Undang-undang keselamatan bio Australia yang ketat melarang apa sahaja bentuk makanan, tumbuh-tumbuhan dan produk haiwan daripada negara luar memasuki negara itu, kerana khuatir dengan ancaman perosak dan penyakit serius ke Australia selain menghancurkan industri pertanian dan pelancongan di sana.
Undang-undang keselamatan ini betambah ketat bermula 17 April 2019 apabila pihak berkuasa Australia diberi kuasa untuk memendekkan tempoh atau membatalkan visa pelancong yang gagal untuk mengisytiharkan sesetengah barang larangan yang dibawa oleh mereka.
Oleh itu sebelum anda, ahli keluarga atau rakan anda ingin ke Australia, tolong ambil tahu senarai barang yang boleh dan tidak boleh dibawa masuk ke sana supaya tidak ada masalah akan berlaku dikemudian hari.
Makanan
Barang makanan yang dibawa ke Australia mesti diisytiharkan pada Incoming Passenger Cards apabila tiba di sana. Pegawai keselamatan mungkin perlu memeriksa beberapa makanan yang anda bawa bersama dengan anda.
Walaupun anda dibenarkan membawa kopi, biskut, roti, kek, coklat, sirap maple dan minyak, anda tetap perlu mengisytiharkan jika anda membawa teh, rempah, jeruk, beras, kacang, produk tenusu bersama-sama.
Ubat untuk kegunaan peribadi dibenarkan. Walau bagaimanapun, anda mesti membawa surat atau salinan preskripsi (bertulis dalam bahasa Inggeris) dari doktor untuk mengesahkan bahawa ubat tersebut bagi tujuan rawatan dan memastikan kuantiti bekalan ubat tidak melebihi tiga bulan.
Apa yang terjadi sekiranya anda tidak isytihar barangan tersebut?
Seorang pegawai keselamatan boleh memeriksa bagasi anda, walaupun anda tidak mengisytiharkan apa-apa barang. Mereka boleh menggunakan x-ray atau anjing pengesan. Anda mesti mengisytiharkan atau melupuskan sebarang barangan yang berisiko sebelum pemeriksaan.
Ads
Jika anda tidak mengisytiharkan atau membuat pengisytiharan palsu pada Incoming Passenger Card, anda boleh:
ditahan
dikenakan penalti atas jenayah civil
dituduh dan dikenakan denda sehingga A$420,000 dan dipenjarakan selama 10 tahun
Anda tidak akan dikenakan tindakan di bawah Akta Biosekuriti 2015 jika anda mengisytiharkan semua barang, walaupun barangan itu tidak dibenarkan masuk ke Australia. Jadi sebaiknya, isytiharkan semua barangan yang anda bawa untuk elakkan tindakan undang-undang.
Dari 17 April 2019, peraturan baru menyatakan bahawa jika pelawat gagal untuk mengisytiharkan apa-apa yang tidak boleh diimport, petugas di titik pelepasan imigresen boleh memendekkan atau membatalkan visa anda.
Untuk pemilik haiwan comel seperti kucing, sila ambil perhatian ya!
Kucing didapati boleh menjangkiti kucing lain dengan COVID-19 walaupun mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom.
Kajian terbaharu itu diterbitkan dalam New England Journal of Medicine itu dijalankan oleh Yoshihiro Kawaoka, pakar virus terkemuka dari Universiti Tokyo serta saintis lain dari Universiti Wisconsin. Mereka, bagaimanapun, mendapati masih tiada bukti kukuh yang menunjukkan kucing boleh menyumbang kepada penularan COVID-19, lapor AP.
Dalam kajian itu, pengkaji menjangkiti tiga kucing dengan virus tersebut. Selepas ketiga-tiga kucing itu bergaul dengan kucing lain yang sihat selama beberapa hari, kucing lain dikesan turut dijangkiti virus berkenaan. Namun, tiada seekor kucing yang terlibat menunjukkan simptom lazim seperti perbezaan suhu badan atau kehilangan berat badan.
“Melihat kepada keperluan untuk menghentikan pandemik koronavirus ini melalui pelbagai mekanisme, pemahaman lebih mendalam tentang bagaimana kucing boleh menyebarkan SARS-CoV-2 kepada manusia adalah perlu,” kata kumpulan pengkaji itu kepada New England Journal of Medicine.
Dalam pada itu, belum ada bukti yang menunjukkan COVID-19 boleh dijangkiti dari haiwan ke manusia. Sebelum ini, dua kucing pertama di New York yang disahkan positif wabak itu menunjukkan sedikit simptom respiratori, namun dijangka akan pulih sepenuhnya. Selain itu, tiga singa dan harimau di Zoo Bronx, New York turut didapati positif virus berkenaan.
Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menyarankan agar pemilik memastikan haiwan peliharaan mereka kekal di dalam rumah serta mengamalkan penjarakan sosial sekiranya perlu dibawa keluar.
Jika anda berasal daripada luar negeri Pulau Pinang pasti jarang mendengar destinasi Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam kecuali R&R Juru. R&R Bagan Ajam terletak di sepanjang pantai Lingkaran Luar Butterworth (LLB). Uniknya R&R ini merupakan satu-satunya yang menghadap laut.
Fasiliti di R&R ini cukup lengkap dengan kawasan reakreasi, tandas, surau, dan kedai makan. Kawasan itu seringkali menjadi lokasi tumpuan untuk bersantai, berkelah, memancing dan bermain layang-layang.
Namun akibat kedegilan pengunjung yang beriadah di kawasan reakreasi R&R Bagan Ajam tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan pusat rekreasi itu ditutup selama 14 hari berkuat kuasa 11 Oktober 2020. Tindakan itu diambil ketika polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melakukan pemeriksaan mengejut dalam memantau pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri itu. Melalui pemeriksaan yang dilakukan di kawasan reakreasi tersebut, pengunjung gagal mematuhi SOP apabila berkumpul dalam kumpulan besar dengan tidak menjaga penjarakan fizikal dan ramai yang tidak memakai pelitup muka.
Bagaimanapun, bagi kawasan R&R termasuk kedai boleh beroperasi seperti biasa kerana mereka patuh pada SOP. Sebelum ini dikatakan sudah beberapa kali pihak berkuasa menasihati pengunjung supaya mengamalkan SOP seperti penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka namun ia masih tidak diendahkan.
Pusat rekreasi tersebut memang sudah menjadi kelaziman tumpuan penduduk khususnya di Seberang Perai pada hujung minggu untuk beriadah dan berkelah bersama keluarga memandangkan terdapat kawasan pantai yang membolehkan pelbagai aktiviti dilakukan. Namun situasi COVID-19 memerlukan segala aktiviti dihadkan yang mana tidak sesuai menjadikan kawasan itu sebagai tempat berkumpul apatah lagi membawa kanak-kanak dan warga emas yang mudah terjangkit dengan wabak berkenaan.
image via google | sumber: Bernama
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Artikel ini adalah perkongsian oleh Wan Nordini Hasnor Wan Ismail
“Unless we are willing to encourage out children to reconnect with and appreciate the natural world, we can’t expect them to help protect and care for it” – David Suzuki
Dewasa ini, aktiviti mendaki bukit atau gunung kian diminati dan dipilih sebagai salah satu cara untuk beriadah. Kepelbagaian hutan hujan tropika negara kita yang kaya dengan keunikkan flora dan fauna, menjadikan kegiatan pendakian ini sesuai sebagai salah satu cara untuk melarikan diri seketika daripada kesibukan kota dan tekanan.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah sekiranya aktiviti mendaki ini merupakan satu jenis sukan lasak yang boleh menyebabkan seseorang itu ‘ketagih’, kerana perasaan tenang yang wujud hasil daripada proses pendakian di dalam hutan itu sendiri. Bagi golongan pencinta alam pula, seringkalinya hutan dan gunung dianggap sebagai ‘rumah’ untuk mereka pulang setelah penah berhempas-pulas memenuhi tuntutan tugas hakiki.
Bagi ibu bapa atau pasangan yang memiliki hobi mendaki, pastinya sedikit sebanyak anak-anak akan turut terdedah dengan kegiatan fizikal ini. Sememangnya satu cabaran untuk membawa anak-anak bersama, namun ianya tidak mustahil, asalkan persiapan rapi dilakukan terlebih dahulu.
Kajian juga menyatakan bahawa banyak faedah yang akan diperolehi sekiranya kita mendedahkan anak-anak kepada alam semulajadi sedari usia muda. Antaranya adalah pembentukan sistem imun yang lebih kuat, melatih sifat empati dan sayangi alam sekitar serta membentuk jati diri yang lebih tahan lasak.
Berikut dikongsikan tip-tip yang boleh digunapakai apabila merancang aktiviti pendakian bersama anak-anak:
Pemilihan bukit atau gunung yang sesuai mengikut usia dan tahap kecergasan anak. Seelok-eloknya dimulakan secara berperingkat dengan bukit-bukit yang rendah sahaja. Dalam hal ini, ibu atau bapa perlulah melakukan sedikit ulangkaji berkenaan bukit-bukit yang hendak dikunjungi. Jangan terlalu bergantung bergantung pada nama sahaja, kerana ada juga yang namanya bukit tetapi mempunyai taraf seperti gunung, dan ada pula yang namanya gunung tetapi sesuai diperkenalkan buat pertama kalinya bagi anak-anak. Jika di Pulau Pinang, antara trek yang sesuai untuk diperkenalkan kepada anak-anak adalah Bukit Jambul, Suling Hills, dan Ceruk Tok Kun. Jika di Kedah, boleh cuba memanjat Gunung Keriang.
Baju dan seluar yang selesa untuk pendakian. Tidak terlaku ketat dan tidak terlalu longgar. Aspek pemakaian juga haruslah sesuai dengan cuaca atau persekitaran alam sekitar hutan tersebut. Bukit atau gunung yang terletak di tanah tinggi, suhunya lebih sejuk dan cenderung untuk berkabus. Maka, sebaiknya bawa jaket atau ‘windbreaker’ bersama. Pemakaian sarung tangan juga amat digalakkan dalam keadaan persekitaran yang dingin, di samping memudahkan anak-anak memegang akar-akar pokok tatkala memanjat apabila perlu.
Kasut sukan dan stoking yang sesuai. bawa stoking lebih sekiranya diketahui trek dalam keadaan basah atau lecak. Tip ini juga berguna untuk mengelakkan anak-anak meragam sekiranya ada yang sensitif terhadap persekitaran yang basah.
Pakaikan anak dengan topi sekiranya bercadang untuk berdiam lama di atas puncak. Ada sesetengah puncak yang kekurangan pokok, jadi pancaran matahari itu agak kuat terasa. Ada juga bukit yang kebanyakan treknya terdedah kepada sinaran matahari. Untuk mengurangkan risiko ‘sunburn’, eloklah pakai topi atau sebarang pelindung kepada sedari awal mendaki. Contoh bukit yang mempunyai sebahagian besar trek yang terdedah adalah Bukit Berekeh di Sungai Siput, Perak.
Sediakan juga sehelai tuala kecil bagi setiap anak, bagi tujuan mengelap peluh.
Bawa sepersalinan pakaian untuk dipakai selepas pendakian berakhir. Pakaian ini bolehlah disimpan di dalam kereta sahaja.
Bawa bekalan air dan snek kudapan yang mencukupi. Antara snek pemberi tenaga segera yang terbaik adalah kurma, kekacang, coklat dan pisang. Sekiranya anak-anak gemar makan nasi, para ibu bolehlah bawa juga bekalan nasi. Asasnya, bawalah apa sahaja makanan atau snek kegemaran anak-anak (selagi boleh bawa).
Sebelum mula mendaki, pastikan perut anak diisi terlebih dahulu. Pengambilan sarapan adalah penting untuk bekalan tenaga berterusan.
Bawa bersama keperluan ubat-ubatan untuk hal-hal kecemasan. Peti kecemasan asas biasanya boleh sahaja dibeli di farmasi.
Lekatkan patch penghalau nyamuk pada pakaian anak. Bawa juga semburan penghalau serangga/nyamuk. Sekiranya kawasan yang dituju terkenal dengan pacat, bolehlah bersedia dengan garam atau semburan anti-pacat.
Pada malam sebelum pendakian dan pagi hari pendakian, sapulah betis dan kaki anak dengan sapuan magnesium oil. Sapuan ini bertujuan untuk mengurangkan risiko keletihan otot melampau yang seterusnya boleh membawa kepada kekejangan otot. Fungsi magnesium adalah untuk mengendurkan kembali otot yang tegang. Sentiasa bawa bersama magnesium oil ini sepanjang pendakian dan boleh digunakan apabila keadaan memerlukan.
Sekiranya merancang pendakian yang bermula pada awal dinihari, pastikan anak-anak dibekalkan dengan lampu suluh setiap seorang. Ini akan melatih mereka untuk lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Di pasaran terdapat pelbagai jenis lampu suluh kecil yang sesuai dengan anak-anak. Pilihlah yang mempunyai suluhan yang jauh dan terang.
Bawa plastik sampah dan berpesan pada anak, kesemua sampah daripada bungkusan makanan/minuman yang dibawa perlulah dibawa turun bersama.
Mendaki dengan anak-anak tidaklah sukar. Usah terkejut apabila tenaga mereka ini sebenarnya lebih banyak daripada kita yang dewasa. Bateri tenaga seolah-olah tiada penghujungnya. Walaubagaimanapun, sebagai ibubapa, kita perlulah sentiasa memantau keadaan dan pergerakan anak-anak, dan faham bahasa tubuh mereka, sama ada mereka perlu berehat sebentar atau sebaliknya. Semoga riadah di dalam hutan juga boleh menjadi satu alternatif aktiviti liburan sekeluarga.
Penulis: Wan Nordini Hasnor Wan Ismail Pensyarah Kanan, Fakulti Farmasi, UiTM Caw Pulau Pinang (Kampus Bertam).
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!