
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di 28 mukim di Kota Setar bermula 11 September 2020 tiada kaitan dengan Pulau Langkawi yang turut mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi.
Oleh itu, pengunjung yang berhasrat ke Pulau Langkawi tidak perlu risau akan faktor perintah kawalan terbabit kerana tidak melibatkan pulau lagenda ini yang berstatus hijau.
Langkawi kekal sebagai zon hijau COVID-19, justeru pelancong tidak perlu risau untuk ke pulau peranginan ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan. Menurutnya usaha LADA dan pemain industri untuk menarik pelawat ke pulau peranginan itu selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri mula menunjukkan hasil dengan kira-kira 82,000 orang mengunjungi Langkawi pada Jun 2020.
"Pada Julai jumlah meningkat kepada 189,000 dan kita lihat trend yang sama pada Ogos, namun pelaksanaan PKPD sedikit-sebanyak menjejaskan usaha yang dilakukan mungkin kerana ada kekhuatiran dalam kalangan pelancong. Ini tidak benar, aktiviti pelancongan di Langkawi masih berjalan seperti biasa, kita berada dalam zon hijau tidak harus ada kegusaran atau risau dalam kalangan pengunjung untuk datang ke Langkawi. Oleh itu, saya nak mengajak pengunjung yang bercadang untuk melancong ke Langkawi terus datang ke sini, kita selamat and it’s fun to be here," katanya.
image via google | Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pusat Reptilia Terbesar Dan Tercanggih Dunia Bakal Siap Di Zoo Negara!

Pelancongan, percutian dan alam semulajadi adalah perkara yang sinonim kepada diri kita. Masakan tidak, sekiranya apabila hendak bercuti sahaja, kita akan keluar daripada ‘hutan batu’ untuk pergi ke kawasan tumpuan pelancongan yang mesra alam semulajadi untuk merehatkan minda.
Apabila sebut sahaja berkenaan alam semulajadi, ia bukan sahaja merangkumi hidupan seperti flora sahaja. Malah fauna turut terkait sekali di dalam kehidupan alam semulajadi tersebut.
Antara lokasi paling popular untuk kita belajar mengenai fauna di negara ini sudah semestinya di Zoo Negara dan pembangunan dan tarikan terbaharu di sana akan siap untuk pengunjung yang datang tidak lama lagi dari sekarang.
Zoo Negara kini dalam peringkat akhir untuk menyiapkan satu pusat reptilia terbesar dan tercanggih di dunia yang dipanggil sebagai Rimba Reptilia Zoo Negara. Kini, pusat tersebut telahpun 96 peratus siap dan dijangka akan dibuka sewaktu musim cuti persekolahan pada bulan Disember nanti.
Sesuai dengan statusnya sebagai pusat reptilia terbesar dan tercanggih di dunia, Rimba Reptilia Zoo Negara yang berkeluasa 0.404 hektar ini akan menempatkan 38 spesis reptilia daripada pelbagai spesis seperti ular, kura-kura gergasi dan iguana.
Pusar Reptilia Zoo Negara sebelum ini dikenali dengan nama House of Reptile hanya menempatkan 18 spesis reptilia sahaja. Oleh sebab sekarang Zoo Negara mempunyai fasilitis yang baharu, maka pertambahan spesis fauna yang akan menjadi penghuni baru turut akan menambahkan lagi faktor tarikan di sini.


Memetik kata-kata daripada Pengarah Zoologi, Hospital Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr Mat Naim Ramli yang ditulis oleh Bernama dan disiarkan oleh Sinar Harian, beliau menjangkakan pembinaan pusat konservasi reptilia terbesar dunia itu akan siap sepenuhnya sekitar Jun ini dan mengambil masa sekurang-kurangnya empat ke enam bulan untuk menempatkan kesemua 38 reptilia tersebut.
Selain daripada spesis seperti ular, kura-kura gergasi dan iguana, pusat ini juga mempamerkan spesis reptilia albino seperti ulat, kura-kura dan cicak albino untuk tatapan pengunjung mendekati dan belajar mengenai spesis-spesis berkenaan.


Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Amat Lana bahawa pihak Zoo Negara kini sedang merancang untuk mempelbagaikan aktiviti dan program bagi memberi peluang kepada pengunjung mendekati dan memahami spesis reptilia yang ada di sini.
Zoo Negara akan memfokuskan kepada program dan aktiviti bersifat pendidikan berbanding persembahan seperti sebelum ini, sebagai contoh Zoo Negara akan mendedahkan kepada pengunjung spesis-spesis ular berbisa dan bagaimana menghadapi situasi dipatuk ular.

Jadi, semestinya program berunsurkan pendidikan ini lebih memberi manfaat terutamanya kepada kanak-kanak yang sukakan aktiviti lasak dan berkhemah. Kepada anda yang ingin melancong ke Zoo Negara bersama keluarga dan anak-anak, harga tiket yang ditetapkan adalah sebanyak RM45 seorang untuk dewasa manakala RM18 seorang untuk kanak-kanak.
Pastikan anda mempunyai cuti yang cukup untuk bawa anak-anak anda melawat Zoo Negara pada musim cuti sekolah hujung tahun ni ya!
Sumber: Sinar Harian.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sayangnya! Lapangan Terbang Pertama Di Bina Di Semenanjung Malaysia Bakal Lenyap?

Taiping dianugerahkan status bandar warisan dan bandar lestari pelancongan antara terbaik di dunia kerana mempunyai pelbagai lokasi bersejarah dan khazanah tidak ternilai. Di Taiping juga terletaknya lapangan pertama dibina di Semenanjung Malaysia iaitu Lapangan Terbang Taiping, Tekah.
Dibina pada tahun 1929, Lapangan Terbang Taiping, Tekah pernah menjadi saksi sejarah apabila pemimpin berpengaruh Indonesia, Sukarno dan Mohammad Hata pernah mendarat di sana pada 12 Ogos 1945. Tujuan pemimpin berpengaruh ini datang adalah untuk bertemu dengan tokoh nasionalis negara, Dr Burhanuddin Helmi dan Ibrahim Yaacob untuk berbincang kemungkinan penyatuan Malaya dan Indonesia (Melayu Raya) sekiranya mencapai kemerdekaan.
Selain itu, Lapangan Terbang Taiping, Tekah pernah menjadi tumpuan dunia apabila seorang juruterbang wanita Amerika terkemuka, Amelia Earhart berhenti mendarat di sana pada 7 Jun 1937 untuk mengisi bahan api sewaktu dinobatkan sebagai wanita pertama membuat penerbangan solo di Lautan Atlantik.
Namun, kini Taiping berhadapan risiko kemungkinan kehilangan satu khazanah warisan negara iaitu lapangan terbang ini. Ia gara-gara lapangan terbang ini akan dipindah hak milik tanah kepada seorang pemaju tempatan bagi tujuan pembangunan.
Hakikat itu disahkan sendiri Ahli Parlimen Taiping, Teh Kok Lim yang mendedahkan lapangan terbang bersejarah Taiping seluas 40 ekar itu kini dalam proses diserahkan hak milik kepada sebuah syarikat pemaju tempatan oleh kerajaan negeri bagi pembangunan skim perumahan kos rendah.
Menurutnya, ketika ini, pihaknya difahamkan sebuah syarikat pemaju tempatan berpengkalan di Taiping sudah menerima surat tawaran pemberian hak milik tanah lapangan terbang terbabit yang dimiliki Perbadanan Menteri Besar (MBInc).
“Bagaimanapun, saya bersama Pejabat Daerah dan Tanah(PDT) Larut, Matang dan Selama(LMS) kini sedang berusaha sedaya upaya untuk menghentikan usaha itu memandangkan kawasan Lapangan Terbang Taiping, Tekah merupakan salah satu khazanah warisan Taiping paling bernilai. Permohonan bantahan terhadap sebarang usaha memindah hak milik tanah lapangan terbang itu sudah dikemukakan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan keputusan akhir berada di tangan beliau,” katanya.
Selain penekanan kawasan lapangan terbang itu sebagai lokasi warisan Taiping, pihaknya turut mengambil kira kepentingan penggunaan kemudahan itu untuk latihan anggota polis dan tentera. Pihaknya juga tidak dimaklumkan sama ada tindakan pemindahan hak milik tanah lapangan terbang itu kepada pemaju akan membabitkan proses penukaran atau ‘swapping’ tanah ke kawasan lain.
“Saya sendiri menerima banyak aduan penduduk setempat yang menuntut status tanah kerajaan itu dikekalkan dan hanya dibangunkan untuk projek yang benar-benar memberi kepentingan besar kepada rakyat. Kita bukan hendak membantah inisiatif pembangunan yang cuba direncana di kawasan itu, namun kerajaan negeri perlu melakarkan pelan pembangunan lebih holistik demi kepentingan masa hadapan penduduk kawasan Tekah. Saya akan berterusan berusaha menghalang proses penyerahan hak milik tanah lapangan terbang itu kepada pemaju terbabit demi menyelamatkan khazanah warisan bandar Taiping itu yang amat bernilai,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bob, Si Kucing Jalanan ‘Terkenal Dunia’ Dah Tak Ada!

Bob si kucing jalanan pernah suatu ketika menjadi fenomena dan terkenal di seluruh dunia kerana menyelamatkan seorang gelandangan, disahkan telah menghembuskan nafas terakhir.
Kerana Bob, gelandangan tersebut iaitu tuannya sendiri hari ini berjaya mengubah kehidupan menjadi lebih baik. Malah, kerana itu kucing ini telah menjadi sumber inspirasi dalam penghasilan sebuah buku bertajuk ‘A Street Cat Named Bob’, diilhamkan oleh pemiliknya, James Anthony Bowen.
Setelah membukukan kisah perjalanan hidup bersama Bob pada 2012, naskah tersebut telah diadaptasi kepada filem bertajuk ‘A Street Cat Named Bob’ pada 2016 dibintangi oleh Luke Treadaway.
James Anthony Bowen juga merupakan seorang pemuzik jalanan telah menemui Bob di sebuah pangsapuri di Tottenham pada 2007. Meskipun pada awalnya dia tidak mengendahkan kehadiran Bob namun lama kelamaan, hubungan mereka menjadi akrab dan Bob menjadi peneman setia termasuk semasa membuat persembahan. Bob telah menyelamatkan nyawanya dan memberi sebuah persahabatan cukup bermakna. Sejak itu, kisah kucing jalanan itu mula menjadi buah mulut sehingga ‘Bob’ sangat terkenal.
Mengenang kisah manis yang lalu, Bob ditemui dalam keadaan cedera dan terbiar sebelum diambil oleh James Anthony Bowen dan dipeliharanya. Hubungan mereka bertambah erat lantaran itu Bob sering mengiringi Bowen yang juga seorang pemuzik jalanan sambil menjual surat khabar ‘The Big Issue’ di sekitar kawasan Covent Garden di kota London. James Anthony Bowen, pada masa itu sedang berdepan dengan masalah penagihan dadah. Dia mula mengarang buku mengisahkan tentang perjalanan kehidupan sehariannya bersama Bob dan laris terjual dan meraih populariti.
Sejak penerbitannya, lebih sejuta naskhah laris terjual di UK sahaja dan turut diterjemahkan kepada 30 bahasa. Ia juga kekal menjuarai carta senarai teratas buku terlaris di akhbar ‘The Sunday Times’ selama 76 minggu berturut-turut.
Berita kematian kucing ini pada usia 14 tahun pada 16 Jun 2020 awal minggu ini sangat menyedihkan. Penerbit buku Bowen, Hodder & Stoughton mengesahkan berita kematian Bob dalam satu kenyataan, lapor Independent.
“Semasa dia berada di sisi saya, saya menemui jalan dan tujuan untuk hidup yang selama ini telah hilang. Kami mengecapi kejayaan bersama melalui buku dan filem yang cukup menakjubkan. Dia bertemu dengan ribuan orang, memberi harapan kepada jutaan orang, Bob tiada pengganti dan tiada kucing sepertinya, tidak akan ada. Saya rasa kehilangan dan saya tidak akan sekali melupakannya,” kata James Anthony Bowen
Dalam pada itu, perkataan ‘RIP Bob’ menjadi trending teratas Twitter selepas peminatnya mengetahui kematian Bob. Selain buku A Street Cat Named Bob, terdapat juga buku bertajuk A Gift from Bob, The World According to Bob, My Name Is Bob dan For the Love of Bob, laris di pasaran.
Sumber: Sinar Harian | Foto: Dailymail
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI