Malaysia Airlines mengurangkan operasi rangkaiannya secara menyeluruh susulan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara dari 18 hingga 31 Mac bagi membendung COVID-19.
Syarikat penerbangan itu telah menggantung penerbangan antarabangsa ke India mulai 17 hingga 31 Mac dan ke Filipina (21 hingga 31 Mac) berikutan larangan perjalanan yang dilaksanakan oleh kerajaan membabitkan perjalanan pergi dan balik dari Malaysia.
Sebelum perintah itu, Malaysia Airlines telah menggantung perkhidmatan ke Arab Saudi, Korea Selatan, Beijing Daxing termasuk laluan Kota Kinabalu-Shanghai disebabkan kawalan sempadan serta mengurangkan kapasiti ke Australia dan New Zealand berikutan dasar pengasingan yang dibuat oleh kedua-dua negara.
Ads
Malaysia Airlines juga terpaksa menyusun kembali penerbangan muatan rendahnya, sama ada membuat pembatalan atau menggabungkan mereka untuk menguruskan kos, dan pada masa yang sama, menguruskan jangkaan pelanggan. Sehingga ke hari ini, syarikat itu telah membatalkan lebih daripada 4,000 penerbangan.
Sebahagian daripada cabaran ini terpaksa dipikul oleh Pusat Hubungan Antarabangsa Malaysia Airlines, apabila ia menerima 25,000 panggilan sehari dan sehingga 2,000 e-mel setiap hari dalam tempoh tiga minggu.
Malaysia Airlines dengan ikhlas memohon maaf kepada penumpang dan amat memahami keadaan yang menyebabkan penumpang risau mengenai tempahan penerbangan mereka.
Ads
Selain itu, pejabat tiket syarikat penerbangan Malaysia Airlines di Nu Sentral telah ditutup mulai 18 Mac berikutan penutupan pusat membeli-belah di seluruh negara dan ia menggalakkan penumpang dengan tempahan melebihi 48 jam berikutnya untuk memulakan perubahan tempahan secara dalam talian melalui borang bantuan pengecualian COVID-19 di laman sesawang Malaysia Airlines.
Disebabkan oleh pengurangan keupayaan yang ketara, Malaysia Airlines dan semua syarikat yang bernaung di bawah operasi kumpulan itu turut menerima kesan, termasuk pergerakan penerbangan serta operasi lapangan terbang.
Majoriti tenaga kerjanya di peringkat global sedang bekerja dari rumah selaras dengan pelbagai keperluan kerajaan masing-masing bagi memerangi COVID-19.Ia akan terus mendukung piawaian keselamatan tertinggi dalam keseluruhan operasinya.
Tiada kehidupan normal hingga akhir tahun depan akan berlaku seperti kebiasaanya yang anda lakukan. Sekurang-kurangnya tempoh 18 bulan adalah paling selamat untuk memastikan COVID-19 benar-benar berakhir.
Tidak dapat dipastikan lagi tempoh sebenar wabak ini akan berakhir. Lihat sahaja contoh seperti negara China yang kononnnya telah bebas dengan wabak COVID-19 ini setelah lebih 3 bulan berperang dengan musuh halus ini. Perintah larangan pergerakkan telah di tamatkan, menyebabkan rakyat mereka berpusu-pusu keluar dari rumah ke lokasi tumpuan ramai. Tanpa disedari, kes COVID-19 di negara tersebut meningkat kembali.
Makan di restoran, menghadiri konsert, perhimpunan pagi, majlis graduasi atau menonton perlawanan bola sepak di stadium. Semua yang disebutkan di atas tidak boleh dilakukan sekurang-kurangnya hingga akhir tahun depan, kata seorang pakar perubatan Amerika Syarikat.
Dr. Ezekiel J. Emanuel, pakar onkologi di Fakulti Perubatan, Universiti Pennsylvania berkata, ini adalah kerana dia meramalkan vaksin COVID-19 hanya akan berjaya ditemui pada akhir tahun 2021.
“Saya kecewa apabila White House dengan yakin mengatakan yang hidup kita akan kembali normal dalam beberapa bulan ini, dan September ini musim futbol akan bermula seperti biasa. Itu semua tidak akan berlaku,” katanya yang merupakan sebahagian daripada pasukan Obamacare, sebuah akta kesihatan yang diwujudkan semasa era pentadbiran Barack Obama.
“Kita harus mempersiapkan negara. Proses ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan. Kita perlu melakukan perubahan besar-besaran, bukan sekadar bagi bantuan untuk beberapa minggu. Saya tidak fikir vaksin boleh disiapkan tahun ini. Untuk keselamatan, kita perlu berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga, sekurang-kurangnya sehingga Julai tahun hadapan,” tambahnya.
Jika anda sudah buat perancangan untuk bercuti ke Sydney dalam masa terdekat ini, diharap membuat sedikit persediaan awal dan menjaga keselamatan diri.
Buat pertama kali, bandar terbesar di Australia iaitu Sydney dan kawasan sekitar berdepan tahap amaran kebakaran paling tinggi. Pihak berkuasa turut memaklumkan risiko terhadap nyawa dan kediaman. Australia kemarin dilaporkan mengisytiharkan darurat di Sydney dan penduduk dinasihati berjaga-jaga susulan siri kebakaran hutan yang melanda timur negara itu.
“Tiada binaan atau rekaan yang mampu bertahan dalam situasi yang mungkin terjadi dalam keadaan bencana,” kata Shane Fitzsimmons, Pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba Pedalaman New South Wales yang merangkumi Sydney.
Suhu tinggi dan angin kencang mencetuskan kebakaran menyebabkan Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian mengisytiharkan darurat selama tujuh hari bermula kelmarin. Menurut Berejiklian, fokus utama mereka adalah melindungi nyawa, harta benda dan memastikan keselamatan semua pihak. Sejenis cecair yang menghalang kebakaran lebih besar berlaku dilihat disimbah sekitar lokasi ini menggunakan helikopter dan bantuan anggota keselamatan.
Setakat ini, tiga orang dilaporkan maut manakala ribuan yang lain kehilangan tempat tinggal, 150 kediaman turut musnah susulan berpuluh kebakaran tidak terkawal di utara negeri terbabit. Dalam pada itu, situasi terkini dilihat sedikit pulih, membolehkan sebilangan penduduk pulang ke rumah masing-masing namun jerebu dilaporkan di beberapa kawasan yang dilanda kebakaran.
Perkongsian artikel ini adalah daripada Consumer Forum Of Malaysia (CFM), sebuah persatuan yang mewakili semua pihak yang berkaitan, termasuk pihak yang terbabit dengan “bekalan dan permintaan” dalam industri komunikasi dan multimedia di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Bayangkan, anda sedang menikmati percutian anda dengan tenang. Perjalanan penerbangan anda ke lokasi percutian lancar. Servis hotel sangat memuaskan. Makanan amat menyelerakan dan tempat-tempat dilawati sangat menarik.
Tiada yang mengganggu fikiran untuk memuat naik gambar percutian di Instagram dan berkongsi pengalaman anda dengan rakan-rakan di Facebook. Dalam perjalanan ke tempat menarik anda tersesat jalan.
Tetapi itu tidak menjadi masalah kerana anda boleh gunakan Google Maps pada telefon pintar anda. Ketika bersantai, anda melayari YouTube untuk menghilangkan kebosanan.
Balik dari percutian, anda menerima kejutan. Bil telefon anda melambung tinggi ketika penggunaannya semasa bercuti di luar negara.
Kosnya lebih tinggi berbanding kos anda membeli belah! Perkara itu yang kerap berlaku kepada ramai pengguna iaitu caj perantauan yang memeranjatkan.
Caj perantauan dikenakan apabila anda membuat panggilan, menghantar SMS dan data ketika berada di luar negara. Dalam situasi ini, mungkin ramai yang masih menganggap syarikat telekomunikasi telefon mudah alih anda mempunyai perjanjian dengan syarikat telekomunikasi luar negara yang akan menukar rangkaian secara automatik untuk mengakses internet dan membuat panggilan tetapi dalam masa yang sama caj yang dikenakan sama seperti syarikat telekomunikasi tempatan. Walhal, bil sudah melambung tinggi.
Langkah yang paling bijak untuk mengelak perkara ini berlaku ialah dengan mematikan tetapan data perantauan pada telefon anda. Cara itu adalah yang paling tepat untuk anda menikmati percutian tanpa memikirkan kos lain selepas pulang bercuti.
Untuk mengelak bil telefon anda mencecah ratusan atau ribuan ringgit semasa bercuti di luar negara, ikuti beberapa tip yang diberi daripada pengembara berpengalaman:
Sebaik sahaja anda tiba di lapangan terbang, dapatkan kad SIM penyedia perkhidmatan tempatan di negara berkenaan dengan pakej yang bersesuaian dengan anda. Kebanyakan syarikat telekomunikasi menawarkan pakej unik kepada pelancong.
Anda boleh mendapatkan kad SIM di kedai-kedai yang terdapat di balai ketibaan lapangan terbang atau di kedai-kedai serbaneka negara tersebut. Penggunaan kad SIM tempatan lebih menjimatkan kerana anda akan dikenakan kadar caj tempatan.
Menggunakan telefon pintar yang boleh memuatkan dua kad SIM adalah sangat efektif pada waktu itu kerana anda boleh menggunakan kedua-dua kad SIM pada satu peranti.
Jika anda tidak mempunyai terma khusus dengan syarikat telekomunikasi anda tentang kadar tetap perantauan antarabangsa atau pakej data perantauan tidak terhad, anda perlu memantau dan mematikan tetapan data perantauan pada telefon mudah alih anda buat sementara waktu.
Namun, anda boleh dikenakan caj dan mungkin bil telefon anda boleh mencecah jumlah yang tinggi walaupun anda tidak mengakses internet, membuat panggilan dan menghantar pesanan. Ia bergantung kepada terma syarikat telekomunikasi anda.
Tidak menjawab panggilan ketika anda di luar negara juga boleh dikenakan cak kerana ia akan dihantar ke negara asal sebagai peti mel suara. Beberapa syarikat telekomunikasi juga akan mengenakan bayaran walaupun anda menjawab panggilan masuk.
Untuk mengelak dikenakan bayaran walaupun dalam jumlah yang sikit, anda boleh menghentikan perkhidmatan peti mel suara dengan memaklumkan syarikat telekomunikasi anda.
Jika anda perlu mengakses internet, gunakan servis WiFi percuma di café atau restoran sambil menikmati hidangan atau secawan kopi.
Ada hotel yang menyediakan WiFi percuma di ruang legar hotel. Anda boleh berbual secara percuma menerusi pelbagai aplikasi media sosial. Anda boleh membuat panggilan menerusi Skype.
Aplikasi WeChat pula boleh digunakan untuk berbual gaya ala walkie-talkie dan panggilan video percuma. Aplikasi WhatsApp yang digunakan ramai pengguna pada masa ini juga mempunyai servis sembang suara.
Cuba cari tempat yang mempunyai servis WiFi percuma di lokasi percutian anda.
Sesetengah aplikasi mengemaskini secara automatic menggunakan data telefon mudah alih anda dan caj akan dikenakan. Langkah terbaik ialah dengan menyekat penggunaan data anda.
ANDROID
Bagi peranti yang menggunakan Android, klik pada Aturan > Penggunaan Data. Anda boleh melihat jumlah data aplikasi yang digunakan dan boleh mengehadkan data untuk kemas kini bagi setiap aplikasi. Untuk selaraskan pilihan anda, klik Aturan > Akaun. Anda boleh melihat aplikasi yang diselaraskan dan boleh menghentikan penyelarasan tersebut kerana ia akan menggunakan data telefon anda.
iOS
Bagi peranti menggunakan iOS 7, hanya beberapa aplikasi yang melakukan kemas kini. Untuk semua peranti menggunakan iOS sehingga iOS 7, semua aplikasi boleh dimuat semula dan dikemas kini walaupun tidak digunakan. Untuk menyahaktifkan data Latar Belakang App Muat Semula (Background App Refresh), klik Aturan > Umum > Latar Belakang App Muat Semula (Settings > General > Background App Refersh). Anda boleh menghentikan semua aktiviti Latar Belakang App Muat Semula atau aplikasi terpilih sahaja.
Muat turun peta lokasi yang anda rancang untuk lawati sebelum percutian anda. Cara itu lebih jimat kerana anda tidak perlu menggunakan data telefon untuk mencari arah lokasi atas talian.
Beberapa aplikasi peta luar talian secara percuma boleh dimuat turun. Anda juga boleh menggunakan Google Maps untuk menyimpan peta lokasi tertentu. Untuk menyimpan peta kawasan tersebut, anda perlu zum masuk ke kawasan yang dicari, buka tingkap carian di dalam Google Maps dan taip OK maps untuk menyimpan peta tersebut.
Jika anda menggunakan data ketika anda di luar negara, setiap kilobait tunggal akan dikenakan caj melainkan anda melanggan pakej data perantau tanpa had. Anda harus pastikan penggunaan data anda tidak melebihi had.
Untuk memantau penggunaan data anda, muat turun aplikasi seperti 3G Watchdog (bit.ly/1m5YfdB) untuk Android dan Data Usage (bit.lyXqcWCJ) untuk iOS. Kedua-dua aplikasi ini dapat membantu anda untuk memantau dan mengehadkan penggunaan data bagi setiap aplikasi.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Pernah tak anda menempah bilik hotel yang kelihatan luas, moden dan cantik dalam gambar, tetapi keadaan sebenar jauh berbeza apabila tiba?Bilik mungkin lebih sempit,...