Besut merupakan satu daerah yang ada di Terengganu. Ia mungkin tidak se-popular daerah lain yang ada namun Besut juga mempunyai tarikan tersendiri dan menarik untuk dilawati oleh pelancong.
Jika mahu ke Pulau Perhentian, anda perlu ke Kuala Besut untuk menaiki bot ke pulau peranginan tersebut, kat sini juga anda boleh dapatkan pelbagai jenis makanan laut yang enak untuk dimakan serta makanan asli dari Terengganu yang menjadi pilihan buat pelancong yang datang ke daerah Besut.
Bukan sahaja terkenal dengan makanan, Besut juga ada beberapa tempat menarik untuk dikunjungi. Muhammad Azarudin Suhaimi berkongsi tiga tempat yang perlu anda lawati bila berkunjung ke Besut, Terengganu!
Besut “tempat pelancongan yang menarik”
Apabila bercerita tentang tempat pelancongan yang ada di Malaysia, pelbagai tempat yang kita bayangkan seperti Pulau Langkawi, Cameron Highland, Bandar Bersejarah dan lain-lain. Tempat pelancongan yang ingin saya ceritakan dalam artikel ini ialah sebuah daerah yang terletak di Terengganu iaitu Besut. Besut merupakan sebuah daerah yang terdapat di Terengganu.
Besut merupakan sebuah daerah utara di Terengganu. Besut bersempadan dengan negeri Kelantan di utara, daerah Hulu Terengganu di selatan, daerah Setiu dan Laut China Selatan di timur. Ibu daerah Besut ialah Jerteh sementara pusat pentadbiran ialah di Kampung Raja. Daerah Besut mempunyai keluasan 123,367.8 hektar (304,848 ekar) dan penduduk seramai 118,058 orang. Walaupun Besut sebuah daerah yang agak kecil, namun terdapat pelbagai tempat yang menarik boleh dilawati sekiranya datang ke Besut.
Tempat utama yang menjadi tumpuan para pelancong yang datang ke Besut ialah Pantai Bukit Keluang. Bagi pencinta alam tegar, keindahan alam semulajadi dengan desiran angin laut bertiup lembut memberi rasa ketenangan mampu mengasyikkan jiwa.
Pantai Bukit Keluang
Bukit Keluang terletak 4 kilometer dari Pekan Kuala Besut sering menjadi tumpuan utama pengunjung pada hujung minggu untuk melakukan aktiviti mendaki bukit, berkhelah dan menikmati sukan air yang terdapat di Bukit Keluang.
Aktiviti yang menjadi tumpuan ramai apabila ke Pantai Bukit Keluang ialah mendaki Bukit Keluang. Aktiviti ini sememangnya menjadi satu kewajipan kepada penduduk yang berada di kawasan sekitar pada hujung minggu bahkan terdapat juga pelancong dari negeri lain yang datang untuk mendaki Bukit Keluang semata-mata untuk menikmati keindahan Bukit Keluang.
Ads
Pengalaman melihat matahari terbit dan terbenam juga dapat dirasai sekiranya mendaki bukit ini. Masa yang diambil untuk mendaki hingga ke puncak hanyalah 20-30 minit. Para pendaki perlu menggunakan laluan tangga dan jalan hutan berakar dan seterusnya laluan landau sebelum sampai ke puncak. Hilang rasa penat mendaki apabila sesudah sampai ke puncak kerana dapat melihat keindahan yang terdapat di Bukit Keluang.
Para pengunjung bukan sahaja boleh mendaki bukit malah boleh merasai sukan air yang terdapat di Bukit Keluang. Para pengunjung boleh merasai pengalaman menaiki Banana Boat di Pulau Rhu.
Pulau Rhu tidak jauh jaraknya dari Bukit Keluang. Ia mula menjadi tumpuan sejak akhir-akhir ini kerana terkenal dengan kebiruan airnya yang jernih. Banana Boat akan ditarik dengan bot laju dari Pantai Bukit Keluang menuju ke Pulau Rhu. Kos untuk menaiki Banana Boat ini RM15-RM20 sekepala.
Selepas menaiki Banana Boat, pengunjung dibenarkan untuk berenang dan menikmati keindahan yang terdapat di Pulau Rhu. Menaiki Banana Boat merupakan sebuah pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan duit kerana ianya merupakan satu pengalaman yang sangat berharga.
Masjid Ulul Albab
Selain itu, Masjid Ulul Albab atau dikenali sebagai Masjid Kayu Seberang Jerteh juga menjadi tumpuan para pelancong yang datang ke Besut. Pelawat yang melalui bandar Jerteh di Besut melalui jalan utama akan dapat melihat struktur kayu yang luar biasa.
Ads
Masjid ini dibina antara 2009 dan 2011, ia telah dinamakan semula dari Masjid Kayu Seberang Jerteh ke Masjid Ulul Albab oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Februari 2012 ketika masjid itu dirasmikan.
Masjid ini direka dan dibuat oleh tukang kayu tempatan terkenal Bernama Wan Mustafa Wan Su, masjid ini merupakan masjid pertama di negeri Terengganu yang dibina mengikut konsep seni bina Melayu tradisional.
Ia melambangkan keindahan ketukangan Melayu tradisional, ia diilhamkan dari Masjid Kampung Laut, sebuah masjid kayu bersejarah di Nilam Puri. Masjid ini disusun menggunakan teknik tebuk pasak tradisional (peg dan sambungan) dan 100% dibina dari cengal, nyatoh danbala kayu keras. Reka bentuk bumbungnya mengambil gaya Perabung Lima rumah tradisional Kelantan.
Motif Arabesque dan bunga, motif songket Terengganu serta ukiran halus dari kaligrafi Arab dan ayat-ayat al-Quran dipaparkan si seluruh bangunan. Masjid Ulul Albab menempatkan sebuah dewan pelbagai guna di tingkat bawah, dewan doa utama di tingkat dua dan sebuah perpustakaan di tingkat tiga.
Masjid ini boleh menampung sehingga 2000 jemaah dalam satu masa. Masjid Ulul Albab selalu menjadi tempat menyebarkan ilmu-ilmu agama dan terdapat majlis ilmu agama seperti ceramah agama yang diadakan di masjid tersebut.
Bukit Bubus
Ads
Besut juga menjadi tempat tumpuan bagi paragliders. Tempat yang menjadi tumpuan bagi paragliders ialah Bukit Bubus. Bukit Bubus terletak di Kampung Tembila dan bukit ini hanya bersebelahan dengan Bukit Keluang.
Para pengunjung perlu mendaki terlebih dahulu untuk sampai ke puncak Bukit Bubus. Masa yang diambil untuk ke puncak 10-15 minit sahaja melalui jalan bukit dan berakar. Puncak Bukit Bubus merupakan sebuah tempat yang mempunyai pemandangan yang cantik kerana dikelilingi oleh pepohon yang menghijau dan kebiruan air laut.
Bukit Bubus menjadi kegilaan bagi paragliders kerana suasana dan pemandangannya cukup mengagumkan. Aktiviti paragliding ini sangat bergantung kepada cuaca dan angin di sana. Harga untuk aktiviti ini ialah bermula dengan RM150 sekepala. Walaupun harga yang agak mahal ianya tidak menjadi satu halangan kepada para pengunjung yang datang ke Bukit Bubus untuk merasai pengalaman menaiki paragliding dan menikmati pemandangan yang cantik.
Pengunjung juga boleh melihat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ketika berada di puncak Bukit Bubus kerana universiti tersebut berada berhampiran dengan Bukit Bubus. Selain itu, dengan ketinggian 85 meter dari paras laut, Bukit Bubus adalah lokasi paling sesuai untuk jalankan aktiviti ini kerana angin datang dari laut ke darat secara konsisten bermula 11 pagi hingga 7 malam sepanjang masa.
Pada ketinggian mencecah 300 hingga 500 meter dari paras laut, pengunjung dapat melihat keindahan pantai, Laut China Selatan terbentang luas, Pulau Perhentian, Pulau Rhu dan Bukit Keluang.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati di Besut, Terengganu. Keindahan tempat untuk dilawati tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata dan ianya perlu dirasai sendiri. Oleh itu, Besut juga merupakan satu tempat yang terbaik untuk dilawati dan saya juga menyarankan agar bersama-sama menjadikan Besut sebagai tempat untuk dikunjungi.
Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Azarudin bin Suhaimi, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Kalau anda ada plan nak ke Jakarta, Indonesia, ini antara beberapa tempat menarik yang patut anda pergi.
Ya, mestilah tempatnya sesuai untuk bawa anak-anak bersama. Siap ada zoo dan tempat fantasi kanak-kanak, rugi tak singgah!
Zoo Ragunan
Zoo ini merupakan terbesar di Jakarta yang mempunyai lebih dari 2,000 haiwan daripada 200 spesies dengan keluasan sekitar 147 hektar.
Bukanitu sahaja, dalam zoo itu juga ada lebih 2,000 spesimen dan 50,000 pokok bagi mewujudkan persekitaran yang nyaman kepada haiwan-haiwan serta sesiapa yang melancong di situ. Memang terbaik!
Ada haiwan seperti gorila, gajah, orang utan, chimpanzi, unta, zirafah, komodo dan banyak lagi. Menariknya, anda boleh sewa basikal atau pun dengan menaiki bot untuk melihat ragam haiwan di sana.
Dunia Fantasi
Dunia Fantasi atau Dufan merupakan taman tema terbesar di Indonesia yang sudah mula beroperasi sejak tahun 1985 lagi.
Di sini anda boleh ‘layan’ permainan berteknologi tinggi yang dibahagi kepada 9 bahagian iaitu Indonesia, Jakarta, Asia, Eropah, Amerika, Yunani, Hikayat, Kalila dan Fantasy Lights.
Antara permainan popular di Dufan adalah Kereta Misteri, Rumah Riana, The Conjuring House, Baling-Baling, Hysteria, Niagara Gara dan banyak lagi!
Sea World Ancol
Anda boleh teroka hidupan di bawah laut dekat Sea World Ancol ini yang memfokuskan kepada pendidikan, konservasi dan hiburan. Sesuai sangat kalau nak bawa anak-anak.
Kalau nak tahu, ada lebih kurang 7,000 ekor hidupan air tawar dan 11,000 hidupan laut yang akan dipamerkan pada akuarium dan kolam di sana.
Taman Mini Indonesia Indah
Kalau anda pergi ke Taman Mini Indonesia Indah, umpama anda sudah habis pusing satu Jakarta sebab di sana akan memaparkan budaya daripada 300 etnik di Indonesia.
Untuk pengetahuan, TMII kini sudah berwajah baru dan menampilkan 70% kawasan hijau terbuka dan 30% bangunan-bangunan.
Ada juga persembahan budaya dan replika rumah tradisional, muzium, taman rekreasi, taman budaya, teater IMAX Keong Mas, anjungan dan Istana Anak.
Haa… banyak tempat berbaloi datang, bukan? Nanti kalau sampai Jakarta, jangan lupa singgah beberapa tempat ini untuk gembirakan anak-anak!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Sungai Verzasca yang terletak di Switzerland sangat popular dalam kalangan pencinta alam semulajadi kerana kejernihan airnya yang mengalir dari gunung-ganang. Sungai sepanjang 30km ini berasal di Pizzo Barone dan mengalir ke Tasik Maggiore, di Itali.
Selalunya aktiviti selam skuba seringkali dilakukan di laut. Namun jika ke Switzerland berlainan pula. Sungai yang memiliki air yang jernih menjadi lokasi idaman untuk melakukan aktiviti ini.
Lembah sungai terletak di rantau Itali dan Switzerland menjadi destinasi pelancongan yang popular pelancong dari seluruh dunia untuk melihat perairan biru Verzasca. Untuk yang mempunyai lesen selam skuba, pastinya aktiviti menyelam di sini menjadi tujuan utama untuk dilakukan.
Untuk yang lain, kebanyakan mereka lebih suka untuk mengambil gambar dari jambatan yang dibina di atas sungai ini. Air sungai jelas kelihatan sangat jernih, sehinggakan pada kedalaman 10 meter di dasar sungai, anda masih dapat melihat dengan jelas jambatan yang merentangi sungai ini.
Di negara kita juga ada tau! Sungai tersebut mempunyai air yang sangat jernih. Sungai Bangang nama diberi terletak di Hulu Dungun, Terengganu. Nama sebenar sungai ni ialah Sungai Bangan atau Sungai Balu. Mungkin kerana slanga orang Terengganu dibunyikan ‘G’ dibelakang, ia lebih popular dikenali Sungai Bangang.
Lokasinya tersorok atas ketinggian lebih kurang 800 meter dari paras laut menjadikan ia sukar diakses. Tak ramai orang ke sini menjadikan air di sini sangat jernih. Sungai Bangang biasa dikunjungi pendaki.
Untuk ke sini, trip popular dikalangan pendaki dengan trip gelaran CBL (Puncak Chemerong, Gunung Berembun, dan Air Terjun Langsir) ; tiga spot utama ini wajib dilalui. Permit diperlukan untuk pendakian.
Gunung Berembun setinggi 1038 meter, Air Terjun Chemerong antara yang tertinggi di Malaysia setinggi 370 meter dan Air Terjun Lansir pada ketinggian 801 meter dari paras laut.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Selain melakukan aktiviti senaman, anda boleh membawa seisi keluarga anda untuk beriadah sambil menghirup udara segar dan menikmati keindahan alam semula jadi. Di sini, pihak Tourism Selangor menyenaraikan 8 tempat rekreasi untuk anda kunjungi di Negeri ini serta meneruskan gaya hidup sihat!
1) Taman Tasik Shah Alam
Taman Tasik Shah Alam terletak berdekatan dengan tarikan popular di Shah Alam iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz atau dikenali dengan Masjid Biru. Taman Tasik Shah Alam menawarkan hiasan landskap yang sangat indah dan menghijau, yang berkeluasan lebih dari 43 hektar serta telah direka oleh arkitek landskap terkenal, Fumiaki Takano.
Taman awam pertama yang dibuka di Negeri Selangor pada tahun 1985 ini sudah menjadi habitat kepada hidupan air tawar. Keluasan dan keindahan seperti ini akan memberi ketengan kepada anda untuk melakukan aktiviti senaman atau berjoging apatah lagi di pagi hari.
2) Maya Park Eco Ardence, Setia Alam
Ramai yang menyukai tempat ini, Maya Park Eco Ardence yang terletak di Bandar Setia Alam ini. Dengan ruang terbuka dan sangat luas, tempat rekreasi ini sering menjadi pilihan pengunjung bagi menyaksikan pemandangan matahari terbenam, diiringi suasana tasik yang tenang.
Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan di sini, antaranya adalah berjoging dan berbasikal di trek yang mengelilingi tasik tersebut. Sekiranya anda tidak mempunyai basikal, jangan risau kerana anda boleh menyewa basikal di sini!
3) River Track Cycle Park, Klang
River Track Cycle Park terletak di Klang, merupakan kawasan yang dikelilingi kehijauan yang memberikan ketenangan minda, badan dan jiwa. Nikmati panorama hutan bakau semula jadi yang berfungsi untuk meningkatkan persekitaran yang sihat dan lestari.
Laluan sepanjang 1.8 kilometer di tebing Sungai Chandong Besar adalah tempat yang sesuai untuk berjoging. Nikmati juga aktiviti berbasikal di trek sepanjang 3 kilometer yang dikelilingi dengan pemandangan yang menarik. Persekitaan yang tenang ini akan menjadikan pengalaman berbasikal dan berjoging anda tentunya lebih menyeronokkan!
4) Elmina Central Park, Shah Alam
Elmina Central Park terletak di Bandar Elmina di Shah Alam, kira-kira setengah jam pemanduan dari Kuala Lumpur. Trek joging dan berbasikal yang dibuka kepada umum terletak di pintu masuk Bandar ini untuk pengunjung yang datang dari Guthrie Corridor Expressway.
Selain aktiviti senaman, anda juga boleh membawa anak anda untuk bermain di taman permainan dan berjalan di kawasan pejalan kaki sambil menikmati pemandangan yang cukup indah!
5) Perdana Lake, Jogging Track, Sunrise Point, Cyberjaya
Habiskan waktu pagi anda dengan bersenam di taman ini kerana ianya menenangkan di samping memberi keselesaan kepada anda untuk melakukan aktiviti senaman mahupun riadah bersama keluarga.
Di sini anda boleh berjoging sambil melihat keindahan tasik yang sangat luas, seluas pemandangan sambil menghirup udara segar. Trek joging dan berbasikal yang sangat luas ini akan memberi keselesaan kepada anda seisi keluarga. Bukan itu sahaja, anda juga boleh berkelah di tepi trek tersebut!
6) Ara Damansara Park, Petaling Jaya
Terletak di pinggir Bandar Ara Damansara, taman rekreasi ini memiliki pelbagai kemudahan termasuk gelanggang badminton, bola keranjang dan taman permainan. Ara Damansara Park yang menawarkan trek joging sepanjang 1.9 kilometer akan memberikan kepuasan untuk anda bersenam mahupun berbasikal. Selain itu, ramai pengunjung yang membawa anak kecil mereka untuk bermain di taman permainan yang telah disediakan di sini.
7) Dragonfly Park, Eco Grandeur, Puncak Alam
Dragonfly Park ini terletak di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam. Ianya merupakan sebuah lokasi yang sangat cantik untuk melalukan aktiviti riadah di waktu petang. Taman awam ini bakal memukau anda dengan pemandangan kawasan padang yang luas dipenuhi dengan kehijuan dan kawasan rumah urban yang sangat cantik.
Laluan trek joging nya mungkin tidak sepanjang trek-trek taman awam yang lain, namun ia tetap memberi kepuasan, di samping anda dapat menikmati keindahan sekeliling. Taman yang tidak terlalu ramai pengunjung ini sesuai sekiranya anda ingin membawa anak kecil untuk berbasikal di persekitaran Dragonfly Park ini.
8) Taman Jaya, Petaling Jaya
Terletak di lokasi yang sangat strategik, anda boleh pergi ke sini dengan menaiki pengangkutan awam iaitu LRT dan turun di Stesen Taman Jaya. Taman rekreasi ini merupakan sebuah lokasi yang popular dalam kalangan penduduk Petaling Jaya untuk melakukan aktiviti berjoging dan beriadah.
Taman yang tenang suasananya dan dikelilingi dengan pelbagai jenis pokok dan sebuah tasik yang cantik ini juga menjadi tempat anak-anak muda meluangkan masa mereka bermain skateboard.
Tidak kira di waktu pagi mahupun petang, lazimnya ramai yang meluangkan masa dengan melakukan aktiviti yang menyihatkan seperti bersenam, berjoging dan berbasikal di taman-taman awam dna tempat rekreasi.
Walau bagaimanapun, adalah diingatkan kepada semua pengunjung untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa di tempat awam dan sesak, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!