Thailand memang sudah terkenal dengan keindahan pulau dan pusat hiburan bertaraf dunia. Pantai di Pattaya antara pantai yang tidak kurang popular di Thailand. Pengunjung akan terasa damai dan tenang melihat pasir yang memutih dan angin laut yang menyegarkan di samping melihat kapal-kapal layar dan bot-bot yang berlabuh di laut yang jernih.

Terletak 147 kilometer dari tenggara Bangkok, Bandar peranginan yang dulunya cuma perkampungan nelayan berubah menjadi pusat pelancongan sekitar tahun 60-an dan sehingga kini menjadi destinasi percutian cukup mengujakan.

Di Malaysia, menu Nasi Goreng Pattaya sangat dekat dihati kita. Mungkin ramai beranggapan menu tersebut berasal dari Pattaya. Tanggapan itu silap! Orang Pattaya sendiri tidak tahu akan kewujudan Nasi Goreng Pattaya tersebut. Tidak percaya? Cuba tanya kepada penduduk tempatan.

Pantai Pattaya

Pattaya terus menjadi terkenal dan ia mengecapi pembangunan yang cukup menakjubkan. Oleh itu tidak hairanlah, apabila musim cuti pulau itu menjadi tumpuan. Hotel-hotel akan penuh sesak dan semua kawasan di situ menjadi tumpuan pelancong. Pattaya dikelilingi laut hangat di sekelilingnya sesuai untuk aktiviti laut seperti berenang, bersantai, dan memancing. Pantai berpasir putih yang panjang bermandikan limpahan cahaya matahari sepanjang hari menjanjikan ketenangan yang lengkap. Air laut yang jernih membiru mengelilingi kepulauan ini memberikan peluang untuk menjalankan pelbagai aktiviti dan rekreasi air lain.

Di sini juga, selain bersantai di persisiran pantai dan menikmati keindahan alam ketika matahari terbenam, ia juga menjadi lokasi untuk pelancong membeli cenderahati dan menikmati pelbagai jenis makanan. Sama seperti destinasi lain yang berhampiran lautan luas, terdapat banyak restoran dan kafe yang menyajikan hidangan makanan laut yang lazat dan segar. Sebut apa sahaja menu yang mahu anda jamah, semua ada di, dari makanan tempatan hinggalah kepada hidangan barat, segala ada di situ.

Pendek kata, di Pattaya apa juga makanan yang anda idamkan pasti boleh diperolehi di situ. Begitu juga dengan hotel dan calet yang di kawasan tersebut. Ia sering menjadi rebutan ramai kerana keindahan dan keselesaannya. Jika ingin beristirehat, segeralah ke pusat urutan atau spa traditional yang menawarkan khidmat urutan Thai yang terbaik dengan harga berpatutan.

Cartoon Network Amazone

Lebih mengujakan, di Pattaya turut mempunyai taman tema air yang menyeronokakan untuk seisi keluarga. Cartoon Network Amazone mula beroperasi sejak tahun 2014 merupakan taman tema air pertama di dunia yang membariskan pelbagai watak dalam siri Cartoon Network seperti Powerpuff Girl, Ben10 dan Adventure Time. Terdapat 10 zon bertema untuk diterokai sebelum jantung anda mengecut saat merasai sendiri keseronokan bermain rollercoasters air yang cukup curam. Rasai juga pelbagai tunggangan menyeronokkan selain bersantai di taman permainan aqua dengan pelbagai permainan air yang berbeza-beza.

Pengunjung dapat menyaksikan persembahan dari karekter kartun seperti The Powerpuff , Johnny Bravo, Ben 10 dan sebagainya pada setiap hari di pentas utama sambil beralun santai di ombak buatan yang menyeronokakan. Terletak di Bang Saray Bay, Thailand iaitu 20 minit dari bandar Pattaya dan dua jam perjalanan dengan kereta dari Bangkok, Taman Tema Air Cartoon Network Amazone terdiri daripada 10 permainan termasuk rollercoaster, kolam mandi  ala pantai dan Cartoonival. Dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang, Cartoon Network Amazone juga dinobatkan sebagai taman tema akuaria terbesar dan memiliki 150 seksyen kolam mandi.

Nong Nooch Botanical Garden

Kalau datang ke Thailand tidak sah rasanya jika tidak melihat persembahan gajah atau melihat gajah dari jarak dekat. Di Pattaya, anda boleh membawa keluarga ke Nong Nooch Botanical Gardenkala yang terletak di Chonburi. Anda pasti teruja melihat persembahan bersahaja si gajah yang berbakat seperti bermain bola, berbasikal, menari dan sebagainya. Tarian klasik Thai yang mempesonakan, pertunjukan tinju dan gendang antara yang menarik untuk dirasai saat berkunjung ke Nong Nooch Botanical Garden ini. Tidak hanya itu, taman yang memenangi banyak anugerah ini juga merupakan lokasi kepada beberapa bunga yang paling luar biasa selain memiliki landskap haiwan cukup mengagumkan.

Di taman ini juga, anda berpeluang melihat sendiri lebih 670 spesies orkid termasuk orkid hibrid yang sangat cantik.

Sanctuary of Truth

Untuk menghayati kesenian dan senibina Thailand, singgah sebentar ke Sanctuari of Truth di Pattaya. Dari jauh, anda boleh lihat senibina kayu yang tersergam indah di tepian pantai setinggi 100 meter gah berdiri. Bangunan ikonik ini hasil kraf masyarakat Thai mengunakan kayu sejak dari tahun 1981 dan belum siap sepenuhnya hingga sekarang. Ramai pelancong beranggapan ianya merupan sebuah kuil, tanggapan tersebut tidak benar sama sekali kerana ia merupakan binaan yang dibina oleh pemiliknya semata-mata untuk menunjukkan seni kraf orang Thai.

Pengunjung yang datang ke sini akan ditemani oleh seorang pemandu pelancong yang akan menerangkan dengan terperinci tentang binaan tersebut. Selain itu, cuba aktiviti menunggang gajah atau menaiki perahu mengelilingi Sanctuary of Truth ini. Anda akan dapat lihat pelbagai struktur ukiran kayu menarik dari pelbagai posisi dan sudut.

Info!

  • Cara Ke Sini

Jika dari Malaysia, boleh terus ambil penerbangan ke Pattaya.

Atau alang-alang berada di Bangkok, anda boleh memilih menggunakan pengangkutan darat samada bas, van atau kereta sewa dari Bangkok.

  • Makan-Makan

Cuba keenakan masakan Halal tempatan yang begitu menyelerakan di Restoran Amir Halal Foods. Menu cadangan Sup Daging!