
Bila travel jauh, antara perkara yang paling susah untuk dielakkan ialah kos minyak kereta, tol dan tempat penginapan. Kos-kos ini biasanya memang sudah tetap, apatah lagi kalau perjalanan melibatkan jarak beratus kilometer. Nak kurangkan kos minyak pun bukan mudah, sebab kereta tetap perlu bergerak dan harga minyak pula di luar kawalan kita.
Tapi satu perkara yang masih boleh dikawal ialah belanja makan sepanjang perjalanan. Inilah cara paling mudah untuk berjimat bila travel jauh, terutama kalau berjalan satu keluarga. Sekali singgah R&R atau kedai makan, kosnya boleh jadi agak tinggi. Beli nasi, air, kopi, roti, jajan dan makanan untuk anak-anak, tanpa sedar boleh habis puluhan ringgit untuk satu hentian sahaja.
Sebab itu, membawa bekal dari rumah adalah antara langkah paling praktikal untuk cut cost. Tak perlu pun sediakan menu yang rumit. Cukup makanan ringkas yang mudah disediakan, senang dibawa dan boleh dimakan bila-bila masa ketika berhenti rehat.
Lebih berbaloi lagi jika perjalanan mengambil masa panjang. Bila ada bekal sendiri, kita tak perlu terlalu kerap singgah semata-mata untuk membeli makanan. Anak-anak lapar pun boleh terus beri makanan dalam bekas. Orang dewasa pula boleh alas perut dengan bekal yang sudah disediakan. Secara tak langsung, perjalanan jadi lebih lancar dan belanja makan boleh dijimatkan berkali ganda.
Berikut antara idea resipi ringkas yang sesuai disediakan sebelum travel jauh.
1. Sandwich telur mayo
Sandwich telur mayo antara bekal paling mudah untuk disediakan. Ia tidak memerlukan banyak bahan, mengenyangkan dan sesuai dimakan ketika berhenti rehat.

Bahan-bahan:
- Roti sandwich
- Telur rebus
- Mayonis
- Sedikit lada sulah
- Sedikit garam
- Salad atau timun jika suka
Cara buat:
Lenyek telur rebus, kemudian campurkan dengan mayonis, lada sulah dan sedikit garam. Sapu inti telur pada roti, tambah salad atau timun jika suka, kemudian tutup dengan sekeping lagi roti.
Potong dua dan balut satu-satu menggunakan plastik wrap atau kertas minyak supaya mudah diambil dan dimakan sepanjang perjalanan.
2. Nasi goreng kampung simple
Kalau mahu bekal yang lebih mengenyangkan, nasi goreng kampung antara pilihan terbaik. Ia sesuai dimakan untuk sarapan awal pagi atau ketika berhenti di kawasan rehat.

Bahan-bahan:
- Nasi sejuk
- Bawang merah
- Bawang putih
- Cili padi
- Ikan bilis
- Telur
- Garam secukup rasa
Cara buat:
Tumis bawang merah, bawang putih, cili padi dan ikan bilis hingga naik bau. Masukkan telur dan kacau sebentar. Kemudian masukkan nasi sejuk dan garam secukup rasa. Goreng hingga semua bahan sebati dan nasi menjadi sedikit kering.
Elakkan nasi goreng yang terlalu berminyak atau terlalu basah supaya lebih sesuai dibawa untuk perjalanan jauh.
3. Wrap ayam
Wrap ayam sesuai untuk mereka yang mahu bekal lebih kemas dan mudah dimakan. Ia juga pilihan yang baik untuk anak-anak kerana tidak mudah bersepah berbanding nasi berlauk.

Bahan-bahan:
- Roti tortilla
- Isi ayam panggang atau ayam goreng tanpa tulang
- Salad
- Timun
- Sos cili atau mayonis
Cara buat:
Letakkan ayam, salad, timun dan sedikit sos di atas roti tortilla. Gulung dengan kemas, kemudian potong dua. Balut menggunakan kertas minyak atau foil supaya mudah dipegang.
Untuk perjalanan jauh, jangan letak terlalu banyak sos supaya wrap tidak cepat lembik.
4. Cucur bilis
Cucur bilis memang sesuai dijadikan bekal kerana sedap dimakan walaupun sudah sejuk. Ia juga mudah disediakan dalam kuantiti banyak.
Bahan-bahan:
- Tepung gandum
- Ikan bilis
- Bawang besar
- Daun kucai atau daun bawang
- Garam
- Air secukupnya
Cara buat:
Campurkan tepung gandum, ikan bilis, bawang besar yang dihiris, daun kucai atau daun bawang dan garam. Masukkan air sedikit demi sedikit hingga menjadi adunan sederhana pekat.
Goreng dalam minyak panas hingga cucur menjadi keemasan. Toskan minyak dan simpan dalam bekas selepas sejuk.
5. Mi goreng kering
Mi goreng juga sesuai dijadikan bekal, asalkan dimasak sedikit kering. Jika terlalu basah, mi mudah lembik dan kurang sesuai dibawa lama.

Bahan-bahan:
- Mi kuning
- Bawang putih
- Telur
- Sawi atau kobis
- Kicap
- Sos tiram
- Sedikit cili kisar jika suka
Cara buat:
Tumis bawang putih hingga naik bau. Masukkan telur dan kacau. Tambah sayur, kemudian masukkan mi kuning. Perasakan dengan kicap, sos tiram dan sedikit cili kisar jika suka.
Goreng hingga mi sebati dan agak kering. Sejukkan dahulu sebelum dimasukkan ke dalam bekas makanan.
6. Roti sosej gulung
Roti sosej gulung sangat sesuai untuk anak-anak kerana mudah dipegang dan tidak memerlukan sudu atau garpu. Ia juga boleh dijadikan snek berat ketika perjalanan.

Bahan-bahan:
- Roti putih
- Sosej
- Telur
- Serbuk roti jika ada
- Sedikit sos
Cara buat:
Leperkan roti putih menggunakan penggelek atau belakang gelas. Letakkan sosej di atas roti, kemudian gulung dengan kemas.
BACA LAGI: Cara Naik Tren KTM MySawasdee Ke Hat Yai, Tiket Dari RM95 Sehala
Celup gulungan roti ke dalam telur, salut dengan serbuk roti jika ada, kemudian goreng hingga keemasan. Toskan dan simpan dalam bekas selepas sejuk.
7. Buah potong dan kudapan ringkas
Selain makanan berat, buah potong dan kudapan juga penting untuk perjalanan jauh. Ia boleh jadi alas perut ketika belum sampai waktu makan.

Pilihan yang sesuai dibawa:
- Epal
- Anggur
- Oren
- Jambu batu
- Kurma
- Kekacang
- Biskut tawar
Untuk buah seperti epal, boleh rendam sebentar dalam air garam supaya tidak cepat lebam. Simpan buah dalam bekas bertutup dan letakkan dalam cooler bag jika ada.
Tip supaya bekal tahan lebih lama
Untuk perjalanan jauh, pilih makanan yang kering dan tidak terlalu berkuah. Elakkan lauk bersantan, makanan yang mudah basi atau makanan yang terlalu banyak sos. Makanan seperti nasi goreng kering, sandwich, wrap, cucur dan roti sosej lebih praktikal kerana mudah dibungkus dan tidak terlalu messy.
Gunakan bekas makanan bertutup rapat. Kalau ada cooler bag, gunakan untuk simpan makanan yang ada mayonis, telur atau buah potong. Jangan lupa bawa tisu basah, tisu kering, plastik sampah kecil dan sudu garpu pakai buang jika perlu.
Bawa juga air minuman dari rumah dalam botol besar. Ini boleh mengurangkan pembelian air mineral, air manis atau kopi di hentian rehat. Kadang-kadang belanja air saja pun boleh jadi tinggi kalau satu keluarga membeli minuman setiap kali berhenti.
Bawa bekal bantu elak belanja tidak dirancang
Bawa bekal juga membantu kita mengelakkan pembelian yang tidak dirancang. Selalunya bila singgah R&R, niat asal cuma mahu beli air, tapi akhirnya terbeli makanan lain, kopi, snek dan macam-macam lagi.
Kalau ramai ahli keluarga, jumlah kecil ini boleh jadi besar. Dengan bekal dari rumah, kita lebih mudah kawal perbelanjaan dan hanya beli benda yang benar-benar perlu.
Jadi, kalau mahu travel jauh tapi masih ingin berjimat, jangan pandang ringan persediaan bekal. Memang kos minyak kereta dan tol mungkin susah untuk dikurangkan, tetapi kos makan masih boleh dikawal. Dengan sedikit persediaan dari rumah, kita boleh berjimat lebih banyak, makan lebih selesa dan perjalanan pun terasa lebih teratur.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!





