
Kalau korang merancang untuk bercuti ke Pulau Pinang pada pertengahan November ini, ada satu acara menarik yang boleh dimasukkan dalam itinerari!
Dikenali sebagai O-EARTH 2026, acara dua hari ini bakal berlangsung pada 14 hingga 15 November 2026 di One Garden, Shih Chung Heritage Site, George Town.
Bukan sekadar festival seni biasa, acara ini bakal menggabungkan persembahan kebudayaan, muzik, instalasi seni, aktiviti komuniti dan pengalaman interaktif yang mengetengahkan hubungan manusia dengan alam sekitar.
Lebih menarik, festival ini bakal berlangsung di sebuah tapak warisan bersejarah yang pernah menjadi pusat pendidikan suatu ketika dahulu. Memang satu pengalaman berbeza buat korang yang suka meneroka seni, budaya dan sejarah dalam satu lokasi!
Tapak Warisan Lama Jadi Lokasi Festival Seni
Antara keunikan O-EARTH 2026 ialah pemilihan lokasinya di Shih Chung Heritage Site, yang turut dikenali sebagai Goh Chan Lau atau Five-Storey Villa.
Terletak di Jalan Sultan Ahmad Shah, bangunan bersejarah ini pernah digunakan sebagai sebuah pusat pendidikan dan kini menjadi sebahagian daripada inisiatif One Garden.
Melalui acara O-EARTH, tapak ini bakal menjadi ruang pertemuan masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi idea, menikmati seni dan menyertai aktiviti kreatif.
Gabungan bangunan warisan dengan program kontemporari menjadikan acara ini menarik, khususnya kepada pengunjung yang mahu mengenali sisi berbeza George Town selain lokasi pelancongan popular.
Ada Persembahan Muzik, Seni Dan Budaya Pada Waktu Malam!
Pada hari pertama, 14 November, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti yang menggabungkan seni dan persembahan kebudayaan.
Menurut jadual penganjur, kawasan instalasi O-EARTH akan dibuka kepada orang ramai bermula jam 4.30 petang.
BACA LAGI: Muara Arts Kini Dibuka Di Kuala Lumpur! Bangunan Hampir 100 Tahun Bertukar Jadi Galeri Seni Moden
Acara kemudiannya diteruskan dengan perarakan pembukaan bertemakan Heaven, Earth, Human pada jam 7 malam, diikuti persembahan pentas dan program kebudayaan.
Paling menarik, O-EARTH Night dijadualkan berlangsung dari jam 8.45 hingga 9.45 malam dengan persembahan muzik serta sambutan kebudayaan yang terbuka kepada orang ramai.
Jadi, kalau korang sukakan suasana festival yang meriah pada waktu malam, bahagian ini antara yang patut diberi perhatian.
Bukan Sekadar Tengok Persembahan, Boleh Sertai Aktiviti Interaktif
Pada hari kedua pula, O-EARTH menawarkan pengalaman yang lebih mendalam melalui pelbagai aktiviti berkumpulan dan bengkel.
Program bermula dengan aktiviti seperti tai chi, qigong dan yoga sebelum peserta berdaftar meneruskan pengalaman khas di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang.
Terdapat 10 pilihan Immersive Journeys yang menyentuh pelbagai topik, termasuk hubungan manusia dengan alam, pendidikan, kreativiti, teknologi dan masa depan masyarakat.
Melalui program ini, peserta bukan sahaja mendengar perkongsian, tetapi turut digalakkan berbincang, bekerjasama dan menghasilkan idea yang boleh memberi manfaat kepada komuniti.
Bagaimanapun, aktiviti hari kedua merupakan sebahagian daripada pakej berbayar dan memerlukan pendaftaran.
Pengalaman Makan Malam Istimewa Oleh Chef Johnson Wong
Bagi peserta yang mengambil pakej penuh, festival ini turut menyediakan pengalaman makan malam istimewa oleh Chef Johnson Wong, pengasas gēn group Penang.
Bertemakan Roots & Earth, pengalaman makan bersama ini mengetengahkan bahan tempatan, kepelbagaian sumber makanan dan konsep kelestarian.
Menariknya, hidangan diinspirasikan daripada budaya makan menggunakan daun pisang yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.
Acara makan malam tersebut dijadualkan berlangsung pada 14 November, jam 6 petang di Fu Er Tai, sebagai sebahagian daripada program khas peserta berbayar.
Harga Tiket Dan Jadual O-EARTH 2026
14–15 November 2026 (Sabtu & Ahad)
Lokasi: One Garden, Shih Chung Heritage Site, 11 Jalan Sultan Ahmad Shah, 10050 George Town, Pulau Pinang
Pilihan kemasukan
Program awam, 14 November
Akses ke instalasi dan O-EARTH Night yang dibuka kepada orang ramai
Terbuka kepada umum
Full Journey Pass
Pengalaman penuh dua hari termasuk program dan jamuan tertentu
RM1,088
Day 2 Pass
15 November sahaja, harga promosi hingga 6 November
RM388
Harga biasa Day 2 Pass ialah RM488. Kuota peserta berbayar adalah terhad, dan syarat berbeza mengikut pakej.
Antara waktu penting pada 14 November
| Aktiviti | Masa |
|---|---|
| Instalasi dibuka kepada umum | 4.30 petang |
| Perarakan pembukaan | 7.00 malam |
| Persembahan utama | 8.00 malam |
| O-EARTH Night | 8.45–9.45 malam |
Satu Lagi Sebab Untuk Bercuti Ke Penang November Ini!
Selain menikmati persembahan seni dan aktiviti menarik, pengunjung juga boleh mengambil peluang untuk meneroka George Town yang terkenal dengan bangunan warisan, seni jalanan dan pelbagai hidangan tempatan.
Apa yang menjadikan O-EARTH 2026 berbeza ialah gabungan program seni, budaya, pendidikan dan kesedaran alam sekitar dalam satu acara.
Jadi, kalau korang kebetulan berada di Pulau Pinang pada 14 atau 15 November nanti, bolehlah pertimbangkan untuk singgah ke O-EARTH 2026.
Cuma pastikan korang menyemak jadual dan jenis kemasukan terlebih dahulu kerana bukan semua aktiviti boleh disertai secara percuma.

sekarang!
