Berita

Negeri Sembilan, Melaka & Perlis, ‘Negeri Bahagia’ Kat Malaysia

Share

Mendapat skor melebihi 80 peratus dalam indeks kebahagiaan 2021 bagi bandar-bandar di Malaysia, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis antara yang tersenarai sebagai negeri ‘bahagia’ di Malaysia.

Menurut Jabatan Perancangan dan Desa (PLANMalaysia) ketiga-tiga negeri tersebut tersenarai sebagai negeri bahagia apabila mendapat skor melebihi 80 peratus dalam indeks kebahagiaan 2021 bagi bandar di Malaysia.

Antara yang dinilai adalah aspek yang berkaitan tahap dan kualiti perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan pepejal dan kutipan sampah.

PLANMalaysia menyenaraikan 80 daripada 114 PBT di Semenanjung dan sabah, ketiga-tiganya antara yang mendapat skor tertinggi daripada kesemua PBT yang dinilai.

Di Negeri Sembilan, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik, berkata pembangunan setiap bandar di negeri itu berdasarkan kekuatan dan keupayaan masing-masing, berpaksikan tiga teras pembangunan menerusi Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045.

“Tiga teras itu adalah daerah Seremban dan Port Dickson sebagai pembangunan ‘Malaysia Vision Valley 2.0’, iaitu bandar metropolis yang berdaya saing inklusif dan bersih. Kuala Pilah, Tampin, Rembau dan Jempol, sebagai pembangunan agropolis menerapkan elemen pertanian. Jelebu sebagai pembangunan biodiversiti menerapkan pemeliharaan sumber semula jadi,” katanya

Katanya, terdapat enam indikator utama, dinilai di bawah dimensi komuniti sejahtera berkaitan prasarana bagi mencapai indeks Bandar Bahagia.

Ia membabitkan peratusan liputan kediaman dalam lingkungan 400 meter dari kemudahan masyarakat, kadar liputan jalur lebar, pengurangan gangguan bekalan elektrik, pengurangan kes gangguan bekalan air, bilangan terminal dan stesen pengangkutan awam serta peratusan kediaman mendapat perkhidmatan pembetungan.

Di Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang mencapai skor 91.97 peratus, mengatur pelbagai strategi di samping mempertingkatkan kualiti penyampaian dan perkhidmatan kepada masyarakat bagi memastikan negeri itu terus mencapai status bahagia.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu, berkata ia merangkumi perkhidmatan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, antaranya menyediakan infrastruktur, mengambil tindakan segera sekiranya berlaku masalah atau aduan di samping melaksanakan pengindahan kawasan sekitar.

Di Perlis, EXCO Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baharu, Asmaiza Ahmad menyifatkan kemudahan dan prasarana di negeri itu dengan penduduk lebih 254,700 orang itu adalah setara dengan negeri lain.

“Selain itu, cadangan projek ‘Perlis Inland Port’ (PIP) turut memberi nafas baharu kepada Perlis dalam menyokong pembangunan lain di sekitarnya,” katanya sambil memberitahu Perlis di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mencatatkan skor status Indeks Kebahagiaan 80.02 peratus.

Sumber: BERNAMA

IKLAN