
Pernah tidak anda berangan ingin berjalan-jalan dilimpahi kelopak bunga warna merah jambu, bersiar-siar di bawah pokok daun merah keemasan atau bermain salji tebal ala-ala dalam drama Korea?
Korea Selatan sememangnya terkenal dengan keindahan empat musimnya, tetapi kalau selalu pusing Seoul dan Busan sahaja, rugi rasanya!
Bagi anda yang inginkan aura sebenar keindahan seasonal vibe, ini empat bandar pilihan di Korea Selatan yang paling cantik, aesthetic dan wajib masuk dalam bucket list mengikut musim!
1. Musim Bunga ( Mac – Mei)
Kredit Foto: The Real Traveller & The Korea Herald
Bila sebut musim bunga, ramai terus terfikirkan Seoul. Tetapi tahukah anda, Gyeongju ialah bandar purba yang digelar “Muzium Tanpa Dinding” ialah port paling magis bila tiba musim bunga!
Di sini, anda boleh lihat gabungan unik seni bina rumah tradisional Korea (Hanok) dan pokok-pokok cherry blossoms yang mekar di segenap sudut bandar.
Oleh itu, terdapat beberapa lokasi yang anda wajib pergi sebagai port OOTD iaitu:
Daereungwon Ancient Tombs. Kawasan makam diraja berbukit hijau yang dikelilingi pokok cherry blossom. Pastikan anda sewa Hanbok dan berjalan di celah-celah laluan pokok bunga apabila ke sini.
Bomun Lake Resort. Tasik gergasi yang dipenuhi pokok bunga di sepanjang tebingnya. Boleh sewa basikal atau kayuh bot itik sambil layan angin sepoi-sepoi bahasa.
BACA JUGA: First Time Ke Korea Selatan Secara DIY? Elak 4 Kesilapan Ini Kalau Tak Nak Penat & Membazir Masa
Bunga cherry blossom biasanya mekar penuh (full bloom) hanya sekitar 1–2 minggu (sekitar akhir Mac ke awal April), jadi pastikan anda semak ramalan cuaca dan tempoh mekar sebelum tempah tiket!
2. Musim Luruh (September – November)
Kredit Foto: Gwangju News & Travelsewhere
Apabila daun bertukar warna merah, oren dan keemasan, cuaca pun mula jadi nyaman. Kalau anda merupakan pencinta pemandangan romantik dan suka gambar gaya trench coat, teruskan perjalanan ke Damyang dan Jeonju.
Musim luruh lah masa paling cantik dan sesuai untuk bergambar sakan kerana pemandangan daun yang keguguran. Oleh itu anda boleh ke lokasi-lokasi ini untuk bergambar apabila di Damyang atau Jeonju:
Metasequoia-lined Road (Damyang). Di sini merupakan laluan pokok Metasequoia yang sangat ikonik. Pada musim luruh, deretan pokok tinggi ini bertukar menjadi warna merah bata keemasan.
Jeonju Hanok Village. Ini merupakan perkampungan Hanok terbesar di Korea. Apabila daun-daun ginkgo bertukar warna kuning keemasan dan gugur di atas bumbung rumah tradisional, suasananya memang luar biasa.
3. Musim Salji (Disember – Februari)
Kredit Foto: Olympics.com
Inginkan pengalaman terpijak salji tebal macam selimut yang tebal? Pyeongchang di wilayah Gangwon-do ialah jawapannya.
Bandar ini merupakan tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018, jadi tak hairanlah ia digelar syurga salji Korea Selatan.
Disebabkan musim begini memang mustahil dirasai di negara kita, jadi ada beberapa lokasi boleh dijadikan port sesuai untuk bergambar di musim sejuk iaitu:
Daegwallyeong Sheep Ranch. Ladang ternakan biri-biri di kawasan bukit yang litupi salji putih bersih. Pemandangan di sini memang nampak macam dalam buku cerita fairytale!
Mona YongPyong / Alpensia Resort. Ini pula adalah port terbaik kalau anda ingin cuba main ski, snowboard atau naik cable car merentas puncak gunung bersalji.
4. Musim Panas ( Jun – Ogos)
Kredit Foto: allkpop
Siapa kata musim panas di Korea tidak menarik? Musim panas di Korea ialah masa terbaik untuk road trip ke kawasan pesisir pantai.
Gangneung dan Sokcho yang terletak di pantai timur Korea menjanjikan pemandangan laut biru yang sangat menenangkan.
Ini pula adalah tempat-tempat wajib yang anda perlu bergambar di sini iaitu:
Anmok Beach Coffee Street (Gangneung). Terdapat deretan kafe hipster pelbagai konsep sejajar di tepi pantai. Boleh layan bingsu (pencuci mulut ais) sambil menikmati angin laut.
BTS Bus Stop (Jumunjin): Port ikonik lokasi penggambaran kulit album BTS. Anda wajib singgah ke sini jika anda ialah seorang Army (kelab peminat BTS).
Setiap musim di Korea Selatan membawa ‘jiwa’ dan warna yang berbeza. Jadi, anda paling teringin nak percutian gaya yang mana satu? Simpan panduan ini siap-siap untuk perancangan trip Korea anda yang seterusnya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi Libur, Instagram, Facebook & TikTok
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!





