SuperStar Gemini & SuperStar Aquarius Jadi Penginapan Sementara Pekerja Asing Pulih COVID-19 Di Singapura

Share

Dua kapal persiaran, SuperStar Gemini dan SuperStar Aquarius kini bersedia untuk dijadikan sebagai tempat penginapan sementara bagi pekerja asing yang telah pulih daripada jangkitan COVID-19 di republik ini.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) berkata SuperStar Gemini telah menerima pekerja asing yang telah pulih daripada jangkitan virus itu.

“Selepas melalui penilaian teliti pelbagai agensi, sekumpulan pekerja menaiki kapal itu pada 29 April dari Marina Bay Cruise Centre, yang kini dilengkapi ruang sakit dan stesen pengasingan,” menurut STB.

STB menyatakan beberapa penilaian turut diambil kira untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja asing itu seperti sistem pengudaraan kapal, makan di dalam kabin dan bilik dilengkapi tandas.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memindahkan pekerja ke tempat tinggal alternatif untuk mengurangkan penularan virus di asrama mereka,” katanya.

Menurut STB kapal persiaran kedua, SuperStar Aquarius, juga telah lulus penilaian pihak berkuasa dan bersedia untuk menerima pekerja asing. Pada 17 April, STB mengatakan kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menggunakan dua kapal persiaran bersaiz sederhana, sebagai tempat tinggal sementara pekerja asing. Kedua-dua kapal itu berupaya menampung sehingga 2,000 pekerja asing.

Sumber: Bernama

IKLAN