
Oleh: MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS via Sinar Harian
Rakyat Malaysia tidak akan dikenakan cukai pelancongan apabila cukai tersebut dilaksanakan kelak.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keputusan tersebut dibuat oleh kerajaan setelah mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak. “Kerajaan telah memutuskan supaya cukai pelancongan tidak dikenakan ke atas rakyat Malaysia yang menginap di semua jenis premis penginapan, iaitu dari lima bintang ke tiada bintang.
Ini juga adalah salah usaha kerajaan untuk merancakkan promosi pelancongan domestik,” katanya ketika menjawab soalan Anthony Loke (DAP-Seremban). Kadar cukai pelancongan adalah RM10 bagi setiap bilik semalam di semua jenis premis penginapan, dengan cukai tersebut hanya dikenakan terhadap pelancong luar negara yang melancong di negara ini. Namun Nazri berkata, premis yang memiliki lima bilik ke bawah tidak perlu mengutip cukai berkenaan.
“Perlaksanaan cukai pelancongan akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat. “Pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah menyediakan draf peraturan cukai pelancongan dan draf ini dalam semakan akhir oleh Jabatan Peguam Negara,” jelasnya.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mensasarkan kutipan cukai pelancongan sebanyak RM210,956,787 dalam tempoh setahun dengan setiap RM1 cukai yang dikutip akan dikembalikan semula kepada kerajaan negeri untuk tujuan promosi pelancongan.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Orang Bentong Sendiri Tak Mandi Di Air Terjun Chamang, Dah Banyak Kes Hilang Nyawa!

Jauh dalam sudut hati kita mesti ada rasa galakkan atau excited setiap kali berjumpa dengan air terjun? Maklumlah, ini lah masanya nak terjun tiruk dalam kolam air terjun, sejuk!
Tapi suka macam mana sekalipun dan galak macam mana sekalipun, sentiasa beringat dalam diri bahawa bahaya ada di mana-mana sahaja. Air terjun dan kawasan kolam yang ada di depannya kelihatan tenang di permukaan. Tetapi arus yang terdapat di bawahnya sangat kuat dan mampu menyedut manusia dewasa ke bawah.
Kawasan yang paling terkenal sebagai kawasan lata air terjun yang banyak meragut nyawa adalah Air Terjun Chamang di Bentong, Pahang. Kawasan ini sangat merbahaya dan anda perlu berhati-hati di sini. Bahaya yang sering terjadi di sini membuatkan orang Bentong sendiri mengelakkan diri untuk mandi-manda di Air Terjun Chamang.
Baru-baru ini, terjadi satu kes kehilangan jiwa membabitkan sekumpulan kenalan saya sendiri di Air Terjun Chamang. Mangsanya masih muda, tapi apakan daya, Allah lebih menyayangi beliau. Mari kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah kepada roh arwah, semoga ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. al-Fatihah.
Tular sekejap kes kehilangan arwah sebelum mayatnya dijumpai kira-kira 15 meter dari lokasi terakhir beliau didapati lemas. Rata-rata yang memberi komen mengenai kes tersebut menjelaskan bahawa tempat tersebut sangat bahaya untuk aktiviti mandi-manda kerana telah banyak kejadian meragut nyawa berlaku.
Malah orang Bentong sendiri tidak mandi-manda di Air Terjun Chamang dek kerana reputasinya yang cukup membahayakan keselamatan. Anda cuba baca komen-komen wargamaya di bawah, rata-rata mereka tidak menggalakkan untuk kita mandi-manda di Air Terjun Chamang.
Malah masyarakat cina di Bentong tidak akan pergi ke Air Terjun Chamang semasa ‘Chinese Ghost Festival’!
Jadi kepada anda yang nak mandi-mandi di Air Terjun Chamang tu, hentikan lah niat dan pergi sahajalah ke tempat lain..
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tip Keselamatan Rumah Dari PDRM, Untuk Anda Tinggalkan Kediaman Dengan Selamat Semasa Cuti

Percutian adalah satu perkara yang sangat menyeronokkan tapi kerisauan akan tetap timbul apabila mengenangkan sesuatu yang kita tinggalkan sepanjang masa percutian tersebut.
Sebagai contoh, kediaman tempat tinggal kita. Macam-macam perkara akan melayang dalam pemikiran sekiranya kita tinggalkan rumah dalam tempoh masa percutian yang lama contohnya trip ke Eropah memakan masa selama lebih seminggu. Jadi sepanjang tempoh tersebut, tiada siapa diantara kita yang akan tahu, apakah yang mungkin berlaku sepanjang tempoh tersebut.
Untuk mengelakkan kerisauan itu daripada terjadi memang mustahil, tetapi kita mampu kurangkan supaya kita lebih enjoy dalam menikmati percutian tanpa terlaku memikirkan soal rumah.
Bagaimana boleh kita kurangkan kerisauan tersebut? Pihak Polis Diraja Malaysia atau PDRM sebenarnya ada mengeluarkan beberapa panduan yang boleh anda ikuti sekiranya ingin keluar rumah untuk bercuti dalam jangka masa yang panjang.
Panduan yang disenaraikan ini boleh membantu anda untuk mengelakkan kes-kes pecah rumah, kebakaran dan sebagainya. Walau bagaimanapun, harus ingat risikonya tetap ada tetapi dapat kita kurang kepada kadar yang paling minima dengan mengikuti setiap langkah yang disarankan oleh PDRM ini.
Langkah-langkah yang boleh anda ikuti adalah;
- Pastikan pintu dan tingkap rumah ditutup dan dikunci dengan ibu kunci yang tidak mudah dipecahkan atau diumpil.
- Pastikan lampu di sekeliling rumah dipasang mulai pukul 6 petang hingga 7 pagi setiap hari. Pastikan juga alat penggera keselamatan berada dalam keadaan baik dan berfungsi. Disarankan anda untuk memasang alat timer di suis lampu luar rumah anda supaya dapat bernyala dalam tempoh masa yang ditetapkan tadi.
- Pasangkan alat keselamatan tambahan seperti rantai dengan ibu kunci dipasang di tempat yang dianggap mudah pecah masuk seperti pintu pagar hadapan dan belakang rumah, pintu besi hadapan dan belakang. Pastikan kesemua alatan tersebut di pasang sebelum meninggalkan rumah.
- Jangan biarkan binatang peliharaan anda tanpa makanan yang mencukupi semasa tempoh percutian.
- Pastikan jiran anda tahu dan maklum akan ketiadaan anda. Berikan nombor telefon atau email yang boleh dihubungi sepanjang masa anda tiada di rumah.
- Pastikan barang kemas seperti emas, wang tunai, jam dan barang berharga yang lain disimpan di tempat yang selamat dan sesuai.
- Hentikan sebentar langganan surat khabar bagi mengelakkan penjenayah tahu yang anda tiada di rumah. Minta pertolongan jiran untuk menyimpan surat kiriman yang diterima di peti surat atau pintu pagar semasa ketiadaan anda di rumah.
- Maklumkan kepada pegawai atau anggota polis di bilik gerakan balai polis berhampiran rumah anda yang anda sedang bercuti untuk sekian masa dan sekian tempat. Dapatkan nombor telefon bilik gerakan balai polis terbabit dan berikan juga nombor telefon anda kepada mereka. Berikan maklumar seperti nama dan alamat rumah, nombor telefon yang mudah dihubungi, tarikh pergi dan balik bercuti dan nombor kenderaan yang ditinggalkan di rumah.
- Anda dinasihatkan untuk melindungi harta benda dan kediaman anda dengan polisi insurans yang mampu meringankan beban kerugian anda sekiranya rumah di pecah masuk.
Itu kesemua sembilan nasihat yang boleh diberikan kepada anda. Semoga semuanya selamat sepanjang masa anda bercuti!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Orang Sampai Bergaduh-Gaduh Sebab Perak Dan Johor Dapat Beraya Sehari Awal Tahun 1983, Lucu!

Orang-orang lama mesti ingat peristiwa yang pernah berlaku di ambang malam Aidilfitri tahun 1983. Peristiwa yang berlaku ni sampai bila-bila pun tidak akan berlaku lagi dan kepada anda yang sempat mengalami peristiwa tersebut, sesungguhnya anda adalah orang yang sangat beruntung.
Peristiwa yang Libur maksudkan adalah kejadian di mana negeri Perak dan Johor sambut Hari Raya Aidilfitri awal sehari daripada negeri-negeri lain di Malaysia. Seronokkan? Waktu orang lain masih lagi dalam suasana berpuasa, kita di Perak dan Johor sedang sibuk untuk menyediakan juadah dan persiapan menyambut Syawal esok hari.
Macam mana boleh berlaku kejadian sebegini di negeri Perak dan Johor? Mari kita imbau sejenak kejadian yang berlaku pada tahun 1983 itu.
Kejadian Perak beraya awal itu berlaku semasa zaman pemerintahan Almarhum Sultan Idris Shah apabila ada beberapa kumpulan nelayan yang pulang dari laut mengatakan mereka telah ternampak anak bulan. Berita yang dibawa oleh kumpulan nelayan itu tadi telah tersebar luas ke seluruh negeri dan desas-desus mengatakan bahawa pihak marin yang bertugas di laut ketika itu turut mengakui akan kesahihan berita berkenaan.
Dek kerana waktu itu penyebaran berita dari mulut ke mulut juga sepantas penyebaran berita di media sosial seperti zaman sekarang, maka berita anak bulan telah kelihatan berkenaan juga telah sampai ke pengetahuan mufti dan telah memaklumkan kepada Tuanku Sultan dengan kadar segera kerana Tuanku Sultan mempunyai kuasa penuh untuk mengisytiharkan hari raya di tanah jajahan Tuanku.
Sebaik sahaja berita berkenaan sampai ke pengetahuan Tuanku Sultan, baginda terus sahaja menitahkan agar semua jentera kerajaan negeri memaklumkan kepada rakyat jelata perkara berkenaan dan di sinilah terjadinya Perak dan Johor menyambut 1 Syawal awal sehari berbanding negeri-negeri lain di Malaysia ketika itu.
Maka, kecohlah seluruh alam yang berada di negeri Perak dan Johor pada waktu itu apabila Jabatan Penerangan dan polis menggunakan pembesar suara untuk mengumumkan hari raya di bandar dan juga desa. Ada perkongsian daripada pembaca-pembaca di laman sosial yang hidup dan pernah melalui peristiwa tersebut mengatakan bahawa mereka yang berada di Perak terkejut dengan pengumuman tersebut. Ada beberapa tempat yang menerima pengumuman di tengah malam dan awal pagi. Nak dijadikan cerita, sepantas kilat mereka bangkit dari katil dan terus membuat persiapan menyambut Aidilfitri menjelang pagi nanti.
Bukan setakat terkejut untuk membuat persiapan hari raya, ada beberapa tempat yang ‘bergaduh’ dek kerana peristiwa Perak dan Johor beraya sehari awal. Maklumlah, ada negeri yang masih berpuasa manakala Perak dan Johor sudah pun menyambut 1 Syawal. Tempat-tempat di kawasan sempadan antara negeri-negeri tersebut sudah tentu mengalami perbalahan antara mereka.
Tidak kurang juga yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman berasa aneh apabila ada beberapa tempat yang dilalui sebelumnya sedang berpuasa tetapi sebaik sahaja tiba di Perak atau Johor, orang ramai memenuhi warung sambil makan dan menghisap rokok.
Terasa lucu apabila membaca pengalaman yang dilalui oleh mereka yang hidup di waktu itu. Mesti setiap kejadian yang terpahat di dalam memori akan membuatkan mereka tersenyum sendirian apabila dikenang kembali.
Untuk pengetahuan anak-anak millennial yang tidak pernah tunggu pengumuman raya kaca tv atau corong radio, dahulu orang ramai akan ternanti-nanti pengumuman yang akan dibacakan oleh Penyimpan Cop Mohor Raja-Raja. Oleh yang demikian, seluruh sanak saudara akan memenuhi ruang utama di kampung halaman untuk sama-sama mendengar pengumuman tersebut. Meriah waktu itu!
Kini, setelah berpuluh tahun berlalu, penentuan bulan puasa dan raya sudah tidak menjadi perkara pokok lagi kerana ia sudah sudah bertahun-tahun selari dan ada dicatatkan dengan kalendar dengan kiraan yang betul. Sejak dari itu, sambutan perayaan aidilfitri tidak pernah lewat dan tidak pernah awal lagi.
Sumber: Orang Perak & Silver Retro
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI