Ads

Luncur Kereta Tanpa Enjin Menuruni Bukit! Skyline Luge KL Ada Night Luge Berlampu Neon & Skyride

Gamuda Gardens | Gamuda Land
Skyline Luge KL, Kuala Lumpur Kredit Foto: gamudaland.com.my / websites

Kalau hujung minggu asyik pergi pusat beli-belah atau kafe, apa kata kali ini cuba aktiviti yang lebih mencabar dan menyeronokkan?

Di Gamuda Gardens, Rawang, Selangor, ada satu tarikan outdoor yang membolehkan pengunjung meluncur menuruni bukit menggunakan kereta kecil tanpa enjin, sambil mengawal sendiri kelajuan dan arah pergerakan!

Dikenali sebagai Skyline Luge Kuala Lumpur, tarikan ini menawarkan pengalaman seakan-akan gabungan go-kart dan kereta luncur, tetapi menggunakan kuasa graviti.

Lebih menarik, pengunjung juga boleh mencuba Night Luge, iaitu pengalaman meluncur di trek berliku yang diterangi lampu LED berwarna-warni pada waktu malam.

Bukan itu sahaja, ada juga Skyride yang membawa pengunjung menaiki kerusi gantung sambil menikmati pemandangan kawasan sekitarnya dari udara.

Kereta Tanpa Enjin, Boleh Kawal Kelajuan Sendiri!

"Experience thrilling Luge rides and scenic views at Skyline Luge Kuala Lumpur. Enjoy fun tracks and the Skyride in a stunning natural setting."
Skyline Luge KL, Kuala Lumpur Kredit Foto: gamudaland.com.my / websites

Tidak seperti go-kart biasa yang menggunakan enjin, kereta luge bergerak menggunakan daya graviti apabila menuruni laluan berbukit.

Pengunjung hanya perlu duduk dalam kereta khas yang rendah ke tanah, memegang hendal dan mengawal pergerakan menggunakan sistem stereng serta brek.

Tarik hendal ke belakang untuk memperlahankan atau memberhentikan kereta, manakala melepaskannya secara terkawal membolehkan kereta bergerak lebih laju.

Menurut laman rasmi Skyline Luge Kuala Lumpur, tarikan ini mempunyai empat trek berlainan dengan jumlah laluan sekitar 1.6 kilometer, lebih 30 selekoh dan bahagian terowong sepanjang kira-kira 160 meter.

Empat trek tersebut dikenali sebagai Legend, Ultra, Gravity dan Express, masing-masing menawarkan pengalaman luncuran yang berbeza.

Night Luge, Trek Bertukar Warna-Warni Waktu Malam!

Community | Gamuda Land
Skyline Luge KL, Kuala Lumpur Kredit Foto: gamudaland.com.my / websites

Kalau mahu pengalaman yang lebih menarik, pengunjung boleh memilih untuk datang pada waktu petang dan meneruskan aktiviti sehingga malam.

Ini kerana apabila matahari terbenam, suasana trek berubah dengan pencahayaan LED yang menghasilkan pelbagai warna.

Bayangkan meluncur melalui selekoh dan terowong sambil dikelilingi cahaya neon!

Skyline Luge KL, lampu LED Night Luge mula dihidupkan pada jam 6.30 petang. Tiada waktu operasi berasingan untuk Night Luge; aktiviti ini mengikuti jadual taman.

Menariknya, sehingga 30 November 2026, terdapat promosi Twilight Edition yang menawarkan tiga kali luncuran bersama Skyride untuk dua orang pada harga RM99.

Naik Skyride, Nikmati Pemandangan Dari Udara!

Contact Us | Skyline Luge Kuala Lumpur
Skyline Luge KL, Kuala Lumpur Kredit Foto: gamudaland.com.my / websites

Sebelum memulakan luncuran, pengunjung akan menaiki Skyride, iaitu kerusi gantung yang membawa mereka dari bahagian bawah ke stesen permulaan di atas bukit.

Perjalanan ini mengambil masa kurang daripada tiga minit, tidak termasuk waktu menunggu giliran.

Ads

Dari atas Skyride, pengunjung dapat melihat kawasan hijau, trek luge yang berliku serta persekitaran Gamuda Gardens.

Lebih menarik, pada waktu malam, pemandangan trek berlampu dari kerusi gantung memberikan pengalaman yang berbeza.

Setiap pakej Luge Combo turut merangkumi Skyride. Pengunjung yang hanya mahu mencuba Skyride tanpa bermain luge pula boleh membeli tiket berasingan di kaunter, tertakluk pada ketersediaan.

Nak Lebih Lasak? Ada Hyfly Zipline!

Skyline Luge Kuala Lumpur | Malaysia's #1 Attraction
Skyline Luge KL, Kuala Lumpur Kredit Foto: gamudaland.com.my / websites

Selain Luge dan Skyride, Skyline Luge Kuala Lumpur turut menawarkan pengalaman Hyfly Zipline.

Aktiviti ini membolehkan peserta meluncur menggunakan sistem zipline dengan laluan khas sepanjang kira-kira 380 meter yang menampilkan bahagian berpusing serta lingkaran 720 darjah.

Bagi yang mahu pengalaman tambahan, terdapat juga pilihan lompatan freefall pada penghujung laluan.

Bagaimanapun, lompatan tersebut tidak diwajibkan kerana peserta boleh memilih untuk turun menggunakan tangga.

Untuk aktiviti ini, peserta perlu memenuhi syarat keselamatan dan berat badan yang ditetapkan.

Harga Tiket Skyline Luge KL 2026

PROMOSI TWILIGHT EDITION HINGGA 30 NOVEMBER 2026

RM99 / 2 orang

Tiga kali luncuran Luge bersama tiga kali Skyride untuk setiap peserta, termasuk akses foto dan video digital.

Harga pakej biasa yang disenaraikan oleh pengendali:

Ads
Pakej Harga seorang
2 Luge Rides + Skyride RM60
3 Luge Rides + Skyride RM70
4 Luge Rides + Skyride RM80
5 Luge Rides + Skyride RM90
Unlimited Luge (hari biasa) RM125
Hyfly + Skyride RM110

Bagi mereka yang pertama kali mencuba, pakej dua atau tiga luncuran sudah boleh memberikan gambaran tentang pengalaman luge.

Namun, kalau mahu mencuba keempat-empat trek, pakej empat atau lima luncuran mungkin lebih sesuai.

Kanak-Kanak Pun Boleh Cuba, Tetapi Ada Syarat Ketinggian!

Skyline Luge Kuala Lumpur Finally Opens In Gamuda Gardens
Skyline Luge KL, Kuala Lumpur Kredit Foto: gamudaland.com.my / websites

Skyline Luge bukan hanya untuk orang dewasa. Kanak-kanak juga boleh menyertai aktiviti ini dengan syarat keselamatan tertentu.

Berdasarkan syarat rasmi pengendali:

  • Kanak-kanak berumur sekurang-kurangnya dua tahun dengan ketinggian 85–109 cm perlu menaiki luge bersama orang dewasa.

  • Kanak-kanak berumur enam tahun ke atas dan berketinggian sekurang-kurangnya 110 cm boleh menunggang sendiri, tertakluk pada syarat pengawasan.

  • Pengunjung berketinggian 135 cm ke atas boleh menaiki Skyride secara bersendirian.

  • Kanak-kanak yang berketinggian 85–134 cm mesti ditemani orang dewasa ketika menaiki Skyride.

Penggunaan topi keledar adalah wajib, manakala telefon bimbit tidak dibenarkan digunakan untuk merakam video secara pegang tangan semasa luncuran.

Waktu Operasi & Cara Ke Skyline Luge Kuala Lumpur

Lokasi: Skyline Luge Kuala Lumpur, Gamuda Luge Gardens, Bandar Gamuda Gardens, Rawang, Selangor.

Waktu operasi 23–29 November 2026

10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Ditutup pada Rabu, 25 November.

Kaunter tiket ditutup satu jam sebelum waktu tamat operasi.

Ads
Skyline Luge Kuala Lumpur

Night Luge: Lampu LED dihidupkan mulai 6.30 petang, tertakluk pada operasi dan keadaan cuaca.

Parkir: RM3 setiap kemasukan pada hari biasa.

RM5 setiap kemasukan pada hujung minggu dan cuti umum.

Parkir kira-kira 300 meter dari pintu masuk taman.

Skyline Luge Kuala Lumpur

Pengangkutan awam

Naik MRT Laluan Putrajaya ke Stesen Sungai Buloh, kemudian sambung bas perantara T154 menuju Gamuda Luge Gardens.

Pembayaran: Tanpa tunai. Kad debit, kad kredit dan pembayaran QR diterima.

Tip Penting Sebelum Datang

Memandangkan sekarang musim hujan, pengunjung perlu mengambil kira kemungkinan aktiviti ditangguhkan apabila berlaku ribut petir.

Menurut pengendali, luge dan Skyride masih boleh beroperasi ketika hujan renyai, namun operasi boleh dihentikan sekiranya cuaca membahayakan keselamatan.

Jika penutupan akibat cuaca menjejaskan pengalaman yang telah dibeli, pengendali menyediakan proses pengesahan semula tiket mengikut syarat tertentu, dengan tempoh penggunaan sehingga 90 hari.

Sebaiknya, buat tempahan dalam talian terlebih dahulu kerana tiket walk-in terhad dan bergantung pada kapasiti.

Port Outdoor Menarik Untuk Hujung Minggu Di Selangor!

Skyline Luge Kuala Lumpur Tickets in Kuala Lumpur | Pelago
Skyline Luge KL, Kuala Lumpur Kredit Foto: gamudaland.com.my / websites

Kalau sudah bosan dengan aktiviti hujung minggu yang sama, Skyline Luge Kuala Lumpur sememangnya menawarkan pengalaman berbeza.

Bayangkan meluncur menuruni bukit menggunakan kereta tanpa enjin, menikmati panorama dari Skyride, kemudian mencuba sekali lagi ketika trek diterangi lampu neon.

Sama ada datang bersama pasangan, keluarga atau rakan-rakan, aktiviti ini boleh menjadi pilihan menarik untuk mereka yang mahukan pengalaman santai tetapi tetap mempunyai elemen cabaran.

Jadi, kalau merancang aktiviti hujung minggu di sekitar Selangor, jangan lupa masukkan Skyline Luge Kuala Lumpur dalam senarai!

 

Dapatkan tips percutian, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Jom Kita Travel

Tak Perlu Ke Laut Untuk Main Surf! Cuba Wakeboarding Di Marina...

Siapa sangka, di tengah-tengah Putrajaya yang terkenal dengan tasik dan jambatan ikonik, ada aktiviti sukan air yang cukup mencabar untuk dicuba! Bukan sekadar berkayak atau...