Ads

Hong Kong Semakin Mesra Muslim Melalui Infrastruktur Halal, Tarikan Ikonik dan Penceritaan Kreatif

Hong Kong selama ini dikenali sebagai kota metropolitan yang dipenuhi lampu neon, bangunan pencakar langit dan kehidupan yang bergerak pantas siang dan malam.

Namun di sebalik imej bandar moden itu, destinasi popular Asia Timur ini kini semakin membuka ruang kepada pelancong Muslim yang mencari pengalaman perjalanan lebih selesa dan mesra keperluan ibadah.

Usaha berterusan Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) membuktikan bahawa bandar raya ini sedang mengorak langkah serius untuk muncul sebagai salah satu destinasi pelancongan mesra Muslim yang semakin diyakini di rantau Asia.

Komitmen tersebut terbukti apabila Hong Kong meraih sembilan pengiktirafan utama di Halal in Travel Awards 2025.

Hong Kong Semakin Mesra Muslim Melalui Infrastruktur Halal, Tarikan Ikonik dan Penceritaan Kreatif
Avenue of Stars

Antara pencapaian penting termasuk pengiktirafan sebagai destinasi mesra Muslim paling berpotensi serta tempat pertama bagi kategori destinasi pelancongan mesra Muslim aksesibel dalam kalangan negara bukan anggota OIC.

Beberapa hotel terkemuka seperti Kowloon Shangri-La dan The Mira Hong Kong turut menerima anugerah hotel mesra Muslim terbaik, sekali gus mengukuhkan reputasi bandar ini sebagai destinasi yang semakin inklusif kepada pengembara Muslim.

Ekosistem Halal Semakin Meluas

Perubahan yang dilakukan bukan sekadar pengiktirafan di atas kertas. Kini terdapat sekurang-kurangnya 195 restoran diperakui halal, milik Muslim atau mesra Muslim di seluruh Hong Kong.

Pilihan hidangannya juga cukup pelbagai, daripada masakan tempatan hingga sajian antarabangsa termasuk restoran yang pernah menerima pengiktirafan Michelin.

Ads

Pada masa sama, sebanyak 59 hotel di bandar ini telah memperoleh penarafan Crescent Rated, iaitu sistem penilaian global yang mengukur tahap kesediaan hotel memenuhi keperluan pelancong Muslim.

Hong Kong Semakin Mesra Muslim Melalui Infrastruktur Halal, Tarikan Ikonik dan Penceritaan Kreatif
Kowloon Mosque

Antara kemudahan yang ditawarkan termasuk penyediaan sejadah, penunjuk arah kiblat serta pilihan makanan halal atas permintaan, malah beberapa hotel turut menyediakan ruang solat khusus untuk tetamu.

Promosi Kreatif Melalui Video Raya

Dalam usaha mendekati pelancong Asia Tenggara dengan cara yang lebih dekat dengan budaya serantau, Hong Kong turut tampil dengan pendekatan kreatif.

Bandar ini menjadi lokasi penggambaran video muzik Raya bertajuk Suasana Raya yang menampilkan penyanyi popular Malaysia, Ernie Zakri dan Syamel Aqmal.

Penggambaran dilakukan di beberapa lokasi ikonik seperti Temple Street, Avenue of Stars, Ocean Park Hong Kong dan Ngong Ping 360.

Ads

Melalui naratif kekeluargaan yang menyentuh hati, video tersebut memaparkan pengalaman perjalanan sebenar di Hong Kong termasuk akses mudah kepada makanan halal serta kemudahan menunaikan solat.

Hong Kong Semakin Mesra Muslim Melalui Infrastruktur Halal, Tarikan Ikonik dan Penceritaan Kreatif
Temple Street

Gabungan Tarikan Bandar dan Alam

Bagi pelancong yang ingin meneroka Hong Kong, destinasi seperti Ngong Ping 360 menawarkan pengalaman menaiki kereta kabel dengan panorama memukau Pulau Lantau.

Tarikan ini turut menghubungkan pelawat dengan lokasi bersejarah seperti Tian Tan Buddha dan Biara Po Lin yang menjadi antara mercu budaya penting di kawasan tersebut.

Di pesisir Kowloon pula, Avenue of Stars menjadi lokasi wajib dikunjungi untuk menikmati pemandangan Victoria Harbour sambil menelusuri legasi industri perfileman Hong Kong.

Ads

Bagi keluarga yang mahukan pengalaman hiburan, Ocean Park Hong Kong pula menawarkan taman tema yang menggabungkan pameran hidupan marin, permainan ekstrem serta panorama pantai yang indah.

Destinasi Popular Dalam Kalangan Pelancong Malaysia

Statistik pelancongan menunjukkan Hong Kong terus menarik minat pengembara antarabangsa. Sepanjang tahun 2025 sahaja, bandar ini menerima lebih 49.9 juta pelawat dengan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Malaysia pula kekal sebagai antara pasaran penting di Asia Tenggara apabila jumlah ketibaan pelancong dari negara ini meningkat sekitar enam peratus.

Bagi memudahkan perancangan perjalanan, HKTB turut menyediakan Panduan Perjalanan Muslim yang merangkumi restoran halal, hotel mesra Muslim, kemudahan solat serta tarikan pelancongan di seluruh bandar.

Melalui kempen Jelajah Hong Kong, usaha ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang destinasi tersebut, malah memberi keyakinan kepada pelancong Muslim bahawa pengalaman meneroka Hong Kong boleh dinikmati dengan selesa tanpa perlu berkompromi dengan keperluan agama.

Dalam industri semakin kompetitif, langkah Hong Kong membina ekosistem mesra Muslim ini memberi satu mesej jelas bahawa perspektif halal merupakan satu dimensi baharu dunia pelancongan.

 

Dapatkan tips percutian, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Jom Kita Travel

Crockfords Kekal Hotel 5-Bintang Forbes, Lakar Sejarah Lapan Tahun Berturut-turut

Hotel mewah Crockfords di Resorts World Genting (RWG) sekali lagi  mengekalkan penarafan 5-Bintang oleh Forbes Travel Guide (FTG) bagi tahun kelapan berturut-turut, sekali gus...