Melihat keindahan hidupan marin di Pulau Perhentian pasti meruntun sesiapa jua khasnya buat penyelam untuk mengintai kehidupan dasar laut yang mempesonakan.
Aktiviti utama pelancong ke sini tentulah snorkeling dan selam skuba. Selebihnya menghayati pemandangan semula jadi di sekitarnya yang masih terjaga. Indahnya laut biru Pulau Perhentian Kecil tidak terungkap oleh kata-kata.
Pulau Perhentian terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Perhentian Kecil. Ia diliputi hutan hujan tropika dan mempunyai keindahan laut yang memukau. Perjalanan bermula di Jeti Kuala Besut, Terengganu di mana pelancong boleh menaiki bot laju menuju ke Pulau Perhentian Kecil yang mengambil masa kira-kira 30 minit.
Pulau Perhentian terletak kira-kira 21km dari Kuala Besut, Terengganu. Pulau ini diberi nama Pulau Perhentian kerana dahulunya pulau ini sering dijadikan tempat persinggahan oleh pedagang. Di pulau ini, kawasan penempatan hanya tertumpu di Pasir Hantu atau dipanggil Perhentian Permai terletak di Pulau Perhentian Kecil yang mempunyai keluasan kira-kira 9.87 hektar.
Musim bagi percutian di Pulau Perhentian bermula pada bulan Februari hingga Oktober dan selebihnya ditutup kerana angin monsun yang melanda pulau setiap hujung tahun.
Mencari Damai Di Tengah Lautan
Cuaca yang panas dan matahari yang terik memancar sebenarnya membuatkan laut biru lagi bertambah cantik. Hilang lelah bila melihat pemandangan sebegini.
Aktiviti yang paling popular dan digemari di sini adalah snorkeling. Alatan untuk snorkeling dan jaket keselamatan boleh disewa. Jika mahu melihat ikan dan terumbu karang dengan lebih jelas, pengunjung bolehlah melakukan aktiviti snorkeling pada waktu tengah hari. Jangan lupa menyapu losyen “sun block” supaya tidak rentung terbakar seperti udang bakar.
Biasanya pengunjung akan dibawa snorkeling di sekitar Pulau Perhentian Kecil dan Besar. Semestinya aktiviti ini membuat diri rasa teruja untuk melihat keindahan alam yang mungkin tidak pernah dilihat sebelumnya. Point pertama ialah aktiviti berenang bersama ikan-ikan pelbagai warna. Sangat jinak dan sentiasa lapar bila dihulurkan roti. Seronok memberikan mereka makan tetapi bila sekumpulan besar ikan datang mengerumuni tangan, terasa cemas dan geli pula.
Semasa melakukan aktiviti snorkeling, antara ikan yang dijumpai ialah ‘Ikan Nemo’. Terumbu karang di laut Perhentian sememangnya cantik dan menakjubkan.
Para pengunjung disediakan dan diberikan dengan kelengkapan snorkeling yang selengkapnya supaya keselamatan pengunjung terjamin di samping dapat menikmati keseronokan snorkeling sepuasnya.
Antara lokasi snorkeling yang dikunjungi oleh pengunjung ialah Turtle Point, Shark Point dan Lighthouse. Sekejap sahaja di Turtle Point kerana penyu cepat menyedari kehadiran kami lalu pantas sahaja ia melarikan diri. Penyu dikatakan makhluk yang sangat pemalu.
Selain snorkeling, aktiviti selam skuba juga disediakan. Aktiviti ini juga jadi kemestian buat penyelam skuba. Pastinya akan memberikan pengalaman seumur hidup bila dapat menyaksikan sendiri tukun kapal, tukun konkrit yang terletak di dasar laut, selain daripada melihat kehidupan laut dan batu karang.
Kincir Angin
Salah satu tarikan pelancongan dan lokasi wajib ketika anda bercuti di Pulau Perhentian ialah Kincir Angin Perhentian. Kincir Angin ini terletak di Pulau Kecil dan untuk sampai ke lokasi ini, anda perlu mendaki lebih kurang 20-30 minit bergantung kepada kelajuan pergerakan anda.
Aktiviti ini menggunakan sedikit kekuatan fizikal dan mental namun, sebaik sahaja para pengunjung tiba di puncak, penat dan lelah pasti akan hilang begitu sahaja sebaik melihat pemandangan yang begitu indah pada ketinggian 150 meter daripada paras laut.
Cantik sungguh pemandangan dari atas bukit ini, umpama lokasi di luar negara. Jangan lupa ambil gambar berlatar belakangkan kincir angin dan juga keindahan Pulau Perhentian Kecil dari atas bukit.
Long Beach
Long Beach panoramanya seumpama berada di pantai luar negara. Ramai pelancong asing tertumpu di sini. Setelah selesai makan malam, bagi para pengunjung yang masih merasakan masih awal untuk pulang tidur berehat dan inginkan suasana malam yang lebih meriah boleh lah berjalan ke Long beach di mana terdapat pelbagai hiburan muzik dan persembahan api yang di adakan di sana.
Secara keseluruhannya, percutian di Pulau Perhentian Kecil memberikan pengalaman yang begitu menakjubkan.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI