Ads

Jangan Terlepas Pandang! Ini Cara Mohon K-ETA Sebelum Terbang Ke Korea Selatan

K-ETA

Anda ada merancang percutian ke Korea Selatan dalam masa terdekat? Selain sibuk menyusun itinerary untuk meneroka kota Seoul, menikmati keindahan Pulau Jeju atau menjamu selera di Busan, ada satu perkara wajib yang tidak boleh dipandang ringan sebelum anda melangkah masuk ke lapangan terbang iaitu kelulusan K-ETA.

Ramai pelancong masih keliru sama ada rakyat Malaysia memerlukan visa atau tidak untuk melancong ke negara K-Pop ini. 

Secara asasnya, pemegang pasport Malaysia tidak memerlukan visa untuk lawatan sosial jangka pendek sehingga 90 hari. 

Walau bagaimanapun, anda diwajibkan untuk mendapatkan kelulusan K-ETA terlebih dahulu sebelum berlepas.

Apa Itu K-ETA?

K-ETA atau nama penuhnya Korea Electronic Travel Authorization merupakan kebenaran perjalanan elektronik yang diperkenalkan oleh kerajaan Korea Selatan khusus buat pelancong asing dari negara-negara bebas visa, termasuk Malaysia.

Secara ringkasnya, K-ETA berfungsi sebagai sistem saringan awal keselamatan sebelum anda menaiki penerbangan. Tanpa kelulusan K-ETA yang sah, pihak syarikat penerbangan berhak menghalang anda daripada mendaftar masuk atau menaiki pesawat (boarding), meskipun anda sudah mempunyai tiket penerbangan dan tempahan hotel yang lengkap.

Untuk makluman anda, tempoh sah laku K-ETA adalah selama tiga tahun dari tarikh ia diluluskan, atau sehingga tarikh tamat tempoh pasport anda, mana-mana yang terdahulu. Ini bermakna anda boleh memasuki Korea Selatan berkali-kali dalam tempoh tersebut tanpa perlu memohon semula.

Selagi tiada sebarang perubahan pada butiran peribadi atau pasport baharu. Bayaran yang dikenakan hanyalah sebanyak 10,000 KRW (sekitar RM32 hingga RM35 bergantung kepada kadar tukaran mata wang semasa) dan anda sangat disarankan untuk memohon sekurang-kurangnya 72 jam atau tiga hari sebelum tarikh penerbangan.

Persediaan Sebelum Memohon

Sebelum mula mengisi borang permohonan secara dalam talian, pastikan anda telah menyediakan beberapa keperluan asas bagi memastikan proses berjalan lancar tanpa gangguan. 

Ads

Pertama sekali, pastikan pasport anda masih sah laku sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh ketibaan di Korea. Anda juga memerlukan alamat e-mel yang aktif kerana segala notifikasi serta keputusan permohonan akan dihantar terus ke e-mel tersebut.

Selain itu, sediakan sekeping gambar profil digital (softcopy) yang memaparkan wajah dengan jelas berlatarbelakangkan warna putih atau cerah, tanpa memakai topi mahupun cermin mata hitam. 

Pastikan saiz fail gambar tersebut adalah kurang daripada 100KB dalam format JPG atau JPEG. Anda juga perlu bersedia dengan maklumat lengkap penginapan di Korea termasuk nama hotel, alamat penuh berserta poskod, nombor telefon penginapan, serta kad kredit atau kad debit yang mempunyai fungsi pembayaran antarabangsa untuk urusan transaksi.

Langkah Demi Langkah Permohonan K-ETA

Permohonan K-ETA hanya boleh dilakukan melalui laman web rasmi di www.k-eta.go.kr ataupun menerusi aplikasi mudah alih K-ETA yang boleh dimuat turun di telefon pintar. 

Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengelak daripada memohon melalui laman web pihak ketiga atau ejen tidak rasmi yang sering mengenakan caj bayaran berlipat kali ganda.

Langkah pertama, layari laman web rasmi www.k-eta.go.kr dan pastikan alamat pautan berakhir dengan .go.kr. Tukarkan tetapan bahasa kepada Bahasa Inggeris (English) dan klik pada pilihan Apply for K-ETA. Seterusnya, baca dan tandakan persetujuan pada terma serta syarat yang dipaparkan sebelum memilih benua Asia-Pacific dan kewarganegaraan Malaysia.

Ads

BACA JUGA: Jangan Salah Pilih! Ini 8 Tip Bijak Beli Jaket Musim Sejuk Supaya Kekal Hangat & Tak ‘Koyak Poket’

Pada bahagian maklumat pasport, masukkan alamat e-mel anda dan muat naik gambar halaman biodata pasport. Sistem akan mengimbas dan membaca maklumat pasport anda secara automatik. Pada tahap ini, semak semula nombor pasport, ejaan nama penuh, serta tarikh luput pasport dengan teliti bagi memastikan tiada sebarang kesilapan teknikal.

Selepas itu, lengkapkan maklumat peribadi serta butiran perjalanan seperti nombor telefon bimbit, tujuan lawatan (Tour / Individual Tour), alamat penuh tempat penginapan di Korea yang boleh dicari dengan mudah menggunakan nombor poskod, serta maklumat pekerjaan dan anggaran pendapatan bulanan. Kemudian, muat naik gambar wajah anda yang telah disediakan. Sekiranya anda memohon menggunakan aplikasi di telefon pintar, anda mempunyai kelebihan untuk terus mengambil gambar swafoto (selfie) secara langsung mengikut bingkai panduan yang diberikan.

Apabila semua ruangan telah diisi, semak semula keseluruhan maklumat dari awal hingga akhir. 

Jika semuanya sudah tepat, teruskan ke halaman pembayaran untuk melunaskan yuran permohonan sebanyak 10,000 KRW menggunakan kad kredit atau kad debit. 

Ads

Keputusan permohonan kebiasaannya akan dihantar ke e-mel anda dalam tempoh 24 hingga 72 jam, malah kadangkala lebih pantas dalam masa beberapa jam sahaja. 

Sebaik sahaja diluluskan, muat turun dan cetak salinan K-ETA tersebut untuk dibawa bersama pasport semasa urusan daftar masuk di lapangan terbang.

Tip Penting Sebelum Berlepas

Sebagai info tambahan, pelancong yang berumur 17 tahun ke bawah serta warga emas berusia 65 tahun ke atas sebenarnya dikecualikan daripada memohon K-ETA. 

Walau bagaimanapun, golongan ini masih dibenarkan untuk memohon sekiranya mahu mempercepatkan dan memudahkan lagi urusan pemeriksaan di kaunter imigresen setibanya di Korea nanti.

Selain itu, sekiranya anda merancang untuk melancong semula ke Korea menggunakan kelulusan K-ETA yang sama pada masa akan datang tetapi menginap di hotel yang berbeza, jangan lupa untuk mengemas kini alamat penginapan baharu tersebut di laman web K-ETA sebelum berlepas. 

Akhir sekali, sentiasa pastikan tiada kesilapan ejaan walau satu huruf atau nombor sekalipun pada butiran pasport kerana kesilapan kecil boleh menyebabkan kelulusan terbatal dan anda terpaksa membuat permohonan serta pembayaran semula.

Dengan adanya kelulusan K-ETA yang sah di tangan, urusan perjalanan anda pastinya menjadi lebih tenang dan lancar. Selamat bercuti ke Korea Selatan.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi Libur, Instagram, Facebook & TikTok

Dapatkan tips percutian, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Jom Kita Travel

Xventure Penang Kini Dibuka! Taman Pengembaraan Indoor Dengan 32 Cabaran Interaktif,...

Bagi yang merancang percutian ke Pulau Pinang tetapi mahukan aktiviti selain food hunting, jalan-jalan di tepi pantai atau melawat tempat bersejarah, kini ada satu...