Seronok tengok orang kongsi gambar ‘travel’ di sosial media. Makin kreatif dan pelbagai gambar-gambar serta video yang diambil. Menjadi fenomena dan tren hari ini dalam kalangan kaki travel akan membawa gajet seperti dron. Katanya kepuasan lebih dapat jika mempunyai hasil foto atau video sudut gambar yang pelbagai.
Yela, mana tidaknya bukan kita selalu dapat datang kembali ke destinasi-destinasi pelancongan yang kita jejak itu kan? Ada betulnya juga. Tetapi sebelum membuat pertimbangan untuk membeli dron sebagai gajet untuk anda travel. Semak tip daripada iluminasiini terlebih dahulu.
Tujuan
Setiap orang pastinya mempunyai tujuan tertentu untuk membeli dron. Adakah anda mahu mengambil video atau gambar? Atau sekadar suka-suka? Adakah dron tersebut akan digunakan di luar (outdoor) atau dalam bangunan (indoor) sahaja? Bagi kegunaan dalam bangunan, dron bersaiz kecil sudah memadai manakala bagi kegunaan luar, dron bersaiz besar lebih digalakkan kerana perlu mengambil kira faktor lain seperti kelajuan angin dan ketahanannya.
Selain itu, ketahui tahap skil anda. Bagi dron asas, biasanya ia lebih mudah dikawal dan sesetengahnya membolehkan anda mengawal menggunakan telefon bimbit. Dron untuk pengguna baru biasanya lebih mudah dikawal dan tidak terlalu teknikal. Bagi dron yang lebih canggih, biasanya ia akan menggunakan alat kawalan jauh dan lebih sukar dikawal pada awalnya.
Jenis Kamera
Ads
Antara fungsi utama yang biasanya perlu dipertimbangkan adalah kualiti kamera. Adakah anda memerlukan kamera atau tidak? Sekiranya tidak memerlukan kamera, lebih baik dapatkan sahaja dron yang tidak didatangkan sekali dengan kamera kerana harganya jauh lebih murah berbanding yang mempunyai kamera. Selan itu, ada juga dron yang tidak mempunyai fungsi kamera terbina (built-in) tetapi mempunyai ruang khas untuk anda meletakkan kamera aksi (action camera) padanya.
Kualiti gambar kamera dron juga perlu diberi perhatian. Kamera dengan kualiti gambar dan video HD, harganya tentulah lebih mahal. Dron yang lebih mahal juga biasanya dilengkapi aksesori gimbal yang membolehkan anda mengambil gambar dan merakam video dalam keadaan stabil.
Jangka Hayat Tempoh Bateri
Ads
Selain kamera, ketahanan bateri adalah satu lagi perkara yang mesti diambil kira. ‘Flight time’ adalah istilah yang biasanya digunakan untuk membandingkan ketahanan bateri sesuatu dron. Dron yang lebih murah biasanya boleh terbang selama 7 minit atau kurang dengan sekali caj bateri. Dron yang lebih mahal dan bagus pula boleh terbang lebih lama, sekitar 20 minit atau lebih.
Bagi yang berkemampuan, anda juga boleh membeli bateri tambahan yang dijual secara berasingan. Walau bagaimanapun, anda perlu mengambil kira kos tambahan pembelian bateri tambahan tersebut. Belilah mengikut kegunaan anda.
GPS
Ads
Bagi pengguna biasa, fungsi GPS mungkin tidak diperlukan. Bagi pengguna lebih profesional, fungsi ini membolehkan anda mengetahui lokasi (coordinate) setiap gambar yang dirakam. Biasanya dron dengan GPS ini mempunyai beberapa mode yang lebih canggih, antaranya mode Return-to-home (RTH) dan mode Follow-Me.
Mode RTH adalah mode navigasi yang membantu anda kembali ke tempat asal sekiranya anda tersesat. Sementara itu, mode Follow-Me pula membolehkan dron anda mengikuti dan merakam video anda secara automatik tanpa kawalan anda ketika anda sedang melakukan aktiviti lasak seperti bersukan dan hiking.
Bajet
Kalau ikutkan nafsu, segalanya kita mahukan yang terbaik, daripada kualiti kamera, GPS sehinggalah kepada ketahanan bateri. Oleh itu, ketahui bajet anda. Berapakah anda sanggup melabur untuk sebuah dron? Berbaloikan membeli dron yang mahal sekiranya hanya membeli sekadar suka-suka dan bukan kerana minat?
Kalau nak dapatkan shot-shot menarik ketika percutian anda, tepuk dada tanya selera!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Ombak yang beralun tenang di permukaan laut bukanlah petanda pantai itu selamat untuk aktiviti mandi manda kerana terdapat beberapa faktor yang boleh mengancam keselamatan pengunjungnya.
Daripada sumber Bernama, menurut seorang Pakar Oseanografi, Profesor Madya Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir
Walaupun ombak dilihat tenang namun di dasarnya terdapat arus karau atau “rip current” yang sangat berbahaya dan boleh menjadi ‘perangkap maut’ kepada pengunjung yang mandi manda.
Sebenarnya laut di Terengganu tidak selamat untuk sebarang aktiviti mandi manda sepanjang Monsun Timur Laut ini kerana tenaga ombak yang sangat kuat dari kawasan tengah Laut China Selatan sentiasa aktif dan boleh membawa tenaga ke kawasan pantai pada bila-bila masa dan ini yang sering menjadi punca lemas.
Namun, pengunjung yang terpesona dengan keindahan pantai dan ketenangan ombak itu akan mandi manda sedangkan ia umpama ´perangkap maut´ kepada mereka, walaupun mungkin tahu berenang namun situasi cemas akan menyebabkan mereka panik dan gagal menyelamatkan diri.
Terengganu mempunyai pantai sepanjang 244 kilometer di tujuh daerah iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman. Hanya Hulu Terengganu satu-satunya daerah yang tidak mempunyai pantai di negeri itu. Setiap tahun, Terengganu akan merekodkan kejadian mati lemas terutama pada musim Monsun Timur Laut dan kejadian itu sering berlaku di Pantai Pandak.
Kajian dijalankan UMT mendapati ‘rip current’ sering berlaku di beberapa lokasi antaranya Pantai Pandak, Chendering dan Teluk Bidara serta Teluk Lipat di Dungun.
Selain faktor “rip current”, penyelidikan oleh UMT juga mendapati faktor muka bumi seperti kecerunan turut membahayakan pengunjung yang mandi manda di pantai. Penyelidik UMT pernah ke pantai Rhu 10 di Setiu ketika air surut dan mendapati kawasan pantai itu sangat curam seperti bukit sedangkan ia tidak akan terlihat pada mata kasar ketika air pasang dan ini sangat berbahaya untuk mereka yang mandi manda.
Bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, disarankan agar kerajaan mewujudkan lebih banyak pasukan penyelamat di pantai yang sering dikunjungi bagi mengurangkan risiko kejadian mati lemas. Sekurang-kurangnya, pengunjung akan lebih berwaspada dengan amaran yang diberikan. Pertolongan cemas juga lebih mudah diberikan dengan pantas sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Aktiviti percutian menjadi semakin popular pada hari ini dan pelancong gemar untuk menikmati budaya yang berbeza di pelbagai tempat dan mereka berhadapan pelbagai situasi semasa perjalanan. Selain dari bandar ke luar bandar untuk menikmati pemandangan yang indah, apa yang setiap pelancong mahukan adalah membawa pulang kenangan manis serta cenderahati yang banyak untuk rakan taulan.
Lebih ruang untuk cenderahati
Berikutan had saiz bagasi, bagaimana cara untuk membawa lebih banyak cenderahati balik ke tanah air? VAGO adalah satu peranti kecil yang boleh dibawa sepanjang perjalanan dan percutian dengan mudah. Ia boleh memampatkan pakaian secara automatik. Justeru, mewujudkan ruang tambahan dalam bagasi anda.
Lebih ruang lebih kompak
Untuk pengetahuan anda, pakaian, beg dan bahan-bahan lembut menggunakan sebahagian besar ruang dalam bagasi, kerana kebanyakan bahan-bahan ini terisi oleh angin. VAGO ini menyedut angin yang ada dalam bagasi anda dan menggunakan pemampat vakum untuk mengeluarkan angin daripada pakaian, untuk mendapatkan lebih banyak ruang dalam bagasi.
Alat kecil berkuasa tinggi
Dengan satu alat yang kecil, anda boleh mengecilkan barang-barang yang lembut seperti pakaian dan tuala ke dalam bekas vakum, sama ada untuk mengasingkan yang bersih daripada yang kotoratau untuk memberikan ruang yang lebih luas dalam bagasi anda ketika benar-benar diperlukan. VAGO ini cukup mudah digunakan; hanya dikuasakan mengguna pot mikro USB dan mampu membantu untuk masukkan pakaian anda ke dalam beg yang lebih kecil. Sensor pintar VAGO secara automatik berhenti apabila proses memvakum selesai dilakukan.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Hasrat rakyat Malaysia untuk rentas negeri akhirnya termakbul selepas kerajaan membenarkan aktiviti ini dilakukan berkuatkuasa bermula 10 Jun 2020.
Oleh itu, rakyat yang mahu melakukan aktiviti pulang ke kampung, menziarahi ibu bapa serta keluarga di kampung halaman boleh berbuat demikian. Begitu juga buat individu yang ingin bercuti di dalam negara, mereka dibenarkan merentas negeri. Aktiviti pelancongan dijangka akan kembali rancak dan orang ramai akan mula membawa keluarga keluar bercuti dalam negara. Cuma aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan di kawasan yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Walau bagaimanapun anda dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung. Jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama semua rakyat ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan.
Jangan cuba mengambil kesempatan atas kebebasan yang diberikan susulan kebenaran rentas negeri yang diberikan kerana wabak pandemik ini masih ada disekeliling kita selagi virus untuk melawannya belum ditemui.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengingatkan orang ramai terus mengamalkan kawalan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa berada di kampung halaman.
“Saya percaya ramai akan balik kampung dan saya harap walau ada kebenaran rentas negeri, tetapi kawalan kendiri mesti dikekalkan. Dulu kita keluarkan SOP bahawa sambutan raya tidak boleh lebih 20 orang untuk satu rumah. Kita perkenalkan SOP itu untuk keselamatan diri,dan keluarga. Kita juga beri ingatan kepada mereka lebih 60 tahun dan anak kurang dari 12 tahun yang berisiko tinggi. Kita juga perlu hati-hati sebab kemungkinan ketibaan kita bersama mereka akan sebabkan berlaku jangkitan COVID-19.”
“Jadi walaupun kita kata bebas, jangan ambil kesempatan kebebasan itu hingga sebabkan jangkitan pada orang lain. Kawalan kendiri, disiplin, penjagaan kebersihan diri, penjarakan sosial perlu diteruskan walau ada kebebasan ini. Selepas ini saya percaya aktiviti pelancongan juga akan bermula dalam negara. Kita jangka akan menjadi semakin rancak, dan saya tengok dalam media tak sampai satu jam, 1,000 tempahan telah dibuat di hotel,” katanya dalam satu sidang media.