
Orang yang suka travel ini adalah mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman berada di tempat orang. Bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan, banyak pengalaman, tinggi pengetahuan.
Pengalaman yang dicari itu bukan sahaja dari segi masyarakat, budaya, dan suasana semata-mata. Antara perkara penting yang perlu dialami sendiri adalah juadah makanan tempatan yang ada di satu-satu tempat itu.
Jadi sewaktu kunjungan saya ke Langkawi baru-baru ini, saya cuba cari di manakah tempat yang best untuk saya menikmati makanan yang popular di negeri jelapang padi tersebut iaitu laksa ikan sekor. Dah alang-alang sampai, kita mesti kena try laksa!
Setibanya di sana, saya dicadangkan oleh beberapa orang rakan untuk makan laksa ikan sekor di Jalan Kuala Muda, bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL). Review di internet dan cerita mulut ke mulut mengatakan laksa yang dijual di sana memang sedap.

Tanpa melengahkan masa, saya berangkat terus ke lokasi yang dicadangkan pada hari kejadian. Memandangkan saya masuk ke Pulau Langkawi menggunakan feri, maka perjalanan saya untuk ke lokasi yang dimaksudkan agak jauh dan perlu menggunakan kenderaan. Jarak dari Pekan Kuah, Langkawi ke kedai-kedai laksa bersebelahan LTAL lebih kurang 18.4 kilometer dan memakan masa pemanduan lebih kurang 30 minit untuk sampai ke destinasi.
Tapi sekiranya anda datang ke Langkawi menggunakan kapal terbang, dekat sahaja untuk makan laksa ikan sekor di sebelah LTAL tu. Mendarat sahaja terus boleh pergi makan laksa.
Setibanya di sana, anda akan dapat lihat deretan gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis juadah makanan yang best di tepi pantai yang dipanggil Pantai Hujung. Ada banyak gerai-gerai yang menggunakan lori dan diletakkan bangku serta meja di sepanjang pantai tersebut.


Saya boleh katakan kepada anda, pemandangan di sini sumpah best. Anda makan betul-betul bersebelahan dengan pantai. Kebetulan pula sewaktu kunjungan saya baru-baru ini, air laut tengah pasang, jadi gigi air betul-betul hampir dengan kawasan pantai berdekatan dengan tempat makan. Suasana tenang dan damai sambil terdengar hempasan ombak laut di pantai, membuatkan saya rasa selesa untuk lepak makan di sini.



Saya singgah di satu kedai yang terletak di hujung depan deretan gerai-gerai yang saya katakan tadi, Zam Rojak Madu Cendol Special. Betul-betul berhadapan dengan LTAL, berbumbung khemah berwarna merah. Di sini rakan saya kata ada satu lagi menu special selain daripada laksa ikan sekor yang disediakan iaitu laksa sambal sotong.

Wah, sambal sotong. Sambal sotong memang kegemaran saya, jadi tanpa membuang masa, terus saya pesan laksa sambal sotong dengan sambal sotong extra berserta ABC kelapa. Ada rakan saya yang pesan makanan dan minuman lain seperti mee rojak madu dan ABC milo.
Sebaik juadah tiba dan kami makan dengan seleranya, terlupa segala masalah yang sedang bersarang dalam kepala. Dengan suasana tempat makannya yang best, dan dengan makanannya yang sedap, i can say that this is the best spot if you want to try laksa in Langkawi!

Highly recommended untuk anda semua adalah laksa sambal sotong, mee rojak madu sambal sotong, ABC kelapa dan juga ABC milo. Memang sedap dan saya bagi jaminan, anda akan pesan lagi lepas makan semangkuk! Hahaha. Harganya juga saya katakan berbaloi dengan makanan yang anda pesan. Tak mahal, anda mesti puas makan dengan member–member ataupun bawa family.



Kalau anda nak bawa family makan di sini, anda perlu berhati-hati sedikit dengan anak-anak kecil, lebih-lebih lagi yang aktif, kerana tempat makan ini terletak bersebelahan dengan LTAL, banyak kapal terbang yang turun naik di sini. Tambahan pula, jarak antara LTAL dengan gerai makan hanyalah sebatang jalan yang sibuk dengan kenderaan lalu lalang. Jadi pastikan keselamatan anak-anak anda terjaga di sini.


Yang kedua, bawak baju lebih. Sebab takut nanti lepas makan laksa sambal sotong dengan ABC milo, ada budak-budak yang terjun terus kelaut! Hahaha.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Travelog SIT 2019: Cinta Pandang Pertama Bermula Di Tioman

Isi Kandungan
TogglePada tanggal 27 Jun 2019, saya berpeluang untuk hadir ke Kampung Genting, Pulau Tioman bagi memenuhi jemputan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Pahang (MOTAC Pahang) sempena program ‘Start In Tioman’ atau SIT yang berlangsung selama empat hari di sana.
Pada mulanya, saya rasa biasa saja dengan program berkenaan kerana tanggapan kali pertama, ia sama dengan tugasan-tugasan lain yang diterima seorang wartawan untuk membuat liputan mengenai sesuatu program. Tambahan pula, program SIT ini membabitkan aktiviti skuba dan saya tidak mempunyai lesen untuk menyelam.
Terasa rugi untuk saya pergi membuat liputan berkenaan kerana ada rakan sepejabat yang lain mempunyai lesen skuba. Lebih baik beliau yang ke sana kerana boleh turut sama menyelam di dalam laut dan menyaksikan beberapa aktiviti yang direncanakan sepanjang program.

Tapi, atas desakan beliau sendiri, saya akur juga untuk ke Pulau Tioman pada tarikh yang ditetapkan. Kata rakan sepejabat itu kepada saya, “bagus kalau kau yang pergi. Kau sendiri pun tak ada lesen, jadi cerita tu fresh dari sudut pandang orang noob yang tak ada lesen macam kau”, hahahaha.
Tergelak kami apabila dia berkata demikian. Ada betulnya juga, saya sendiri pun tak pernah lagi membuat liputan berkenaan aktiviti yang membabitkan skuba dan menyelam di dasar laut ni.
Jadi boleh saya manfaatkan peluang yang ada untuk ambil tahu serba sedikit berkenaan aktiviti skuba kepada pembaca-pembaca Libur nanti. Bersetuju untuk pergi ke tugasan tersebut, saya pun membuat persiapan di pejabat dan di rumah. SIT 2019, here I come!
Perjalanan dari pejabat di Shah Alam, Selangor menaiki kereta Proton Saga ke Jeti Tanjung Gemuk, Kuala Rompin mengambil masa lebih kurang dalam 5 jam memandu. Membuatkan masa terasa lebih lama adalah disebabkan saya memandu seorang diri.
Terdetik dalam hati betapa ruginya terasa kerana tugasan ini terpaksa saya pergi sendirian – sayalah wartawan dan sayalah jurugambar! Kalau ada kawan kan seronok, tak adalah kesorangan!
Tapi tak apa, dengan jiwa kental yang ada, kita harung je perjalanan yang ada. Lumrah seorang wartawan, tak ada tempat untuk mereka yang berhati tisu untuk kerjaya ini.
Percaya lagi Google, itu makan dia
Saya tiba di Kuala Rompin sekitar pukul 4.30 petang. Hasil maklumat daripada encik Google menunjukkan ada feri yang akan berlepas ke Pulau Tioman pada pukul 5 petang dan saya tiba Jeti Tanjung Gemuk pada pukul 4.50 petang, lebih kurang 10 minit lagi sebelum masa berlepas.

Sempat kot! Sempat beli tiket ni! Getis hati sambil-sambil mata tu laju menjeling jam dan berlari-lari anak menuju ke kuanter tiket. Setibanya di kaunter, Allah! Haru rasanya apabila semua kuanter yang ada di situ tutup!
Macam mana nak beli tiket? Dengan hampa saya berpatah balik ke tempat letak kereta yang berada di luar perkarangan kompleks terminal feri dan terjumpa dengan seorang pakcik yang menjaga tempat letak kereta depan terminal feri.


Lupa saya nak bertanyakan nama beliau tetapi selepas memberi salam dan bersalaman, saya bertanyakan kepadanya pasal feri dari Tanjung Gemuk ke Pulau Tioman. Dalam perbualan kami, pakcik tu kata feri terakhir pada hari tersebut adalah pukul 4.30 petang.
Menurut pakcik itu, jadual pergerakan feri akan berubah-ubah setiap hari berdasarkan kepada pasang surut air laut.

Ohh.. Jadi maklumat saya dari Google tu dah salah. Saya pun mungkin terbaca waktu pelepasan feri tu entah di website mana-mana. Nasihat beliau, ada baiknya telefon dahulu perkhidmatan feri ke Pulau Tioman dari Tanjung Gemuk untuk tahu bilakah waktu terakhir akan berlepas dan terus membuat tempahan. Takut nanti terlepas feri!
Jadi kepada anda yang nak ke Pulau Tioman, nasihat saya, hubungi dahulu perkhidmatan feri supaya tak terlepas feri seperti saya ni ya. Dah la memandu jauh, sekali sampai, feri pula tak ada. Malang sungguh.
Bermalam di Kuala Rompin
Tanpa melengahkan masa, saya ambil keputusan untuk bermalamdi Kuala Rompin. Pada mulanya saya mencari hotel yang berada di sekitar Tanjung Gemuk tapi kesemuanya menawarkan harga yang agak tinggi, lebih kurang RM130 semalam.
Tugasan luar kawasan ni tak ada selera nak ambil hotel yang mahal-mahal. Kalau boleh berjimat, selagi boleh saya akan cuba untuk berjimat. Cara alternatif yang saya terfikir adalah menggunakan aplikasi mencari hotel dan antara yang terbaik saya boleh cadangkan kepada anda adalah aplikasi Booking.com.
Melalui aplikasi tersebut, saya dapat satu guesthouse bernilai RM50 untuk satu malam. Okay la kan? Duduk pun sorang. Tetapi guesthouse tu berada lebih kurang 30 kilometer dari Tanjung Gemuk. Dalam waktu tu tak kisah dah, asalkan ada tempat untuk bermalam sementara menunggu esok pagi.
Esok seawal jam 8 pagi saya dah bertolak semula dari guesthouse ke Tanjung Gemuk untuk naik feri yang paling awal ke Pulau Tioman. Cuba juga untuk dapatkan feri yang paling awal sebab takut terlambat, nanti terlepas banyak perkara menarik membabitkan tugasan di sana.

Tiba di terminal feri, saya terus membeli tiket pukul 11 pagi dan dalam masa membeli tiket, mata ralit memerhatikan keadaan sekeliling di terminal feri Tanjung Gemuk tu.
Dah jadi kebiasaan, kita kena peka dengan keadaan sekeliling dan apa yang dapat saya simpulkan adalah keadaan terminal feri Tanjung Gemuk ini adalah cukup selesa dan bersih untuk kegunaan pengunjung yang tiba.
Keselesaan untuk pengunjung
Terminal itu lengkap dengan kedai serbaneka dan cenderahati bagi memberikan kemudahan kepada pengunjung. Tak perlu risau kalau ada satu dua benda terlupa nak beli di luar. Di terminal ada kedai yang menjual sedikit barang-barang runcit.



Sebut pasal kemudahan, saya nak salurkan maklumat mengenai kemudahan tempat letak kereta di sini. Kalau anda memandu, tak kisah daripada mana sekalipun, untuk ke terminal jeti Tanjung Gemuk, rasanya tak ada masalah untuk anda tinggalkan kereta beberapa hari di sini.
Kemudahan tempat letak keretanya juga mempunyai penjaga yang akan berkawal di situ 24 jam untuk memastikan keselamatan pengunjung terjamin daripada segala perkara yang tak diingini dengan sedikit bayaran yang akan dikenakan iaitu sebanyak RM10 semalam.
Macam kes saya, saya akan bermalam selama tiga malam di Pulau Tioman, maknanya bayaran sebanyak RM30 dikenakan. Okay la RM30 kalau nak dibandingkan dengan keselamatan kereta kalau parking merata-rata.




Jadual ketibaan feri tepat pada waktunya. Anda jangan berlengah-lengah dan diminta untuk berada 45 minit lebih awal di ruang menunggu sebelum waktu pelepasan sebab feri akan bergerak tepat, tak ada delay macam anda naik pesawat.
Saya menaiki feri Wawasan 2 dan untuk sampai ke Pulau Tioman, jarak perjalanannya lebih kurang 1 jam 30 minit. Pemerhatian saya selama berada dalam perut feri menuju Pulau Tioman adalah ramai pelancong yang mabuk dan muntah-muntah. Habis satu feri berbau minyak angin.
Kalau anda mudah mabuk laut, bersiap sedia dengan segala ubat yang ada kalau tak nak percutian bermula dengan kejadian yang tak elok dan berakhir dengan kekecewaan kerana sakit pening. Rugi tau dah sampai Pulau Tioman tapi kesihatan tak mengizinkan, baik duduk rumah je.






Bang.. Dekat mana Damai Tioman Resort?
Setibanya di Pulau Tioman, saya turun di jeti Kampung Genting. Anda harus peka di sini – feri tersebut akan berhenti di beberapa jeti sebelum berpatah balik ke Tanjung Gemuk. Pastikan anda tahu di mana resort penginapan anda dan jangan tersalah kampung. Kalau anda tersalah, jenuh tau nak berenang balik. Hahaha.
Di Kampung Genting, saya ke lokasi tugasan yang terletak di Damai Tioman Resort mengikut alamat yang diberikan oleh pihak penganjur. Ini kali pertama saya ke Kampung Genting, jadi saya tidak berapa arif tentang selok-belok Kampung Genting ni. Saya ingatkan kampung ni besar pada mulanya.
Saya cuba untuk menghubungi penganjur tetapi gagal. Kemungkinan beliau sedang sibuk dengan acara program, jadi beliau tidak mendengar panggilan daripada saya. Tapi tidak apa, itu semua tak ada masalah. Sekurang-kurangnya saya dah sampai di lokasi tugasan.



Kalau anda seorang traveller yang baik, anda tidak akan duduk setempat terlalu lama. Pada mulanya saya duduk menunggu di hadapan jeti. Mana lah tahu kemungkinan penganjur akan menghubungi saya semula, jadi boleh saya beritahu kepada beliau yang saya sudah berada di sini.
Tapi tunggu punya tunggu, bulan tak timbul-timbul (macam cerita P.Ramlee) hahaha. Saya ambil keputusan di saat itu untuk berjalan sekeliling Kampung Genting, kot terjumpa penanda program yang diletakkan, tak perlu lah penganjur susah datang mencari saya.
Dari jeti Kampung Genting, saya berjalan lebih kurang dalam 5 minit ke laluan sebelah kiri kampung dan akhirnya! Saya tiba di lokasi program di Damai Tioman Resort. Tak sempat peluh nak keluar dah sampai, hahaha. Saya ingan kampung ni besar, tapi kecil je. Pusing dua tiga kali dah boleh khatam dah.
Jarak diantara satu resort dengan resort yang lain pun sebelah menyebelah. Tak ada istilah anda akan tersesat di Kampung Genting ni melainkan anda memang jenis makan roti cicah semut sampai tak ingat jalan.
Setibanya di Damai Tioman Resort, saya disambut mesra oleh Anwar Anhar atau lebih mesra dengan panggilan Anwar. Beliau merupakan juruvideo dari Radio Television Malaysia dan juga instructor penyelam untuk program SIT yang berlangsung ketika itu. Beliau juga seorang jurugambar bawah air atau underwater photographer. Nanti saya belanja gambar-gambar yang beliau ambil sepanjang masa SIT 2019 ni berlangsung.

Dengan beliau lah saya berkenalan dengan krew penganjur, Mazlin Suhardi dari MOTAC Pahang, yang ketika itu sedang makan tengah hari. waktu saya tiba di Kampung Genting lebih kurang dalam pukul 2 petang, jadi itu waktunya untuk makan tengah hari. Jadi, terima kasih Abang Anwar sebab sudi melayan saya waktu itu.
Program skuba ada kenduri? Ya, ada kenduri
Usai bersalam-salaman dan mendapat kunci bilik, saya berjalan ke bilik penginapan yang disediakan untuk urusan kendiri sementara menunggu aktiviti seterus yang dijadualkan pada sebelah malam iaitu kenduri. Oh, ada kenduri? Ya, ada kenduri bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dilaksanakan semasa SIT 2019 kali ini.
Sebelum menjelang malam waktu kenduri, semua peserta SIT 2019 termasuk penganjur bergotong-royong, sama-sama memasak juadah hidangkan malam nanti dan di sini lah titik tolak yang mana saya lihat satu nilai yang amat saya suka berkenaan dengan SIT, seperti yang saya ceritakan dalam entri Libur sebelum ini.
BACA: ‘Start In Tioman’ Platform Terbaik Dan Murah Nak Dapatkan Lesen Skuba Open Water




Hubungan yang ada diantara mereka itu seakan dah lama terjalin, penuh mesra dan gelak tawa serta gurau senda sedangkan kedatangan masing-masing ke sini hanyalah untuk menyelam malah, ada diantara mereka yang datang hanya untuk membuat lesen sahaja.
Bagi saya sebagai orang yang baru pertama kali menyertai program tersebut rasa sangat tertarik dengan suasana tersebut. Daripada yang tua hingga yang muda, semuanya saling ringan tulang bergotong-royong untuk memastikan persiapan kenduri di sebelah malam berjalan dengan lancar.
Dalam hati saya berkata, “okey, ini hubungan yang menarik”, sebab mereka tidak kekok untuk bergaul bersama sekalipun ada yang baru pertama kali bersua muka.
Anda mahu rock?! Saya bagi anda rock!
Seusai kenduri pada sebelah malam, satu lagi acara yang menjadi penantian adalah persembahan daripada kumpulan rock terkenal tanah air satu masa dulu – Wings! Baru saya tahu waktu itu bahawa kumpulan Wings adalah duta tetap untuk program SIT sejak penganjuran pertama pada tahun 2010 sehingga sekarang.
Ini sudah menarik! Dalam program skuba, ada lagi aktiviti-aktiviti atas darat yang boleh kita buat. Bukan setakat ‘mati’ dengan aktiviti air sahaja. Jimat duit makan, duit berbelanja dan duit hiburan sekiranya saya menjadi peserta program SIT.

Sepanjang masa kumpulan Wings itu memainkan lagu-lagu rock yang terkenal sepanjang zaman, kami sekampung beramai-ramai berkumpul di sekeliling dataran di hadapan Damai Tioman Resort. Layannn..
Selesai sudah tugasan hari pertama saya di Kampung Genting. Kalau diikutkan itu merupakan hari kedua program tetapi dek kerana saya terlepas feri pada hari pertama, hari itu menjadi hari pertama liputan saya di sana.
Selepas sarapan pagi, saya dimaklumkan bahawa beberapa peserta program akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Ada yang turun menyelam untuk menurunkan tukun-tukun tiruan yang telah dibuat sempena SIT 2019 dan ada yang akan lakukan aktiviti selain skuba – ini acara untuk orang yang tak ada lesen macam saya lahh.



Tukun ketupat, lemang dan pelita bawah laut
Memandangkan SIT 2019 mengambil tema perayaan Hari Raya Aidilfitri, maka tukun tiruan yang dibuat juga bertemakan beberapa elemen penting yang ada sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu tukun pelita, tukun ketupat dan tukun lemang.
Saya berkesempatan untuk menemubual Pengarah MOTAC Pahang, Datuk Haji Idros Yahya, dan menurut beliau, setiap edisi SIT mempunyai tema yang berlainan dan setiap edisi turut mempunyai tukun tersendiri yang akan diletakkan di dasar laut.





Ini sebab nak bagi satu kelainan kepada setiap edisi dan menjadi peringatan kepada peserta yang datang pada setiap program SIT akan datang.
Kalau anda ikut serta dalam program ini, anda akan ada satu tukun sebagai tanda peringatan yang diletakkan di dasar laut – membuat anda akan ada kenang-kenangan dan berasa dialu-alukan di situ.
Di masa akan datang, apabila anda datang menyelam di Pulai Tioman, tukun itu akan mengingatkan anda bahawa anda pernah berada di sini satu masa dahulu dan memori itu yang cuba untuk dizahirkan menurut Datuk Idros.
Ukhwah lebih dari sekadar skuba
Bagi saya, tindakan pengajur mencipta momen seperti itu sangat menarik kerana program ini bukan hanya touch and go kerana ada sentimental value yang ditinggalkan kepada para peserta dan akan membuatkan mereka ingin kembali lagi di masa akan datang.
Bukan kembali sebagai seorang pelajar yang baru nak ambil lesen lagi, tetapi sebagai seorang penyelam yang mahir tentang selok-belok selam skuba satu hari nanti, Insha-Allah.








Datuk Idros juga ada menambah bahawa ramai alumni-alumni skuba yang lahir daripada program SIT datang setiap tahun untuk memeriahkan lagi program disamping datang bagi meraikan kedatangan ahli baharu yang ‘lahir’ daripada SIT pada tahun berkenaan.
Jadi terjawab persoalan saya, mengapa program ini begitu unik sekali dan mengapa saya begitu mengesyorkan kepada anda untuk menyertai program ini untuk mendapat lesen skuba yang pertama!
Aktiviti orang tak ada lesen
Keesokkannya, saya di bawa berjalan mengelilingi pulau di ke tempat-tempat menarik yang ada di sekitar Pulai Tioman. Ada banyak tempat-tempat menarik di Pulau Tioman yang boleh anda lawati dan tempat-tempat menarik ini akan saya kongsikan di entri Libur yang akan datang ya.
Program bersiar-siar kami yang tak menyelam dek kerana tak ada lesen ni berterusan sehingga ke petang. Maklumlah, dah tak ada lesen skuba, kita naik bot sajalah jalan-jalan pusing lihat pemandangan kampung orang.
Indah pemandangan Pulai Tioman ni. Bukan setakat pemandangan sahaja cantik, gadis-gadis Melayu yang ada di sini pun cantik belaka! Hahahaha sambil menyelam minum air la katakan. Maafkan la saya, saya ni bujang lagi, kalau ada berjumpa jodoh di sini, apa salahnya betul tak?
Pada malam terakhir saya disitu, saya dan beberapa kawan baik yang baharu di bawa oleh abang yang kami panggil Abang Adik atau nama betulnya Syed Mohd Amieryuzi Syed Abu Bakar melihat keadaan kampung pada waktu malam.
Hantu Pulau Tioman
Rupa-rupanya, ada aktiviti mystery walk di kampung ini dan guide yang tukang cakap kepada aktiviti tersebut adalah Abang Adik sendiri! Hahaha.
Banyak lah kisah-kisah misteri berkenaan Pulau Tioman yang dikongsikan oleh Abang Adik kepada kami seperti kisah Gunung Daik Bercabang Tiga, Naga Tasik Chini dan kaitannya dengan Pulau Tioman, jambatan puntianak bertenggek. Macam-macam cerita hantu yang akan saya tuliskan di entri yang lain kepada anda.

Saya takut, nanti kalau semua tulis panjang-panjang di sini, ada yang akan tertidur. Buku pun boleh bersawang dalam almari tak ada orang baca, ini kan pula cerita saya dalam website, takut orang tekan butang skip! Hahaha
Keesokkan harinya, seawal pukul 8 pagi, berakhirlah program SIT 2019 yang berlangsung selama empat hari di Kampung Genting, Pulau Tioman. Tepat pukul 9 pagi, feri telah tiba dan membawa kami semua balik ke jeti Tanjung Gemuk.
Setelah bersalam surai dengan semua kawan-kawan baharu di jeti Tanjung Gemuk, saya mengambil kereta yang ditinggalkan sebelum ini dan balik semula ke Shah Alam.

Kesimpulan dua perkara paling menarik
Sepanjang saya menulis travelog SIT 2019 ini, ada dua perkara yang saya rasa amat berbaloi untuk saya sampaikan kepada pembaca terutamanya kepada anda yang nak ambil lesen skuba di sini.
Dua perkara ni akan terkait bersekali dengan entri saya yang awal berkenaan mengapa saya kata kan program Start In Tioman adalah satu tempat terbaik untuk anda mulakan perjalanan mengenal dunia skuba.
Yang pertama, adalah kerana kos yang berbaloi untuk anda. Tidak ada hidden cost dikenakan dan segalanya service termasuk sekali dengan harga yang anda bayar. Anda masih tak percaya lagi dengan testimoni yang saya berikan ini, anda boleh tanya sendiri dengan semua alumni SIT sejak tahun 2010 sehingga sekarang.
Saya yakin, pasti semua bersetuju dengan saya berkenaan kos untuk anda mengambil lesen skuba ini.
Keduanya adalah, saya amat tertarik dengan cara bagaimana program ini dianjurkan. Persahabatan dan persaudaraan yang ada itu melebihi daripada aktiviti selam skuba semata-mata. Saya, yang pergi tugasan ini seorang diri tak terasa keseorangan, kerana ada kawan-kawan sempoi sepanjang berada di sini.
Jadi, kalau anda nak ambil lesen skuba dan dalam masa sama nak buat kawan baharu, Start In Tioman adalah satu program yang terbiak untuk anda pertimbangkan. Tapi kena ingat, SIT hanya berlaku setahun sekali. Oleh itu, jumpa anda di SIT 2020 dan saya pasti akan kembali lagi tahun hadapan. Kalau bukan sebagai seorang diver, saya akan datang sebagai seorang kawan untuk berjumpa kawanya di sana..
Jumpa lagi di Start In Tioman! Dive! Dive! Dive!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Kalau Mati Kat Luar Negara, Jangan Bawa Balik…’ – Buyong

Perasan tak, bila ada isu mengenai kematian di luar negara dan pihak keluarga ingin memohon jenazah/mayat untuk dibawa pulang, pasti mengalami masalah.
Antara masalah yang sering berlaku ketika memohon jenazah/mayat untuk dibawa pulang ialah kos penghantaran yang tinggi dan sebagainya.
Ramai ibu bapa tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan jika terdapat kenalan atau saudara mara yang meninggal di luar negara sama ada ketika bekerja atau semasa bercuti.
Mazlan Zonan atau lebih mesra dipanggil Buyong di kalangan kawan-kawan, merupakan seorang ‘backpackers’ tegar apabila beliau minat terhadap perkara baru dan suka bergaul dengan orang baru terutama di luar negara.
Beliau menjelaskan bahawa jika terdapat kenalan atau sahabat yang meninggal dunia di luar negara, disarankan agar tidak membawa balik sebaliknya di tanam di sana bagi memudahkan perjalanan si mati.
Mazlan yang merupakan seorang backpackers tegar sejak Disember 2013 apabila nekad berhenti kerja dan menjual semua harta kepada adik-beradik dan rakan-rakan bagi mengelakkan komitmen.
Beliau menjelaskan bahawa setiap orang yang ingin ke luar negara harus tahu apa yang perlu mereka lakukan jika terdapat kematian dan insurans yang perlu mereka ambil.
Mazlan turut menjelaskan bahawa sebelum ini beliau hampir kehilangan nyawanya sendiri apabila jatuh dari tingkat 1 di sebuah rumah banglo, dan pada ketika itu beliau sedang bekerja sebagai kontraktor di London.
Akibat kecedaran pingga yang di alami pada ketika itu, beliau terpaksa membatalkan seluruh perancangan untuk jelajah bumi eropah.
Jom kita baca sikit penjelasan dari beliau apa yang perlu korang buat jika terdapat kematian di luar negara dan apakah insuran yang perlu korang tahu.
Insuran yang perlu korang tahu,
Sumber: Mazlan Zonan
Berita kematian di luar negara: Jenazah rakyat Malaysia lemas selamat tiba ke tanah air
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lupakan Sekejap Hanoi dan Ho Chi Min, Tukar Itinerary Trip Untuk Anda Ke Da Nang, Vietnam

Siapa yang pernah pergi ke Da Nang, Vietnam? Mesti ramai yang belum berkesempatan ke sana kan? Berbeza dengan tempat-tempat lain di Vietnam yang popular di kalangan pelancong Malaysia seperti Ho Chi Minh dan Hanoi, Da Nang ni baru nak menempa nama sebagai destinasi pelancongan.
Dek kerana masih lagi tak ramai pelancong Malaysia yang ke Da Nang ni, Libur ingin berkongsi beberapa tip pelancongan kepada anda daripada Norbainon Baharudin. Semoga tip ini bermanfaat dan anda mendapat sedikit gambaran mengenai tempat tersebut, langsung dapat merancang percutian anda ke sana!
Tip dan info daripada Norbainon Baharudin adalah:
1. Di sini kebanyakkan tempat menggunakan VND melainkan Lapangan Terbang Da Nang saja yang menggunakan USD. Adalah lebih baik anda tukar dahulu matawang di Malaysia. Sekiranya tidak cukup duit, anda boleh tukar di kedai emas berdekatan Han Market.
2. Kebanyakkan tandas awam tidak ada air. Anda dinasihatkan sentiasa bawa botol berisi air untuk membasuh dan mencuci. Sekiranya tiada, boleh gunakan tandas OKU atau tandas keluarga kerana selalunya tandas-tandas ini mempunyai air.
tiada masjid berikutan tiada komuniti muslim yang tinggal di sini.
3. Teksi Vinasun berwarna hijau adalah teksi yang paling dipercayai. Kadar bacaan meter eksi bermula dari 6k. teksi berwarna kuning dan hijau pula bermula dengan kadar meter 8k. Ini kadar untuk teksi Vios. Kadangkala ada teksi yang menawarkan kereta yang lebih besar walaupun anda berdua sahaja. Anda boleh tolak tawaran dengan baik dan katakan ingin menaiki teksi yang biasa sahaja. Hati-hati dengan teksi di kawasan Han Market kerana mereka tidak meletakkan harga mengikut meter kepada pelancong. Anda digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan Grab sahaja sekiranya rasa was-was dengan teksi awam yang ada di sana.
4. Perkhidmatan Grab Bike ada di sini dengan harga separuh lebih murah daripada harga teksi. Kalau anda travel berseorangan atau dalam kumpulan kecil, lebih mudah menggunakan Grab Bike untuk pusing-pusing di sekitar kawasan bandar Da Nang.
5. Makanan halal sangat terhad. Anda digalakkan untuk membawa bekalan makanan halal siap-siap dari Malaysia. Antara restoran halal di sana adalah Simpur Brunei, Omar Halal Indian Restaurant, Family Indian Restaurant, Nan Kebab & Mumtaz. Harga makanan halal di sini sangat mahal, jadi bersiap sedia untuk membayar harga makanan tersebut. Restoran halal yang dicadangkan kepada anda adalah Family Indian Restaurant kerana menyediakan makanan yang sedap berbanding yang lain. Sekiranya anda ingin makan makanan Vietnam yang halal, ada satu sahaja restoran iaitu Than Ly. Restoran halal di Hoi An pula adalah Zeytun dan Khazanah1992 Indian Restaurant.
6. Kalau anda nak membeli-belah barangan seperti air mineral, roti, kopi atau makanan ringan, anda boleh ke Big C Supermarket yang berdekatan dengan Parkson Da Nang. Di sana juga menjual nugget dan ayam perap halal. Barang-barang yang dijual di Bic C Supermarket lebih murah dan lebih banyak pilihan. Antara kesemua hypermarket, di Big C Supermarket menawarkan harga kopi Vietnam yang lebih murah dan banyak pilihan.
7. Pasang aplikasi Foody atau Vietnamm.com di telefon pintar anda sekiranya malas nak keluar mencari makanan pada waktu malam. Boleh bayar COD semasa penghantar makanan menghantar makanan kepada anda. Tapi, untuk menggunakan perkhidmatan ini, anda memerlukan nombor telefon Vietnam untuk mereka hubungi bagi tujuan pengesahan pesanan.
8. Kebanyakkan warga di sana tidak tahu berbahasa Inggeris. Cara yang mudah untuk anda berkomunikasi adalah menggunakan google translate atau tangkap gambar dan tunjukkan kepada pemandu teksi untuk menghantar anda ke mana-mana. Wifi di sana mudah untuk diakses dan laju. Kebanyakkan hotel dan kedai-kedai makan menyediakan perkhidmatan wifi secara percuma. Tapi jika anda kerap berjalan, beli kad sim yang mempunyai data internet.
9. Barangan cenderahati boleh di beli di Han Market. Beg rotan yang tular di Malaysia cukup murah di sana tapi, anda harus ingat supaya tidak membeli di dalam Han Market. Beli di kedai-kedai yang terletak di tepi-tepi Han Market kerana harga di situ lebih murah. Con Market berdekatan dengan Big C Supermarket lebih murah tetapi peniaga kurang mesra dengan pelancong. Peniaga di Han Market lebih mesra dan mereka pandai bertutur dalam bahasa Korea kerana pelancong Korea ramai berkunjung di sana.
10. Jangan lupa untuk singgah di Tourist Centre di Han Market. Boleh ambil gambar peta kawasan sekitar, buku kupon, dan buku panduan travel di Da Nang. Kesemua barangan tersebut boleh didapati secara percuma dan anda akan lebih mudah faham fan tahu tentang tempat-tempat menarik di sana. Jadi mudalah untuk anda merancang ke mana destinasi selepas itu.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI