Hujung tahun merupakan bulan paling ditunggu-tunggu oleh ramai daripada kita kerana bulan ini adalah cuti panjang persekolahan dan waktu terbaik untuk mereka yang bekerja menghabiskan cuti tahunan.
Namun begitu, pada hujung tahunlah selalunya setengah-setengah negeri di Malaysia mengalami musim hujan atau tengkujuh. Nak ke mana pun tidak boleh jika cuaca hujan berterusan dan paling buruk jika kawasan percutiaan kerap berlaku banjir berlaku. Nak bercuti pun rasa tidak seronok, terpaksa batalkan percutian duduk diam-diam dalam rumah sahaja. Anak-anak tarik muka, kawan-kawan terasa hati dan boleh jadi isteri pun merajuk.
IKLAN
Jangan begitu, waktu bercuti anda tidak patut dilupakan walau apa pun cuaca yang melanda kecuali jika betul-betul darurat. Seperti percutian di waktu lain, anda juga perlu bersedia dengan segala yang diperlukan. Jika membuat persediaan lebih awal, pasti anda dapat mengelakkan segala perkara yang tidak seronok berlaku.
.
IKLAN
Sentiasa peka dengan keadaan semasa. Rajin-rajin menyemak berita atau aplikasi kecemasan untuk mengetahui cuaca terkini.
Sediakan pakaian yang sesuai seperti topi, tuala, baju hujan, payung, selipar yang tidak licin dan jaket tebal. Baju hujan pastikan beli yang jenis pakai buang. Dengan keadaan cuaca yang agak basah, kesemua keperluan ini sangat diperlukan dan wajib dibawa.
Pengangkutan juga merupakan antara faktor utama dalam merancang percutian. Periksa kenderaan anda agar berada dalam keadaan baik terutamanya keadaan bunga tayar, penghawa dingin yang berfungsi, lampu dan break.
Bagi yang memilih bercuti bersama agensi pelancongan, pilihlah pakej yang bersesuaian dengan keadaan dan kesesuaian keluarga anda. Bincang dan minta nasihat dari agensi pelancongan anda tentang lokasi-lokasi yang hendak dilawati sepanjang percutian.
Pastikan anda membawa ubat–ubatan untuk semua ahli keluarga. Kita tahu, musim hujan dengan cuaca yang tidak menentu, keadaan kesihatan juga cepat terganggu. Paling tidak bawalah ubah sakit kepala, vitamin C dan minyak panas.
Cuba elakkan dari pergi ke kawasan yang berisiko tinggi. Contohnya melakukan aktiviti snorkeling di pulau-pulau, mandi pantai, mandi sungai, air terjun dan sebagainya.
Bawa kelengkapan kalis air seperti beg pakaian kalis air, tempat letak telefon kalis air atau kamera tahan lasak/ underwater. Anda juga disarankan membawa beberapa keping beg plastik untuk meletakkan barang yang basah seperti kasut atau baju kotor.
Biasakan si kecil dengan keadaan atau cuaca hujan dan basah. Pembabitan anak-anak dengan cuaca hujan atau basah juga akan membuatkan mereka lebih bersedia dan mereka akan lebih peka dan kreatif terhadap percutian di musim hujan.
Beritahu saudara mara atau kenalan terdekat mengenai percutian anda. Ini penting jika berlaku kecemasan, ada orang yang mengetahui kedudukan terkini anda.
Sama ada anda memakai kasut, but ataupun selipar ketika mengembara, semuanya memainkan peranan penting.
Setiap satunya bukan sahaja melindungi kaki, malah turut memberikan keselesaan ketika meneroka tempat-tempat yang dijejaki.
kasut-but-atau-selipar
Namun, antara kasut, but dan selipar, semuanya mempunyai kekurangan tersendiri. Kalau tersalah pilih, aktiviti mengembara pasti terganggu. Jadi, memilih dan menentukan pelindung kaki yang sesuai ketika mengembara amat sekali digalakkan agar fungsi sebenarnya dapat dioptimumkan.
Tidak kira daripada pun sekali buatannya, kasut dilihat lebih praktikal digunakan ketika mengembara. Jika anda jenis yang suka mengembara di bandar, kasut seperti trainer dan loafer adalah pilihan yang tepat.
Ia mudah, cepat, ringan dan selesa ketika dikenakan pada kaki. Namun, kasut tidak praktikal apabila hari hujan ataupun berada di tempat berair seperti sungai, laut atau pun tasik. Kecenderungannya untuk basah adalah tinggi, sekali gus menyebabkan kaki merasa tidak selesa dan mengganggu emosi ketika mengembara.
But lazimnya diperbuat daripada kulit, mempunyai tapak yang tebal dan berat. Ia boleh disifatkan sebagai pelindung kaki terbaik ketika mengembara. Selain mengelak kaki daripada dimasuki air, ia juga melindungi kaki daripada objek-objek tajam seperti paku, kaca ataupun besi.
Namun, tidak ramai yang memilih untuk memakai but kerana ia berat dan memenatkan kaki untuk melangkah lebih jauh. Di samping itu, membawa but juga menyebabkan berat bagasi anda bertambah. Pelindung kaki ini hanya praktikal digunakan ketika anda mengembara ke negara yang mempunyai musim sejuk.
Selipar dilihat sebagai pelindung kaki yang praktikal ketika mengembara. Ia ringan, cepat, mudah dan selesa ketika digunakan. Jika anda seorang yang gemar dengan aktiviti di tengah bandar, pelindung kaki ini adalah jawapannya. Namun, memakai selipar jadi tidak praktikal apabila hari hujan.
Ia boleh menyebabkan anda tergelincir dan merasa tidak selesa. Malah, pelindung kaki ini juga boleh menyebabkan kaki anda merasa sakit jika berjalan terlalu jauh ataupun lama. Walau bagaimanapun, selipar seharusnya ada bersama dengan setiap pengembara kerana ia memudahkan.
Tak lama lagi kita dah nak sambut puasa, dan selepas sebulan daripada tu, kita semua akan bercuti panjang untuk sambut perayaan aidilfitri. Mesti best kan dapat bercuti terutama lagi cuti raya. Dapat jumpa orang tua dan sanak saudara di kampung. Siapa yang tak excited apabila tibanya cuti raya.
Tapi jangan excited sangat nak bercuti tau. Sebelum anda keluar rumah untuk bercuti panjang, pastikan anda buat lima perkara ini dulu.
Cabut plug electrik
Pastikan semua plug elektrik dah dicabut dari socket (kecuali peti ais). Ini untuk mengelakkan berlakunya litar pintas semasa anda tiada di rumah. Satu lagi tip, letak syiling atas air batu dalam peti ais anda. Sekiranya anda balik daripada bercuti seminggu kemudian, syiling tu ada di bawah air batu, maknanya pernah berlaku ketiadaan elektrik di rumah anda dalam jangka masa lama. Maknanya ada barang-barang dalam peti ais anda tidak lagi selamat untuk di makan.
Cabut kepala tong gas
Pastikan kepala gas dicabut dari tong gas. Ini wajib. Cabut terus kepala tong gas, jangan ada dakwa-dakwi lagi. Lebih baik mencegah daripada merawat. Kita tak tahu sama ada akan berlaku kebocoran atau tidak. So pastikan anda cabut semut kepala tong gas yang ada dalam rumah anda.
Tutup paip air
Periksa dan tutup semua kepala paip air (Tutup maincock). Kalau tak tutup, alamatnya beratus la bil air sampai dekat rumah waktu hujung bulan nanti. Lebih-lebih lagi kalau ada kebocoran dalam paip rumah anda. Mana la nak tahu kan? So adalah lebih baik kalau anda tutup terus maincock paip rumah.
Pastikan haiwan peliharaan selamat
Hantar haiwan peliharaan anda ke pet hotel atau tumpangkan di rumah jiran/kawan/keluarga. Jangan sesekali tinggalkan mereka sendirian di rumah. Siapa nak bagi makan, minum dan nak uruskan berak kencing mereka kan? So sebelum rumah anda huru hara apabila balik bercuti nanti, hantar dulu haiwan peliharaan anda kepada penjaga.
Kawasan rumah selamat
Pasang lampu di kawasan rumah yang gelap adalah antara cara untuk mengurangkan risiko rumah anda dimasuki perompak semasa ketiadaan anda di rumah. Bukan bermakna kalau buka lampu, perompak tak datang terus. Tak. Tapi sedikit sebanyak perompak tak berani nak masuk semberono ke dalam rumah yang terang benderang.
Lima perkara ini tak wajib anda ikut tapi sebagai peringatan untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tak diingini seperti masalah litar pintas, rumah banjir, haiwan mati atau kediaman anda dikotori najis atau dimasuki perompak. Paling takut, berlaku kebocoran gas dalam rumah, kan?
Jadi, malang tak berbau. Sebelum terkena, sediakan payung sebelum hujan.
MUKADIMAH Kapal terbang merupakan alat pengangkutan udara moden yang tidak dibincangkan berkenaan hukum-hakam berkaitannya oleh para fuqaha terdahulu. Akan tetapi, ia tetap tidak terkeluar dari sifatnya yang merupakan sebuah alat pengangkutan yang mana telah terdapatnya perbincangan mengenai hukum-hakam berkaitannya yang telah disebut oleh para fuqaha seperti hukum solat di atas unta, sampan atau kapal, dan sebagainya. Dalam edisi kali ini, kami di Bayan Linnas akan cuba memberikan penjelasan berkenaan suatu isu iaitu solat di atas kapal terbang serta hukum-hakam yang berkaitan.
Dalam menghuraikan isu ini dengan lebih lanjut, kami akan membahagikannya kepada beberapa isi penting.
PERTAMA: MASA PERLEPASAN Di antara perkara yang diambil kira dalam isu ini ialah masa pergerakan seseorang dari satu destinasi ke destinasi yang lain dengan menggunakan kapal terbang.
Sebagai contoh: Seseorang yang ingin menunaikan umrah ke Arab Saudi dari Malaysia dengan menaiki kapal terbang. Masa perlepasannya dari KLIA ke Jeddah adalah pada pukul 3 petang waktu Malaysia. Justeru, cara yang lebih mudah untuk dirinya dalam hal ini adalah dengan menunaikan solat jamak qasar secara taqdim zohor dan juga asar di airport KLIA.
Contoh lain: Jika seseorang berada di atas kapal terbang dalam keadaan waktu solat masih belum masuk dan waktu perlepasannya adalah dari Jeddah menuju ke Malaysia pada pukul 10 malam waktu Arab Saudi. Maka dalam hal ini, solat Maghrib dan Isyak boleh dilakukan secara jamak di airport Jeddah. Solat Subuh pula dilakukan di dalam perjalanan iaitu ketika berada di atas kapal terbang. Manakala solat zohor dan asar pula boleh dilakukan secara jamak di airport KLIA.
KEDUA: MASUK WAKTU SOLAT Cara untuk kita mengetahui masuknya waktu solat adalah melalui pengumuman yang dibuat oleh pramugara atau krew kapal terbang. Jika tiada pengumuman, kita boleh bertanyakan kepada mereka tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Saya juga mengesyorkan agar kita mencari alternatif lain seperti menggunakan jam yang mempunyai masa tempatan khususnya waktu solat seperti al-fajr dan lain-lain.
KETIGA: PENENTUAN ARAH KIBLAT Dalam hal ini, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T:
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام
Maksudnya: Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram.
Surah al-Baqarah (144)
Kata al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini: Palingkanlah urusan wajah kamu menghadap ke arah sudut Masjid al-Haram iaitu ka’abah. Lihat al-Jaamik Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (2/148).
Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat. Namun jika ini juga tidak dapat dilakukan, maka saya syorkan agar solat tersebut diulang semula (i’adah) ataupun qadha sebaik sahaja sampai ke destinasi.
KEEMPAT: CARA MENGAMBIL WUDHUK Di antara perkara yang perlu kita raikan ketika menaiki kapal terbang adalah sifat kapal terbang itu sendiri serta mematuhi peraturan penggunaan air dalam kapal terbang terutamanya dalam perjalanan jarak jauh. Saya mengesyorkan agar penggunaan air dilakukan dengan seminima mungkin sama ada dengan cara yang diajarkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji iaitu dengan menggunakan spray dan menyapu keseluruhan muka ataupun dengan menggunakan air dengan sedikit. Seperti membasuh anggota wuduk dengan sekali basuhan sahaja.
KELIMA: TAYAMMUM Pada pendapat kami, adalah tidak sesuai untuk menggunakan tayammum di atas kapal terbang sementelahan lagi dengan pasir yang dibawa ke dalam kapal terbang. Manakala, berkenaan isu melekapkan tangan ke dinding atau tingkap kapal terbang untuk bertayammum, saya lebih cenderung mengatakan bahawa ia tidak menepati syarat sebenar wujudnya debu dan tanah pada dinding tersebut. Firman Allah S.W.T:
فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا
Maksudnya: Maka bertayammumlah kalian dengan debu yang bersih
Surah al-Maidah (6)
Kata al-Imam al-Syanqithi rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Menjadi ketetapan ketika tayammum adalah pada pasir yang mempunyai debu yang boleh melekat di tangan. Inilah pendapat Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad. Rujuk Tafsir Adhwa’ al-Bayan (1/354)
KEENAM: CARA SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1- Kapal terbang yang mempunyai keluasan besar seperti Boeing 747, 757, 777, Airbus, dan seumpamanya. Justeru, jika terdapat ruangan untuk bersolat seperti kawasan yang berhampiran dengan tempat duduk pramugara, atau tempat hidangan makanan, maka pilihlah untuk bersolat di kawasan tersebut. Ini kerana, lebih banyak rukun fi’liyyah yang dapat kita lakukan dengan cara ini.
2- Sebaliknya, jika kapal terbang yang dinaiki itu bersaiz kecil seperti Boeing 737 dan seumpamanya dengan kapasiti penumpang yang padat serta tidak memungkinkan seseorang itu untuk berdiri bagi menunaikan solat maka dibolehkan untuk dia solat di tempat duduknya. Akan tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu untuk diraikan. Antaranya:
Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari mula solat.
Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: Bertakwalah kalian kepada Allah sekadar kemampuan kalian.
(Surah al-Taghabun: 16)
Segala rukun qauli (perkataan) hendaklah dilaksanakan.
Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin.
KETUJUH: SOLAT HORMAT WAKTU Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.
Solat ini wajib di qadha semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam keadaan musafir.
Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.
Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.
Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.
Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat pensyariatan tayammum.
Pendapat ulama:
Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 H.) menyatakan bahawa terdapat empat pendapat daripada fuqaha mazhab Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.
Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu melakukan salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).
Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Barr daripada sebilangan fuqaha.
Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia adalah pendapat yang paling kuat dalilnya dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya.”
KELAPAN: PERI PENTING DAN KEDUDUKAN SOLAT Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdhal.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula ? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan solat sebanyak tiga kali.
(Riwayat Ibnu Hibban)
Menebus dosa
Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa.
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis seterusnya, Uthman R.anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut.
(Riwayat Muslim)
Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.
Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya.”