
Penduduk Selangor khususnya di kawasan Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya bakal menikmati satu lagi pilihan pengangkutan awam baharu apabila LRT3 laluan Shah Alam dijangka mula beroperasi pada penghujung Jun 2026.
Laluan ini antara yang ditunggu-tunggu kerana ia menghubungkan kawasan padat penduduk di barat Lembah Klang, sekali gus memberi alternatif kepada mereka yang selama ini banyak bergantung kepada kereta, bas dan lebuh raya utama.
LRT Shah Alam Line membabitkan laluan sepanjang kira-kira 37.8 kilometer dari Bandar Utama, Petaling Jaya hingga ke Johan Setia, Klang.
Antara kawasan utama yang dilalui termasuk Bandar Utama, Glenmarie, Stadium Shah Alam, Dato’ Menteri, UiTM Shah Alam, Seksyen 7 Shah Alam, Bandar Baru Klang, Pasar Klang, Jalan Meru, Sri Andalas, Klang Jaya, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia.
Bagi penduduk Selangor, laluan ini cukup penting kerana ia membuka akses rel baharu ke kawasan yang sebelum ini kurang menerima liputan pengangkutan awam berasaskan tren.
Satu lagi kelebihan LRT3 laluan Shah Alam ialah sambungannya dengan rangkaian rel sedia ada.
Di Bandar Utama, pengguna boleh bertukar ke MRT Kajang Line untuk ke kawasan seperti pusat bandar Kuala Lumpur, Bukit Bintang, TRX, Pasar Seni dan Kajang.
Manakala di kawasan Glenmarie, pengguna boleh menyambung perjalanan ke LRT Kelana Jaya Line yang menghubungkan laluan ke Subang Jaya, Putra Heights, Gombak dan pusat bandar.
Ini bermakna penduduk Klang dan Shah Alam akan mempunyai akses lebih mudah untuk bergerak ke lokasi utama di Lembah Klang tanpa perlu terlalu bergantung kepada kenderaan sendiri.
Mudahkan Perjalanan Harian Penduduk Selangor
Dengan tersedianya kemudahan ini, penduduk sekitar Shah Alam dan Klang mempunyai pilihan baharu untuk ke tempat kerja, kampus, pusat beli-belah dan kawasan bandar.
Laluan ini juga dijangka membantu mengurangkan tekanan trafik di beberapa laluan utama seperti Federal Highway, NKVE, KESAS dan Lebuhraya Shah Alam, terutama pada waktu puncak.
Bagi pelajar dan warga kerja di kawasan seperti UiTM Shah Alam, Seksyen 7, Dato’ Menteri dan Stadium Shah Alam, kehadiran stesen berhampiran pastinya memudahkan perjalanan harian.
Tambang LRT3 laluan Shah Alam dijangka menggunakan struktur tambang Rapid KL berdasarkan jarak perjalanan. Pengguna boleh menggunakan kaedah bayaran seperti Touch ’n Go, token dan kemudahan tiket yang disediakan di stesen.
Seperti laluan rel lain di Lembah Klang, pengguna juga boleh menikmati kemudahan bayaran tanpa tunai yang lebih mudah untuk perjalanan harian.
Selain stesen utama yang bakal beroperasi, terdapat juga beberapa stesen tambahan atau provisional station yang dirancang untuk dibuka pada fasa seterusnya.
Antara stesen tersebut termasuk Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik. Pembukaan stesen tambahan ini dijangka memberi manfaat lebih besar kepada penduduk di kawasan sekitar apabila siap kelak.
Bukan hanya untuk warga kerja, LRT3 laluan Shah Alam uga boleh menjadi pilihan menarik untuk mereka yang suka bergerak sekitar bandar tanpa memandu.
Dengan sambungan ke MRT dan LRT lain, pengguna boleh merancang perjalanan dari Klang atau Shah Alam ke pusat bandar Kuala Lumpur, kawasan membeli-belah, lokasi makan menarik dan tempat tarikan sekitar Lembah Klang dengan lebih mudah.
Kehadiran laluan ini juga memberi peluang kepada pelancong domestik untuk meneroka Shah Alam dan Klang menggunakan pengangkutan awam, termasuk ke kawasan makanan popular, tarikan bandar dan lokasi komuniti setempat.
Secara keseluruhan, LRT3 laluan Shah Alam bukan sekadar projek tren baharu. Ia bakal menjadi penghubung penting antara Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.
Bagi penduduk Selangor, pembukaan laluan ini memberi lebih banyak pilihan untuk bergerak, mengurangkan kebergantungan kepada kereta dan menjadikan perjalanan harian lebih praktikal.