
Bila sebut Phuket, bagi yang pernah menjejakkan kaki ke lokasi ini pasti terpegun dengan keindahan pantainya. Ini termasuklah Pulau James Bond selain Kepulauan Phi Phi. Phuket, antara detinasi pelancongan popular bagi pelancong luar negara.
Mudah dimasuki oleh negara-negara Asean seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Hong Kong dan negara-negara lain seperti Australia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, daerah dengan keluasan 540 km persegi ini menawarkan banyak lokasi indah termasuklah destinasi bulan madu.
Ini termasuklah Keemala Resort, resort percutian mewah yang menawarkan syurga pemandangan dari atas pokok (hutan hujan) yang terletak kira-kira 40 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket. Untuk ke Keemala Resort, pengungjung boleh menaiki perkhidmatan teksi di lapangan terbang sebelum dihantar terus ke resort serba mewah ini.
Menawarkan empat jenis reka bentuk penginapan, antaranya ialah Clay Pool Cottage,Tent Pool Villas, Tree Pool House dan Bird’s Nest Pool Villas yang kesemuanya mengadap hutan hujan termasuk pemandangan gunung yang cukup indah pemandangannya. Malah setiap satu resort mempunyai kolam renang persendirian.
Apa yang menariknya, pengunjung bukan saja “berhubung dengan alam semulajadi” tetapi di Keemala Resort ada pelbagai aktiviti boleh dicuba termasuklah spa. Bagi yang mahu mandi manda di pantai, boleh ke Kemala Beach yang terletak hanya 1.5 km dari resort ini. Jika mahu pergi jauh terutama ke Patong, jarak pemanduan hanya mengambil sekitar 20 minit sahaja dari resort ini.
Bahkan di resort serba mewah ini, pelbagai acara boleh dilakukan termasuk mengadakan majlis sambutan hari jadi, majlis pelancaran produk dan sebagainya. Bahkan bagi sukakan cabaran hidup sihat, boleh lakukan jungle tracking dan lain lagi.
Apa yang pasti, pemandangannya cukup indah, sesuai sebagai destinasi bulan madu.
Selain Hidangkan Kopi Sedap, Ini 5 Kopitiam Paling Menarik Untuk Bergambar Di Selangor!

Kopitiam yang secara amnya bermaksud “kedai kopi” dalam dialek Hokkien, mula diperkenalkan di Malaysia sejak akhir 1800-an.
Kopitiam berasal dari kaum Hainan migrasi di Malaysia yang kebanyakannya terlibat dalam industri hospitaliti untuk menyara hidup pada masa tersebut. Ini 5 kedai kopitiam di Negeri Selangor yang perlu anda kunjungi untuk menikmati rasa kopi asli dan roti bakar klasik yang lazat!
1) Auntie Kopitiam, Kuala Selangor

Auntie Kopitiam adalah kedai kopi terkenal yang terletak di Daerah Kuala Selangor. Auntie Kopitiam telah dibuka pada tahun 1935. Beberapa selebriti Malaysia juga pernah berkunjung ke sini untuk mendapatkan kopi mereka dan banyak program televisyen juga telah dirakamkan di sini.
Selain menghirup kopi Hainan tradisional yang enak, ada juga makanan lain yang disediakan seperti Nasi Lemak, kuih-muih, roti bakar dan banyak lagi. Pelanggan juga dapat menikmati salah satu hidangan terbaik mereka, Mi Kari Laksa iaitu makanan yang sempurna untuk memulakan hari anda!
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-3289 7289
2) Thong Kee Cafe, Petaling

Thong Kee Kopitiam adalah salah satu kedai kopitiam yang terkenal di Daerah Petaling dengan menu kopi unik mereka. Pemilik Kedai Kopitiam Thong Kee yang mempunyai pengalaman lebih dari 30 tahun telah mencipta menu “1+1 Cham Peng” iaitu satu minuman gabungan dari kopi Hainan dan teh. Menu istimewa ini telah mendapat sambutan yang hangat dari penduduk tempatan.
Selain menu “1+1 Cham Peng” , kedai ini juga menyajikan pelbagai pilihan menu untuk sarapan. Menu tersebut termasuk roti bakar, telur separuh masak dan juga aneka pastri seperti croissant dan donut.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://thongkee.com.my/ atau hubungi 03-7496 6847
3) Chong Kok Kopitam, Klang

Dahulu merupakan sebuah hotel namun kini ia merupakan sebuah kedai kopi klasik yang sangat diminati oleh semua bangsa dari penduduk tempatan. Kedai Chong Kok Kopitiam telah mula beroperasi sejak tahun 1940.
Di kedai ini, anda boleh saksikan sekumpulan pelanggan terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa menikmati hidangan kopi dan roti bakar mereka bersama-sama. Uniknya, kedai ini menyediakan menu telur separuh masak dengan menggunakan mesin khas untuk proses penyediaan. Cara ini menjadikan telur separuh masak mereka lebih sedap dan berkrim berbanding menggunakan cara klasik sebelum ini.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03 3371 0996
4) Nam Wah Kopitiam Bt 18, Hulu Langat

Satu lagi kedai kopitiam klasik di Negeri Selangor terletak di Daerah Hulu Langat. Kedai ini adalah salah satu lokasi persinggahan yang terkenal dalam kalangan penunggang basikal kerana kedai ini terletak berdekatan dengan trek laluan basikal semula jadi yang agak mencabar.
Jadi, tidak hairanlah jika anda bertemu dengan ramai penunggang basikal ketika anda menjamu selera di kedai ini. Istimewanya kedai kopitiam ini adalah kerana ianya menyajikan menu roti bakar bersama kaya atau kuah kari ayam yang dimasak sendiri oleh pemilik kedai ini.
5) Kedai Makan Hailam Sun Sun Nam Cheong, Hulu Selangor

Sun Sun Nam Cheong merupakan antara salah satu kedai kopitiam yang telah lama beroperasi dengan resipi asli mereka yang berusia 100 tahun. Selain kopi, menu yang istimewa di kedai ini adalah Chicken Chop Hailam dan juga Mi Hailam.
Chicken Chop Hailam merupakan menu yang dicipta oleh kaum Hainan yang telah berhijrah ke Malaysia. Mereka kemudian kebanyakannya berkhidmat di bawah kuasa penjajah British.
Justeru, menu ini dicipta dengan konsep gabungan citarasa Barat dan Cina. Sebagai kedai yang mempunyai sijil halal, menu makanan di kedai ini disediakan dengan bahan masakan yang halal. Jadi anda boleh menjamunya tanpa ragu-ragu!
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-6064 1168
Wah, menyelerakan sungguh seleksi menu kopi dan roti bakar yang disediakan oleh kedai-kedai Kopitiam yang disenaraikan di atas! Tidak dinafikan, kedai kopitiam digemari oleh semua rakyat Malaysia, tidak kira kaum, bangsa dan agama. Jangan lepaskan peluang anda untuk merasai sendiri menu kopitiam asli di sekitar Negeri Selangor!
Namun, ketika musim pandemik Covid-19 ini, anda perlulah sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Sentiasa pastikan penjarakan sosial, memakai topeng muka di tempat umum serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap.
Bandar Sokcho Lokasi Berbaloi Untuk Kipas-Susah-Mati Peminat K-Pop

Kepada peminat cerita Korea, anda belum jadi die-hard-fan lagi kalau tak tahu di mana terletaknya bandar Sokcho. Tak berapa lama dulu, Korea Tourism Organizaton (KTO) menjemput Datuk Bandar Sokcho, Byungseon Lee dan beberapa delegasi lain ke Malaysia bagi memperkenalkan bandar ini kepada peminat Korea Selatan di Malaysia.

Bandar ini antara lokasi penggambaran filem dan siri TV popular Korea seperti Autumn In My Heart dan Running Man.
Tarikan Sokcho
Sokcho adalah bandar di wilayah Gangwon-do, Korea Selatan. Ia terletak di timur laut timur Gangwon-do. Sokcho milik Korea Utara dari 1945 sehingga Perang Korea berakhir, apabila garis perpecahan antara dua negara Korea secara rasmi diubah.

Bandar ini menarik ramai pelancong tempatan dan antarabangsa, bukan sahaja kerana keindahan Gunung Seoraksan, Tasik Yeongrangho, kuil Sinheungsa, makanan laut malah aktiviti tradisi tempatan yang menarik serta produk laut yang bermutu.

Sokcho hanya setengah jam dari PyeongChang yang akan menjadi tuan rumah bagi Olimpik Musim Sejuk 2018. Ini juga mungkin tarikan untuk anda ke sini nanti.

Pantai Sokcho dijaga bersih, dan dibuka sepanjang tahun dengan musim panas adalah yang paling popular. Terdapat mata air panas semulajadi di Sokcho, beberapa di antaranya telah dibangunkan menjadi ruang berenang spa dan lokasi bersantai. Terdapat juga padang golf yang popular kerana persekitaran alam semulajadi mereka.
Tasik Yeongrangho dan Cheongcoho popular kerana memantul imej Gunung Seoraksan dan banjaran Ulsan Bawi; batuan tinggi di sekitar gunug.

Dengan pembukaan Dongseo Expressway antara Timur Hongcheon dan Sokcho pada Jun 2017 lepas, masa perjalanan dari Seoul ke Sokcho dipendekkan kepada 1jam 30minit bergantung kepada trafik. Sokcho juga baru sahaja membuka International Cruise Terminal bagi pelancong yang melawat dari bandar ke bandar menggunakan kapal. Dijangkakan, pada 2025, sistem keretapi laju akan dibina dari Seoul ke Sokcho dan akan memendekkan masa ke75 minit sahaja.

Terdapat beberapa kuil Buddha yang dipelihara dengan baik di kawasan sekitar Sokcho. Bangunan utama kuil Sinheungsa (Geukrakbojeon) adalah antara destinasi pelancongan yang popular (yang pada asalnya dibina pada abad ke-15). Juga popular ialah Hyangseongsaji Samcheung Seoktap, pagoda tiga tingkat setinggi 4.3 meter.

Syurga makanan
Sokcho menawarkan banyak makanan masakan tempatan terutamanya makanan laut. Pelabuhan Daepo, di luar Sokcho menuju ke Yangyang menawarkan lebih daripada 100 restoran mini yang menyajikan makanan laut mentah, panggang, rebus dan goreng yang enak. Di sebelah utara Sokcho berhampiran rumah api, pelawat juga boleh menikmati banyak restoran ikan mentah serta panggang.
Dongmyeonghang Saengseon Sutbulgui adalah salah satu restoran yang memiliki sijil halal, menawarkan set makanan seperti ikan panggang dengan nasi labu dalam periuk tanah liat beserta sos soya yang enak. Jadi tidak perlu risau tentang makanan halal di sana.
Terokai Keunikan Bangunan Senibina Mengagumkan Di Negeri Selangor

Sekiranya anda mencari lokasi yang mempunyai senibina yang unik dan menarik; apa kata anda luangkan masa untuk melihat sendiri keunikan bangunan yang memukau dan mempesonakan di Negeri Selangor bila tiba masa yang sesuai kelak. Kebanyakan bangunan yang dibina adalah diilhamkan daripada warisan dan kepercayaan masyarakat tempatan. Di sini, Tourism Selangor menyenaraikan 6 senibina unik yang terdapat ni Negeri Selangor untuk anda kunjungi di masa hadapan! – #ImagineNowExperienceSoon!
- Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang
Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz terletak di Bandar Diraja Klang. Dahulunya dikenali sebagai Bangunan Sultan Suleiman Shah, Galeri ini amat mengagumkan dari segi senibina luarannya, serta dalamannya yang kaya dengan elemen sejarah dan warisan Kesultanan Selangor yang berasal dari tahun 1766.

Galeri ini dibina megah pada tahun 1909 dan mempunyai reka bentuk kolonial yang dibina oleh arkitek Inggeris, Arthur B. Hubback. Galeri ini telah dirasmikan oleh D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan dibuka kepada umum pada 1 November 2007. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman sejarah yang berharga di sini!
- Kuil Sri Shakti Devasthanam, Kuala Selangor
Kuil Sri Shakti Devasthanam merupakan satu-satunya kuil di dunia yang memanifestasikan seluruh 51 Shakti. Dalam ruangan tersembunyi di sini, terdapat 96 tiang berukir yang menggambarkan 96 prinsip agama Hindu.

Kuil ini terletak lebih kurang 9.5 kilometer dari Daerah Kuala Selangor, dan dibina sesuai mengikut kitab suci seperti Veda, Agamas dan Sirpa (senibina) Sastras. Senibina ini juga menggabungkan semua struktur Kuil Amman yang sesuai menurut Agama Hindu. Selain itu, pintu utama kuil ini terpahat granit setinggi 18 kaki dengan berat hingga 4 tan, yang mana ianya diukir oleh seorang tukang ukir yang mahir dari Mahabalipuram di Tamil Nadu, India.
- Istana Bandar, Banting
Istana Bandar yang juga dikenali sebagai Istana Alaedin telah dibina pada tahun 1899 yang didirikan berdekatan dengan Masjid Bandar, terletak kira-kira 15 kilometer dari Pekan Banting. Istana Bandar mempunyai struktur dua tingkat yang merangkumi pelbagai bilik termasuk Kolam Mandi Diraja, Balai Rong Seri, Kamar Santap Diraja dan lain-lain lagi.

Hampir keseluruhan struktur istana ini diperbuat daripada batu bata dan motar kapur. Selain itu, tangga dan pintunya adalah diperbuat daripada kayu cengal. Menariknya lagi, istana ini menampilkan senibina Islam dari India dan Timur Tengah yang difokuskan pada elemen ukiran dan teknik pahat. Kalau anda tertanya-tanya tentang keindahan Istana Bandar ini, jangan lepaskan peluang untuk singgah di sini bersama rakan-rakan dan keluarga anda satu masa nanti!
- Kuil Wat Chetawan, Petaling Jaya
Jom kita lawati Kuil yang akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang berdekatan dengannya! Wat Chetawan merupakan sebuah Kuil Buddha yang terkenal di Negeri Selangor dan terletak di Jalan Gasing, Petaling Jaya. Kuil ini dirasmikan oleh Raja Bhumibol Adulyadej pada tahun 1957.

Struktur senibinanya mempunyai unsur-unsur pengaruh Kerajaan Siam pada era tersebut. Kuil ini siap dibina pada tahun 1962, dihiasi dengan jubin kaca berwarna dan mempunyai atap bertingkat yang dikelilingi chor fahs; melambangkan senibina kuil Buddha yang menakjubkan. Pada saat ini, Wat Chetawan adalah salah satu kuil yang masih berdiri megah dan lengkap dengan struktur yang sangat menarik untuk anda kunjungi!
- Dashbox Hotel, Cyberjaya
Dashbox Hotel yang terletak di Cyberjaya merupakan salah satu lokasi yang harus anda singgahi untuk melihat sendiri keindahan persekitarannya! Dari jauh lagi anda akan dapat lihat struktur arnab berwarna hijau bersaiz gergasi yang menjadi lambang utama hotel ini.

Hotel ini menawarkan pelbagai konsep bilik dengan kebanyakannya ditawarkan dengan pilihan lokasi berhadapan dengan fasiliti kolam renang. Sememangnya adalah menyeronokkan untuk menginap di sini terutamanya keluarga yang mempunyai anak kecil. Selain itu, anda boleh menikmati pemandangan yang sungguh indah pada waktu malam yang diterangi cahaya lampu yang menyinari kawasan persekitaran yang sungguh damai.
- Movenpick Hotel and Convention Centre, KLIA
Mövenpick Hotel & Convention Centre, KLIA merupakan salah sebuah hotel terkemuka di Malaysia. Hotel dengan struktur senibina yang luar biasa ini dibina khas bagi mencerminkan keunikan budaya Malaysia. Menerap elemen senibina Islam, bahagian luar hotel ini mempunyai corak yang melambangkan seni geometri Islam dan tulisan Kufic, iaitu kaligrafi Islam terawal yang digunakan dalam kitab suci Al-Quran.

Selain itu, terdapat sebuah taman yang mempunyai keluasan 7.2 hektar di sini yang menjanjikan persekitaran yang menghijau dan menenangkan. Pastinya anda tidak akan menyesal apabila memilih untuk menginap di sini!
Menarik, bukan? Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menerokai destinasi yang telah disenaraikan di atas. Tidak perlu pergi jauh keluar negara; anda boleh saksikan sendiri keindahan bangunan atau senibina mengagumkan yang terdapat di sekitar Negeri Selangor. Di samping menghargai keunikan senibinanya, kita juga berpeluang untuk mendalami sejarah setiap bangunan tersebut. Rancang perjalanan anda dengan menyelitkan destinasi yang tersenarai di dalam jadual perjalanan anda ke Negeri Selangor selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelak! – #ImagineNowExperienceSoon.
Walau bagaimanapun, adalah diingatkan kepada semua rakyat Malaysia; sentiasa patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penjarakan sosial, memakai topeng muka setiap masa, gunakan pembasmi kuman secara kerap dan daftar melalui aplikasi mudah alih “SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat” ketika memasuki premis pelancongan di Negeri Selangor.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.