
Siapa sangka, di tengah-tengah Putrajaya yang terkenal dengan tasik dan jambatan ikonik, ada aktiviti sukan air yang cukup mencabar untuk dicuba!
Bukan sekadar berkayak atau menaiki bot santai, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman wakeboarding, iaitu aktiviti meluncur di atas permukaan air menggunakan papan khas sambil ditarik oleh bot bermotor.
Lebih menarik, pengalaman ini bukan hanya untuk atlet profesional. Mereka yang belum pernah mencuba juga boleh mengikuti sesi pembelajaran bersama jurulatih.
Terletak di Marina Putrajaya, Presint 5, Putrajaya Waterski School menawarkan pengalaman sukan air yang sesuai untuk mereka yang mahu mencuba sesuatu yang berbeza pada hujung minggu.
Sekolah sukan air ini telah beroperasi sejak 2009 di bawah Waterski & Wakeboard World Cup Sdn Bhd (WWWC), yang turut menawarkan waterskiing, wakesurfing dan kneeboarding.
Meluncur Di Atas Tasik, Rasa Macam Surfing!
Sekali pandang, wakeboarding mungkin kelihatan seperti surfing yang biasa dilakukan di pantai.
Namun, kedua-dua aktiviti ini sebenarnya berbeza.
Jika surfing menggunakan tenaga ombak, wakeboarding pula menggunakan bot bermotor untuk menarik peserta yang berdiri di atas papan khas.
Ketika bot bergerak, peserta perlu mengimbangkan badan dan mengawal kedudukan papan supaya dapat meluncur dengan lancar di permukaan air.
Bagi mereka yang sudah mahir, ombak yang terhasil daripada pergerakan bot juga boleh digunakan untuk melakukan lompatan dan pelbagai aksi menarik.
Apa yang menjadikan pengalaman di Putrajaya lebih istimewa ialah pemandangan tasik yang luas serta panorama bandar yang mengelilinginya.
Beginner Pun Boleh Cuba, Ada Jurulatih!
Kalau pertama kali mencuba, tidak perlu terus melakukan aksi mencabar seperti atlet profesional.
Putrajaya Waterski School menyediakan sesi pembelajaran khas untuk peserta baharu.
Antara perkara asas yang dipelajari termasuk teknik memegang tali, kedudukan kaki dan cara bangun dari permukaan air apabila bot mula bergerak.
Menurut kadar yang dipaparkan di laman rasmi pengendali, sesi bersama jurulatih berharga RM300 seorang untuk 30 minit.
Harga tersebut merangkumi perkhidmatan pemandu bot, jurulatih khusus serta penggunaan papan dan jaket keselamatan.
Bagi peserta yang belum mempunyai pengalaman, memilih sesi bersama jurulatih merupakan langkah yang lebih sesuai sebelum mencuba sendiri.
Boleh Datang Dengan Kawan, Kongsi Tempahan Bot!
Bukan hanya sesuai untuk individu, wakeboarding juga boleh dijadikan aktiviti berkumpulan bersama rakan-rakan.
Pengendali menawarkan pilihan sewaan bot selama 30 minit atau satu jam.
Bot biasa boleh membawa maksimum empat orang, manakala bot wakeboard dan wakesurf bersaiz besar boleh membawa sehingga tujuh orang.
Pengunjung boleh bergilir-gilir menggunakan papan mengikut tempoh sesi yang ditempah.
Namun, bagi peserta yang baru pertama kali mencuba, jurulatih tambahan diwajibkan oleh pengendali.
Jadi, sebelum membuat tempahan berkumpulan, pastikan jumlah peserta, tahap pengalaman dan jenis pakej dimaklumkan terlebih dahulu.
Harga Wakeboarding Di Marina Putrajaya
| Aktiviti | Harga |
|---|---|
| Sewaan bot biasa – 30 minit | RM270 |
| Sewaan bot biasa – 1 jam | RM540 |
| Sesi pembelajaran beginner – 30 minit | RM300 seorang |
| Sewaan bot dengan jurulatih khusus – 30 minit | RM300 |
| Sewaan bot dengan jurulatih khusus – 1 jam | RM600 |
Sebagai contoh, jika empat orang berkongsi sewaan bot biasa selama satu jam pada harga RM540, kos asas bersamaan RM135 seorang.
Bagaimanapun, itu hanyalah contoh pembahagian kos, bukannya harga pakej individu. Caj jurulatih atau bayaran tambahan mungkin dikenakan mengikut keperluan.
Marina Putrajaya, Lokasi Sukan Air Di Tengah Bandar
Bagi mereka yang tidak biasa dengan kawasan Putrajaya, lokasi aktiviti ini terletak di Marina Putrajaya, Presint 5.
Kompleks tersebut menyediakan kemudahan seperti kawasan parkir, tandas, bilik persalinan dan ruang untuk pengunjung.
Pengunjung boleh datang menggunakan kenderaan sendiri atau perkhidmatan e-hailing.
Selepas selesai aktiviti, bolehlah meneruskan percutian dengan bersiar-siar di sekitar tasik atau menikmati pemandangan jambatan ikonik Putrajaya.
Waktu Operasi, Lokasi & Cara Tempahan
Lokasi: Putrajaya Waterski School, Aras B1, Marina Putrajaya, No. 1, Jalan P5/5, Presint 5, 62200 Putrajaya.
Tempahan: Melalui WhatsApp pengendali. Pengunjung perlu mengesahkan slot sebelum hadir.
Nombor WhatsApp
019-235 3638
012-387 7115
017-490 1948
Keselamatan: Semua penumpang bot diwajibkan memakai jaket keselamatan. Peserta perlu hadir sekurang-kurangnya 15 minit sebelum sesi.
Aktiviti Outdoor Yang Berbeza Di Putrajaya!
Kalau sudah biasa menghabiskan hujung minggu dengan membeli-belah atau bersantai di kafe, apa kata kali ini mencuba aktiviti yang lebih mencabar?
Wakeboarding di Marina Putrajaya memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman sukan air dengan cara yang berbeza.
Daripada mempelajari teknik asas hingga berjaya berdiri dan meluncur di atas air, setiap sesi tentunya memberikan pengalaman menarik, terutama kepada mereka yang baru pertama kali mencuba.
Cuma, memandangkan sekarang musim hujan, pastikan keadaan cuaca sesuai dan sesi telah disahkan oleh pengendali sebelum bertolak.
Jadi, kalau sedang mencari aktiviti outdoor yang unik di sekitar Lembah Klang, apa kata ajak kawan-kawan mencuba wakeboarding di Marina Putrajaya?

sekarang!
