
Bayangkan berada di sebuah bandar kecil yang dikelilingi gunung bersalji, suhu dingin mencengkam dan langit gelap hampir sepanjang hari. Inilah keunikan Longyearbyen, Norway, sebuah penempatan di kepulauan Svalbard yang sering menjadi sebutan kerana fenomena alamnya yang luar biasa.
Bagi pencinta destinasi unik, Longyearbyen bukan sekadar tempat bercuti. Ia adalah pengalaman melihat sendiri bagaimana manusia hidup di kawasan Artik, jauh di utara dunia, dengan cuaca ekstrem dan suasana yang sangat berbeza daripada kebiasaan kita.
Longyearbyen terkenal dengan fenomena polar night, iaitu tempoh apabila matahari tidak naik melepasi garisan horizon. Fenomena ini biasanya berlaku dari sekitar pertengahan November hingga hujung Januari. Dalam tempoh ini, penduduk di Longyearbyen melalui hari-hari tanpa cahaya matahari sebenar selama hampir empat bulan.
Namun, jangan bayangkan bandar ini gelap pekat sepanjang masa. Pada waktu tertentu, langit akan bertukar menjadi biru gelap dengan cahaya samar yang dikenali sebagai blue hour. Ketika inilah pemandangan Longyearbyen kelihatan sangat memukau, seolah-olah berada dalam dunia fantasi. Lampu rumah, jalan bersalji, gunung putih dan langit kebiruan menjadikan suasananya cukup dramatik.
Bagi pelancong, musim polar night antara waktu menarik untuk datang ke Longyearbyen. Selain menikmati suasana malam kutub, pengunjung juga berpeluang melihat aurora borealis atau cahaya utara jika keadaan cuaca mengizinkan. Cahaya hijau yang menari di langit Artik ini memang menjadi impian ramai kaki travel.
Selain itu, pelbagai aktiviti musim sejuk boleh dilakukan di sini. Antaranya menaiki snowmobile merentasi kawasan bersalji, menyertai lawatan gua ais, melihat glasier, berjalan dalam suasana bandar Artik dan menikmati kehidupan tempatan yang tenang tetapi penuh karakter.
Menariknya, Longyearbyen juga mengalami fenomena berlawanan pada musim panas. Dari sekitar April hingga Ogos, matahari pula tidak terbenam. Fenomena ini dikenali sebagai
midnight sun, iaitu keadaan apabila langit kekal cerah walaupun jam sudah menunjukkan tengah malam.Keadaan ini menjadikan kehidupan di Longyearbyen sangat unik. Pada musim sejuk, penduduk hidup dalam suasana gelap berpanjangan. Pada musim panas pula, mereka menikmati cahaya matahari selama 24 jam. Bagi pelancong dari negara tropika seperti Malaysia, pengalaman ini pasti terasa sangat luar biasa.
Longyearbyen juga bukan bandar biasa. Walaupun kecil dan terpencil, ia mempunyai sekolah, kedai, restoran, hotel, muzium serta komuniti penduduk yang datang dari pelbagai negara. Bandar ini menjadi pintu masuk utama untuk meneroka Svalbard dan kawasan Artik sekitarnya.
Walaupun nampak indah dalam gambar, kehidupan di Longyearbyen sebenarnya mencabar. Suhu boleh menjadi sangat rendah, perjalanan bergantung kepada cuaca dan suasana terpencil memerlukan penduduk lebih berdikari. Namun, semua inilah yang menjadikan Longyearbyen begitu istimewa.
Bagi yang sukakan destinasi luar biasa, Longyearbyen adalah tempat yang patut masuk dalam senarai impian. Ia bukan sekadar lokasi untuk melihat salji, tetapi destinasi yang menawarkan pengalaman rare yang hidup di kawasan hampir hujung dunia, melihat matahari hilang berbulan-bulan dan menyaksikan keajaiban alam Artik yang sukar ditemui di tempat lain.