
Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang terkini, MASwings merancang untuk mengembalikan semula frekuensi penerbangan termasuk yang digantung, kembali kepada normal dalam empat fasa seperti yang dikehendaki oleh Perjanjian Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO), mulai 10 Jun 2020 hingga 27 Mac 2021.
Walaupun pengenaan serta Prosedur Pengendalian Standard (SOP) PKPP adalah lebih longgar, permintaan untuk perjalanan udara di Sabah dan Sarawak masih belum menunjukkan sebarang pertumbuhan yang ketara, dengan itu jadual penerbangan semasa yang dilaksanakan sejak PKP akan kekal sehingga 30 Jun depan.
Bagaimanapun, berdasarkan kepada tempahan sedia ada untuk tempoh enam bulan akan datang termasuk jangkaan trafik penumpang yang lebih besar jika lebih banyak perniagaan dan industri pelancongan dibuka, MASwings memutuskan untuk mengembalikan frekuensi penerbangan secara beransur-ansur melalui empat fasa. Pengembalian jadual operasi semula yang dirancang bagi seluruh Sabah dan Sarawak telah menerima kelulusan dan sokongan daripada Kementerian Pengangkutan.
MASwings juga menambah akan terus komited terhadap peranannya dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan untuk rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan di bawah PSO serta bersedia mengkaji semula pelannya dari masa ke semasa, tertakluk kepada permintaan tempatan dan operasi sedia ada.
Untuk maklumat terbaharu dan kemas kini jadual penerbangan serta frekuensi atau pertanyaan lain, pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol MASwing di 1 300 88 3000 termasuk melawat laman web rasmi di www.maswings.com.my
Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pakej Pelancongan Bertaraf ‘kayangan’ Pada Harga Murah Di Kuala Lumpur. Jom Rebut!

Dikenali sebagai kota metropolitan, Kuala Lumpur turut menawarkan pelbagai lokasi moden dan tradisi menarik selain kaya dengan budaya makanan yang pelbagai serta menjadi syurga buat penggemar membeli-belah untuk diterokai.
Lihat sahaja pelbagai destinasi menarik yang tersergam indah seperti Kampung Baru, Taman Tugu, Taman Tasik Titiwangsa, Menara Kuala Lumpur, KL Bird Park, Pusat Sains Negara, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Petaling Street.
Namun, ibu negara Malaysia yang pernah sunyi dan sepi seketika akibat pandemik COVID-19, kini bangkit semula menerima kedatangan pelancong domestik selari dengan saranan kerajaan yang menggalakkan percutian dalam negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa. Sehubungan itu, pelbagai inisiatif dilakukan peserta industri pelancongan bagi merancakkan kembali industri dengan menawarkan kombinasi pelbagai makanan, budaya dan alam sekitar yang menarik.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri 'turun padang' untuk berkolaborasi dengan pemain industri dalam memperkenalkan pelbagai tawaran yang menarik khas buat warga kota bagi merancakkan pasaran pelancongan domestik. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata pihaknya bertindak sebagai penyokong kepada penggiat industri pelancongan di Kuala Lumpur dalam mempromosikan setiap inci kota metropolitan ini kepada masyarakat.
"Rakyat Malaysia selalu berpandangan yang mereka tahu secara menyeluruh (tentang Kuala Lumpur) tetapi hakikatnya terdapat banyak lagi tempat-tempat menarik yang masih kita tidak tahu akan kewujudannya. Contohnya, Saloma Link Bridge yang tersergam indah dan telah siap dibina, malah masih ramai yang belum mengetahui inisiatif DBKL yang mengindahkan lorong-lorong belakang di sekitar Bukit Bintang yang bertujuan menarik lebih ramai pelancong menghargai lokasi terbiar," katanya.
Platform media sosial dan penggunaan teknologi maklumat akan menjadi 'senjata' utama dalam menyusun strategi bagi mempromosikan Kuala Lumpur. DBKL bercadang mengembangkan penggunaan teknologi dengan melaksanakan Kuala Lumpur Augmented Reality Trail bagi mendapatkan maklumat berkaitan sejarah serta tempat-tempat menarik di ibu kota. Usaha ini akan menjadi medium baharu dalam penyampaian kepada pelancong.
Bagi membantu sektor itu bangkit semula, MOTAC menerusi Tourism Malaysia akan memperkukuh inisiatif di bawah pelancongan domestik melalui kempen Cuti-Cuti Malaysia. Justeru, kerajaan negeri dan pemain industri dalam sektor pelancongan serta kebudayaan khususnya digesa agar memastikan perkhidmatan serta produk yang ditawarkan berkualiti tinggi, terutama mengenai keselamatan kesihatan dan kebersihan
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Mohd Izal Mohd Nor pula menyeru orang ramai agar merebut peluang untuk bercuti dalam negara berikutan pelbagai tawaran hebat disediakan daripada pemain industri pelancongan selepas teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.
Keputusan kerajaan membenarkan pelancongan domestik memberi peluang kepada kebanyakan pemain industri menawarkan pakej pelancongan dengan potongan harga yang menarik. Ini adalah masa yang tepat untuk bercuti dengan peluang merasai pelbagai pakej pelancongan bertaraf 'kayangan' pada harga murah. Justeru, orang ramai perlulah mengambil peluang ini untuk menikmatinya walaupun hanyalah sekadar bermalam di hotel. Malah, kesediaan pemain industri memberi diskaun luar biasa itu mampu merancakkan kembali sektor pelancongan setelah negara terkesan dengan COVID-19.
Kesediaan hotel bertaraf lima bintang menawarkan pakej atau harga istimewa adalah bersifat sementara demi memanfaatkan pelancong domestik dalam tempoh Perintah kawalan Pergerakan (PKP). Dengan keadaan sempadan negara yang masih belum dibuka, banyak hotel mewah mengambil peluang menawarkannya kepada pelancong domestik untuk menikmati pengalaman premium dengan kos yang lebih rendah. Jadi jangan lepaskan peluang ini dengan melayari laman sesawang lokasi yang anda ingin tujui.
Jom cuti-cuti Kuala Lumpur!
Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tidak Perlu Buat Ujian RTK Lagi, Pengunjung Ke Sabah Hanya Perlu Lengkap 2 Dos Vaksin

Berita baik untuk yang nak travel ke Sabah, mulai semalam syarat kemasukan ke negeri ini dipermudahkan di mana tiada lagi keperluan buat ujian RTK sebaliknya hanya perlu lengkap dua dos vaksin sahaja mulai 1 Disember 2021.
Tapi bagi ahli keluarga yang ada anak berusia 12 tahun ke atas yang belum divaksin, belum lengkap di vaksin atau belum menerima vaksin bagi yang layak WAJIB melakukan ujian saringan Covid-19 dan menunjukkan slip keputusan ujian negatif di pintu masuk Sabah.
Manakala bagi individu yang belum divaksin atau belum menerima vaksin lengkap tertakluk dengan SOP sedia ada iaitu membuat ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum memasuki Sabah dan mengisi borang deklarasi kesihatan.



Menurut Berita Harian, Kerajaan Sabah membenarkan kemasukan pelawat yang lengkap vaksin COVID-19 ke negeri itu tanpa perlu menjalani ujian saringan COVID-19 berkuat kuasa 1 Disember ini.
Kelonggaran terbaharu prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri ke Sabah itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor sempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, Sabah juga sudah bersedia menerima kemasukan pelancong antarabangsa sejurus Kerajaan Pusat membuka semula sempadan negara bermula tahun depan.
“Sehingga November 2021, sebanyak 266 penerbangan mingguan beroperasi ke Sabah dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Labuan dan Sarawak dengan 43,000 kapasiti tempat duduk.
“Bagi penerbangan dalam negeri Sabah pula, sebanyak 123 penerbangan mingguan beroperasi ketika ini dengan kapasiti 16,720 tempat duduk menghubungkan Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau,” katanya dalam kenyataan selepas pelancaran pameran pelancongan Sabah sempena MATTA Fair yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
Yang turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin; Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Arif; Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai dan Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang.
Kerajaan negeri sebelum ini mewajibkan kemasukan pengunjung dari Semenanjung dan Sarawak menjalani ujian saringan COVID-19 dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan walaupun sudah lengkap vaksin.
Sementara itu, Sabah mengambil bahagian secara besar-besaran dalam pameran pelancongan MATTA Fair kali ini dengan 12 gerai pameran bagi mempromosikan produk pelancongan Sabah sejajar pemilihan negeri itu sebagai Destinasi Pilihan Malaysia oleh MATTA untuk kali ketiga selepas 2015, 2019.




Hajiji berkata, Sabah tidak menghadapi masalah untuk memenuhi keperluan penginapan pelancong, malah tambahan 3,506 bilik hotel dijangka meningkatkan lagi kapasiti sedia ada dengan pembukaan sebanyak 11 hotel baharu pada tahun depan.
Pada masa sama, katanya kerajaan negeri turut melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan Sabah untuk segmen domestik dan antarabangsa bagi memperbaiki promosi pelancongan, termasuk menukar pasaran ketika pandemik COVID-19.
Katanya, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bekerjasama dengan pemain industri untuk melaksanakan ekspo pengembaraan, promosi dan latihan mengenai perkembangan destinasi pelancongan.
“Ini termasuk mewujudkan semula keyakinan pelancongan dan perdagangan melalui dengan negara seperti China, Korea, Norway, Indonesia, Brunei, India, Dubai, Itali, Kazakhstan dan Turki.
“STB juga bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan membantu mereka mewujudkan semula penerbangan terus untuk pengembara domestik dan antarabangsa,” katanya.
Sektor pelancongan menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi negeri itu dan digariskan sebagai antara sektor utama yang akan dibangunkan melalui Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sebelum pandemik COVID-19, sektor pelancongan Sabah merekodkan ketibaan 4.1 juta pelancong dengan perolehan RM8.342 bilion dan RM12 juta cukai pelancongan pada 2019.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kg Turtuk Pedalaman Terpinggir Jadi Rebutan India Dan Pakistan, Majoriti 300 Penduduknya Beragama Islam

Dikatakan sebuah perkampungan di sebuah kawasan pendalaman, iaitu Kampung Turtuk yang terletak di sempadan India dan Pakistan dan penduduknya adalah Muslim Balti.
Rupanya ada cerita menarik mengenai perkampungan ini seperti dikongsi oleh salah seorang sahabat Backpacker Buddies Malaysia, Syu Azis
Ayuh, ikuti perkongsiannya
Turtuk Village (Antara sempadan India & Pakistan)
Turtuk adalah perkampungan utara India yang terakhir yang terletak di lembah Nubra di Ladakh, berhampiran Line-of-Control (LoC). Kampung cantik ini menjadi hakmilik India namun etnik, tradisi memang Pakistan yang punya. Ada ceritanya.
Suatu ketika dahulu, Turtuk adalah sebahagian dari Pakistan yang menguasainya pada tahun 1947. Sebilangan orang di kampung ini mempunyai saudara-mara mereka di Pakistan, jauh dari akar umbi mereka.
Tapi, India kembali menakluk perkampungan Turtuk setelah menang dalam perang Indo, pada tahun 1971. Kampung ini terletak seberang sahaja dengan Gilgit Baltistan yang menjadi hak milik Pakistan namun masih direbut oleh India sehingga ke hari ini.
Siapa sangka? Disebalik sungai tenang, Sungai Shyok dan pergunungan Karokaram, ada lebih 4000 penduduk di dalam kampung itu. Tak ramai yang tahu kerana kawasan ini tertutup sehinggalah pada tahun 2010.
Selepas 2010, baharulah kerajaan India buka bagi pelancong luar melihat dan merasai keunikkan kampung dan penduduknya yang lari dari kebiasaan penduduk Ladakh.
Kenapa?
Penduduk Ladakh memiliki pengaruh kuat agama Buddha dan pengaruh Tibet, namun Kampung Turtuk memiliki budaya Islam Balti. Ada kira kira 300 buah keluarga menetap di sana yang hanya sejauh 10 km daripada Kampung Thang (penganut agama Buddha).
Apa itu etnik Islam Balti?
Orang-orang Balti atau orang-orang Baltis adalah kumpulan etnik keturunan Tibet dan Indo Aryan yang berasal dari wilayah Gilgit Baltistan yang ditadbir oleh Pakistan. Sama rupa macam orang di Ladakh.
Cuma beza negara dan fahaman agama. Orang etnik Balti kebanyakannya tinggal di wilayah Skardu di Baltistan yang merupakan wilayah Pakistan dengan majoriti etnik beragama Islam.
Tapi ada hal yang menarik hati saya kerana desa ini berada pada ketinggian 2900 meter dari aras laut. Makna kata, Turtuk berada pada ketinggian yang lebih rendah dibandingkan dengan daerah lain di Ladakh. Even Lahaul pun lebih kurang 4800 meter dari aras laut.

Kawasan berbatu batu buatkan mereka ini kreatif. Bina gudang makanan diperbuat sepenuhnya dengan batu bagi menyimpan makanan. Makanan bagi musim sejuk perlu disimpan rapi kerana cuaca sangat ekstrem. Salah simpan, rosak semuanya.
Seperti kawasan lain yang sama dengan Turtuk (Ladakh, Lahaul, Spiti), musim panas adalah musim bagi agriculture. Turtuk sangat famous dengan tanaman barli yang penduduk Lahaul gelarkan, “geyhu”. Selain dari geyhu, tanaman utama adalah walnut dan aprikot menjadi sumber eksport utama Turtuk ke wilayah lain di India.
Saya pasti akan ke sini suatu hari nanti. Tak jauh sangat dengan Lahaul. Beza jauh hanya 548 km dari rumah mentua saya. Menariknya! Saya memang suka terjah tempat yang rare dan asing. Semoga tercapai niat di hati ini.
InsyaAllah.
Syu Azis
Disclaimer : Menulis tentang Kampung Turtuk. Tempat cantik, info kampung yang berkait rapat, informasi. Tiada conflict of interest coz both country saya respect. Kena tulis disclaimer sebab follower saya ada dari India, ada dari Pakistan, Afghanistan, ada dari Kashmir, ada muslim, ada pelbagai jenis agama dan you all suka translate dan buat andaian saya ni pro India, pro sana pro sini.
Walhal, sis ni residing di India mestilah ku tulis hal negara India. Takkan nak ku tulis negara Africa pula ya tak? Bakinya, sis respect semuanya. Ngerti?
Susah nak menulis tentang India, isu semasa yang berkait rapat dan kita ini pula Muslim dari Malaysia. Akan ada isu berbangkit but tenang is good, dear my followers and friends. Hah panjang engkau disclaimer kali ni
Credit to : Muhammad Fahim : pakistaninfo.com
Picture credit to : Timesofindia, Ariel Sophia Bardi, google images
Artikel Berkaitan:
“Frost flowers” Tarikan Indah Muncul Di Permukaan Tasik Suhu Musim Sejuk Ekstrem Di Hokkaido
Rasai Pengalaman Unik Makan Di Dasar Laut, Tarikan Terbaru Sea Life Legoland Malaysia
Boleh Gelongsor Terus Sampai Sungai, Tarikan Best Camping Di Sojuk Riverside Batang Kali Selangor
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI