Promosi Pelancongan Menerusi Webinar Tourism Selangor Sebagai Persediaan Terima Pelancong Timur Tengah

Share

Tourism Selangor telah melakukan kolaborasi di atas talian buat pertama kali bersama Pejabat Tourism Malaysia Jeddah. Ia merupakan inisiatif promosi pelancongan antarabangsa Negeri Selangor pasca pandemik Covid-19.

Sesi Webinar yang diadakan menerusi aplikasi ‘Zoom’ tersebut menghubungkan seramai lebih 20 orang penggiat industri pelancongan dua buah Negara yang terdiri dari wakil agensi pelancongan berpusat di Jeddah, e-delegasi dari Negeri Selagor merangkumi wakil dari Tourism Selangor dan produk pelancongan, Skytrex Sg Chongkak, serta wakil dari Langkawi Development Authority (LADA).

Sesi Webinar tersebut turut menjadi bukti kepada dedikasi dan fokus Tourism Selangor dalam meneruskan usaha menembusi pasaran pelancongan Timur Tengah, khususnya Arab Saudi sebagai persediaan bagi menerima kedatangan pelancong sejurus pelancongan komersil antarabangsa kembali dibenarkan beroperasi.

‘Trend’ pelancongan ke Negeri Selangor yang ditunjukkan oleh para pelancong dari Timur Tengah pada tahun-tahun sebelum ini merangkumi pelancongan bulan madu, taman tema, eko dan sukan lasak, pengalaman membeli-belah serta pelancongan berasaskan kesihatan.

Tuan Azrul Shah Mohamad dalam satu kenyataan berkata, “Negeri Selangor adalah sebuah destinasi pelancongan yang penuh warna-warni.

Mr Azrul Shah Mohamad

“Dengan gabungan pemodenan, kebudayaan dan keunikan alam sekitar, Negeri Selangor merupakan destinasi yang ideal bagi segmentasi pelancongan bulan madu dengan produk seperti Avani Sepang Gold Coast dan Sunway Hotels, segmentasi taman tema dengan Sunway Lagoon, Bangi Wonderland dan Discovery Park Gamuda Cove, serta segmentasi eko dan sukan lasak yang terkenal di Pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Tidak dilupa juga, penyedia aktiviti flying fox

dengan rintangan terpanjang di Malaysia; Skytrex Sg Chongkak”.

“Selain tu, Negeri Selangor turut menjadi pilihan golongan wanita dan pelancong yang gemarkan aktiviti membeli-belah dengan produk seperti 1Utama Shopping Centre, Mitsui Outlet Park dan Sunway Pyramid. Negeri ini juga semakin mendapat tempat dalam pelancongan berasaskan kesihatan kerana memiliki 46 hospital dan Pusat Kesihatan terkemuka seperti Sunway Medical Centre, Thomson Hospital Kota Damansara dan Alpha Fertility Centre”, tambah Tuan Azrul Shah.

Sesi Webinar yang telah dijalankan dalam format perbentangan dan taklimat produk pelancongan (Business to Business) turut merangkumi beberapa aktiviti tambahan seperti tayangan video promosi pelancongan, sebelum ianya diakhiri dengan sesi soal-jawab.

Di kesempatan tersebut, Tuan Azrul Shah turut memperkenalkan Kempen “Splendid Selangor; Take Me Anywhere” yang memberi fokus kepada pasaran pelancongan antarabangsa. Cogan kata ‘Splendid Selangor’ telah dipilih bagi menggambarkan sebuah pengalaman penuh mengujakan yang menanti para pelancong di Negeri Selangor.

Orang awam, khususnya pelancong antarabangsa boleh menyokong kempen ini dengan mengunakan tandapagar #SplendidSelangor dan #TakeMeAnywhere pada hantaran media sosial mereka berkenaan produk pelancongan Negeri Selangor, mahupun pengalaman mereka menerokai Negeri ini pada masa akan datang.

IKLAN