Gaya Hidup

Inspire Live Arena, Venue Konsert Baharu Di IOI Mall Damansara

Share

Industri muzik tempatan semakin berkembang pesat dengan penganjuran pelbagai konsert yang menampilkan barisan penyanyi dan penghibur dari dalam serta luar negara.

Seiring perkembangan ini, sudah semestinya peminat hiburan menginginkan sebuah ruang tertutup yang bukan sahaja selesa, malah mudah diakses dan dilengkapi kemudahan moden bagi memberikan pengalaman menonton persembahan yang lebih menyeronokkan.

Baru-baru ini, Inspire Live Arena dilancarkan di IOI Mall Damansara sebagai lokasi baharu yang boleh menjadi pilihan penganjur konsert, acara hiburan tempatan mahupun persembahan artis antarabangsa.

Antara tarikan utama Inspire Live Arena ialah kemudahan audio visual moden yang disediakan. Skrin LED gergasi bersama skrin sisi HD serta sistem pencahayaan laser mampu memberikan pengalaman visual yang lebih menarik kepada penonton sepanjang persembahan berlangsung.

Sistem akustik dan susunan ruangnya yang fleksibel turut membolehkan arena ini disesuaikan mengikut keperluan sesuatu acara. Ia boleh digunakan untuk konsep penonton duduk, berdiri mahupun susunan pentas bertingkat bergantung kepada jenis konsert atau persembahan yang dianjurkan.

Dengan kapasiti sehingga 5,000 penonton, saiz Inspire Live Arena boleh dianggap ideal kerana tidak terlalu besar atau terlalu kecil. Kapasiti ini secara tidak langsung dapat mewujudkan suasana persembahan yang lebih intim apabila penonton berpeluang berada lebih dekat dengan artis kegemaran mereka.

Lokasi Strategik Dalam Pusat Beli-Belah

Terletak di dalam IOI Mall Damansara, lokasi ini turut memberikan kelebihan kepada pengunjung yang hadir menyaksikan acara. Mereka boleh menikmati hidangan, membeli-belah atau berehat terlebih dahulu sebelum memasuki ruang acara.

Sebagai venue tertutup, pengunjung juga tidak perlu terlalu bimbang dengan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti hujan atau panas terik ketika menghadiri sesuatu acara.

Dari segi pengangkutan awam, akses ke Inspire Live Arena juga cukup mudah dengan sambungan terus dari Stesen MRT Surian menerusi jejambat penghubung. Selain itu, terdapat kawasan drop-off khusus serta ruang tempat letak kereta yang luas untuk kemudahan pengunjung.

Menariknya, Inspire Live Arena bukan hanya sesuai digunakan untuk penganjuran konsert muzik. Ruangnya yang fleksibel membolehkan pelbagai jenis acara dianjurkan termasuk pameran, pelancaran produk berprestij, pertandingan e-sukan, festival kebudayaan serta acara fan meeting.

Dengan kemudahan moden, kapasiti yang sesuai dan lokasi strategik, Inspire Live Arena dilihat mampu merancakkan lagi industri hiburan tempatan serta berpotensi menjadi antara venue pilihan untuk persembahan artis tempatan dan antarabangsa pada masa akan datang.

Oleh
Balqis Qadisah