Gempa Bumi 6.8 Magnitud Melanda Indonesia, Pelancong Malaysia Sila Berhati-Hati

Share

Kepulauan Sulawesi, Indonesia semalam digegarkan dengan gempa bumi berukuran 6.8 magnitud sekaligus mencetuskan amaran tsunami sehingga memaksa penduduk keluar dari kediaman masing-masing.

Sumber daripada Tinjauan Geologi Amerika Syarikat, gegaran berlaku pada kedalaman 17 kilometer luar pantai timur kepulauan Sulawesi.

Dalam masa sama, kerajaan Indonesia telah mengeluarkan arahan untuk menggesa penduduk segera berpindah ke kawasan yang lebih tinggi. Selepas gegaran pertama yang dilaporkan berlaku pada lebih kurang pukul 7.40 malam semalam, dua gegaran susulan berukuran 5 dan 5.2 magnitud turut dilaporkan berlaku selang 30 minit.

Walau bagaimanapun, amaran tsunami ditarik semula selepas kira-kira 40 minit apabila agensi geologi menganggarkan gegaran gempa bumi itu hanya menghasilkan ombak berukuran setengah meter sahaja.

Tiada kerosakan atau kematian dilaporkan susulan gempa bumi semalam. Syukur alhamduillah.

Namun, rakyat Malaysia yang berada di Indonesia tidak kira atas urusan kerja atau bercuti, anda dinasihatkan supaya berhati-hati dan rancang percutian anda sebaiknya.

Ambil maklum dengan segala kemaskini terbaru pihak berkuasa di sana dan jangan lupa untuk maklumkan keberadaan anda di luar negara kepada Wisma Putra supaya tindakan segera dapat diambil jika anda berada dalam wilayah yang terjejas.

Pada tahun lalu, gempa bumi berukuran 7.5 magnitud turut melanda bandar Palu dan mengorbankan lebih kurang 4,300 orang. Al-fatihah untuk mangsa yang terkorban.

IKLAN