Kedah Benarkan Hanya 3 Orang Solat Berjemaah Dalam Satu Masa Di Masjid

Share

Semua masjid di Kedah dibenarkan untuk menganjurkan solat fardu berjemaah dengan bilangan jemaah tidak melebihi tiga orang, iaitu terdiri daripada imam bersama dua ahli jawatankuasa kariah masjid dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Kebenaran tersebut mendapat perkenan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, berkuat kuasa serta-merta. Walaupun bilangan jemaah itu kecil dari kebiasaan, namun dari sudut Islam ia sudah melepasi tuntutan fardu kifayah dalam kariah.

Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang mengingatkan supaya kedudukan antara jemaah dijarakkan satu meter seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hanya jemaah yang sihat dibenar mendirikan solat berjemaah di masjid dan kebenaran ini hanya untuk solat fardu sahaja. Manakala solat Jumaat dan sunat Tarawih (pada bulan Ramadan ini) tidak dibenarkan.

Kebenaran itu hanya diberikan kepada masjid dan ia bergantung kepada situasi semasa penularan wabak COVID-19 di negeri itu. Jika keadaan lebih baik mungkin boleh ada solat Tarawih dan solat Jumaat selepas ini, tetapi jika pandemik COVID-19 lebih serius maka kebenaran solat fardu berjemaah tiga orang di masjid mungkin boleh ditarik balik.

Sumber: Bernama

IKLAN