
Sebelum bercuti, ramai lebih fokus pada pakaian, pasport dan tiket penerbangan. Namun, ada beberapa barang harian yang nampak biasa tetapi sebenarnya boleh menimbulkan masalah ketika pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.
Bukan semua barang perlu dibuang, tetapi ada yang hanya dibenarkan dalam bagasi kabin atau bagasi daftar masuk. Berikut lima item yang ramai masih keliru.
1. Sambal, Jem Dan Makanan Berkuah
Makanan seperti sambal, sos, madu, jem, yogurt dan kuah turut boleh dianggap sebagai cecair.

Bagi penerbangan antarabangsa, cecair dalam bagasi kabin biasanya perlu disimpan dalam bekas tidak melebihi 100 mililiter. Jadi, lebih selamat masukkan makanan berkuah ke dalam bagasi daftar masuk dan bungkus dengan kemas.
2. Power Bank Dalam Bagasi Check-In
Power bank tidak boleh dimasukkan ke dalam bagasi daftar masuk kerana mengandungi bateri litium.

Ia perlu dibawa dalam beg kabin. Pastikan kapasiti power bank masih jelas dan elakkan membawa unit yang kembung, retak atau rosak.
BACA LAGI: Tip Pilih Tempat Duduk Dalam Pesawat Untuk Perjalanan Jarak Jauh, Baru Tak Rasa Terlalu Penat
3. Bateri Tambahan
Bateri tambahan untuk kamera atau peranti elektronik juga perlu dibawa di dalam kabin.

Terminal bateri sebaiknya ditutup menggunakan pita pelekat atau disimpan secara berasingan supaya tidak bersentuhan dengan syiling, kunci atau objek logam lain.
4. Gunting Kecil Dan Peralatan Kuku
Gunting kecil, pemotong kutikel, pisau lipat dan corkscrew boleh ditahan jika dibawa di dalam beg kabin.

Walaupun saiznya kecil, barangan tersebut masih dianggap sebagai objek tajam. Untuk lebih selamat, simpan dalam bagasi daftar masuk.
5. Alat Rambut Tanpa Wayar Dan Beg Pintar
Alat melurus atau mengeriting rambut tanpa wayar mungkin menggunakan bateri litium atau kartrij gas, sekali gus tertakluk pada syarat khas.

Beg pintar dengan bateri terbina dalam juga boleh bermasalah jika baterinya tidak boleh ditanggalkan. Sebelum membawa barang ini, semak dahulu polisi syarikat penerbangan.
Semak Sebelum Berlepas
Peraturan bagasi boleh berbeza mengikut syarikat penerbangan dan destinasi. Barang yang dibenarkan dalam bagasi daftar masuk mungkin tidak dibenarkan dalam beg kabin.
Sebelum menutup beg, semak semula polisi penerbangan supaya barang tidak dirampas atau terpaksa ditinggalkan di lapangan terbang.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!

