
Perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera sudah kembali beroperasi seperti biasa untuk kegunaan orang ramai selaras dengan kelonggaran yang diberikan kepada sektor pelancongan domestik di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Perjalanan pertama dari 'Stesen Bawah' akan bermula pada pukul 6.30 pagi, manakala perjalanan terakhir dari 'tesen Atas' adalah pada pukul 11 malam. Pelancong atau pengunjung domestik dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi mengelak penularan COVID-19.
Setiap pelawat dinasihatkan membawa dan memakai pelitup muka masing-masing, masuk menerusi laluan PGCare, menjalani saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan, mengamalkan jarakan sosial, dan mematuhi arahan petugas.


Bukit Bendera terletak di seberang pulau dan boleh dikunjungi dengan menggunakan keretapi Bukit Bendera. Dari puncak Bukit Bendera, anda akan dapat melihat seluruh negeri ini serta bangunan tertinggi di Pulau Pinang iaitu Komtar. Astaka juga telah kembali dibuka untuk orang ramai bersiar-siar di kawasan tersebut, sila ikuti Facebook rasmi Penang Hill untuk maklumat terkini.

Selain menaiki keretapi kabel untuk tiba di puncak terdapat beberapa cara lain yang boleh digunakan untuk anda sampai ke sini. Antaranya dengan menaiki kereta atau pun kenderaan pacuan empat roda. Selain itu anda juga boleh memilih mendaki ke puncak jika ingin merasai kelainan. Terdapat beberapa trek yang boleh dilalui, antaranya laluan ‘Moon Gate’, laluan dari taman Belia Perbandaran, laluan dari dalam Taman Botanical, dan dari sebelah Air Itam. Paling menarik terdapat satu laluan terpanjang dikenali sebagai ‘Laksamana Trail’ untuk sampai ke puncak bermula dari Teluk Bahang.
Best kan? Apa lagi jom rancang percutian anda!
Sumber: Bernama
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Lokasi Bersejarah Menarik Di Selangor Yang Harus Dilawati

Lokasi bersejarah merupakan khazanah yang cukup penting buat negara. Ia menjadi sebahagian daripada khazanah yang membawa identiti negara dan bangsa. Jadi sesekali apa kata kita kunjungi lokasi bersejarah ini di Selangor!
Bangunan Tan Boon Chia
Bangunan ini merupakan hak-milik kepada seorang pengasas industri perlombongan berbangsa Cina bernama Tan Boon Chia dan terletak di Rasa, Kuala Kubu Bharu di daerah Hulu Selangor. Tempat bersejarah ini mempunyai kira-kira 51 buah bilik dan telah siap dibina pada tahun 1918.
Ketika Perang Dunia Kedua, bangunan ini telah dirampas oleh tentera Jepun dan menjadi tempat penderaan terhadap kaum Cina, yang mana merupakan satu tempoh getir yang sangat pahit untuk dikenang.
Tentunya tempat ini merintis semangat kemerdekaan yang jitu kerana setelah Jepun menyerah kalah, aktiviti penderaan yang kejam telah dapat dihentikan dan pemilikan bangunan tersebut telah dikembalikan kepada Tan Boon Chia. Namun setelah episod hitam tersebut, mereka tidak berpindah masuk semula ke dalam bangunan itu, dan ia tersergam megah sebagai bangunan simbolik jerih-perih semasa zaman pra-kemerdekaan dahulu.
Kota Raja Mahadi
Kota ini gah dibina di puncak Bukit Kota oleh Raja Mahadi pada tahun 1866. Bangunan yang berusia lebih 100 tahun ini telah menjadi saksi kepada perang saudara pada pertengahan kurun ke-19 antara Raja Mahadi Ibni Almarhum Raja Sulaiman dan Raja Abdullah Ibni Almarhum Raja Jaafar bagi merebut hak pemilikan Sungai Klang dan tebing-tebingnya.
Bagi memudahkan pemantauan pergerakan musuh di Sungai Klang sebagai laluan utama, tempat bersejarah ini telah ditempatkan pada ketinggian yang strategik. Kini, Kota ini telah diselenggara dengan baik di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Klang dan beberapa kemudahan telah disediakan untuk kegunaan para pengunjung seperti kawasan parkir kereta yang luas dan tandas awam juga turut disediakan.
Bukit Malawati
Kota Malawati tersergam megah di puncak Bukit Malawati, Kuala Selangor. Anda akan dapat menikmati pemandangan yang mengasyikkan meliputi hampir keseluruhan Kuala Selangor terutamanya pada waktu matahari terbenam.
Semasa Belanda menakhluki daerah Kuala Selangor, Kota ini telah ditukar nama kepada ‘Fort Altingburg’ kerana kedudukannya yang strategik. Pada hujung minggu dan cuti am, terdapat kemudahan trem disediakan bagi memudahkan pergerakan pengunjung dari satu tempat ke tempat menarik lain yang terdapat di sekitar Kota warisan ini.
Bukit Belanda
Bukit Belanda yang terletak di utara Bukit Selangor ini merupakan kubu pertahanan Belanda yang pertama. Tempat bersejarah ini digelar Bukit Belanda kerana pada suatu ketika dahulu, kerajaan Belanda yang diketuai oleh Van Brac telah menjadikan bukit ini sebagai kubu pertahanan dalam usaha untuk menewaskan Raja Hadi di Teluk Ketapang.
Pada asalnya, bukit ini diberi nama Utrecht bersempena dengan nama bahtera yang dikemudi oleh Van Brac namun ia kemudiannya ditukar kepada nama Bukit Belanda kerana rekaan kotanya yang merupakan ilham dari Sultan Ibrahim menerapkan unsur-unsur kebaratan (Belanda).
Muzium Kuala Selangor
Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor terletak 40 km dari Bandar Diraja, Klang. Terdapat banyak jenis maklumat menarik boleh diperoleh yang berkaitan dengan kronologi sejarah di Kuala Selangor.
Muzium ini pada asalnya merupakan kediaman rasmi bagi Pegawai Daerah Kuala Selangor, namun telah diubah menjadi galeri bagi peminat sejarah yang ingin mengkaji tentang daerah Kuala Selangor. Menyedari pentingnya sejarah Kuala Selangor untuk dikongsi bersama, Lembaga Muzium Selangor mengambil inisiatif bersama Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor di Bukit Malawati.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Terokai Sisi Kesenian & Kreativiti Di Tujuh Pusat Kraftangan Terbaik Selangor!

Kira-kira empat bulan lagi kita akan menginjak ke tahun 2022. Walaupun tahun ini cukup penuh dengan cabaran dan dugaan akibat pandemik namun kita harus bersyukur kerana masih lagi berjaya mengharunginya dengan baik.
Malah kita juga bakal memasuki era baharu pandemik ini di mana ia akan diangaak sebagai endemik. Dengan kadar vaksinasi yang semakin baik, kita berada di landasan yang tepat untuk kembali kepada kehidupan yang lebih baik.
Kali ini LIBUR ingin kognsikan sebanyak 7 lokasi di sekitar Selangor dari sumber Selagor.Travel yang kaya dengan budaya, kreativiti dan keseniaan.
1) Sewing World Gallery, Subang Jaya
Terletak di One City, Subang Jaya, Sewing World Gallery telah mula ditubuhkan sejak tahun 1989. Organisasi ini telah mengendalikan banyak bengkel menjahit sejak mula beroperasi untuk memastikan tradisi dan seni menjahit ini diturunkan ke generasi baharu.
Ia juga menyediakan landasan untuk artis yang mempunyai kemahiran untuk menjual hasil seni mereka di sini. “Tunku Azizah Handmade Market” yang dimulakan pada tahun 2010 adalah salah satu saluran untuk pelajar organisasi ini menjual hasil seni jahitan mereka ke pelbagai tempat dari pasar malam ke bazar dan juga Pusat Beli-belah.
Organisasi yang telah memperoleh pelbagai anugerah dari tahun 2009 ini juga menawarkan bengkel kraftangan dan pembelian produk buatan tangan secara atas talian melalui laman sesawang rasmi mereka.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://sewingworld.com.my/ atau hubungi 03 – 5022 3023
2) The Artsy Craftsy, Shah Alam
The Artsy and Craftsy adalah sebuah organisasi seni yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam. Mula beroperasi pada tahun 2008, organisasi ini membantu anda untuk menerokai bakat seni yang terpendam dalam diri anda dan membantu anda menjadi kreatif melalui pembuatan seni dan kraf.
Organisasi ini juga menyediakan bengkel seni dan kraf seperti mengecat kanvas dan tote-bag, binaan tanah liat kering, seni lukisan coretan (doodle) dan banyak lagi. Organisasi ini mengendalikan bengkel mereka di studio yang dihias dengan suasana tenang dan selesa bagi mengekalkan inspirasi buat pengkarya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://www.theartsycraftsy.com/
3) Clay Expression, Subang Jaya
Seperti namanya, Clay Expression adalah sebuah organisasi yang menawarkan bengkel seni tanah liat. Organisasi ini mengendalikan bengkel-bengkel untuk seni tanah liat yang kemudian dibentukkan menjadi tembikar atau pottery yang cantik mengikut kreativiti anda.
Selain daripada mengendalikan bengkel, organisasi ini juga menawarkan kelas-kelas untuk seni tanah liat. Kelas-kelas terdiri daripada kelas untuk pelajar baharu (beginner), sedia-ada (intermediate) dan mahir (advanced).
Clay Expression terletak di Subang Jaya ini juga ada menawarkan bengkel secara peribadi berkumpulan dengan minimum 6 peserta dalam sesi 1 jam, jika anda mahukan sesi pembelajaran yang lebih bertumpu.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://clayexpression.com/ atau hubungi +6018 299 9054
4) Sew Fabby, Shah Alam
Pemilik Sew Fabby yang dikenali sebagai Puan Azzah, mula menjahit dari usia kecil hasil didikan dari ibunya. Kemudian, beliau menyambung hobi ini pada tahun 2008 dengan mula menjahit beg tote (tote-bag) untuk kenalan dan rakan-rakan rapat.
Mendapat sambutan hangat, Puan Azzah mula mengambil pesanan jahitan di laman Facebook. Sew Fabby telah berjaya menganjurkan bengkel pertama pada tahun 2012 bertempat di Art 2 Publika. Kini, organisasi ini aktif menjual hasil-hasil jahitan termasuk patung plushie, tuala bersulam, bekas pensil bersulam, key chain yang dihasilkan dengan idea sendiri, dan macam-macam lagi.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 016-395 9386
5) Fabu Cafe, Subang
Fabu Cafe yang terletak di Bandar Sunway adalah terdiri daripada komuniti sekumpulan peminat teknologi dan peminat kraf yang bersemangat dalam berkarya. Fabu Cafe juga menyediakan ruang komuniti dan pelbagai alat fabrikasi digital seperti laser, pencetak 3-dimensi dan mesin sulaman digital untuk pengguna dan pengkarya mendapatkan pengalaman karya seni yang terbaik.
Selaras dengan namanya, Fabu Cafe juga menarik perhatian pelanggan dengan menawarkan menu lempeng bercetak di mana lempeng dihasilkan mengikut bentuk dan hasil seni pelanggan. Fabu Cafe juga menawarkan khidmat bengkel untuk memupuk semangat senibina dan kesenian dalam kalangan pelajar.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://www.fabu.com.my/ atau hubungi 03-5611 7355
6) Laman Kraftani, Kuala Langat
Puan Esiah dari Laman Kraftani, Kuala Langat telah menghasilkan seni bunga tekap sejak tahun 1999 lagi, yang telah berjaya menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa. Penggunaan bunga dalam hasil seni Puan Esiah semuanya ditanam di rumah kampungnya yang penuh dengan bunga hijau yang subur dan pokok buah-buahan.
Puan Esiah juga telah banyak sertai pameran seni dibawah tajaan Agensi Persekutuan. Para pengunjung boleh singgah ke Laman Kraf Tani ini yang terletak di Kampung Sungai Lang Tengah, Kuala Langat dan belajar beberapa teknik untuk menghasilkan seni bunga tekap yang menarik.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-3181 7052
7) Ramadas Pottery, Kuala Selangor
Ramadas Pottery di Kuala Selangor ada salah satu lokasi unik yang tersembunyi di Kuala Selangor. Ramadas Pottery yang dimilliki oleh keluarga Ramadas mula aktif dalam industri ini pada tahun 1976.
Tuan Ramadas yang lahir pada tahun 1951 telah berjaya memperoleh anugerah Adiguru Kraf Tembikar pada tahun 2012 kerana kemahiran dan pencapaian beliau dalam seni kraf tembikar. Produk-produk tembikar dari Tuan Ramadas Pottery termasuk periuk, pembakar kemenyan, periuk tanah liat, hiasan untuk rumah dan macam-macam lagi.
Anda boleh lawati Ramadas Pottery untuk belajar cara membentuk tembikar menggunakan tanah liat asli menggunakan tangan dan mesin khusus untuk pembentukan tembikar.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 0126671373
Melalui karya seni, anda tentunya boleh ekspresikan diri anda. Kelas atau bengkel dengan suasana yang tenang dan santai juga mampu memberikan fokus bagi anda menghasilkan karya seni yang bermutu tinggi. Justeru, serlahkan kreativiti dan bakat terpendam dalam diri anda di 7 lokasi di Negeri Selangor yang tersenarai di atas!
Untuk terus membendung penularan wabak Covid-19, anda sentiasa diingatkan untuk terus ikuti SOP yang telah ditentukan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana sahaja anda pergi. Pastikan anda mengikuti peraturan termasuklah seperti memakai topeng muka setiap masa, memastikan penjarakan sosial dan menggunakan cecair pembersih tangan.
Layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk terus mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor pada masa hadapan, atau anda juga boleh mengikuti hantaran atau posting pihak Tourism Selangor di laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube untuk kekal berinspirasi! #ImagineNowExperienceSoon.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Tarikan Kota Bandung

Sebaik menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Bandara Husein Sastranegara, Bandung, Indonesia, suasana percutian mula terasa. Dibantu pemandu pelancong atau supir Rahmat Sugiarto dari Instagram @maostraveltours_bandung, penulis dan pasangan terus menghala ke utara Bandung untuk melihat keindahan Tangkuban Perahu yang penuh dengan cerita legendanya.
Sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 20 kilometer, kami diingatkan Rahmat mengenai ‘serbuan peminat’ yang akan mengikuti ke mana saja pelawat di situ, menjual barangan mereka sambil memberi penerangan mengenai Tangkuban Perahu.
Tidak kurang juga ada menawarkan khidmat menjadi jurugambar. Ya, ia memang berlaku dan sangat tidak selesa. Namun, memikirkan cara mereka mencari rezeki, bak kata Rahmat, “Pedulikan aja mereka”.
Selepas puas bergambar dan melihat sendiri kawah Tangkuban Perahu sambil menghidu bau sulfur, kami ke satu lagi tempat menarik dan indah di Bandung iaitu The Lodge Maribaya.
Menurut Rahmat, lokasi menarik ini baru sahaja beroperasi kira-kira 2 tahun. The Lodge Maribaya terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang sejuk serta eksotik dan ternyata ia menjadi tumpuan ramai sehinggakan kami perlu beratur satu jam untuk menaiki pelantar Sky Tree yang menjadi rebutan pengunjung untuk bergambar.
Selain pelantar itu, terdapat juga Mountain Swing serta Zip Bike, basikal yang disokong dengan tali keselamatan yang melalui titi kabel dan ia memberikan pengalaman berbasikal di udara. The Lodge Maribaya wajib menjadi salah satu tempat yang perlu dikunjungi jika anda melawat Bandung.
Kami juga sempat singgah ke Farm House bergambar di Rumah Hobbit yang ternyata begitu unik dengan seni bina ala Eropah di situ, selain merasai kesegaran susu coklat yang sangat sedap.
Syurga beli-belah, makanan
Hari berikutnya bermula dengan jadual membeli-belah. Seawal jam sembilan pagi, kami siap menuju ke Pasar Baru, ‘syurga’ beli-belah terkenal di Bandung. Pelbagai barangan boleh didapati di sini seperti kain ela, telekung, baju, kasut, pakaian kanak-kanak, kain batik Indonesia, macam-macam lagi. Setiap tingkat atau disebut lantai dalam bahasa tempatan, tersedia banyak pilihan yang pastinya menepati kehendak pengunjung dengan tawaran harga menarik dan boleh tawar-menawar.
Selepas Pasar Baru, kami singgah ke kedai Indo Snack beli kudapan Bandung untuk dibawa pulang ke Malaysia seperti pisang salai dan keropok belut.
Seterusnya, kami ke Kompleks Grutty, Cibaduyut. Di sini ‘syurga’ untuk beli-belah barangan kulit seperti kasut, sandal, jaket, beg, tali pinggang dan pelbagai lagi. Perjalanan ke sini kira-kira satu jam dari kota Bandung dan menjadi destinasi wajib singgah. Di luar Kompleks Grutty, terdapat kedai-kedai di sepanjang Jalan Cibaduyut ini. Anda akan rambang mata dengan begitu banyak pilihan pada harga yang belum tentu boleh didapati di tempat lain.
Usai di Jalan Cibaduyut, kami meneruskan perjalanan ke Skywalk Cihampelas, lokasi persinggahan pengunjung di tengah-tengah kota Bandung yang mirip Pasar Seni di Kuala Lumpur, tetapi mempunyai siar kaki di tingkat atas.
Di sini, kami mencari coklat atau lebih dikenali sebagai chocodot bagi masyarakat di sini. Coklat ini tengah popular untuk dijadikan buah tangan, di mana pembalut coklat ini mempunyai kata-kata indah, semangat dan positif. Tidak lupa, buah tangan brownies kukus yang sememangnya terkenal di Bandung. Benar kata orang, kalau makan angin, tidak terasa cepatnya masa berlalu. Bandung bukan sahaja syurga beli-belah, bahkan syurga makanan.
Lawatan singkat ini ternyata menerbitkan rasa cinta untuk kembali lagi ke sana, mengulangi episod perjalanan penuh kenangan kerana, biarpun ia bukanlah lokasi percutian romantik seperti di Cappadocia, Turki, atau pun Agra di India, namun beberapa lokasi di Bandung mampu mengembalikan getaran cinta bagi pasangan yang ingin merasai kemanisan berbulan madu ala nusantara, dan menghabiskan masa berkualiti kerana Bandung mempunyai kelasnya yang tersendiri.
Perkongsian pengalaman oleh MJ.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!












