Minggu lepas, saya berpeluang ikut Andrew dari ECO My, penganjur bersama Royal Belum International Hornbill Expedition 2017. Ini kali kedua program ini diadakan. Yang pertama pada 2013. Penganjur utama ialah Perbadanan Taman Negeri Perak.

Saya excited lihat sendiri bagaimana bird watching/photography. PATIENCELOVE. Dua faktor saya nampak pada semua peserta. Yang pasti, mata mereka tajam menjejak burung, walau tanpa bonikular. Kagum.

Program jejak 10 spesis burung enggang selama 2 hari bersama lebih 40 peminat burung dari USA, China, Taiwan, Jepun, Filipina, Singapura, Brunei, India, Thailand, dan Malaysia.

Kebanyakan mereka jurugambar burung profesional.

Lebih hebat, Noah Strycker juga turut serta. Beliau pemegang rekod Big Year of Birding dengan rekod 6,042 spesis burung dilihat dari 10,400 spesis burung yang ada di dunia hanya dalam setahun di tujuh kontinen dari 1 Jan-31 Dis 2015.

Andrew, Noah dan lain-lain peserta tengok burung

Royal Belum International Hornbill Expedition 2017
Program dirasmi oleh Puan Noor Asmah bt Mohd Nawawi (Pemangku Pengurus Besar Merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Taman Negeri Perak) dan ditutup rasmi oleh YB Dato’ Nolee Ashilin bt Dato’ Mohammed Radzi (Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Komunikasi & Multimedia Negeri Perak) di Kem Sungai Kenarong, Royal Belum.

Dari program ini pihak Perbadanan Taman Negeri Perak mendapat maklum balas baik dan kritikal dari peserta bagi memantapkan promosi produk hutan Taman Negeri Royal Belum kepada pelancong tempatan dan luar, terutamanya pencinta burung. 

Andrew pada sesi maklum balas dari peserta

Program anjuran Kerajaan Negeri Perak, Perbadanan Taman Negeri Perak dan ECOMY dengan kerjasama Koridor Utara, MOTAC, Tourism Malaysia, Tourism Perak, NEST dan Wild Bird Club Malaysia saya katakan berjaya dan menjadi titik permulaan kepada penganjuran tahunan. Ini satu usaha yang sangat baik dari semua pihak. Syabas!


Royal Belum Permata Negeri Perak

Taman Negeri Royal Belum digazet sebagai kawasan lindungan pada 3 Mei 2007 dibawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2001.

Ia merupakan kawasan dibawah pentadbiran dan selian Perbadanan Taman Negeri Perak.

Luas keseluruhan 117,500 hektar dengan 90% ialah Hutan Simpan Royal Belum.

Ia bersempadan Thailand di utara, Lebuhraya Timur-Barat di selatan, Kelantan di Timur dan hampir dengan Taman Negara Bang Lang dan Tempat Perlindungan Hidupan Liar Hala Bala.

Taman Negeri Royal Belum pada awal tahun ini juga dimohon senarai Tapak Warisan Dunia Unesco oleh Kementerian Pelancongan.

Ia merupakan hutan hujan tropika tertua di dunia, sekitar 130 juta tahun dan lebih tua dari Hutan Amazon. Dengan hutan tebal, ia jadi habitat tumbuhan seperti raflesia dan haiwan liar termasuk spesis terancam; harimau, gajah, beruang, badak sumbu, tapir, helang,dan burung enggang.

Burung enggang diancam kepupusan kerana diburu bagi mendapatkan paruh dan tanduk serta bulunya yang cantik. Setiap tahun, dilaporkan 6,000 kes buruan enggang.

Royal Belum: Syurga 10 Spesis Enggang
Burung Enggang mungkin lebih dikenali di Sarawak. Namun, di sana ada 8 jenis enggang, berbanding 10 jenis di Royal Belum.

Semua enggang bersarang di dalam batang pokok. Burung betina  menjaga sarang, sementara burung jantan mencari makanan.

Enggang tidak minum air, sebaliknya bergantung pada air dalam buah-buahan. Diet enggang ialah buah, burung, reptilia dan mamalia kecil.

10 spesis yang ada di Royal Belum ialah:

1  Enggang Bulu/White-crested Hornbill

Hampir sama dengan Tropicranus Albocristatus Afrika, ialah spesis enggang dijumpai di hutan Thai-Malaysia, Sumatra dan Borneo. Ia diancam kehilangan habitat.

Nama: Enggang Bulu/White-crowned Hornbill
Nama saintifik: Berenicornis comatus
Saiz: Jantan: 90 – 101 cm / Betina: 90 – 101 cm
Habitat: Hutan hijau luas sehingga 1000m tinggi

 

2  Enggang Kawan/Enggang Buluh/Bushy-crested Hornbill

Spesis ini dari famili Bucerotidae. Dijumpai di Brunei, Indonesua, Malaysia, Myanmar dan Thailand.

Nama: Enggang Kawan/Enggang Buluh/Bushy-crested Hornbill
Nama saintifik: Anorrhinus galeritus
Saiz: Jantan: 90 – 101 cm   /   Betina: 90 – 101 cm
Habitat: Hutan hijau luas sehingga 1500m tinggi

 

3  Enggang Berkedut/Wrinkled Hornbill

Enggang ini bersaiz sederhana besar dan dijumpai di hutan Thai-Malaysia, Sumatra dan Borneo. Ia bersaiz 70cm panjang, dan bertanduk besar. Ia berbulu hitam pekat, kebiruan di kawasan mata, dan ekor putih yang lebar.

Nama: Enggang Berkedut/Wrinkled Hornbill
Nama saintifik: Aceros corrugatus
Saiz: Jantan: 81 – 82 cm / Betina: 81 – 82 cm
Habitat: Hutan hijau luas, tanah rendah, dan hutan paya air tawar

 

4  Enggang Gunung/Wreathed Hornbill

Spesis ini dijumpai di hutan sebelah utara-Timur India dan Bhutan, timur dan selatan tanah besar Asia Tenggara dan Sunda, kecuali Sulawesi.

Nama: Enggang Gunung/Wreathed Hornbill
Nama saintifik: Aceros undulates
Saiz: Jantan: 100.5 – 115 cm / Betina: 84 – 98 cm
Habitat: Hutan hijau luas, hutan daun bercampur, dan hutan di pulau sehingga 1830m tinggi.

 

5  Enggang Hutan/ Plain-pouched Hornbill

Paling banyak dilihat di Royal Belum. Ia dari famili Bucerotidae. Dijumpai di hutan Dawna Range dan hutan Bukit Tenasserim di selatan Burma dan sempadan Thai-Malaysia. Spesis ini terancam kerana kehilangan habitat.

Nama: Enggang Hutan/ Plain-pouched Hornbill
Nama saintifik: Aceros subruficollis
Saiz: Jantan: 86.5 – 5cm / Betina: 79– 84 cm
Habitat: Hutan hijau luas dan hutan daun bercampur sehingga 915m tinggi.

 

6  Enggang Kelingkung/Lilin/Oriental Pied Hornbill

Juga mudah dilihat di Royal Belum. Ia dari famili Bucerotidae. Dijumpai di sub kontinen India dan Asia Tenggara, meliputi Bangladesh, Bhutan, Brunei, Kemboja, India, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Nepal, Singapura, Thailand, Tibet dan Vietnam. Diet burung termasuk buah-buahan dan serangga serta katak dan cicak.

Nama:
Enggang Kelingkung/Lilin/Oriental Pied Hornbill
Nama saintifik: Antharacoceros albirostris
Saiz: Jantan: 68 – 70 cm / Betina: 68 – 70 cm
Habitat: Hutan hijau luas, hutan daun bercampur, hutan baru, kawasan ladang,dan hutan di pulau sehingga 1400m tinggi.

 

7  Enggang Kekek/Gatal Birah/Black Hornbill

Macam gagak warnanya. Ia dari famili Bucerotidae.  Hidup di Asia di Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand & India.

Nama: Enggang Kekek/Gatal Birah/Black Hornbill
Nama saintifik: Anthracoceros malayanus
Saiz: Jantan: 76cm / Betina: 76cm
Habitat: Hutan hijau luas sehingga 215m tinggi.

 

8  Enggang Badak/Rhinoceros Hornbill

Ia salah satu spesis terbesar enggang. Boleh mencecah berat sehingga 3 kg dan hidup selama 35 tahun. Mudah dijumpai di kawasan rendah, dan hutan hujan tropika pada altitud 1400m di Borneo, Sumatra, Java, Semenanjung Malaysia, Singapura dan selatan Thailand. Ia punya tanduk paling besar dalam semua spesis enggang.

Burung ini merupakan lambang burung negeri Sarawak. Bagi kebanyakan orang Dayak, ia simbol dewa perang; Singalang Burong.

Nama: Enggang Badak/Rhinoceros Hornbill
Nama saintifik:  Buceros rhinoceros
Saiz: Jantan: 91 – 122 cm / Betina: 91 – 122 cm
Habitat: Hutan hijau luas sehingga 1220m tinggi.

 

9  Enggang Papan/Great Hornbill
Image result for great Hornbill

Juga dikenali Great Indian Hornbill atau Great Pied Hornbill antara yang terbesar dalam famili enggang. Ia dijumpai di Semenanjung Malaysia dan Sumatra, Indonesia. Kerana saiz besar, ia menjadi lambang penting pada banyak budaya dan amalan.

Nama: Enggang Papan/Great Hornbill
Nama saintifik:  Buceros bicornis
Saiz: Jantan: 119– 122 cm / Betina: 119– 122 cm
Habitat: Hutan hijau luas, hutan daun bercampur, dan hutan di pulau sehingga 1525m tinggi.

 

10  Enggang Tebang Mentua/Burung Torak/Helmeted Hornbill
Ia spesis enggang terbesar. Dijumpai sekitar semenanjung Malaysia, Sumatra dan Borneo. 

Ia diancam kepupusan kerana diburu bagi mendapatkan paruh dan tanduk merahnya. Bunyi burung ini seperti bunyi ketawa mengilai di penghujungnya.

Nama: Enggang Tebang Mentua/Burung Torak
Nama saintifik: Rhinoplax vigil
Saiz: Jantan: 127cm / Betina: 127cm
Habitat: Hutan hijau luas sehingga 1400m tinggi.