Ambil Tahu Jenis Pasport Yang Ada Di Malaysia. Ada Merah, Hijau, Biru & Biru Tua

Share

Untuk ke luar negara, rakyat Malaysia perlu memiliki pasport atau dokumen perjalanan yang berkaitan. Anda dah biasa lihat pasport berwarna merah bukan? Tahukah anda wujud pasport berwarna lain seperti biru, biru tua dan hijau diberikan kepada rakyat kita mengikut beberapa kategori.

Pasport Malaysia Antarabangsa (Buku Berwarna Merah)


Menurut laman web Jabatan Imigresen Malaysia , Pasport Malaysia Antarabangsa merupakan satu dokumen perjalanan yang sah yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia kepada warganegara bagi maksud perjalanan ke negara-negara yang dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas bagi negara terlarang. Pasport Malaysia Antarabangsa berwarna merah dan merupakan hak milik kerajaan Malaysia. Oleh sebab itu, pasport boleh ditarik pada bila-bila masa dan mahkamah boleh mengeluarkan arahan supaya pasport seseorang itu ditahan sekiranya mahkamah merasakan seseorang itu perlu dilarang keluar negara.

Pas Sempadan (Buku Berwarna Biru)


Bagi rakyat Malaysia yang bersepadan dengan negara asing pasti sudah biasa melihat buku berwarna biru muda ini. Ini adalah Pas Sempadan iaitu untuk Pas Sempadan Malaysia-Thailand dan Pas Lintas-Batas Indonesia.

  • Pas Sempadan Thailand-Malaysia -Dikeluarkan kepada warganegara Malaysia dan penduduk tetap Malaysia yang berketurunan Thailand yang menetap lebih tiga tahun di Kelantan, Perlis, Kedah atau Perak. Tempoh sah laku adalah 6 bulan dari tarikh yang dimohon.
  • Pas Lintas Batas Malaysia-Indonesia -Dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang menetap melebihi tempoh enam bulan di dalam daerah Pentadbiran Pensiangan, Tenom, Sipitang dan Tawau dalam negeri Sabah dan Lundu, Bau, Kuching, Serian, Simanggang dan Lubok Antu dalam negeri Sarawak. Tempoh sah laku adalah satu tahun dari tarikh mula dikeluarkan dan boleh digunakan untuk beberapa kali perjalanan. Kebenaran untuk berada di Indonesia tidak melebihi 30 hari untuk setiap kali masuk.

Pasport Terhad Ke Brunei (Buku Berwarna Biru Tua)


Pasport ini dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang menetap di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan untuk perjalanan ke Brunei Darussalam. Tempoh sah lakunya ialah lima tahun dari tarikh dikeluarkan.

Surat Perjalanan Pengganti Pasport Untuk Berkumpulan (Buku Berwarna Hijau)


Buku hijau ini menggantikan pasport merupakan dokumen perjalanan yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia untuk perjalanan secara berkumpulan (had minima 5 hingga had maksima 20 orang) ke negara-negara ASEAN sahaja kecuali negara Filipina dan Indonesia. Tempoh sah lakunya ialah sembilan (9) bulan dari tarikh yang dikeluarkan dan untuk sekali perjalanan sahaja.

Sumber: Jomlah Cuti

IKLAN