Dalam Negara

Ekues Cabin Cafe Putrajaya, Port Lepak Unik Boleh Makan Sambil Tengok Kuda

Share

Kalau anda mencari kafe yang bukan sekadar cantik untuk bergambar, tetapi ada suasana berbeza daripada kafe biasa, Ekues Cabin Cafe di Putrajaya antara lokasi yang boleh dimasukkan dalam senarai.

Terletak di Taman Ekuestrian, Jalan Kandang Kuda, Presint 5, Putrajaya, kafe ini cukup menarik kerana pengunjung boleh menikmati makanan dan minuman dalam suasana hijau, redup serta berlatar aktiviti berkuda di kawasan ekuestrian. 

Kafe Dalam Taman Ekuestrian

Keunikan Ekues Cabin Cafe terletak pada lokasinya yang berada dalam kawasan Putrajaya Equestrian Park. Berbeza dengan kafe biasa di bangunan komersial, suasana di sini lebih santai dengan pokok-pokok besar, kawasan lapang dan vibe ala countryside.

Ekues Cabin Cafe Kredit Foto: Ekues Cabin Cafe / Instagram

Bagi yang datang pada waktu sesuai, anda boleh melihat kuda di kawasan berhampiran sambil menikmati kopi atau sarapan. Konsep sebegini menjadikan Ekues Cabin Cafe pilihan menarik untuk mereka yang mahu mencari suasana makan yang lebih tenang dan berbeza. 

Suasana Santai Untuk Family & Kaki OOTD

Kafe ini juga sesuai dijadikan lokasi hujung minggu bersama keluarga, pasangan atau rakan-rakan. Ruang kafe yang terbuka dan dikelilingi kehijauan memberi rasa lebih relaks, terutama untuk mereka yang mahu ‘lari’ sekejap daripada suasana bandar.

Ekues Cabin Cafe Kredit Foto: Ekues Cabin Cafe / Instagram

Dari segi visual pula, binaan kafe berkonsep cabin dan glasshouse menjadikan tempat ini cukup menarik untuk bergambar. Latar pokok, susun atur outdoor dan suasana ekuestrian memberi tarikan tersendiri kepada kaki OOTD dan pencinta cafe hopping.

Menu Kafe Yang Pelbagai

Untuk menu, Ekues Cabin Cafe menawarkan pilihan makanan dan minuman santai seperti kopi, matcha, teh, dessert, hidangan sarapan, bites & share serta beberapa pilihan makanan berat. Antara menu yang disebut dalam senarai makanan termasuk croissant sandwich, breakfast sandwich, mushroom soup with garlic bread, nasi lemak telur bungkus dan nasi padang. 

Jadi, tempat ini bukan hanya sesuai untuk minum kopi, tetapi juga boleh dijadikan lokasi brunch atau makan santai bersama keluarga.

Tarikan Untuk Pencinta Kuda

Satu lagi perkara yang membuatkan kafe ini unik ialah suasana berkuda di sekelilingnya. Pengunjung yang suka haiwan, terutama kuda, pasti teruja kerana boleh menikmati pengalaman makan dalam persekitaran ekuestrian.

Ekues Cabin Cafe Kredit Foto: Ekues Cabin Cafe / Instagram

Beberapa ulasan turut menyebut lokasi ini sesuai untuk mereka yang datang bersama anak-anak kerana suasananya lebih terbuka dan berbeza daripada kafe biasa. Aktiviti berkuda pula bergantung kepada operasi semasa pihak Taman Ekuestrian, jadi elok semak dahulu sebelum datang jika tujuan utama adalah untuk mencuba aktiviti tersebut.

 

Waktu Operasi & Lokasi

Ekues Cabin Cafe beralamat di Taman Ekuestrian, Jalan Kandang Kuda, Presint 5, 62000 Putrajaya. Berdasarkan maklumat semasa yang dipaparkan oleh beberapa platform ulasan dan direktori makanan, kafe ini beroperasi sekitar Selasa hingga Ahad,dan tutup pada hari Isnin, Ekues Cabin Cafe tutup pada jam 8.00 malam, jadi kemasukan terakhir ke dalam kafe adalah 6.45 petang. Pegunjung boleh datang awal supaya sempat menikmati suasana dengan lebih santai. Namun waktu operasi boleh berubah mengikut keadaan semasa. 

Ekues Cabin Cafe Kredit Foto: Ekues Cabin Cafe / Instagram

Sebaiknya semak media sosial atau hubungi pihak kafe terlebih dahulu sebelum datang, terutama jika merancang lawatan pada cuti umum atau hujung minggu.

Port Healing Dalam Putrajaya

Ekues Cabin Cafe sesuai untuk mereka yang mahu mencari tempat makan dengan suasana lebih damai tanpa perlu keluar jauh dari Lembah Klang. Dengan lokasi dalam kawasan ekuestrian, pemandangan hijau, suasana redup dan peluang melihat kuda, kafe ini menawarkan pengalaman yang sedikit berbeza daripada cafe hopping biasa.

Bagi warga Putrajaya, Cyberjaya, Bangi atau Kuala Lumpur, lokasi ini boleh jadi pilihan menarik untuk brunch, minum petang atau sekadar mencari port santai bersama keluarga. Kadang-kadang, secawan kopi, suasana hijau dan pemandangan kuda sudah cukup untuk buat hati rasa tenang.

 

Oleh
Syahir Hannan