Perjalanan udara di Malaysia menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang lebih baik dalam sembilan hari pertama bulan Julai berbanding bulan Jun, selepas kelonggaran dalam sekatan perjalanan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan berkata, pergerakan penumpang dan pesawat di 39 lapangan terbang di Malaysia meningkat dua kali ganda dengan purata harian masing-masing 37,000 dan 550, berbanding purata harian 18,650 dan 290 dalam sembilan hari terakhir bulan Jun. Oleh kerana Malaysia belum membuka sempadan sepenuhnya untuk perjalanan antarabangsa, jumlah angka itu mewakili pergerakan udara domestik.
IKLAN
Walaupun demikian, Lapangan Terbang Sabiha Gokcen di Istanbul, Turki milik MAHB telah dibuka semula untuk perjalanan antarabangsa apabila sempadan negara itu dibuka sejak 12 Jun. Pada bulan Jun, Pegasus Airlines memulakan operasi ke 18 destinasi di sepuluh negara sementara AnadoluJet memulakan operasi ke 11 destinasi di enam negara. Mulai Julai, Pegasus meningkatkan operasinya ke 43 destinasi di 27 negara dengan AnadoluJet juga meningkatkan operasinya ke 12 destinasi di tujuh negara.
Foto: Malaymail
Ini adalah tanda positif pemulihan secara beransur-ansur bagi industri penerbangan negara. MAHB berharap dapat melihat peningkatan jumlah lalu lintas yang lebih tinggi terutama pada minggu Hari Raya Aidiladha yang menghampiri pada akhir bulan. Rakyat Malaysia yang tidak berpeluang menghabiskan Aidilfitri bersama keluarga pasti akan mengambil kesempatan untuk kembali ke kampung halaman dan menikmati perayaan bersama keluarga tersayang.
IKLAN
MAHB turut melahirkan rasa gembira melihat syarikat penerbangan tempatan melancarkan kempen penjualan yang agresif untuk meningkatkan faktor beban. Baru-baru ini dilaporkan bahawa AirAsia menjual lebih dari 200,000 Pas Tanpa Had mereka. Malaysia Airlines juga telah melancarkan kerjasama perniagaan bersama dengan Japan Airlines di mana mereka akan menawarkan perkhidmatan empat minggu antara Kuala Lumpur dan Tokyo-Narita mulai bulan Julai.
IKLAN
Sementara itu, pengendali lapangan terbang tidak melepaskan usaha dalam memastikan persekitaran lapangan terbang yang selamat untuk pelancong dan mengembalikan keyakinan dalam perjalanan udara. Baru-baru ini, Malaysia Airports mempamerkan beberapa langkah berkemampuan teknologi yang dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memberikan pengalaman lapangan terbang tanpa sentuhan. Langkah-langkah ini merangkumi pengecaman wajah, daftar masuk sendiri,pengisian bagasi, pemeriksaan keselamatan tanpa sentuhan dan pembasmian kuman automatik menggunakan UV. Lebih banyak teknologi juga diterokai dengan membuat penanda aras amalan terbaik di lapangan terbang lain di seluruh dunia.
Wah! Siapa sangka Malaysia tersenarai sebagai top 3 negara paling dilawati di Asia! Tapi itulah hakikatnya selepas kaji selidik dijalankan oleh World Travel Monitor (WTM). WTM adalah satu organisasi yang melakukan tinjauan secara tahunan dan memantau jumlah perjalanan keluar/masuk disamping tingkah laku perjalanan pelancong di semua pasaran utama pelancongan seluruh dunia. Selain itu, portal tempahan perjalanan, Agoda, turut mencatatkan Kuala Lumpur (KL) dan Malaysia sebagai bandar dan negara ketiga yang paling banyak ditempah di Asia. Tiga negara yang berada dalam senarai teratas selain Malaysia adalah Jepun di tempat pertama dan Thailand di tempat kedua.
Dalam kaji selidik yang sama, bandar KL juga dinamakan sebagai bandar ketiga paling banyak dikunjungi di Asia seterusnya mengatasi destinasi bandar yang lain seperti Hong Kong, Osaka, Taipei, Seoul, Singapura, Bali, dan Pattaya. Mengambil faktor kepelbagaian, keramahan dan kemesraan budaya rakyat Malaysia sebagai tarikan, laporan itu juga mendapati Malaysia sebagai destinasi nombor satu bagi rakyat Singapura di rantau Asia Pasifik. Untuk pengetahuan pembaca, tahun 2018 menyaksikan rakyat Malaysia lebih memilih untuk travel di dalam negeri di destinasi tempatan yang popular seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bharu, Kota Kinabalu, Ipoh, Cameron Highlands, Kuching dan Kuantan. Bagi destinasi luar negara, rakyat Malaysia lebih suka pergi ke Thailand dan Indonesia.
Indah panorama loka tatkala menyusuri bumi penuh khazanah ini. Batang Lupar, Sarawak bukan sekadar menyimpan misteri Bujang Senang yang digeruni malah menyingkap sejuta keindahan, pesat pembangunan juga manis kemesraan masyarakatnya.
Mana bisa penulis lupa pada momen-momen bersama 40 pengamal media tempatan tatkala menyertai Kembara Batang Lupar 2017. Acara yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyrakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim telah melepaskan peserta Kembara Batang Lupar 2017 di majlis perasmian Kembara Batang Lupar 2017 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Hotel Pullman Kuching.
Antara tempat menarik yang dilawati peserta ialah perusahaan memproses obor-obor di Kampung Sampat, Sebuyau, Taman Negara Maludam, perusahaan madu kelulut di Kampung Beladin dan tempat-tempat lain. Bagi memberi pengalaman sebenar cara hidup di rumah panjang, para peserta turut bermalam di Rumah Panjang Kampung Belimbing Besi.
Bersama Maskulin kami berikan lima bukti kepimpinan seorang wanita dalam mengubah kondisi kawasan di bawah naungannya sehingga menjadi satu tarikan yang tidak mungkin mampu dilupakan.
KERANCAKAN INFRASTRUKTUR MEMACU EKONOMI SETEMPAT
Pembangunan ekonomi menjadi tunjang utama mengapa kami ke sini, melihat penduduk di sini rata-rata menjadikan sumber alam sebagai punca pencarian utama mereka. Jadi tidak hairan betapa tingginya nilai cinta mereka pada anugerah tuhan ini.
Melihat sendiri bagaimana mereka mencari udang di selut sungai tanpa menghiraukan kehadiran pemangsa ganas buaya sangat membuatkan penulis kagum. Berani dan inilah cara mereka meneruskan hidup di sini.
Walaupun begitu, pembangunan turut direncana rapi agar seimbang dengan kemajuan dunia. Ikoniknya di sini, laluan air telah menjadi laluan utama masyarakat setempat sejak sekian lama, ia dilihat sedikit merencatkan perkembangan pembangunan.
Atas inisiatif ahli Parlimennya, kerancakan ekonomi akan diteruskan dengan adanya Projek Jambatan Batang Lupar dijangka akan mula dibina pada 2018. Jambatan ini akan menjadi jambatan terpanjang di Sarawak iaitu antara 4.5 kilometer hingga 5 kilometer.
Mengikut perancangan jambatan baharu ini akan dibina pada 2018 dan ia akan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan. Kami cukup bertuah kerana laluan air yang kami lalui akan berubah wajah suatu hari nanti, pengangkutan feri yang disediakan akan ini menjadi nostalgia dan daya tarikan tersendiri akan datang.
Jambatan merentasi Batang Lupar ini akan menghubungkan Sebuyau ke Meludam dilihat sebagai rantaian terbaik dalam ekosistem pembangunan ekonomi penduduk setempat.
LESTARI PEMBANGUNAN SAHSIAH MASYARAKAT
Walaupun lesu dengan pengisian aktiviti yang diberikan, kami masih sempat meluangkan masa dan tersenyum melihat aktiviti juga agenda pembangunan sahsiah masyarakat di sini. Dari golongan anak kecil, ibu tunggal hinggalah orang tua, semuanya mendapat bantuan dan perhatian istimewa daripada ahli Parlimen Datuk Seri RohaniAbdul Karim.
Ketibaan kami di setiap Pusat Khidmat Masyarakat disambut meriah. Salah satunya adalah di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang merupakan tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti.
Menyediakan perkhidmatan bercorak pendampingan sosial (reaching out) dan pembangunan (developmental) kepada warga emas melibatkan kerjasama strategik antara KPWKM dengan agensi kerajaan yang lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Selain itu juga ia dilihat sebagai menjadi sebuah program sokongan sosial dan pengintegrasian warga emas bersama keluarga ia juga menjadi pusat pertemuan golongan berumur 60 tahun ke atas bagi menjalani aktiviti serta mengelak rasa sunyi.
Setakat ini terdapat 150 Pusat Aktiviti Warga Emas di seluruh negara dan 14 di negeri Sarawak. Akan datang Datuk Seri Rohani turut ingin mewujudkan lebih banyak lagi PAWE atas kesedaran kepentingan warga emas dalam pembangunan negara.
Selain memartabatkan warga emas, ibu tunggal juga dilihat sebagai pemangkin ekonomi setempat yang tidak wajar dipinggirkan. Disebabkan itu, kehadiran Teratak Anugerah yang dibangunkan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak di Beladin, ini diwujudkan demi membela nasib golongan berkenaan di kawasan itu.
Teratak tersebut dibangunkan sejak 2007 dan menjadi pusat membangunkan dan mengembangkan pendapatan golongan ibu tunggal di sini. Bukan itu sahaja bagi ibu tunggal dan mereka yang kurang pendapatan juga boleh mempelajari seni jahitan di Baladin Fashion Centre (BFC) .
Di sini penuntut akan diajar teknik asas melukis sehingga menjahit pakaian. Kelas jahitan ini adalah satuinisiatif positif yang wajar diberikan pujian!
BANTUAN BUAT PENGUSAHA KECIL
Memegang dan merasai sendiri menu yang dihasilkan daripada hidupan laut seperti ubor-ubor adalah suatu yang baru buat penulis. Ada tikanya terasa geli untuk mencuba, tetapi selepas merasainya, hmm tidaklah seteruk yang disangka.
Kami singgah seketika di Kampung Sampat, Sebuyau untuk melihat bagaimana ubor-ubor diproses dan menjadi sumber ekonomi terpenting di kawasan tersebut dan hebatnya ia mendapat permintaan yang sangat tinggi di negara Jepun, China, Taiwan dan Korea.
Pemiliknya Lee Na Moh, 34, merupakan generasi keempat dari keluarganya yang melakukan perniagaan ini mengakui persaingan terhadap produk ini kurang persaingannya dan ia membuka jalan rezeki buatnya di situ. Di kilangnya terdapat 12 ibu tunggal bekerja dan melakukan aktiviti memerap dan membersihkan ubor-ubor.
Sementara itu, di Kampong Tambak yang terletak di daerah Pusa, kami bertemu dengan Abang Manaf Mahmud yang mengendalikan perusahaan memproses gula nipah secara kecil-kecilan. Air nira nipah dimasak lebih enam jam sebelum menjadi likat untuk menjadikannya gula nipah atau juga dikenali sebagai gula apong dalamkalangan penduduk setempat.
Lihatlah bagaimana mereka menghargai sumber alam dan menggunakan ia dengan sebaiknya. Bantuan turut disalurkan daripada ahli Parlimen kepada pengusaha-pengusaha kecil ini untuk memasarkan produk mereka.
PEMULIHARAAN EKSOTIKA ALAM
Pengamal media turut dibawa menyusuri tarikan paling menggerunkan di Kampung Maludam iaitu Taman Negara Maludam yang berkeluasan 43,147 hektar yang terletak dari kawasan Maludam sehingga ke Triso. Airnya yang deras dan berwarna gelap cukup membuatkan kami gusar dengan keselamatan juga haiwan ganas yang sudah lama bertapa di situ.
Keluasan Taman Negara Maludam merangkumi kawasan Batang Saribas ke Batang Layar dan terus ke Batang Lupar. Di taman negara ini terdapat kawasan Hutan Simpan Maludam yang berkeluasan 16, 592 hektar.
Mengikut Kajian, Maludam mempunyai muka bumi berpaya yang terbesar di Utara Borneo. Justeru itu, ia kaya dengan pelbagai jenis habitat yang terlindung dan hampir pupus di Asia.
Antaranya ialah kera merah, kera belanda, burung raya dan sekurang-kurangnya empat spesies burung enggang. Selain itu juga terdapat lebih empat jenis spesies burung Kenyalang, bangau dan kera Proboscis.
Flora dan faunanya masih terpelihara biarpun kawasan ini pernah diancam oleh kegiatan pembalakan haram.
HARGAI PESONA BUDAYA
Tidak sah rasanya apabila panorama kami terhenti sekadar itu, kami turut disajikan dengan kepelbagaian budaya masyarakatnya yang sangat menyanjung tinggi ketibaan tetamu. Kunjungan ke rumah panjang kaum Iban di Kampung Belimbing Besi yang didiami 10 keluarga ini memberikan ceritera tersendiri.
Menyaksikan persembahan tarian Ngajat yang begitu sinonim dengan masyarakat Iban di Sarawak dan silat Kuntau sangat mengujakan. Mempunyai latar agama berbeza, penduduk di rumah panjang ini dilihat lebih moden dan menerima infrastruktur yang sangat baik dari pihak kerajaan.
Jika selama ini kami fikir kehidupan mereka daif di sana, ia meleset kerana kehidupan mereka lebih baik malah dilihat selesa. Kalau mahu merungut pun, mungkin hanya kerana talian telefon untuk berkomunikasi sedikit sukardi sini, namun itu ada baiknya untuk kami semua menghargai kemesraan juga kebaikan orang di rumah panjang itu yang hidup saling menghormati dan bermasyarakat.
Adunan pembangunan, kemajuan dan pemuliharaan alam sekitar serta budaya dilihat menjadi tunggak utama. Sangat lestari dan mempunyai matlamat tersendiri bagi memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang.Bahkan semua ini bukan mudah untuk membangunkan dan diterima baik semua, bagi kami, apa yang dilakukan kini biarlah berterusan agar segenap masyarakat mampu merasai manisnya.
Baru-baru ini Libur ada siarkan tentang kecantikan destinasi Pulau Bohey Dulang. Klik di sini untuk membaca artikel penuh. Selain membuat aktiviti selam skuba, snorkeling atau bersantai di persisiran pantai, pengunjung juga dicadangkan untuk mendaki ke puncak Bohey Dulang untuk menyaksikan pemandangan dari atas yang sangat mempesonakan.
Ramai yang teruja untuk sampai ke puncak untuk menyaksikan sendiri rupa bentuk sekeliling Bohey Dulang yang indah. Disebabkan itu, laluan untuk ke puncak dikatakan agak sesak. Oleh itu, laluan denai baru telah diwujudkan dan dibuka kepada umum untuk menjamin tahap keselamatan pengunjung.
Laluan denai baharu pendakian ke puncak Pulau Bohey Dulang sejauh 700 meter ke puncak itu dirasmikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman Taman Sabah (TTS), Mohd Amin Abd Mem. Mohd Amin ketika ditemui berkata laluan itu dibina oleh TTS dalam tempoh dua minggu dan sudah dicuba dan diperiksa dari segi keselamatan sebelum dibuka kepada pengunjung.
Denai pendakian yang baharu ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan pendaki dan kerosakan denai selain meningkatkan tahap keselamatan pengunjung termasuk had daya tampung denai ke puncak Bohey Dulang. Denai pertama yang dibuka sejak 2011 akan menjadi laluan pengunjung untuk turun dari puncak.
Laluan pendakian baharu itu lebih landai dan agak jauh berbanding laluan lama yang tinggi tetapi pendek. Kedua-dua laluan ini pasti akan memberi cabaran pendakian yang berbeza dan memuaskan.
Pulau Dohey Dulang merupakan antara lapan pulau yang diwartakan di bawah Taman Marin Tun Sakaran selain Pulau Sibuan dan Pulau Mantabuan yang juga menerima kunjungan pelancong ramai.