makan di Aydin’s Kebab berhadapan Salzburg HBF. Ambil semula bag, menaiki train menuju ke Innsbruck. Daftar masuk apartment (self check in) dan makan malam pek Brahims dan maggi.
Hari 5: INNSBRUCK
Sarapan nasi beriani Brahims dan mee sedap. Daftar keluar apartment. Berjalan kaki ke Innsbruck HBF dan simpan bag di locker room. Ke kaunter OBB terlebih dahulu untuk confirmation tiket train ke Lake Bled. Berjalan kaki ke Congress Station, menaiki kereta kabel ke Nordketten & Hafelekar Mountain (38€). Bersiar-siar di sana selama 5 jam. Pemandangannya cantik subhanallah. Setelah turun, bersiar-siar di old town:
- Goldenes Dach
- Christmas market di old town
- Hard Rock Cafe
- Swarovski
- Berjalan kaki semula ke Innsbruck HBF, singgah makan malam di kedai turkish di hadapan station dan seterusnya menaiki night train ke Lake Bled, Slovenia.
Hari 6: LAKE BLED
Tiba di stesen Lecse Bled, lewat sikit daripada jadual asal. Ambil teksi ke hostel (4€ seorang). Simpan bag di hostel dan terus bersiar-siar di tasik. Singgah makan dan mengopi dulu. Sambung berjalan pusing tasik hampir 4 jam (banyak pitstop bergambar). Menikmati kek krim Bled di tepi tasik. Cari tiket bas/transfer di stesen bas untuk ke Ljubljana esok.
Malam berjalan ke supermarket berdekatan dengan hostel. Makan malam bihun pama di hostel.
Hari 7: LAKE BLED & LJUBLJANA
Menikmati matahari terbit di tasik. Balik ke hostel untuk sarapan. Masak nasi goreng. Daftar keluar hostel, berjalan ke stesen bas dan menaiki van/private transfer (9€) ke Ljubljana. Setibanya di sana, simpan bag di locker room, berjalan ke old town.
- Dragon Bridge
- Ljubljana Castle (dari bawah ja)
- Ljubljana Market
- Lunch di kedai kebab. Berjalan semula ke stesen bas, menaiki bas ke Zagreb. Host datang ambil di stesen bas Zagreb dan daftar masuk apartment. Makan malam nasi dan sardin.
Hari 8: PLITVICE LAKES
Sarapan roti dan air milo. Daftar keluar apartment. Berjalan ke stesen bas dan simpan bag di sana. Menaiki bas ke Plitvice Lakes. Minum dan sarapan dulu sebelum hiking. Berjalan/hiking di tasik hampir 6 jam. Lenguh kaki. Tunggu bas dalam kegelapan dan kesejukan untuk balik semula ke Zagreb. Makan roti dan beli biskut dan keropok di stesen bas. Menaiki night bus dari Zagreb ke Sarajevo.
Hari 9: SARAJEVO
Tiba di Sarajevo. Sarapan kopi bosnia. Simpan bag dan cari tiket bas/train ke Mostar. Tukar duit € kepada mark di money changer di pejabat pos Sarajevo. Menaiki tram ke Bascarsija (1.6 km satu hala) dan bersiar-siar di:
- Old town
- Sebilj
- Masjid
- Latin Bridge
- Perkuburan mangsa perang
- Lunch di kedai kebab kawasan old town. Menaiki bas menuju ke Mostar (5€) dan daftar masuk apartment. Makan malam nasi dan sambal bilis.
Hari 10: MOSTAR
Sarapan nasi lebihan semalam. Berjalan kaki ke stesen bas. Menaiki local bus (1.6 km) ke Blagaj (bas no 10/11/12) dan bersiar-siar di sana. Lunch di restoran di tepi sungai. Singgah beli indo mee di kedai runcit depan hentian bas. Balik semula ke Mostar dan bersiar-siar di:
- Stari Most
- Old town
- Masjid
- Bangunan-bangunan kesan perang
- Singgah di supermarket.Balik apartment masak nasi goreng dan indo mee.
Hari 11: MOSTAR & DUBROVNIK
Daftar keluar apartment. Berjalan ke stesen bas dan menaiki bas ke Dubrovnik. Tiba di stesen bas, simpan bag dan tukar duit € kepada kuna di sini. Menaiki local bus (1.5 kuna) bersiar-siar di:
- Old town
- Lokasi penggambaran GOT
- Lunch pizza dan air kopi. Balik semula ke stesen bas dan menaiki bas ke Kotor,
- Montenegro. Host datang ambil di stesen bas dan daftar masuk apartment. Makan indo mee dan telur dadar.
Hari 12: KOTOR
Sarapan indo mee dan telur lagi. Seawal 7.30 pagi, berjalan/hiking St John Fottress. Bersiar-siar sekitar old town. Singgah supermarket jumpa sosej halal. Balik lunch/solat di apartment. Berjalan semula (10 minit) ke old town, menaiki bas ke Perast (2€ return). Bersiar-siar:
- Perast
- Our Lady of The Rock (naik bot 2.5€ return)
- Balik berehat di apartment. Makan malam nasi dan sosej masak sos.
Hari 13: TIRANA
Sarapan biskut dan air nescafe. Daftar keluar apartment. Host hantar ke stesen bas. Menaiki bas menuju ke Tirana, Albania. Berjalan ke hostel dan daftar masuk. Bersiar-siar di:
- National Historical Museum
- Skanderbeg Square
- Masjid
- Balik ke hostel dan makan malam bihun pama.
Hari 14: CAPPADOCIA
Daftar keluar dan menuju ke lapangan terbang (airport shuttle hostel 10€). Menaiki penerbangan Pegasus Airlines ke Istanbul Sabiha Gochen (SAW). Transit di sini hampir 5 jam. Tukar duit € kepada lira. Lunch McD, mahal betul. Menaiki penerbangan Pegasus Airlines SAW ke Kayseri. Menaiki shuttle van ke Goreme (40 lira) dan daftar masuk hostel. Makan malam wajib cuba pottery kebab. Survey tour dan hot air ballon di town (dekat sangat dengan hostel)
Hari 15: CAPPADOCIA
Seawal 6.30 pagi van datang ambil untuk ke tapak hot air ballon. Cuaca berkabus, tiada penerbangan pada hari ni. Balik semula ke hostel. Sarapan pagi. Green tour (40€) pada pukul 9.30 pagi. Bersiar-siar di:
- Goreme Panorama
- Underground City
- Ihlara Valley
- Lunch ikan trout sedap (dalam pakej)
- Pigeon Valley
- Scene Star Wars 1977 (lupa namanya)
- Solat di Masjid Goreme. Makan malam di Old Cappadocia Restaurant dan balik hostel.
Hari 16: CAPPADOCIA
Van datang ambil pada pukul 6.30 pagi ke tapak pelepasan hot air ballon. Sarapan di sini. Alhamdulillah hari ini dapat naik. (120€ di Stoneland Travel Goreme setelah pujuk rayu). Balik hostel 9.30 pagi dan kemas barang. Menaiki shuttle van ke Kayseri Airport (40 lira). Lunch burger di kedai dalam airport ni. Menaiki penerbangan Turkish Airlines ke Istanbul New Airport. Tiba di sana, beli Istanbulkart dan naik bas Havaist ke Sultanahmet (18 lira). Berjalan ke hostel dan daftar masuk. Makan malam kebab di kedai berhampiran hostel.
Hari 17: ISTANBUL
Tambah nilai Istanbulkart 60 lira (20 lira seorang) di Gulhane station. Berjalan kaki, menaiki tram dan metro dan bersiar-siar di:
- Hagia Sophia
- Blue Mosque
- Galata Tower
- Taksim Square
- Hafiz Mustafa
- Grand Bazaar
- Eminonu
- Galata Bridge
- Lunch di KFC Eminonu dan dinner Balik Ekmek di bawah Galata Bridge.
Hari 18: ISTANBUL
Berjalan di kedai-kedai berdekatan hostel. Daftar keluar hostel. Menaiki tram dari Gulhane ke Sultanahmet. Menaiki bas Havaist ke Istanbul New Airport (IST). Lunch ayam goreng di Popeye’s. Menaiki penerbangan Royal Jordanian ke Amman, Jordan.
Hari 19: AMMAN & KLIA
Dapat layover service daripada Royal Jordanian disebabkan transit lebih 9 jam. Menaiki penerbangan ke Bangkok dan Kuala Lumpur. Selamat tiba di KLIA. Alhamdulillah.
Tips and tricks:
Sebelum:
1. Tiket flight dibeli pada bulan Februari 2019. Dua bulan sebelum tarikh penerbangan, Scoot membatalkan dan menunda flight dari awal pagi Isnin kepada Rabu yang menganggu itinerary. Kami ambil keputusan untuk full refund dan membeli tiket Thai Airways ke Vienna. Rancangan untuk ke Berlin & Prague terpaksa dibatalkan.
2. Selalu rujuk itinerary travellers lain. Perhalusi route mereka dan ubah mengikut citarasa dan destinasi pilihan yang ingin dilawati. Tiap kali waktu senggang, selalu tonton travelog di Youtube. Sangat membantu.
3. Mengambil masa hampir dua bulan (selalunya pada hujung minggu sahaja) untuk membina route ini. Dari segi susunan bandar itu mudah tetapi untuk sesuaikan perjalanan dengan masa jadual kereta api dan bas yang agak mencabar. Kena rujuk web Omio, Getbybus & OBB.
4. Banyak kali draft route namun mula serius bina pada sekitar Jun. Pada September terpaksa ubah lagi route setelah flight Scoot dibatalkan dan ditunda.
5. Antara yang mencabar route Innsbruck – Lake Bled. Sangkut lama juga di sini. Kalau naik Flixbus, kena transit di Munich. Nasib baik jumpa direct train ke sana.
7. Tiket flight Tirana-Istanbul-Cappadocia-Istanbul dibeli pada bulan Julai 2019.
8. Pembelian tiket train dan bas dibuat dua bulan dan sebulan sebelum (September dan Oktober). Bayar sedikit-sedikit tidaklah terlalu membebankan.Tiket train dan bas dibeli mengikut susunan route. Misalnya Vienna – Salzburg kemudian Salzburg – Hallstat dan begitulah satu persatu sehinggalah ke Tirana.
9. Setelah tiket train dan bas dibeli, tempat penginapan pula ditempah. Seperti kebiasaan, review perlu dibaca. Pening juga masa ni. Nak kena baca review dan paling penting nak sesuaikan dengan bajet. Kebanyakan hostel/apartment yang dipilih berdekatan dengan stesen bas (+-10 minit berjalan kaki). Kesemuanya kami sangat recommend cumanya apartment di Mostar tinggi sikit atas bukit tapi view cantik. Hostel Vertigo saja tak recommend disebabkan dapur dan tandas agak kotor.
10. Setelah selesai semuanya, seminggu sebelum fly print kesemua dokumen yang diperlukan. Itinerary, flight itinerary, tiket bas dan train, voucher hostel/apartment, insurans dan salinan passport.
Semasa:
1. SOLAT. Solat subuh dan jamak maghrib isyak tidak menjadi masalah kerana dapat solat di hostel/apartment. Solat jamak zuhur dan asar selalunya kami solat di stesen bas/train. Cari di ruang terpencil dan saling berjaga. Bawa botol spray wuduk tu sangat membantu.
2. PASSPORT. Apabila banyak cross countries, passport seperti nyawa. Tiapkali sampai apartment, sebelum ke mana-mana, sebelum naik train/bas selalu double check passport.
3. DOUBLE CHECK TIKET. Disebabkan banyak kali naik train dan bas, malam sebelumnya kena double check tiket untuk sahkan masa bertolak, risau mungkin keliru.
4. KESELAMATAN DI HOSTEL. Saya memakai baju pagoda berzip dan seluar banyak poket di tepi untuk simpan passport, phone dan wallet ketika tidur. Nak mandi, bawa sekali semuanya.
5. LOCKER. Di Austria sehingga di Slovenia, locker murah sekitar 4.5€ untuk saiz XL. Boleh sumbat 6 beg. Namun, di Zagreb, Dubrovnik dan Sarajevo tiada locker. Di sana ada tempat simpanan bag yang dijaga oleh orang. Harga mengikut bilangan bag dan bilangan jam. Kami kena charge dalam 25€ seorang di Zagreb dan 16€ di Dubrovnik.
6. WIFI. Di Austria hampir semuanya ada wifi. Di stesen, di dalam train. Walaupun ada simcard, sangatlah berjimat nak guna. Paling teruk, di Sabiha Gochen Airport. Tiada wifi. Di McD situ, kena makan lebih 35 lira baru dapat guna wifi sejam.
7. JETLAG. 3 malam mata masih mengikut waktu Malaysia. Pukul 1 pagi (8 pagi Malaysia) mata dah celik. Alhamdulillah malam keempat dah dapat tidur dengan nyenyak.
8. NIGHT TRAIN/BUS. Ada dua malam kami ambil night train dan bas iaitu Innsbruck – Lake Bled dan Zagreb – Sarajevo. Semestinya agak memenatkan kerana tidur dalam keadaan yang kurang selesa, kemudian tiba di destinasi esoknya terus bersiar-siar. Walaupun penat dan mengantuk, alhamdulillah kami berjaya harunginya.
9. SIMPAN BAG BAS. Nak simpan bag di bawah kena charge 1€ per bag kecuali Tirana-Kotor kena 1.5€.
10. TANDAS. Nak masuk tandas pun 1€ (RM 4.60). Nak jimat, sebelum keluar selesaikan segala urusan dan selesaikan lagi ketika lunch di restoran/kedai makan.
11. GOOGLE MAPS. Sangat membantu untuk membawa ke sesuatu destinasi. Naik naik tram/metro/bas apa pun dinyatakan sekali dalam tu.
12. LENGUH KAKI. Purata kami berjalan 10 kilometer sehari. Balik hostel/apartment sapu yoko-yoko. Siang berjalan sakan, dalam pukul 6-7 petang dah berehat di hostel/apartment. Rehat dan tidur lama sempat la recover dan hilang lenguh kaki.
13. SEJUK. Antara destinasi yang menggeletarkan tubuh badan kami di Hallstat, Plitvice Lakes dan Mostar suhu sekitar 2-3 darjah celcius. Paling sejuk di Goreme/Cappadocia suhu -2 darjah celcius. Tempat lain sedang-sedang saja.
14. PICKPOCKET. Alhamdulillah kami saling ingatkan satu sama lain terutama ketika ramai orang seperti dalam tram dan di jalanan. Di Sarajevo, kami dapat cam dan perhatikan mereka sehinggakan mereka hilang dari penglihatan.
15. MAKAN. Kami dapat jimat kerana makan sehari sekali saja di luar (lunch). Disebabkan portion besar, kami order untuk dua orang dan kongsi makan bertiga. Untuk sarapan dan makan malam, biasanya masak di hostel/apartment. Licin stok makanan dari Malaysia. Kecuali di Istanbul, kami makan di restoran ketika lunch dan dinner. Hostel tiada dapur.
Selepas:
1. Jetlag tiga malam. Mata ikut waktu sana pula.
2. Pengsan keletihan dua hari. Haha
3. Berdebar tunggu penyata kad kredit. Shopping baju Hard Rock 2 helai, sejadah dan lampu di Istanbul yang tidak termasuk dalam kos di atas.
Terima kasih kerana sudi membaca. Sehinga berjumpa lagi di destinasi berikutnya.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI