
Percutian bukan sekadar melancong ke sesuatu tempat untuk bersantai dan bergambar. Sebaliknya, ia juga boleh dijadikan peluang buat kita sebagai rakyat Malaysia untuk memperkayakan ilmu serta mendidik jiwa menjadi anak bangsa yang lebih mengenali dan menyayangi negaranya.
Bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, aktiviti jalan-jalan dan meneroka Malaysia boleh menjadi salah satu cara menarik untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri.
Memandangkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung ketika musim cuti sekolah, ibu bapa boleh mengambil peluang merancang aktiviti bersama anak-anak dengan membawa mereka mengunjungi lokasi bersejarah dan melihat sendiri tempat yang menyimpan kisah perjuangan tokoh-tokoh terdahulu.
Lokasi pertama yang wajib dikunjungi adalah:
1. Muzium Negara dan Memorial Tunku Abdul Rahman
Kredit Foto: Jabatan Muzium Malaysia
Muzium Negara yang terletak di Jalan Damansara, Kuala Lumpur merupakan antara destinasi yang wajar dikunjungi oleh setiap rakyat Malaysia. Di sinilah pengunjung boleh mengenali dengan lebih dekat sejarah negara, termasuk perjalanan menuju kemerdekaan serta pembentukan Malaysia.
Untuk melengkapkan pengetahuan sejarah anak-anak dan ibu bapa, anda juga boleh berkunjung ke Memorial Tunku Abdul Rahman Putra yang terletak di Kuala Lumpur. Memorial ini cukup istimewa kerana menghimpunkan pelbagai bahan berkaitan kehidupan dan perjuangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri pertama yang turut dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan.
Apabila ibu bapa bercerita dan menunjukkan kepada anak-anak bagaimana Tunku Abdul Rahman bersama rombongannya berusaha mendapatkan kemerdekaan melalui rundingan dengan pihak British, mereka dapat memahami bahawa kemerdekaan negara bukanlah sesuatu yang diperoleh dengan mudah. Sebaliknya, ia menuntut kebijaksanaan, diplomasi, kesatuan dan perjuangan yang panjang.
Kedua-dua lokasi ini menyimpan pelbagai dokumen, koleksi dan khazanah yang membantu pengunjung memahami sejarah negara dengan lebih dekat. Muzium Negara juga mempunyai ruang pameran yang selesa dan pelbagai bahan pameran menarik yang boleh membantu anak-anak mempelajari sejarah dengan cara yang lebih menyeronokkan.
2. Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan
Kredit Foto: Wikipedia
Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan terletak di Bandar Hilir, Melaka, berhadapan dengan Dataran Pahlawan dan berhampiran Kota A Famosa. Bangunan bersejarah dengan seni bina kolonial ini menyimpan pelbagai kisah penting berkaitan perjalanan negara menuju kemerdekaan.
Antara peristiwa penting yang berkait rapat dengan lokasi ini ialah pengumuman tarikh kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman kepada rakyat di Padang Banda Hilir pada 20 Februari 1956, selepas rombongan kemerdekaan kembali dari London. Tarikh 31 Ogos 1957 kemudiannya menjadi detik bersejarah apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Memorial ini turut mempamerkan pelbagai dokumen, gambar, manuskrip dan bahan arkib berkaitan perjuangan mendapatkan kemerdekaan negara. Buat mereka yang berada di sekitar selatan tanah air atau merancang percutian ke Melaka, lokasi ini sememangnya berbaloi untuk dimasukkan dalam itinerari.
Memandangkan lokasinya terletak di tengah-tengah Bandar Hilir, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak melawat beberapa lokasi bersejarah dan tempat menarik lain yang terletak berhampiran.
3. Tugu Negara
Kredit Foto: Sinar Daily
Tugu Negara yang terletak berhampiran Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur merupakan satu lagi lokasi bersejarah yang boleh dikunjungi bersama keluarga.
Monumen ini menjadi simbol penghormatan terhadap keberanian dan pengorbanan mereka yang berjuang demi keamanan dan kebebasan tanah air, khususnya ketika Perang Dunia Kedua dan zaman Darurat.
Berada di hadapan monumen ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk menerangkan kepada anak-anak bahawa keamanan yang dinikmati pada hari ini hadir bersama pengorbanan generasi terdahulu.
Selain nilai sejarahnya, kawasan sekitar Tugu Negara juga mempunyai persekitaran yang lapang, menghijau dan dihiasi landskap yang terjaga. Ia sesuai dijadikan lokasi persinggahan bersama keluarga sambil mengenali sejarah negara.
Percutian bersejarah merupakan salah satu cara terbaik untuk menyemai rasa syukur dan cinta terhadap tanah air dalam diri anak-anak. Mereka bukan sahaja membaca sejarah melalui buku teks, malah berpeluang melihat sendiri lokasi yang menjadi saksi kepada perjalanan panjang negara.
Jadi, rancang percutian hujung minggu anda dengan baik dan jangan lupa masukkan cadangan tempat menarik daripada Libur dalam itinerari keluarga anda. Sambil berjalan-jalan, kita dapat mengenali sejarah dan menyemarakkan lagi rasa bangga menjadi rakyat Malaysia.

sekarang!


