
Kalau anda lalu sekitar KLCC Park minggu ini dan tiba-tiba nampak Pikachu, Bulbasaur atau Pokémon lain ‘bersembunyi’ di celah-celah taman, jangan terkejut!
Sempena sambutan ulang tahun Pokémon ke-30, Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi pertama bagi acara PokéXciting!, sebuah siri jelajah khas yang bakal berlangsung di beberapa bandar utama Asia.

Acara utamanya akan berlangsung pada 12 hingga 13 September 2026 di KLCC Park dan paling menarik, kemasukan adalah percuma.
Tapi sebelum acara bermula pun, suasana sekitar KLCC Park sudah mula bertukar menjadi dunia Pokémon apabila pelbagai karakter popular ditempatkan di beberapa sudut taman.
Jom ‘Hunting’ Pokémon Sekitar KLCC Park
Salah satu tarikan yang memang sesuai untuk kaki OOTD dan mereka yang datang bersama anak-anak ialah POKÉGENIC Spots.
Pelbagai dekorasi Pokémon akan ditempatkan di seluruh kawasan acara, malah menurut laman rasmi Pokémon, ada karakter yang sengaja diletakkan di lokasi yang tidak dijangka supaya pengunjung dapat berjalan sambil ‘memburu’ Pokémon kegemaran mereka.

Konsepnya memang simple tetapi menyeronokkan.
Berjalan sekitar taman, cari Pokémon yang ‘menyorok’, kemudian ambil gambar dengan gaya paling kreatif. Kalau datang ramai-ramai dengan geng atau keluarga, boleh jadikan ia seperti mini-Pokémon hunting challenge.
Dengan latar Menara Berkembar Petronas pula, memang banyak spot menarik untuk dijadikan kenangan.
Pikachu Turquoise Khas Kuala Lumpur!
Kalau selama ini kita biasa tengok Pikachu dengan warna kuning ikoniknya, kali ini ada sesuatu yang lebih istimewa.
Sempena PokéXciting!, setiap bandar dalam siri jelajah ini akan mempunyai PokéXciting! Pikachu dengan kostum warna tersendiri.
Untuk Kuala Lumpur, Pikachu akan tampil dengan kostum berwarna turquoise. Kuala Lumpur merupakan bandar pertama yang memperkenalkan versi khas ini.
Jadi kalau anda memang peminat Pokémon, ini antara peluang menarik untuk melihat versi Pikachu yang berkait khusus dengan persinggahan acara di Kuala Lumpur.
Main Pokémon GO Sambil Jalan-Jalan
Untuk pemain Pokémon GO pula, jangan lupa cas telefon dan bawa powerbank.
Sepanjang acara berlangsung, pemain boleh menyertai GO Stamp Rally dengan berjalan sekitar KLCC Park dan mencari PokéStop tertentu untuk mengumpul cop digital.

Terdapat dua Stamp Rally yang disediakan sepanjang acara di Kuala Lumpur, termasuk peluang mendapatkan cop PokéXciting! Pikachu edisi Kuala Lumpur.
Kiranya sambil hunting instalasi Pokémon sebenar sekitar taman, boleh juga hunting dalam Pokémon GO sekali.
Malam Ada Pokémon Drone Show
Kalau datang sebelah petang, jangan terus balik selepas matahari terbenam.
Salah satu highlight terbesar PokéXciting! Kuala Lumpur ialah Pokémon-themed drone show pertama di Malaysia.

Pertunjukan ini bakal menerangi ruang udara sekitar KLCC dengan latar ikonik Menara Berkembar Petronas. Selain itu, terdapat juga persembahan pentas malam yang menampilkan PokéXciting! Pikachu.
Bayangkan karakter Pokémon muncul menerusi formasi cahaya di langit Kuala Lumpur. Memang lain daripada pengalaman melihat Pokémon sekadar di skrin.
Ada Merchandise Khas Juga
Peminat yang suka mengumpul barangan Pokémon juga boleh singgah mendapatkan merchandise khas PokéXciting! Pikachu Kuala Lumpur.
Barangan berkenaan dijadualkan mula dijual di Pokémon Center POP-UP Store Kuala Lumpur bermula 12 September, namun stok adalah terhad dan kemasukan ke kedai mungkin dikawal sekiranya terlalu sesak.
Jadi kalau memang datang dengan misi mencari merchandise, lebih baik rancang masa awal.
Kuala Lumpur Jadi Pembuka Jelajah Asia
Lebih menarik, Kuala Lumpur bukan sekadar salah satu lokasi PokéXciting!, tetapi menjadi persinggahan pertama jelajah ulang tahun ke-30 Pokémon di Asia.
Selepas Kuala Lumpur, acara ini akan bergerak ke Taipei pada Oktober, Singapura pada November, Manila pada Januari 2027 dan Bangkok pada Februari 2027.
Jadi hujung minggu ini, KLCC Park memang bakal menjadi ‘syurga’ kecil buat peminat Pokémon.
Tak semestinya kena jadi hardcore Pokémon fan pun untuk datang. Kalau anda mencari aktiviti santai sekitar Kuala Lumpur, boleh bawa anak-anak, ajak kawan atau pasangan berjalan keliling taman sambil hunting Pokémon dan bergambar.
PokéXciting! Kuala Lumpur
📍 KLCC Park, Kuala Lumpur
📅 12–13 September 2026
🎟️ Masuk percuma
Satu tip, pakai kasut yang selesa dan datang dengan telefon penuh bateri. Dengan Pokémon yang ‘bersembunyi’ di sana sini, kemungkinan besar anda akan berjalan lebih jauh daripada yang dirancang!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!

