Seorang artis jalanan yang menetap di New York, Tom Bob NYC telah memberi nafas baru persekitaran ‘tidak bernyawa’ kepada hasil seni yang ceria sekaligus menjadi tumpuan ramai.
Pada awalnya, Tom Bob hanya cuba menghidupkan suasana yang suram terutamanya lorong-lorong belakang yang gelap dengan warna-warna yang ceria. Ilham tersebut tercetus agar lorong yang sunyi tidak menjadi sesuatu tempat yang menakutkan dan tidak selamat untuk dilalui selain menjadi sarang untuk melakukan jenayah.
Tom Bob telah menukarkan objek yang ‘tidak dipandang’ kepada satu kehidupan dengan sentuhannya yang aneh. Dengan menggunakan cat semburan sahaja, segala imaginasi dan karektor pelbagai animasi mengubah jalan biasa dan dinding-dinding menjadi luar biasa. Bukan itu sahaja, malah rak basikal, paip air, kotak fius elektrik bertukar kepada seekor haiwan eksotik, makhluk fantastik, dan juga orang terkenal yang begitu comel.
IKLAN
Seni jalanan tersebut mendapat maklum balas positif dan tular di laman sosial. Ramai yang mengambil kesempatan untuk melihat dengan lebih dekat hasil kreativiti Tom Bob. Sehingga hari ini, lokasi-lokasi tersebut sering menjadi tumpuan ramai tidak kira penduduk tempatan dan juga pelancong untuk bergambar.
Lagi hasil Tom Bob yang dikongsikan di Instagram Tom Bob NYC
Kelip-kelip adalah sejenis serangga dari kumpulan kumbang. Keunikan yang ada pada kelip-kelip ini adalah pada ekornya, yang mengeluarkan kelipan cahaya pada kadar tiga kelipan sesaat. Dalam ribuan kelip-kelip ini cahayanya bagaikan satu rentak yang bercahaya.
Kelip-kelip jantan dikatakan mengeluarkan cahaya yang lebih terang untuk menarik perhatian kelip-kelip betina. Jangka hayat seekor kelip-kelip pula sekitar ialah 2 hingga 3 bulan sahaja.
Di negara kita terdapat banyak lokasi untuk melihat serangga ini dengan lebih dekat iaitu disekitar kawasan yang mempunyai pokok bakau seperti pokok berembang. Untuk hidup, kelip-kelip memerlukan keadaan cuaca yang lembap, persekitaran berpaya serta sumber makanan daripada pokok bakau. Pengunjung terutamanya pelancong ‘mat salleh’ kalau dapat peluang melawat port kelip-kelip ini memang mereka sangat teruja. Antara lokasi tumpuan ramai untuk melihat kelip-kelip adalah di:
Kelip-kelip Sungai Timun
Habitat kelip-kelip yang ada di Sungai Timun di Rembau, Negeri Sembilan antara lokasi menarik yang seharusnya diterokai oleh pencinta alam. Lokasi ini juga sangat dekat jika anda dari Port Dickson.
Untuk melihat kelip-kelip dengan jarak yang dekat pengunjung boleh menyusuri sepanjang sungai Timun sejauh tiga hingga lima kilometer dengan menyewa bot nelayan, di Jeti Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Timun. Apa yang menarik, kelip-kelip kawasan itu seperti sudah biasa dengan bunyi deruman enjin bot. Ia membuatkan serangga itu tidak lari walaupun dengan kehadiran bot yang membawa pengunjung. Namun, kelip-kelip ini kurang ketika bulan terang atau hujan.
Kelip-kelip Kampung Dew
Habitat kelip-kelip di Kampung Dew, Taiping Perak telah dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan unggul. Pengunjung yang datang dapat menikmati cahaya kelip-kelip di pokok berembang sepanjang 12 kilometer yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelip-Kelip.
Kelip-kelip Cherating
Kelip-kelip Sungai Cherating memang terkenal sebagai lokasi untuk melihat keajaiban kelip-kelip bukan sahaja kepada pengunjung tempatan malah pelancong asing. Pengunjung akan menyusuri sungai sepanjang 2 kilometer untuk melihat keindahan cahaya genit si kelip-kelip di sekitar pokok paya bakau berhampiran.
Kelip-Kelip Kg Kuantan
Pengembaraaan kawasan kelip-kelip di Kg Kuantan bermula pada awal tahun 1970 oleh seorang pengusaha tempatan yang melihat potensi komersil keajaiban ini. Kini pengembaraan ini telah diamanahkan kepada Majlis Daerah Kuala Selangor dan ia telah berkembang dengan pesatnya dengan penambahan sebanyak 27 sampan yang disediakan untuk menampung pengunjung.
Kelip-kelip Sungai Nanamun
Kelip-Kelip Sungai Nanamun yang terletak di Kota Belud, Sabah menjadi lokasi ramai tumpuan pengunjung untuk melihat serangga itu dari jarak dekat. Kewujudan lokasi itu menyebabkan lebih ramai pelancong tempatan dan luar berkunjung dan menetap lebih lama di Kota Belud. Pengunjung disarankan untuk datang ke sini pada waktu senja untuk menikmati pemandangan indah sambil ditemani cahaya kelip-kelip.
Sumber Foto: Google image
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Perasaan teruja bila check in hotel itu membuatkan ramai yang terus baring bila masuk bilik. Tanpa memikirkan apa yang patut anda lakukan sebelum bertindak demikian.
Hah, sepatutnya buat tiga langkah ini dulu ya, barulah selamat dan selesa waktu anda baring atas katil.
Risau juga kalau bilik hotel anda turut ‘dihuni’ oleh makhluk lain, iaitu pepijat (bedbugs) yang biasanya banyak ditemui di tilam, cadar dan selimut.
Pepijat bergantung hidup dengan menghisap darah manusia atau haiwan.
Gigitan makhluk ini akan membuatkan kulit anda gatal dan merah, dan boleh bertukar serius menjadi radang yang boleh menyebabkan pendarahan serta jangkitan.
Bila Check In Hotel
Oleh itu, amalkan tip ini setiap kali anda mendaftar masuk ke bilik hotel:
1) Tengok tilam
Ambil sedikit masa untuk memeriksa tilam dengan cara mengangkatnya dan memastikan sekiranya ia bersembunyi di bawah atau di dalam jahitan.
Periksa juga sarung bantal, takut pepijat ada bersembunyi di dalamnya. Mudah saja mahu mengenali pepijat. Ia berwarna merah karat ataupun coklat gelap dan agak halus.
2) Periksa katil
Katil juga merupakan salah satu tempat persembunyian pepijat. Cuba perhatikan di sekeliling katil termasuk celahan katil untuk memastikan tiada makhluk ini.
3) Semak bilik
Periksa juga perabot terutama yang berada berdekatan dengan tilam dan katil seperti meja sisi, sofa, kabinet dan sebagainya.
Selepas selesai melakukan tiga langkah berkenaan, barulah anda boleh berbaring atau membuka beg pakaian dengan perasaan yang lega.
Namun sekiranya anda terjumpa pepijat, sila maklumkan kepada pihak pengurusan hotel untuk urusan pertukaran bilik.
Nampak seperti agak remeh dan meletihkan, lebih-lebih lagi pastinya bilik sudah dibersihkan oleh pekerja housekeeping.
Tidak rugi jika kita sendiri mengambil langkah untuk lebih berjaga-jaga. Barulah seronok menikmati percutian yang sekian lama dinanti-nantikan.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Sebuah catatan perjalanan oleh Sharifuddin Lennon ketika bertualang ke wilayah paling hujung bagi negeri Rajasthan.
Sejauh mata memandang, ribuan rumah kotak-kotak berwarna kuning keemasan tersebar luas. Manakala bentang raksasa yang berusia lapan ratus tahun itu tetap berdiri megah, melawan kepanasan Gurun Thar yang membentang hingga ke Pakistan.
.
.
.
Sumber: Google.
Seperti mana Kota Jaipur yang dikenal sebagai Kota Merah Jambu (The Pink City) dan Jodhpur yang disebut sebagai Kota Biru (The Blue City), Jaisalmer turut mempunyai jolokannya tersendiri – Kota Emas (The Golden City). Namun ia bukan bererti semua bangunan di kota ini terbuat daripada emas – terlalu mewah bagi kota kering di tepi padang pasir ini. Sebenarnya warna emasnya tampak membara ketika matahari senja membilas barisan rumah yang dibina daripada tanah berwarna kuning yang terhampar di seluruh penjuru. Bahkan Benteng Raksasa Jaisalmer (Jaisalmer Fort) yang menjulang membayangi seluruh kota turut berwarna keemasan.
Berbeza dengan kebanyakan bentang lain di Rajasthan, Benteng Jaisalmer yang telah didirikan pada abad kesebelas oleh seorang bangsawan Rajput, Rawail Jaisal, bukan hanya bangunan kuno yang bertahan di atas putaran roda zaman. Benteng ini juga bukan sekadar monumen bersejarah biasa, tetapi ada kehidupan di sebalik dinding yang tinggi menjulang ini, dan denyut nadi kehidupan itu masih ada hingga sekarang.
Memasuki Jaisalmer fort yang mirip seperti sebuah kota kecil untuk digambarkan, saya seakan terlempar ke masa lalu. Ratusan lorong sempit berliku-liku di antara bangunan rumah kuno. Unta masih lagi menjalankan peranannya sebagai alat pengangkutan utama. Nenek tua sibuk menyulam di beranda. Alunan petikan sitar dan gendang menghidupkan kembali suasana kehidupan seharian zaman perajurit Rajput. Manakala ‘haveli’, rumah-rumah saudagar kaya daripada batu pasir berwarna emas berukir cantik dengan ratusan jendela dan ribuan bilik, masih dihuni oleh penghuninya yang berlimpah harta turun-temurun sejak ratusan tahun silam.
Seperti kota-kota lain di Rajasthan, kota kuno Jaisalmer turut dimajukan untuk menarik kunjungan pelancong asing. Banyak rumah lama di dalam benteng ini telah diubah fungsi menjadi tempat penginapan para backpacker hingga ke hotel berkelas bintang. Itu belum lagi ejen-ejen pelancongan, yang saling bersaing menawarkan pakej safari unta, pakej bermalam di gurun, penjualan tiket bas ke Jaipur, hingga tiket pesawat ke Mumbai. Ada pula kedai buku-buku lama, dengan koleksi V.S. Naipaul dan Salman Rushdie yang lengkap. Istana milik maharaja, rumah-rumah cantik haveli, semuanya memungut bayaran masuk. Di luar gerbang pula, terdapat kedai ‘bhang’, sejenis minuman yang dihasilkan daripada daun ganja – yang secara rasminya diluluskan oleh kerajaan India.
Kuil agama Jain di dalam Benteng Jaisalmer ini tentunya antara binaan yang tercantik di Rajasthan. Bukan cuma satu, tetapi beberapa buah sekaligus, membentuk sebuah kompleks monumen mewah di tengah kegersangan padang gurun. Penganut-penganut Jain pada masa silam adalah terdiri daripada para saudagar dan bangsawan, sehingga kuil-kuil kuno agama ini bergelimpang kemewahan pada zamannya – binaan tinggi yang kesemua dindingnya terukir indah, mengguratkan maha karya tak terbanding.
Sama seperti lokasi-lokasi kunjungan pelancong yang ada di sini, kuil jain di tengah benteng ini juga turut mengutip duit tiket daripada pengunjung. Oleh kerana misai saya yang sudah mirip dengan rakyat India dan kemampuan bertutur bahasa Hindi, saya berjaya memperdaya penjual tiket dengan membeli kuota tiket pengunjung tempatan. Namun apabila sampai di pintu gerbang kuil, saya gagal untuk melepasinya lalu dihantar semula ke kaunter tiket kerana petugas yang menjaga pintu masuk curiga dengan saya sebagai pelancong Jepun.
Di dalam kuil, di hadapan patung marmar Mahavira – nabi bagi penganut agama Jain yang digambarkan tidak berpakaian, seorang sami membunyikan loceng, mempersembahkan bunga suci dan lilin yang menyala di atas genangan lampu minyak, diring dengan alunan mantera. Atmosfera di dalam kuil ini seketika berubah menjadi suasana mistik.
Tetapi di antara variasi-variasi sejarah ini, saya melihat perkataan inggeris bertebaran di sudut-sudut dinding. Di atas tabung sumbangan pula, ada pesanan yang bertulis terang-terangan dengan dakwat merah: “Jangan memberi tips kepada ‘orang suci’, masukkan terus sumbangan anda ke dalam tabung.”
Nampaknya, sami atau ‘orang suci’ di kuil ini sudah diketahui menerima duit daripada para pengunjung, hinggakan pihak pengurusan kuil menulis pesanan sedemikian di atas tabung sumbangan. Namun ia sama sekali tidak menangkis sami ini untuk meminta sumbangan dengan nada yang separuh memaksa, khususnya daripada orang asing yang dianggap berdompet tebal.
“Sumbangan bhaiya, sumbangan,” pinta si sami yang berseluar dhoti-kurta berwarna oren ini. “Sumbangan ini bukan buat saya sendiri, tapi akan saya bahagikan untuk kepentingan seluruh kuil.”
Lantas saya menunjukkan jari ke arah pesanan yang tertulis untuk tidak memberi sumbangan kepada ‘orang suci’. Namun si sami ini masih tidak mati akal. “Saya bukan ‘orang suci’ bhaiya, saya ini Brahmin,” katanya sambil menunjukkan tali putih yang melingkar dari bahu ke pinggangnya – tali ‘janeu’ yang melambangkan ke-Brahma-an seseorang. Tali itu menjadi bukti bahawa dia termasuk dalam golongan yang ‘berhak’ menerima sumbangan secara langsung.
Namun begitu hakikatnya bukan semua orang di kota pelancongan ini sentiasa meminta wang. Babu, seorang pemilik hotel yang berdekatan dengan Jaisalmer fort telah memberikan saya penginapan percuma untuk dua malam di sebuah bilik hotelnya. Pengawal keselamatan di puncak istana maharaja pula mengizinkan saya memotret lautan rumah kotak-kotak kuning keemasan walaupun saya tidak membeli tiket khusus bagi pembawa kamera, hanya kerana saya telah menegurnya dengan menggunakan bahasa Hindi, dan langsung dianggap sebagai saudaranya sendiri.
Benteng kuno ini terus menerus diperindah dan dipercantikkan binaannya. Istana-istana yang dahulunya hampir hancur, kini dibaikpulih. Hotel-hotel dan agensi-agensi pelancongan baru terus bermunculan seperti cendawan yang tumbuh seusai hujan. Namun begitu masih ada sedikit masa lalu yang masih bertahan di tengah arus kemodenan.
.
Unta, bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi juga berfungsi sebagai pembancuh simen. Binatang yang biasanya nampak lembam, mengunyah makanan dengan malas, dan tidak banyak bergerak ini, sebenarnya mempunyai tenaga yang besar dan sangat garang di alam gurun seperti ini.
Setiap pagi, buruh-buruh bangunan menyiapkan pasir dan air, kemudian dituangkan ke dalam longkang berbentuk lingkaran yang berdiameter kira-kira empat meter. Di dalam lingkaran ini, dipasang sebuah roda batu yang besar, diikatkan dengan tali ke kaki unta di luar lingkaran yang berpaksikan sebatang kayu di pusat lingkaran tersebut. Unta akan berjalan mengelilingi lingkaran, lalu roda batu yang berat itu turut ikut menggiling sepanjang lingkaran, menggilis campuran air dan pasir di dalam longkang. Selepas puluhan putaran, adunan itu pun menjadi liat, lalu berubah menjadi ‘masala’ – adunan simen yang ternyata kuat merekatkan batu-batu dari gurun ini melintasi zaman ratusan tahun.
.
.
.
.
Tradisi kuno telah melewati beberapa abad di balik benteng ini. Manakala pelancongan pula, dengan segala kelebihan dan kekurangannya, membuatkan Jaisalmer yang disebut Kota Emas ini terus bertahan di atas berbagai lintasan zaman.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!