Ads

First Time Ke Korea Selatan Secara DIY? Elak 4 Kesilapan Ini Kalau Tak Nak Penat & Membazir Masa

Korea Selatan

Korea Selatan terus menjadi antara destinasi pilihan rakyat Malaysia. Ada yang tertarik kerana drama Korea dan K-pop, tidak kurang juga yang mahu merasai sendiri makanan, budaya serta suasana negara tersebut.

Bagi yang mahu lebih fleksibel dan mengawal bajet, melancong secara Do It Yourself (DIY) memang menjadi pilihan. Tiket penerbangan cari sendiri, hotel tempah sendiri dan Itinerari pun susun sendiri.

Namun, bagi yang pertama kali merancang trip ke Korea Selatan secara DIY, ada beberapa kesilapan kecil yang boleh menyebabkan perjalanan menjadi lebih penat, membuang masa dan meningkatkan kos.

Kalau Seoul menjadi destinasi pertama anda, cuba elakkan empat kesilapan ini.

1. Tempah Hotel Murah di Korea Selatan Tapi Jauh Dari Stesen

Harga penginapan murah di Seoul, Korea Selatan memang menggoda, tetapi jangan jadikan harga sebagai satu-satunya pertimbangan.

Semak juga jarak hotel dengan stesen subway atau perhentian bas terdekat. Hotel yang lebih murah tetapi memerlukan anda berjalan jauh setiap hari mungkin tidak begitu berbaloi.

Lebih-lebih lagi apabila seharian sudah berjalan mengelilingi Seoul, kemudian masih perlu menapak jauh untuk pulang ke hotel sambil membawa beg membeli-belah.

Bentuk muka bumi Seoul juga mempunyai banyak kawasan berbukit. Jarak yang nampak dekat dalam peta belum tentu terasa dekat apabila perlu berjalan kaki.

BACA JUGA: AirAsia & Penerbangan Tambang Rendah, Ini 7 Negara Jauh Yang Makin Mudah Diteroka

Ketika mencari penginapan, semak bukan sahaja jarak tetapi juga laluan berjalan kaki ke stesen. Kadangkala berbaloi membayar sedikit lebih untuk lokasi yang strategik kerana ia boleh menjimatkan masa dan tenaga sepanjang percutian.

Ads

2. Susun Itinerari di Korea Selatan Ikut ‘WISHLIST’, Bukan Kawasan

Ini antara kesilapan paling mudah berlaku apabila terlalu banyak menyimpan lokasi viral daripada TikTok dan Instagram.

Pagi mahu ke satu lokasi, tengah hari ke kawasan lain, petang pula menyeberang bandar sebelum kembali ke kawasan berbeza pada sebelah malam.

Akhirnya, banyak masa dihabiskan dalam perjalanan dan bertukar pengangkutan.

Cara lebih praktikal adalah dengan menyusun Itinerari Seoul mengikut kawasan atau neighbourhood.

Sebagai contoh:

Hari 1 – Budaya & Sejarah: Gyeongbokgung Palace, Bukchon Hanok Village, Insadong dan Samcheong-dong.

Hari 2 – Shopping & Suasana Anak Muda: Hongdae, Sinchon, kawasan Ewha dan Yeonnam-dong.

Ads

Sebelum menetapkan jadual, tandakan semua lokasi dalam aplikasi peta. Kemudian kelompokkan destinasi yang berdekatan untuk hari yang sama. Barulah perjalanan lebih tersusun dan anda tidak terlalu banyak menghabiskan masa dalam transit.

3. Terlebih Bawa Makanan RTE Dari Malaysia

Risau susah mencari makanan halal menyebabkan sesetengah pelancong membawa terlalu banyak makanan Ready To Eat (RTE) dari Malaysia.

Nasi segera, sambal, lauk dalam pek dan mi segera semuanya mahu dimasukkan ke dalam bagasi.

Tidak salah menyediakan makanan sebagai backup, tetapi jangan sampai sebahagian besar ruang bagasi sudah penuh sebelum perjalanan bermula.

Di Seoul, pilihan makanan untuk pelancong Muslim juga boleh ditemui terutama di kawasan yang mempunyai komuniti serta restoran Muslim seperti Itaewon. Namun, status halal atau kandungan sesuatu produk tetap perlu diperiksa kerana tidak semua makanan yang kelihatan sesuai semestinya mempunyai pensijilan halal.

Bawa beberapa pek RTE sebagai bekalan kecemasan, terutama untuk hari pertama. Selebihnya, buat sedikit kajian awal dan senaraikan restoran atau pilihan makanan yang sesuai dengan keperluan anda.

Ads

4. Hanya Bergantung Pada Subway di Korea Selatan

Sistem subway Seoul memang luas dan memudahkan perjalanan, tetapi itu tidak bermaksud anda perlu menggunakannya untuk setiap destinasi.

Sesetengah stesen sangat besar dan pertukaran laluan boleh memerlukan anda berjalan agak jauh. Keadaan ini mungkin lebih memenatkan jika membawa bagasi, berjalan bersama anak kecil atau sudah seharian meneroka bandar.

Jangan lupa, Seoul juga mempunyai rangkaian bas yang luas. Untuk sesetengah perjalanan, bas boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal kerana anda tidak perlu turun naik jauh ke dalam stesen.

Muat turun Naver Map atau KakaoMap sebelum bercuti dan bandingkan pilihan subway serta bas untuk setiap perjalanan. Jangan terus anggap subway sentiasa pilihan paling cepat atau paling mudah.

DIY Boleh Jimat, Tapi Kena Bijak Merancang

Merancang trip Korea secara DIY memang memberi lebih kebebasan. Anda boleh menentukan bajet, memilih lokasi sendiri dan mengubah jadual mengikut keselesaan.

Namun, jangan terlalu mengejar jumlah tempat yang mahu dikunjungi sehingga percutian bertukar menjadi misi mengejar masa.

Kadangkala itinerary yang lebih santai, penginapan yang strategik dan penggunaan pengangkutan yang sesuai boleh memberikan pengalaman jauh lebih menyeronokkan.

Jadi kalau pertama kali mahu travel ke Korea Selatan secara DIY, buat kajian secukupnya, susun perjalanan mengikut kawasan dan tinggalkan sedikit ruang dalam jadual untuk menikmati Seoul tanpa tergesa-gesa.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi Libur, Instagram, Facebook & TikTok

Dapatkan tips percutian, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Jom Kita Travel

Muzium Percuma di Melaka: 4 Muzium Menarik Wajib Singgah

Cari muzium percuma di Melaka? Ini 4 lokasi menarik untuk pencinta sejarah, seni dan OOTD yang boleh dimasukkan dalam itinerari percutian bajet anda.