Malaysia adalah sebuah negara yang sangat unik. Ini adalah kerana Malaysia dianugerahkan dengan keindahan alam yang amat menawan serta dikurniakan kekayaan sumber alam yang melimpah.
Di samping itu kita juga memiliki kelebihan dengan kepelbagaian yang amat besar daripada pelbagai sudut seperti keturunan/etnik, agama, kepercayaan, budaya, bahasa, makanan dan macam-macam lagi.
Sempena cuti umum ini mesti ramai yang tak balik kampung sama ada sebab tak mahu tersangkut dalam jem atau ada urusan yang tak dapat dielak. Daripada duduk terperuk di rumah jom la keluar ambil angin! Boleh pusing-pusing lokasi ini di Lembah Klang.
Pantai Redang, Sekinchan
Pantai Redang, di Sekinchan, Selangor menjadi tumpuan warga setempat beriadah dan bersantai setiap hujung minggu. Jika anda penduduk lembah klang dan mengidam untuk bersantai di tepi pantai selama beberapa jam, ini adalah lokasi dicadangkan.
Pantai tersorok ini sangat sesuai dikunjungi jika anda sudah jemu melihat hamparan padi yang banyak terdapat di daerah Sekinchan ini. Untuk sampai ke Pantai Redang dari Kuala Lumpur cuma mengambil masa kira-kira sejam setengah melalui lebuhraya. Atas faktor jarak yang dekat itu mengapa tidak membawa keluarga anda berkunjung ke Pantai Redang, Sekinchan untuk berehat.
Pengunjung juga boleh memancing dan menikmati pelbagai makanan laut di gerai-gerai berhampiran. Pantai ini menyediakan kemudahan rekreasi yang pelbagai dan dapat memenuhi keperluan masyarakat pelbagai peringkat umur, ia sesuai dijadikan pusat rekreasi untuk keluarga.
Colmar Tropicale Bukit Tinggi, Bentong
Jika impikan destinasi percutian ala-ala di sebuah perkampungan berkonsepkan Perancis, apa kata ke Colmar Tropicale di Bukit Tinggi, Pahang. Perjalanan dari Kuala Lumpur hanya mengambil masa satu jam perjalanan sahaja menggunakan Lebuhraya Pantai Timur. Suasana dingin pasti menyapa anda tatkala tiba di puncak dan memasuki kawasan Berjaya Hills Resort yang terletak pada ketinggian 823 meter atas paras laut.
Ads
Taman Rama-Rama Kuala Lumpur
Di Kuala Lumpur terdapat sebuah Taman Rama-Rama yang agak lama dibuka kepada umum sejak tahun 1992 lagi. Taman ini memperlihatkan serba-serbi mengenai rama-rama daripada beluncas pelbagai bentuk, saiz dan warna, kemudian bertukar menjadi kepompong seterusnya bertukar menjadi rama-rama yang cantik.
Dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang, waktu pagi adalah masa terbaik untuk datang dan melihat sendiri rama-rama kerana pada waktu pagi rama-rama ini keluar mencari makanan.
Taman ini mempunyai landskap menarik dengan pelbagai jenis tumbuhan eksotik dan tumbuhan yang menjadi rumah serta makanan kepada si rama-rama. Antara spesies rama-rama di sini yang menarik perhatian seperti Rajah Brooke, Common Mormon, Papalio Iswara, Blue Bottle, Malay Lacewing dan Indian Leaf yang diklasifikasikan sebagai rama-rama tercantik.
Merchant’s Lane Kuala Lumpur
Jika anda berada berhampiran Lembah Klang, tidak perlu pergi jauh untuk lepak santai bersama teman dan keluarga. Pusing-pusing sahaja sekitar Kuala Lumpur, anda pasti jumpa ‘port’ menarik untuk singgah. Paling istimewa lokasi yang dicadangkan ini sangat photo-worthy!
Ads
Mungkin agak asing bagi rakyat Malaysia, tetapi kafe Merchant’s Lane yang ini sebenarnya popular dalam kalangan pelancong luar. Kafe cantik yang terletak di Jalan Petaling ini menjadi lokasi wajib singgah jika ‘makan angin’ di sini.
Ia dipenuhi dengan hiasan berunsurkan flora dan fauna dan dihiasi dengan pelbagai perabut kayu dan rotan artisan yang menarik. Setiap sudut dan ruang kafe ini cukup berbaloi untuk instagram anda.
Saloma Link KL
Sekarang ini menjadi tarikan baru di ibu negara, jambatan pejalan kaki Saloma Link yang menghubungkan Kampung Baru dan kawasan berdekatan Menara Berkembar Petronas (KLCC). Saloma Link dibina berhampiran Stesen LRT Kampung Baru merentasi Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), menghubungkannya dengan Jalan Saloma yang terletak di sisi bangunan Menara Public Bank berhadapan Jalan Ampang, tidak jauh dari KLCC.
Ads
Tip menarik, di sini ada kawasan ‘hotspot’ pengguna juga berpeluang mengambil gambar berlatarkan KLCC di dua kawasan bergambar yang disediakan di jambatan itu. Penggunaan jambatan itu juga dapat memendekkan masa perjalanan di samping menjamin keselamatan pejalan kaki.
Biasanya perjalanan berjalan kaki dari Kampung Baru ke KLCC mengambil masa lebih 30 minit dan perlu melalui jalan raya dengan trafik yang sibuk. Jika guna jambatan ini, pengguna hanya akan mengambil masa kira-kira tujuh minit dari Jalan Saloma ke Jalan Raja Muda Musa 3.
Ladang Buah Naga HL, Bagan Lalang
Penggemar buah naga pasti suka dengan lokasi kebun yang menjual buah naga segar dari ladang ni. Terletak di tepi jalan dari arah Sepang menuju ke Bagan Lalang, ada beberapa kebun buah naga yang boleh anda singgah seperti kebun buah naga HL. Di kebun buah naga ini, anda boleh menikmati beberapa produk buah naga yang disediakan oleh pekebun seperti jus buah naga dan kentang lenyek bersoskan jem buah naga.
Untuk pengetahuan anda, ada beberapa lokasi lain penanaman buah naga di Malaysia tapi diperkatakan bahawa buah naga yang terletak di Sepang ini antara yang paling terbaik kerana tanah di sini yang kaya dengan nutrisi untuk pertumbuhan buah naga.
Anda juga boleh membeli buah naga anda untuk dibawa pulang dengan harga yang cukup kompetetif. Tip untuk anda, pilih buah naga yang telah seminggu dipetik, kerana isninya lebih manis berbanding yang baharu dipetik dari pokok.
image via google
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Hilton Garden Inn Puchong merupakan hotel terbaharu yang menawarkan tempat penginapan selesa dan pelbagai kemudahan moden. Ia ‘sempurna’ khusus buat komuniti perniagaan menjalankan pelbagai urusan berkaitan sambil berlibur.
Dibangunkan di lokasi strategik yang sedang berkembang, Hilton Garden Inn Puchong merupakan hotel pilihan menyediakan tempat penginapan terbaik untuk tetamunya. Ia dianggap paling sesuai dan selesa untuk menginap sekiranya anda ingin meneroka daerah ini.
Lokasinya hanya 25 minit daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terletak di atas sebuah pusat membeli-belah terkenal Parkson M Square Mall. Tersedia juga kemudahan shuttle percuma dari hotel untuk tetamu yang ingin ke pusat membeli-belah terkemuka iaitu IOI Mall dan Sunway Pyramid.
Saujana Mata Memandang
Terdapat 255 buah kamar keseluruhan di Hilton Garden Inn Puchong iaitu jenis King Deluxe Room Lake View, King Deluxe Room, King Guest Room Lake View, King Guest Room, Twin Guest Room Lake View, dan Twin Guest Room.
Setiap jenis bilik mempunyai pengalaman permandangan sisi keseluruhan yang berbeza dari jendela. Jika memilih bilik penginapan jenis ‘Lake View’, bilik tersebut akan mempunyai permandangan sebuah tasik indah yang terbentang luas.
Di kesemua bilik pula lengkap dengan sambungan Wi-Fi percuma, barangan mandian Crabtree & Evelyn, televisyen LCD 43 inci, sambungan USB, bilik mandi bertub, pengering rambut, seterika wap dan seni reka dalaman yang unik, elegan serta moden.
Pilihan Tepat Kumpulan Perniagaan
Selain itu, Hilton Garden Inn Puchong menyediakan perkhidmatan terbaik kepada tetamunya di kawasan Puchong yang pesat membangun sesuaiu untuk ahli korporat bagi urusan perniagaan mereka.
Terdapat kemudahan dewan utama untuk penganjuran majlis-majlis tertentu serta ruang bermesyuarat yang lengkap dengan kemudahan teknologi canggih. Ia boleh memuatkan seramai 130 orang dalam satu masa.
Kemudahan Pelbagai
Bagi yang mahu bersenam pula, tersedia pusat kesihatan (gym) yang dibuka 24 jam demi memenuhi kehendak para tetamu yang aktif.
Terdapat sebuah kolam renang yang turut dilengkapi dengan sebuah jakuzi dan kolam renang untuk kanak-kanak. Waktu operasi kolam renang ini pula dari jam 7 pagi hingga 10 malam.
Tidak berkesempatan untuk melakukan aktiviti renang pada sebelah siang dek sibuk dengan urusan kerja, tetamu masih sempat untuk berenang sambil beriadah pada malam hari di temani hamparan langit yang terbentang luas.
Untuk menjamu selera, sebuah restoran, The Garden Grille dengan pilihan makanan menarik dan lazat tersedia untuk mengisi perut bermula waktu sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam.
Jika tidak mempunyai masa untuk turun makan ke restoran, pesanan untuk menghantar makanan ke bilik tetamu juga disediakan hingga ke lewat malam hari. Sebuah kios kedai serbaneka Pavillion Pantry juga dibuka 24jam untuk memberi kemudahan kepada individu yang menginap di sini.
Secara keseluruhan, hotel ini sangat sesuai buat pengunjung atau anda yang ingin bersantai sambil berkerja dalam keadaan yang berbeza. Hilton Garden Inn Puchong adalah pilihan paling tepat. Harga istimewa yang ditawarkan untuk menginap di sini bermula dari RM180++
Hubungi:
Hilton Garden Inn Puchong
Lokasi: Level 6, Jalan DM2, Taman Desa Millennia 47150 Puchong, Selangor
Salah satu tujuan kita travel ni adalah untuk menimba pengalaman sebab pengalaman itulah yang akan mengajar kita sesuatu yang berguna.
Dan daripada pengalaman-pengalaman yang lepas, di sini kita senaraikan apa kesalahan yang kerap pengembara dari Malaysia buat dan korang boleh jadikan pengajaran supaya jangan buat benda yang sama.
Kesalahan yang kerap dilakukan itu adalah,
Travel ke tempat jauh waktu siang
Ini adalah kesalahan yang pertama. Korang sepatutnya melakukan perjalanan jauh dari lokasi A ke lokasi B pada waktu malam, bukannya pada waktu siang. Sepanjang perjalanan yang dilakukan pada waktu malam memberikan masa dan peluang untuk korang berehat di dalam kenderaan. Tambahan pula, ia menjimatkan sedikit kos penginapan. Pada waktu siang, gunakan masa sebaiknya untuk meneroka lokasi yang korang tiba.
Tak ambil walau satu travel insurance
Ini kesalahan yang paling besar. Travel insurance adalah satu kepentingan yang paling utama semasa korang mengembara kerana ia adalah backup untuk diri sendiri sekiranya berlaku apa-apa kemalangan atau kejadian yang tak diingini. Dah banyak kes yang terjadi di kalangan pengembara dari Malaysia yang menghadapi masalah dan tidak dilindungi oleh insurance.
Gagal ambil tahu modus operandi pencuri/penyeluk saku
Pengembara Malaysia lebih suka bergaya daripada mementingkan ciri-ciri keselamatan pada diri mereka. Korang kena ambil tahu apa bagasi yang sesuai digunakan semasa travel. Kalau boleh, dapatkan bagasi yang mempunyai ciri-ciri anti pencuri yang sukar untuk dikoyakkan mengguna apa-apa peralatan seperti pisau dan sebagainya.
Terlalu cerewet soal makan
Ini pun antara kesalahan yang perlu dielakkan sebab bila kita mengembara, kita kena letakkan segala ruang selesa kita di rumah dan bersedia untuk segala cabaran yang bakal kita tempuhi semasa berada di tempat baru. Ada dikalangan pengembara dari Malaysia yang rasa jijik untuk mencuba makanan di jalanan tetapi tahukan korang, bahawa makanan di jalanan itu kadang-kala lebih berkualiti daripada makanan yang kita dapat di restoran.
Tak maklum pada bank
Jarang kita jumpa dengan pengembara dari Malaysia yang memaklum kepada bank bahawa mereka akan keluar negara untuk sekian-sekian masa. Tapi cuba korang bayangkan sekiranya terjadi apa-apa kepada diri kita semasa pengembaraan tersebut. Bukan ke benda tu akan menyusahkan ramai pihak. Tak salah sekiranya korang ambil inisiatif memaklumkan kepada bank yang korang tak ada di dalam negara untuk sekian masa.
Itu adalah senarai kesalahan yang kerap pengembara dari Malaysia lakukan. Jadi, kalau boleh korang elakkan lah daripada terjebak dengan kesalahan-kesalahan yang sama. Selamat bercuti!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Pernah dengar tentang Ranu Kumbolo? Jika anda seorang pendaki tegar pasti anda tahu tentang Gunung Semeru yang terletak di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur, Indonesia. Ranu Kumbolo menjadi bualan ramai pendaki yang dalam perjalanan ke puncak Semeru, mahupun di kalangan mereka yang gemarkan aktiviti lasak.
Jadi untuk berkenalan dengan Ranu yang membawa maksud tasik atau danau ini, ia memerlukan perancangan bijak. Bukan main redah sahaja kerana perjalanan ke Ranu Kumbolo sangat menguji ketahanan mental dan fizikal. Tak kiralah sama ada kaki gim atau sebaliknya, kalau persiapan tidak kena cara, pasti mengundang insiden tidak diduga. Terletak di ketinggian 2400 meter daripada paras laut, perjalanan ke Ranu Kumbolo mengambil masa kira-kira lima jam waktu trekking.
Sejujurnya, perjalanan menuju ke Ranu Kumbolo bukanlah perjalanan yang mudah, namun berbaloi kerana kanvas alam yang menanti memukau pancaindera. Sukar dilafazkan dengan kata-kata. Cukup indah ditambah suasana hening yang mendamaikan fikiran. Satu perkara yang diidamkan oleh setiap pendaki apabila menjejak kaki sini ialah menyaksikan keindahan mentari di saat ia menyapa pagi.
Biarpun badan terasa penat, otot-otot mula sakit-sakit, jangan sesekali lepaskan saat-saat indah ini. Pengalaman menyaksikan sang mentari terbit dari balik dua bukit di pinggiran tasik, pasti sukar dilupuskan daripada ingatan. Biarpun cuaca sejuk mencengkam tubuh badan, namun cetusan rasa kepuasan mengatasi segalanya. Indah bumi ciptaan tuhan!
Teruja sepanjang perjalanan ke Ranu Kumbolo
Keterujaan ke lokasi perkhemahan ini sebenarnya bermula seawal perjalanan, iaitu ketika menaiki jip untuk ke Ranu Pani, pos pendaftaran dan gerbang ke Taman Nasional Bromo Tengger Semeru. Sebelum memulakan pendakian, anda perlu mendengar taklimat keselamatan terlebih dahulu. Seronok mendengar kisah-kisah yang dikongsi oleh renjer hutan. Banyak juga info berguna untuk dijadikan panduan.
Dari pos Ranu Pani ini anda perlu berjalan kaki sejauh lima sampai tujuh kilometer menyusuri lereng bukit yang ditumbuhi dengan Bunga Edelweis. Kemudian anda akan tiba di Watu Rejeng. Dari sini anda sudah boleh melihat pemandangan lembah dan bukit yang ditumbuhi pohon cemara dan pines.
Semakin tinggi pendakian, semakin sejuk cuaca, jadi pakai pakaian yang sesuai jika tidak mahu menggigil kesejukan. Sepanjang perjalanan, terdapat empat pos rehat yang membolehkan anda melepaskan lelah. Ada gerai-gerai kecil yang menjual minuman, buah-buahan, makanan ringan dan juga madu.
Setibanya di Ranu Kumbolo, carilah tempat atau tapak yang dirasakan ideal untuk mendirikan khemah. Kalau gunakan khidmat porter, tak perlu susah-payah sebab mereka yang akan lakukan semua. Sambil menunggu, bolehlah melihat ribuan bintang menghiasi langit.
Selamat bereksplorasi!
Oleh: Putri Adila
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...