
Bagi anda yang sering merancang percutian antarabangsa melalui pintu masuk utama negara, bersiap sedialah untuk menghadapi prosedur keselamatan yang jauh lebih ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Langkah drastik ini bukan sekadar soal protokol biasa, sebaliknya satu ‘tempias’ berikutan peningkatan kes penyeludupan bahan terlarang yang dikesan berlaku secara konsisten di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.
LIHAT JUGA: Cara Jimat Ke KLIA, Tip Pengangkutan Murah Untuk Kaki Travel
Jika sebelum ini fokus lebih terarah kepada pengesanan senjata tajam atau senjata api, kali ini pihak berkuasa turut meningkatkan buruan terhadap barangan kontraban, khususnya dadah.
“Pemeriksaan bakal menjadi lebih ketat, bermaksud ‘head to toe’. Kita akan memeriksa secara menyeluruh sama ada penumpang atau barangan, khususnya bagi destinasi yang dikenal pasti berisiko tinggi dengan menggunakan kaedah profil tertentu,” jelas beliau.
Langkah memperketat kawalan ini turut disokong oleh data yang membimbangkan. Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sebelum ini mendedahkan bahawa aktiviti penyeludupan dadah dikesan berlaku hampir setiap hari di kompleks terminal berkenaan.
Malah, rekod Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bagi tempoh Januari hingga pertengahan Oktober lalu merekodkan sebanyak 77 kes sindiket keldai dadah dengan tangkapan seramai 93 individu.
Lebih mengejutkan, nilai keseluruhan rampasan dadah menerusi kes-kes tersebut dianggarkan mencecah RM202.76 juta.
Jadi, buat para pelancong dan pengembara yang bakal ke luar negara, pastikan anda tiba lebih awal di lapangan terbang dan sentiasa bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Biar penat di kaunter pemeriksaan, asal keselamatan dan nama baik negara terus terpelihara daripada ancaman sindiket rentas sempadan di KLIA.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi Libur, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang!
