
Sri Lanka, negara yang menawarkan pelbagai destinasi menarik yang mempunyai pemandangan alam dan sejarah yang istimewa untuk diterokai.
Jika bercadang ke sana, ini ada perkongsiaan menarik daripada saudara Zain Asri untuk itinerari dan bajet ke Sri Lanka untuk 9 hari.
Day 1
- KL ke Colombo flight malam
Day 2
- Dambulla
- Sigiriya Lions Rock
Day 3
- Nuwara Eliya
- Spice garden
- Tea Factory
Day 4
- Tea farm
- Gregory Lake
- Lover’s leap waterfall
- St. Claire’s waterfall
Day 5
- Train ride Nanu Oya ke Ella
- Little Adam’s Peak
Day 6
- Nine Arch Bridge
- Rawana waterfalls
- Kirinda Beach
Day 7
- Udawalawe Safari
- Hambantota
- Matara Beach
- Mirissa Beach (sunset)
Day 8
- Indian Ocean whale watching
- Coconut tree hill
- Galle Fort
Day 9
- Coastal Line train ride
- Sightseeing Colombo
- Pettah market
- Red Mosque
- Galle Face Green
- Airport drop
BAJET
- RM3000+ termasuk:
- Flight pergi/balik
- Luggage
- Visa USD40
- Transport private coach (share 13 org) termasuk driver, driver food/accommodation, toll, minyak, parking (share 13 org). Sri Lanka minyak mahal RM3.90 seliter.
- Aktiviti dan entrance fee -+USD100 (Safari, Jeep, World Heritage Site, Whale Watching)
- Hotel
- Breakfast
INFO TRIP
- Bajet bergantung kepada jumlah hari, boleh dapat murah lagi kalau naik public transport sepanjang masa, tinggal budget hotel dan tak lakukan apa-apa aktiviti atau tak masuk tempat lawatan berbayar.
- Flight AA/Malindo ke Sri Lanka malam, sampai sana tengah malam. Private transport datang jemput kat airport pukul 2am. Kalau naik bas public transport tunggu kat airport, pagi baru ada bas. Alternatif lain boleh ambik Uber atau teksi airport yg beroperasi 24 jam, keluar airport belok kiri dan tunggu depan pejabat pos.
- Kadar tukaran LKR100 = RM2.40
- Sim kad boleh di dapati kat arrival hall airport. Harga bermula RM12, dapat 2GB data 20 min call.
- Orang Sri Lanka baik, polite, mudah tersenyum dan sangat hormati orang luar.
- Kat Sri Lanka ada orang Melayu, yg berhijrah daripada Nusantara beratus-ratus tahun dulu.
- Sri Lanka sangat bersih dan humidity tinggi, jadi kat sini tak banyak habuk.
- Public transport murah gile, tiket bas bermula RM1-RM2. Tiket train kalau stesen dekat, 30 sen je tambang,
- Kami sewa private transport sepanjang berada kat sana, sangat efisien, ikut timing kita sendiri, jimat banyak masa dan dapat singgah banyak tempat walaupun tak de dalam itinerary.
- Makanan halal boleh di dapati di setiap bandar (Colombo, Kandy, Nuwara Eliya, Ella, Mirissa) kerana terdapat penduduk Sri Lanka yang muslim. Tanya je orang kalau tak tahu. KFC kat sini halal kerana menggunakan halal certified supplier. Fast food lain saya kurang pasti.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jejak Kaki di Bumi Switzerland

Perkongsian pengalaman oleh Roshakina Mat Zuki
Seronok dapat lihat budaya hidup masyarakat di sana
Keinginan untuk melihat keindahan panorama di negara orang membuatkan saya tekad untuk pergi merasai sendiri suasana tersebut.
Antara lokasi yang menjadi pilihan dan dalam senarai adalah di Jungfraujoch, Switzerland, Prague Czech Republic, Budapest Hungary, Hallstat dan Salburg Austria.
Bagi percutian kali ini selama 10 hari, negara Switzerland dan Prague Czech Republic adalah lokasi pilihan. Kedua-dua tempat ini sudah menjadi impian saya sejak dari dahulu lagi. Di tambah pula dengan melihat rancangan National Geographic Travel serta Amazing Race.
Pertama kali dapat menjejakkan kaki ke bumi Switzerland adalah pengalaman paling manis. Mana tidaknya saya berpeluang menaiki Golden Scenic Train dari Montreux Switzerland melewati pergunungan Alps yang sangat menakjubkan.
Pemandangan tersebut sangat cantik dan memukau. Ditambah pula ketika melewati tasik dan gunung-ganang yang diliputi salji pada waktu itu. Permandangan yang sungguh indah ini hanya boleh diperolehi sekiranya kita membeli Swiss Pass dan menaiki Golden Scenic Train ini.
Switzerland memang terkenal dengan alam semulajadi yang sangat cantik dan boleh digelarkan heaven on earth dan juga terkenal dengan swiss army knife dan juga pembuatan jam.
Cara terbaik melawat Swiss adalah dengan membeli Swiss Pass dan menaiki keretapi di sana. Semasa di sana saya tinggal di kawasan perkampungan Lauterbrunnen.
Di Lauterbrunnen saya tinggal di asrama yang menghadap ke kawasan pergunungan dan air terjun. Selama 4 hari berada di Switzerland, terasa sekejap sahaja dan berharap akan dapat ke sini pada masa akan datang.
Berkunjung ke Prague
Seterusnya lokasi kedua percutian saya adalah Prague Czech Republic. Saya ke sini dengan menaiki Turkish Airlines dari Istanbul. Prague sangat cantik dan saya sarankan untuk orang Malaysia melawat Prague. Semasa di sana saya tinggal di kawasan Old Town Prague.
Terdapat banyak tarikan disekitar Old Town dan kita boleh berjalan kaki untuk ke tempat-tempat menarik seperti Astronomical Clock, Charles Bridge, HRC, St. Vitus Cathderal, John Lennon Wall, Prague Castle dan tak dilupakan Dancing House.
Untuk jalan-jalan disekitar Prague saya membeli three days pass dan saya boleh naik semua pengangkutan awam dengan percuma. Saya cuba naik tram di sana untuk feels macam local.
Secara keseluruhannya saya suka dengan Prague. Sebab orang Prague sangat menghormati pelancong dan mereka akan cuba sedaya upaya untuk menolong kita walaupun bahasa menjadi halangan.
Paling seronok saya berpeluang menghabiskan masa di atas Charles Bridge untuk melihat streets musician dan pelukis jalanan. Terasa macam berada dalam sebuah cerita novel. Percutian tidak lengkap kalau kita tidak mencuba makanan tempatan di sana yang terkenal dengan pastri iaitu trdelnik.
Tip kepada pembaca:
1. Sebelum melancong ke mana-mana destinasi buat sedikit kajian mengenai tempat yang ingin dilawati. Sebolehnya membaca travel blog dan mencari info melalui Google dan Trip Advisor untuk ke sesuatu tempat.
2. Perancangan untuk bercuti perlu dibuat sekurang-kurangnya 6 bulan lebih awal supaya perancangan dapat disediakan dengan lebih rapi.
3. Saya menggunakan website Visit a City untuk membuat itinerary. Visit a City akan memberi cadangan lokasi yang hendak dilawati dan kita boleh juga merancang perjalanan dan memilih untuk menggunakan pengangkutan yang hendak digunakan.
4. Selain itu, saya akan download offline map sesuatu tempat, jadi sekiranya di sana tidak ada wifi kita masih boleh mencari arah sekiranya map bagi negara tersebut telah di download dengan lebih awal semasa di Malaysia.
5. Saya tidak percaya pada konsep sampai di sesuatu tempat baru kita nak buat research dan baru nak cari hotel penginapan.
6. Seawal 6 bulan yang pertama saya akan mula membuat carian tiket di website Skyscanner dan juga di website penerbangan itu sendiri seperti MAS, ETIHAD dan Qatar. Saya akan membuat price alert untuk mendapatkan harga mampu milik.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
14 Destinasi Percutian Yang Awesome Di Wilayah Persekutuan Labuan!

Isi Kandungan
ToggleHanya ada tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Kedua-dua wilayah seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya sering dikunjungi oleh kebanyakkan rakyat Malaysia tetapi bagaimana pula dengan Labuan?
Pernahkah anda menjejakkan kaki ke Labuan sebelum ini? Atau tahukah anda apa tempat-tempat pelancongan yang menarik untuk dikunjungi di sana?
Sekiranya kita bertanyakan kepada orang ramai lebih-lebih lagi yang berasal dari semenanjung, Labuan sinonim sebagai lokasi tempat carigali minyak dan pengkalan tentera.

Tidak dinafikan fakta itu ada benarnya kerana sekiranya anda berkunjung ke Labuan, memang banyak kapal-kapal minyak yang berlabuh di persisir laut dan kadang-kala kelihatan beberapa pesawat tentera berlegar di ruang udara Labuan.
Namun, di sebalik itu semua, Labuan juga mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang cukup menarik untuk anda lawati. Jadi di sini, kami senaraikan destinasi-destinasi percutian yang menarik untuk anda cuba di Wilayah Persekutuan Labuan!
Kampung Air Patau-Patau II

Perkampungan atas air ini adalah perkampungan nelayan yang didirikan sekitar tahun 1930-an dan majoriti penduduk yang tinggal di perkampungan atas air ini adalah daripada suku Kadayan-Brunei.
Tidak hairanlah konsep seni bina perkampungan atas air dan juga amalan budaya kehidupan seharian masyarakat serta makanan di sini seakan-akan orang di Brunei kerana susur galur jatidiri mereka berkait rapat dengan nenek moyang Kadayan yang berasal dari Brunei.
Kampung Air Patau-Patau II yang menempatkan lebih kurang 60 rumah air dan kira-kira 700 orang penduduk ini pernah musnah satu masa dahulu semasa Perang Dunia Ke-2 akibat dibom oleh tentera Jepun dan telah didirikan kembali selepas perang tamat. Sejak daripada tragedi perang tersebut, perkampungan ini terus kekal di atas permukaan air sehingga ke hari ini.

Bagaimana perkampungan ini boleh berdiri kukuh sehingga puluhan tahun? Jawapannya adalah kerana rahsia penggunaan kayu belian dalam pembinaan rumah di perkampungan tersebut. Kayu belian yang menjadi asas tiang rumah mempunyai struktur yang kuat dan kukuh bagi menampung perkampungan ini dalam jangkamasa yang lama.
Sekalipun perkampunan ini terletak di atas air, Kampung Air Patau-Patau II ini dilengkapi dengan saluran air bersih dan elektrik, talian telefon, lampu jalan, jeti teksi air, kedai runcit, kedai kraftangan, klinik, sekolah, surau dan rumah inap untuk anda meluangkan masa bercuti di sini.
Ada 13 rumah inap di perkampungan atas air ini dengan harga daripada RM70 ke RM80 semalam. Anda risau dengan keadaan cuaca panas di pulau? Jangan khuatir, kerana perkhidmatan rumah inap di sini turut menyediakan kemudahan bilik berpenghawa dingin untuk keselesaan pengunjung yang datang.

Apa yang lebih menarik adalah penginapan anda di perkampungan ini juga boleh ditambah dengan perkhidmatan makanan dengan harga lebih kurang RM10 seorang untuk juadah makan sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam – disediakan sendiri oleh tuan empunya rumah inap.
Selain daripada itu, aktiviti-aktiviti di perkampungan air ini juga boleh direncanakan bersama pengusaha rumah inap bergantung kepada keselesaan dan kesesuaian anda.
Kampung Bebuloh Laut

Kampung Bebuloh Laut ini juga adalah kampung atas air, sama seperti Kampung Air Patau-Patau II tetapi Kampung Bebuloh Laut ini lebih dikenali sebagai lokasi untuk membeli produk IKS berasaskan ikan bilis yang berkualiti pada harga yang murah.
Tidak lengkap kunjungan anda ke sini sekiranya tidak membawa pulang barang satu atau dua produk ikan bilis yang dijual di sini. Untuk pengetahuan anda, nelayan di sini menangkap ikan terutamanya ikan bilis menggunakan teknik bagang. Bagang ini kelihatan seakan-akan kelong yang digunakan nelayan di tengah laut.





Setiap hari, pengusaha ikan bilis yang ada di Kampung Bebuloh Laut ini mampu menghasilkan 10 hingga 20 bakul besar ikan bilis. Anggaran lebih kurang 50kg ke 100kg ikan bilis setiap hari. Antara ikan bilis yang sering mendapat permintaan adalah Ikan Bilis Putih dengan harga lebih kurang RM40 ke RM60 sekilogram.
Monumen COBSEA

Tahukah anda bahawa pantai ini adalah pantai yang mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pantai paling bersih dan menjadi contoh pengurusan pantai yang terbaik pada 20 September 2008?
Pantai ini dikenali sebagai Labuan United Nation 2008 Beach yang merangkumi 6 pantai yang berada di persisir Pulau Labuan iaitu Pantai Batu Manikar, Pantai Pancur Hitam, Pantai Layang-Layangan, Pantai Sungai Labu, Pantai Sungai Pagar dan Pantai Sungai Miri.

Kawasan pantai ini berada berhampiran dengan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan juga Kelab Golf Antarabangsa Labuan, menjadikan kawasan persisir pantai ini antara kawasan yang kerap dikunjungi oleh orang ramai dan juga mahasiswa yang berada di sana.
Peace Park and Surrender Point
Dikenali sebagai Taman Damai Labuan, destinasi ini menyimpan 1001 sejarah yang amat berharga tentang apa yang berlaku di tanah air kita satu masa dahulu. Nama Taman Damai itu sendiri diinspirasikan oleh kejadian perang yang pernah berlaku pada masa dahulu sewaktu Perang Dunia Ke-2 diantara tentera Jepun dan tentera Bersekutu di Labuan.
Di Taman Damai ini, ada satu memorial peringatan yang didirikan oleh kerajaan Jepun sebagai memperingati korban Perang Dunia Ke-2 dan juga sebagai simbolik persahabatan yang terjalin selepas perang antara kerajaan Malaysia dan juga kerajaan Jepun.


Selain daripada itu, di Taman Damai ini juga boleh didapati beberapa tanda peringatan yang diletakkan sempena beberapa kejadian yang berlaku seperti penyerahan kalah tanpa syarat tentera Jepun selepas perang kepada tentera Bersekutu diketuai Australia.
Sekitar kawasan Taman Damai ini mempunyai lanskap air yang tenang di bawah jambatan melengkung dan di sekitarnya mempunyai gazebo untuk berteduh teduh, menjadikan kawasan ini antara tarikan penduduk Labuan untuk beriadah pada waktu petang di tepi pantai.
Labuan Marina


Lokasi ini adalah tempat kapal-kapal dan bot-bot penumpang berlabuh untuk menaikkan atau menurunkan penumpang dan juga barangan. Di marina ini juga adalah tempat yang perlu anda datang sekiranya ingin merasai dan mengalami sendiri keseronokkan aktiviti air yang terdapat di Labuan di Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil.
Di sekitar marina ini anda akan kelihatan banyak kapal-kapal besar yang ada di sekitar kawasan tersebut. Untuk pengetahuan anda, kapal-kapal besar itu adalah kapal-kapal yang digunakan dalam aktiviti mencari dan menggali minyak di pelantar minyak di tengah laut. Seperti yang disebutkan sebelum ini, Labuan sememangnya sinonim sebagai kawasan mencari dan menggali minyak.
Taman Laut Labuan, Pulau Rusukan Besar

Taman Laut Labuan ini adalah destinasi wajib yang perlu anda kunjungi sekiranya berada di Labuan kerana di sini terletaknya ‘mutiara Labuan’. Hidupan airnya seperti terumbu karang dan ikan begitu mengasyikkan sesiapa yang berenang dan menyelam di perairan sekitarnya.
Sepanjang persisir pantai Pulau Rusukan Besar ini mempunyai terumbu karang yang sangat cantik dan besar, langsung menjadi ‘rumah’ kepada banyak habitat air seperti ikan nemo untuk menghuni di sini.

Ini kerana sekitar kawasan Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman telah digazetkan sebagai Taman Marin dan segala aktiviti menangkap ikan dan sebagainya adalah tidak dibenarkan – menjadikan kawasan ini terpelihara dari sebarang kegiatan aktiviti manusia.
Keunikkan lain yang terdapat di sini adalah beting pasir sejauh 500 meter di Pulau Rusukan Kecil yang tidak akan tenggelam dek air laut biarpun arus pasang ataupun surut.

Ship Wreck Skuba Terbaik Asia

Tarikan utama di Taman Marin Labuan ini adalah tukun kapal yang tenggelam dan menjadi destinasi skuba yang popular di kalangan penyelam-penyelam skuba. Ada empat buah kapal yang menjadi tukun kepada hidupan laut di sini terdiri daripada 3 kapal kargo dan 1 kapal perang iaitu Australian Wreck, American Wreck, Cement Wreck dan Blue Water Wreck.
Untuk ke Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil ini, anda boleh menaiki bot di Labuan Marina dengan masa perjalanan selama 30 minit sahaja dan di kawasan pulau ini terutamanya di Pulau Rusukan Besar, terdapat pengusaha chelet yang mengusahakan perkhidmatan rumah inap kepada setiap pengunjung yang datang.

Kawasan chelet ini juga berdekatan dengan pejabat Jabatan Taman Laut Labuan yang terletak di Pulau Rusukan Besar, jadi mudah untuk anda mendapatkan informasi mengenaik tarikan air yang terdapat di sekitar kawasan ini.






Muzium Labuan

Muzium Labuan ini terletak berhadapan dengan Dataran Labuan dan di sini adalah tempat yang paling strategik sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut fakta dan sejarah mengenai Labuan sejak daripada zaman Kesultanan Brunei, zaman penjajahan dan sehinggalah Labuan kini terdiri sebagai sebahagian daripada Malaysia.
Di sini juga tersimpannya satu bahan pameran sejarah berupa kerusi serta meja yang mana ia pernah digunakan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad (masa itu Datuk Seri) dan Ketua Menteri Sabah Datuk Harris Mohd. Salleh menandatangani dokumen “Perjanjian Labuan” yang menukarkan status Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.




Berhadapan dengan muzium ini diantara muzium dan Dataran Labuan, terdapat empat pokok yang besar telah di tanam dan dijaga dalam keadaan baik. Mengikut sejarah, pokok-pokok tersebut telah ditanam sebelum zaman merdeka 1957 dan menjadi simbolik kepada perpaduan antara kaum-kaum utama yang terdapat di Labuan.
Sehingga kini, pokok tersebut masih lagi hidup dan boleh dilawati oleh setiap pengunjung yang datang ke Labuan.
Dataran Labuan

Sebelum mendapat nama sebagai Labuan, tempat ini terkenal dengan nama jolokan Bandar Victoria. Namun, selepas diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan, namanya telah ditukarkan kepada Labuan dan dataran ini adalah pusat kepada segala aktiviti yang terdapat di sana.
Segala acara gadang kebiasaannya akan diadakan di sini. Di sekeliling dataran ini terdapat Panji-panji Pulau Labuan dan negeri-negeri Malaysia berkibar dalam satu barisan dan di penghujung dataran ini terdapat sebuah replika Chimney – mercu tanda yang paling terkenal Labuan.
Ujana Kewangan Labuan (Financial Park Labuan)

Ujana Kewangan atau turut dikenali sebagai Financial Park ini adalah satu-satunya pusat membeli-belah yang terdapat di Pulau Labuan. Di bangunan inilah segala jenis kemudahan akan anda dapati dengan mudah seperti mesin ATM, kedai makanan segera, kedai membeli-belah dan kedai barangan bebas cukai.
Labuan tidaklah sebesar kawasan-kawasan tumpuan yang lain di mana pusat pengumpulan aktiviti penduduk setempat akan berpecah-pecah kepada banyak tempat. Di Ujana Kewangan ini, anda akan dapati suasananya begitu meriah dengan aktiviti masyarakat kerana di sinilah tempat utama untuk penduduk Labuan membeli barangan keperluan.
Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan

Kompleks ini terletak di kawasan pantai Jalan Tanjung Purun dan berada berhampiran dengan pusat bandar Labuan. Objektif pembinaan kompleks sukan air antarabangsa ini adalah untuk menjadi sebuah pusat sukan air bertaraf dunia dan membangunkan lagi tempat-tempat menarik di sekitar Pulau Labuan.
Aktiviti menarik yang boleh dicadangakan kepada anda selain daripada bersiar-siar menikmati pemandangan matahari terbenam disebalik kapal-kapal besar yang berlabuh di kawasan perairan pantai adalah menaiki perahu larai atau perahu layar.


Mengikut daripada istilah bahasa, perahu adalah pengankutan yang kita gunakan untuk bergerak di atas air manakala larai adalah perkataan daripada Brunei yang bermaksud layar.
Pada zaman dahulu, nelayan menggunakan perahu larai atau perahu layar ini untuk ke laut dan dipanggil sebagai berlarai atau berlayar. Dek kerana sejarah masyarakat di Labuan ini dekat dengan masyarakat di Brunei, maka perahu ini tetap dipanggil sebagai perahu larai oleh masyarakat di sana.
Muzium Chimney

Muzium ini adalah destinasi wajib untuk anda yang datang ke Labuan satu masa nanti. Di muzium ini terletaknya satu binaan tinggi yang berusia lebih 100 tahun namun sehingga kini, para pengkaji sejarah masih lagi mencari jawapan sama ada binaan ini dibina sebagai serombong asap ataupun sebagai rumah api untuk isyarat kapal.
Binaan Chimney ini adalah mercu tanda bersejarah terkenal di Labuan setinggi 106 kaki dan di jangka dibina sekitar tahun 1847 menggunakan lebih kurang 23 ribu batu bata merah yang diimport daripada England.


Chimney merupakan monumen penting di Labuan sebagai bukti peninggalan aktiviti perlombongan arang batu di Tanjung Kubong yang telah berusia lebih seabad dan dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai ‘Punil’.
Gedung Ubat & Chimney Trail
Gedung Ubat ini terletak berhampiran dengan Muzium Chimney. Untuk ke Gedung Ubat ini, anda perlu berjalan di laluan sepanjang lebih kurang 800 meter dari muzium dan dinasihatkan supaya anda memakai pakaian dan kasut yang sesuai untuk mendaki bukit-bukit manja yang terdapat disepanjang laluan ini.
Ada dua pilihan yang boleh anda pilih untuk meneroka laluan ke Gedung Ubat ini sama ada menggunakan laluan yang pendek dengan jarak 800 meter atau menggunakan laluan yang lebih panjang dan mencabar sekitar 1.8 kilometer.

Tapi jangan salah sangka dengan jaraknya yang jauh. Anda pasti akan terpersona dengan keindahan yang disajikan saat tiba sahaja di Gedung Ubat ini. Pemandangan dari tebing bukit terus ke lautan luas yang terbentang di hadapan mata pasti akan membuatkan segala penat lelah anda berjalan dan mendaki ke sini hilang tiba-tiba.
Di Gedung Ubat ini mempunyai satu tinggalan bangunan lama yang dahulunya digunakan sebagai tempat penyimpanan bahan letupan dan peluru oleh tentera Jepun semasa menakluk Pulau Labuan.
Kenapa pemilihan tempatnya jauh dan terselindung? Ini adalah kerana faktor strategik tempat ini yang sukar untuk dimasuki oleh manusia tanpa disedari oleh pengawal yang menjaga tempat simpanan peluru ini satu masa dahulu.

Taman Burung Labuan

Taman Burung Labuan ini lokasi yang sangat bersesuaian sekiranya anda berkunjung ke Labuan bersama keluarga dan anak-anak. Selain daripada bersama keluarga, buat penggemar burung dan suka untuk mengambil gambar-gambar burung juga boleh datang ke Taman Burung Labuan ini untuk mendapatkan hasil tangkapan gambar spesis-spesis burung yang mungkin tidak terdapat di tempat-tempat lain.
Tempat ini menarik untuk aktiviti yang disebut di atas adalah kerana taman burung ini berkeluasan 6.9 hektar dan menjadi rumah kepada lebih kurang 600 spesis burung. Jadi dengan keluasan yang sebegitu, pasti memberikan kepuasan kepada ‘memburu’ gambar haiwan kegilaan anda itu.

Selain daripada itu, spesis burung yang ditempatkan di dalam sangkar taman ini juga terdiri daripada spesis-spesis terancam dan spesis yang menjadi jolokan kepada sejarah tempatan seperti burung Enggang yang sinonim dengan negeri Sarawak. Oleh itu, anda tidak perlu pergi jauh ke dalam kawasan pendalaman hutan untuk melihat haiwan ini secara lebih dekat, hanya perlu berkunjung ke Taman Burung Labuan sahaja.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Short Trip’ Ke Pulau Redang & Kuala Terengganu. Redah 2H1M Sahaja Pun Dah Seronok!

Bagi penduduk di Semenanjung Malaysia, ramai yang memilih negeri di pantai timur untuk bercuti terutamanya di kawasan pulau yang cantik. Tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang tinggi dalam kalangan pengusaha resort di pulau peranginan di Terengganu memberi keyakinan kepada pelancong untuk memilih pulau di negeri ini sebagai destinasi percutian.
Pulau Redang antaranya terkenal dengan pantai yang berpasir putih dengan pemandangan air laut yang membiru. Pulau Redang merupakan antara pulau pilihan terbaik untuk pelancong yang inginkan pengalaman percutian di pulau tropika. Bagaimanapun, biar hanya sekejap dapat bercuti di Terengganu, anda pasti jatuh cinta dengan keramahan penduduk dan terpukau dengan keindahan negeri keropok lekor ini.
Ini perkongsian daripada FB Nasi Lemak Seremban yang sempat berkongsi dengan Majalah LIBUR tripnya ke Terengganu selepas 10 tahun tidak menjejakkan kaki ke sini. Paling menarik, walaupun hanya dua hari tempoh percutiannya, namun terisi dengan pelbagai aktiviti menarik. Jom baca!
10 tahun yang lalu adalah kali terakhir aku melawat pulau yang cukup Indah dan damai bagiku. Setelah 10 tahun itu jugalah hatiku membuak-buak untuk mengunjunginya kembali walaupun kali ini tiada teman-teman yang menemaniku.
Hari Pertama
- Perjalanan sekitar 7jam dari Bandaraya Seremban dengan menaiki bas persiaran dengan harga tiket RM50.60 sehala aku dan anak buahku Fadly menuju ke pulau yang sinonim dengan penyu itu. Perjalanan kami bermula lebih kurang jam 9.30 malam dari Terminal One Seremban dan sekitar jam 4.30 pagi bas yang kami naiki tiba di Terminal Bas Kuala Terengganu.
- Setiba disana kami terpaksa menunggu sehingga jam 6.00 pagi untuk kami menaiki mybass menuju ke Jeti Merang dengan harga cuma RM5.80 seorang, kami hanya mengambil pakej “Daytrip” sahaja untuk menikmati keindahan flora dan fauna yang ada di sekitar Pulau Redang tersebut. Pakej yang dikenakan kepada kami adalah sebanyak RM120 seorang ianya termasuk trip ke 5 buah pulau dan makan tengah hari juga disediakan oleh mereka. Aku memang suka dengan keindahan Laut yang terbentang luas, bagiku dengan melihat keindahan alam tersebut dapat melupakan segala masalah yang ada padaku.
- Hampir seharian kami meronda di sekitar Pulau Redang cukup puas aku rasakan dari jam 8.30 pagi hingga jam 5.00 petang kami dibawa berjalan sekitar pulau tersebut kami turut bermain dengan penyu yang cukup sinonim dengan Negeri Terengganu itu. Setelah sampai di Jeti Merang kembali kami bergegas bersiap menukar pakaian untuk mendapatkan bas terakhir ke Kuala Terengganu kembali dan akhirnya kami sempat mendapatkan Mybass terakhir menuju ke Kuala Terengganu yang memakan masa lebih kurang satu jam perjalanan.
- Kami tiba di Kuala Terengganu sekitar jam 6.30 petang dan kami terus menuju ke Arena Boutique Hotel yang terletak tidak jauh dari Terminal Bas Kuala Terengganu, kami menyewa hotel tersebut dengan harga RM140.00 untuk 1 malam hotel tersebut sangat selesa dan luas berbaloilah untuk kami berdua menginap. Selepas check in aku pun berjalan disekitar hotel tersebut dan kebetulan disana terdapat “street food bazar” ala-ala pasar malam tapi terletak ditengah bandar Kuala Terengganu, selesai makan kami pulang ke hotel dan terus berehat sehingga esok pagi.
Hari Kedua
- Seawal pagi kami dah bersiap, destinasi kami pagi kedua adalah ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan tujuan utama adalah banyak untuk bergambar kenang-kenangan kami kesana hanya menaiki “grab” dengan tambang hanya RM6.00 bak kata orang alang-alang dah sampai kenapa tidak bergambar. Selesai di Jambatan Angkat Kuala Terengganu kami terus ke Kedai Pasar Payang untuk membeli sedikit oleh-oleh untuk dibawa pulang, disana kami hanya membeli sedikit keropok lekor dan keropok ikan tamban yang sedap dan segar. Kemudian kami terus pulang ke hotel dengan berjalan kaki sahaja kerana jaraknya tidaklah terlalu jauh sekitar 10 minit berjalan kaki.
- Selepas “check out” kami meninggalkan barang-barang kami di lobi hotel kerana kami telah “deal” dengan petugas hotel tersebut untuk menumpangkan barang kami sehingga malam kerana bas kami pulang ke Seremban pada waktu malam. Kami terus makan tengahari di sekitar terminal bas, selesai makan kami menaiki bas C02 (bentuk rumah Terengganu) dengan tiket berharga RM1.00 seorang kami menuju ke Masjid Kristal bergambar sambil membuang waktu disana. Kami juga turut melawat Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu disana terdapat pelbagai mini masjid yg terdapat di dunia antaranya Masjid Negara Malaysia, Taj Mahal India dan banyak lagi dengan bayaran tiket RM20.00 seorang. Setelah penat berjalan kami pulang semula ke hotel dan bersiap untuk pulang ke Seremban kembali.
Kos Perbelanjaan
- Bas 2 hala RM50.60 x 2 orang x 2 hala = RM202.40
- Bas ke Jeti Merang RM5.80 x 2 orang x 2 hala = RM23.20
- Grab RM12.00
- Hotel 1 malam = RM140.00
- Pakej Pulau RM120.00 x 2 orang = RM240.00
Jumlah = RM617.60 (tidak termasuk makan dan shopping)
Sekian.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI